Home Cerpen Umum Alpa
Alpa
Aman Hidayat
13/6/2016 22:48:47
884
Kategori: Cerpen
Genre: Umum

“ALLAHU AKBAR!”

Aku berdiri tegak, mengikut di belakang imam. Sebaris denganku, Ayah Ku. Susuk tua itu masih gagah melantunkan suaranya sewaktu azan serta iqamah sebentar tadi. Aku anggarkan kira-kira sudah hampir tiga puluh tahun Ayah Ku menjadi bilal di kampung ini. Lemak merdunya lebih bagus jika dibandingkan dengan penyanyi-penyanyi muda zaman sekarang. Kalau masuk pertandingan nyanyian, pasti juri pun terpesona dengan kelunakan suara Ayah Ku. Getarannya masuk ke dalam telinga terus ke hati.

Pernah juga terlintas di benak fikiran andai kata dia meninggal nanti, lompongnya pasti sukar untuk dicari ganti. Sudah tentulah bilal baru yang mengganti tidak akan sama dengan yang lama. Suasana dan aura ketika mendengarkan azan yang berkumandang juga pasti berbeza. Perubahan memang susah untuk kita terima secara mendadak. Lama-kelamaan yang baru pula akan sebati dalam jiwa kita. Normal. Ah, boleh jadi yang meninggal dahulu itu adalah aku. Bukan sedikit aku mendengar berita anak muda meninggal muda di laman-laman sosial dan di dada akhbar. Maut yang tidak mengenal angka, kalau sudah sampai ketentuan takdir, Izrail pasti hadir untuk menjalankan tugasnya. Lagipun aku ini tidak terasa muda lagi, baru sahaja dua hari lepas telefon pintarku dihujani ucapan selamat ulangtahun kelahiran. Secara logiknya memanglah usia 34 tahun itu masih dalam kategori muda belia. Tapi kerana sering diuji dengan masalah membuatkan jiwa aku terasa tua.

Aneh juga bagaimana mereka yang menghantar ucapan itu tahu akan tarikh kelahiranku. Segala butiran peribadi termasuk tarikh lahir telah aku rahsiakan daripada pengetahuan ramai. Kalau dahulunya aku suka berkongsi segala macam maklumat di laman-laman sosial. Baik dari segi maklumat peribadi, koleksi gambar kucing peliharaan, koleksi buku yang telah aku beli, dan tidak lengkap media sosial kalau tiada gambar-gambar makanan terutamanya yang telah aku masak sendiri. Tetapi pada hari ini sudah masuk tiga tahun aku membisu di laman sosial, segala perkongsian aku hadkan paparannya pada diri aku sendiri sahaja. Mungkin kerana sudah merasa penat mencari perhatian di ruangan maya.

Aku juga penat dengan pertanyaan bila mahu berkahwin, dan soalan-soalan lain yang berulang-ulang. Perkara di luar kawalan. Bukan aku tidak mahu mencari pasangan hidup lagi, tapi aku ada masalah tahap keyakinan diri yang rendah. Kadang-kadang aku bimbang adakah si dia akan menerima aku yang bekerja sebegini. Bekerja sendiri sahaja bukan makan gaji seperti kebanyakan orang.

Benar apa yang dikata, apa yang kita rancang tidak semestinya akan jadi nyata. Segala berlaku hanyalah menurut takdir yang telah ditentukan Ilahi. Aku ingat lagi dulu sewaktu masih belajar di matrikulasi, pada waktu itu aku tulis siap-siap perancangan hidup dalam buku conteng. Bermula dari hari tamat program matrikulasi, lepas itu sambung pengajian di peringkat ijazah, kemudian lanjut belajar lagi ke peringkat Master. Aku kira dalam usia 24 tahun sempat menggengam segulung ijazah Master. Kemudian terus bekerja. Cukup setahun kerja pasti sudah cukup duit untuk berkahwin. Tercapailah hasrat untuk berumahtangga pada usia 25 tahun. Heh, semuanya hanyalah di atas kertas sahaja. Apa yang berlaku pada hari ini tersasar jauh dari apa yang aku bayangkan.

Aku cuba melayari laman-laman mencari jodoh di ruangan internet untuk membaca kriteria-kriteria jodoh yang biasa dicari oleh kaun hawa. “Ada pekerjaan tetap”, “kerja kerajaan”, “tinggi mesti 170cm ke atas”, majoriti ciri-ciri inilah yang aku ketemu tercatat pada ruangan berkenaan. Langsung mempengaruhi lagi tahap keyakinan diri aku. Merudum. Ciri- ciri idaman ramai tidak ada pada diriku. Aku yang pada mulanya berkobar-kobar hendak mengisi borang mencari jodoh, tak jadi isi. Sampai bila harus bertangguh lagi? Aku sendiri pun tak tahu. Mungkin aku ini terlampau kuat berfikir, mat saleh kata ‘overthinking’.

Menyesal pula zaman belajar dulu aku tidak mengorat bersungguh-sungguh. Mengorat? Memang jauh panggang dari api. Personaliti aku bukanlah seterbuka itu. Bila bertemu dengan perempuan sahaja aku terus jadi tak keruan. Lidah jadi kaku walaupun dengan rakan sekelas sendiri. Kadang-kadang aku mengeluh sendirian kenapalah tahap kepemaluan dalam diri ini sangat tinggi, apa masalah aku sebenarnya? Disertakan pula dengan pakej suara aku yang jenis ‘volume’ rendah. Cemburu aku dengan teman-teman yang mempunyai suara berprojeksi lantang dan kuat bak ngauman singa. Aku pula cumalah macam kucing mengiau manja sahaja. Boleh jadi juga dengan suara ‘soft-spoken’ sebegini tidak begitu menarik hati gadis-gadis di luar sana. Sudah tentu mereka inginkan pasangan yang bersuara maskulin dan dalam.

Teringat zaman sekolah dahulu, memang berkali-kali cikgu menegur suara aku perlahan. Walaupun hampir terkeluar anak tekak aku menjerit tapi masih disuruhnya bercakap lebih kuat lagi. Seksa sungguh, semput dan penat dibuatnya. Tuhan bagi peti suara sebegini, aku terima sahajalah, sekurang-kurangnya masih boleh bersuara. Boleh jadi personaliti pendiam pemalu aku ini terbina daripada keadaan tubuh yang sebegini dan pengalaman yang dilalui sepanjang tempoh membesar. Teman-teman pun sering mengusik aku. Mereka kata, andai jodoh aku seorang yang pendiam juga, maka apabila kami duduk berdua-duaan, hanya bunyi kipas sahaja yang kedengaran. Mereka pecah ketawa. Aku ketawa sekali kerana ada benarnya juga usikan itu. Tidak romantikkah begitu?

Sejujurnya aku ini tidak cukup tidur. Jam tiga setengah pagi tadi baru dapat lelapkan mata sekejap. Itu pun terasa macam tidur-tidur ayam antara sedar tak sedar. Ini semua penangan segelas kopi lewat malam semalam. Sepatutnya kopi wajar diminum paling lewat pun sebelum pukul tiga petang supaya kandungan kafein yang masuk ke dalam pembuluh darah tidak mengganggu tidur malam nanti. Sekarang tanggunglah akibatnya. Dalam keadaan beginipun otak ligat berfikir macam-macam hal.

Semua orang mula menadah tangan. Doa qunut. Ya Allah, sepanjang solat ini jauh fikiran aku menerawang! Aku rasa malu dan bersalah dengan Tuhan. Harap-harap Dia masih menerima solatku yang alpa ini. Jasad aktif tunduk rukuk sujud, mulut terkumat-kamit tak tertinggal satu pun bacaan dalam solat. Tetapi roh aku tidak hadir sekali dalam solat. Ianya terbang merentas jarak dan waktu seawal takbiratul ihram tadi lagi. Kesal sekejap. Aku berjanji tidak akan ulang lagi. Walaubagaimanapun ini bukanlah pertama kali aku begini.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Aman Hidayat