Natasha mendecit. Dia
terbangun. Matanya digosok berkali-kali sebelum matanya memandang permukaan
dinding putih. Jam dinding berwarna merah dipandang dengan pandangan geram.
Tidurnya terganggu dek tangisan dan jeritan seorang perempuan.
“Baru tiga hari aku
pindah masuk sini. Kalau nak nangis pergilah cari tempat lain,” bebelnya geram.
“Siapalah yang tengah
nangis malam-malam buta ini?” Rungut Natasha lagi. Dia turun dari katil. Katil
sebelah dipandang. Peliknya, Ainur masih nyenyak tidur.
‘Tidur mati agaknya,’
Natasha bermonolog di dalam hati. Dengan langkah perlahan Natasha menghampiri
jendela. Dia mengintai luar. Tiada sesiapa. Sunyi dan kosong.
“Tak masuk akal,”
bicaranya sendiri. Namun, dia jelas dapat mendengar tangisan dan jeritan
seorang perempuan. Dengan langkah perlahan Natasha membuka pintu biliknya. Dia
keluar dan membuka pintu utama.
“Argh!” Natasha
terjerit kuat.
Matanya terbeliak
melihat seorang gadis duduk bercangkung di hadapan rumah sewanya.
**********************
“Awak
siapa? Kenapa awak duduk kat sini?” Tanya Natasha berkali-kali. Gadis itu diam
tidak berkutik. Dia kelihatan ketakutan.
“Nama
awak siapa?” Tanya Natasha lembut seraya menyentuh bahu gadis itu.
“Lara,”
jawab gadis muda itu tanpa sebarang perasaan. Wajah Natasha tidak dipandang
langsung.
“Okey,
tapi apa awak buat kat sini malam-malam buta? Kenapa awak menangis?”
Lara
tajam menikam anak mata Natasha.
“Awak
sudi tak jadi kawan saya?” Natasha terkejut lalu dia mengangguk perlahan. pelik
dengan soalan Lara.
“Kenapa
awak tanya macam itu?”
“Sebelum
ini tiada siapa nak jadi kawan saya. Awak sudi kan?” Lara minta kepastian. Baru
kini bibir Natasha mengukir senyuman nipis.
“Awak
jangan risau okey. Saya sudi jadi kawan awak. Rumah awak yang mana satu? Awak
pelajar fakulti mana?”
“Saya
jiran awak. Bidang kulinari,” jawab Lara berpaling ke arah lain.
Muka
Natasha kelihatan berseri-seri. Dia menelan air liurnya berkali-kali.
“Mesti
awak pandai masak kan?”
“Awak
nak cuba ke?” Senyuman Lara kelihatan semacam. Natasha mengangguk laju.
**********************
Natasha
pulang ke rumah sewanya dengan membawa satu bungkusan makanan. Haruman begitu
menyelerakan. Dia tidak sabar mencuba makanan yang dimasak Lara khas untuknya.
“Tasha,
kau dah makan ke?” Tanya Ruby, kawan serumah Natasha. Natasha menunjukkan
bungkusan makanan pada tangannya. Ainur mendekati Natasha.
“Tak
cakap pun kau dah beli nasi?” Terbit nada rajuk pada suara Ainur.
“Bukanlah.
Yang ini Lara yang masakkan untuk aku,” jawab Natasha sambil mencium bau mee
hailam.
“LARA?!”
Hampir serentak Ainur dan Ruby menjerit.
“Budak
kulinari ke?” Tanya Ainur sekadar kepastian.
“Aah.
Korang kenal ke? Dia jiran kita tau. Baru semalam aku kenal dengan dia. Masakan
dia gempak wei. Sedap sangat,” puji
Natasha. Dia menapak ke dapur untuk ambil garpu. Ainur dan Ruby berpandangan.
“Biar
betul kau jumpa dia?” Tanya Ruby nada terkilan. Tiba-tiba dia berasa
badannya seram sejuk. Bulu romanya
meremang. Ainur sudah masuk ke dalam bilik.
“Iyalah,
takkan aku nak tipu kot. Kesian dia. Aku tengok dia baik sangat tapi kenapa tak
ada siapa nak kawan dengan dia hah?” Pelik Natasha. Ruby menjongketkan bahu
lalu dia masuk ke dalam bilik sambil memeluk tubuhnya erat.
**********************
“Lara buat apa kat
sini?”
Lara menoleh. Bibirnya
mengukir sebaris senyuman nipis. Bibirnya tampak pucat.
“Nah,
saya masak nasi goreng pulak untuk awak. Jangan tak makan ye,” pesan Lara
sebelum bungkusan makanan bertukar tangan.
Natasha
tersenyum gembira.
“Bolehlah
saya kongsi dengan kawan-kawan saya nanti. Mereka pun…” Kata-kata Natasha
segera dipintas.
“TAK
BOLEH! Saya masak untuk awak seorang saja. Jangan kongsi dengan sesiapa,” marah
Lara lalu dia tinggalkan Natasha begitu saja di hadapan rumahnya. Natasha pelik
melihat sikap Lara.
**********************
Ainur
dan Ruby pelik melihat sikap Natasha yang berlainan sejak kebelakangan ini.
Dengan perasaan takut, mereka menghampiri Natasha yang bernyanyi riang di ruang
tamu.
“Tasha,”
panggil Ainur bernada biasa.
“Yup.”
“Betul
ke kau jumpa Lara?” Ainur tidak percaya.
“Korang
kenal ke dengan dia?” Sekali lagi Ainur dan Ruby berpandangan.
“Dia
yang masak untuk akulah selama ini. Takkan aku cakap dengan hantu kot. Dah
seminggu dia masak untuk aku. Jimat duit aku tau. Masakan dia sedap sangat.
Tapi tak tahu kenapa dia tak bagi aku kongsi dengan korang. Mesti korang pernah
usik dia kan?”
Ainur
dan Ruby diam.
“Jadi,
kaulah yang makan semalam dan tinggalkan bekas makanan atas meja tu?”
Natasha
menepuk dahinya.
“Sorry beb. Memang aku yang makan. 12
tengah malam Lara yang hantar makanan. Lepas dah kenyang aku terus tidur. Lupa
nak buang. Kau dah kemaskan ek?”
Ruby
dan Ainur menggeleng berkali-kali.
**********************
Sudah
tiga hari Natasha tidak berjumpa dengan Lara. Dan tiba-tiba hari ini Lara
muncul dengan sebungkus makanan lagi.
“Mana
Lara pergi? Dah tiga hari tak jumpa? Rindu dengan masakan Lara tau.”
Lara
tersenyum nipis.
“Makan
tau. Jangan tak makan,” pesan Lara seperti biasa.
Natasha
membawa bungkusan makanan itu dengan perasaan riang. Ainur dan Ruby tergamam.
“Lara
yang masak. Sorrylah aku tak boleh
kongsi. Nanti dia marah,” ujar Natasha seraya menghenyakkan punggungnya di atas
kerusi meja makan. Dengan geram Ainur menepis bungkusan makanan yang dibawa
Natasha. Natasha terkejut dengan reaksi spontan Ainur.
“Kau
ni dah kenapa Ainur?” Tengking Natasha geram.
“Sedar
Tasha ini bukan realiti. Lara tak wujud! FAHAM TAK? Lara tak wujud. Ini bukan
makanan. Yang kau makan selama ini ialah cacing dan darah mentah. Sedar Tasha,”
jerit Ainur seraya menggoncang tubuh Natasha kuat. Ruby mengangguk laju.
Natasha
terkaku. Lidahnya jadi kelu. Dia menggeleng berkali-kali kemudian.
“Lara
tak wujud? Habis yang aku jumpa dia selama ini apa pulak? Hantu? Dia jiran
kitalah,” marah Natasha.
“Tak!
Tak! Tasha kita tak berjiran dengan sesiapa di sini. Rumah tu dah lama kosong.
Memang Lara pernah wujud. Tapi dia dah lama mati. Dia bunuh diri tiga tahun
lepas. Kita tak berjiran dengan sesiapa. Lara dah lama mati Tasha. Dah lama mati,”
tegas Ruby seraya pegang lengan Natasha keras. Natasha ternganga.
Bungkusan
makanan yang ditepis Ainur dipandang dengan perasaan takut. Cacing? Ya cacing.
“Argh, apa yang aku makan selama ini? Apa ni?” Jerit Natasha seram
sejuk. Bulu romanya tegak berdiri. Rumah sebelah dipandang. Memang kelihatan
tidak berpenghuni. Nampak kotor dan bersawang. Kenapa dia tak perasan selama
ini? Semasa dia pindah masuk dia pernah nampak seorang wanita berpakaian putih.
Mungkinkah Lara? Ainur dan Ruby ketakutan. Tubuh Natasha menggeletar.
Sejak peristiwa itu
Natasha, Ruby dan Ainur berpindah ke rumah lain yang berdekatan dengan kampus
mereka. Namun, Natasha masih lagi trauma dan keliru mengapa Lara mencarinya.
Misteri itu masih lagi menjadi tanda persoalan.
TAMAT