Home Cerpen Keluarga bunga raya di pusara
bunga raya di pusara
zeel lela
26/8/2017 22:44:42
1,563
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga


        Miqdad Bin Mohamad Izzat. Nama yang tertulis di buku sekolah milikku. Kini aku sedang menginjak usia 12 tahun dan dalam masa lima tahun aku bersekolah belum pernah aku bertemu dengan orang tuaku. Paling menganggu emosiku setiap kali aku ingin mengulangkaji pelajaran nama “Mohamad Izzat” itu sentiasa mencarik-carik ketenanganku.

       “siapakah gerangan orang tuaku dan di mana mereka sekarang?” aku bermonolog sendirian takala aku memandang nama di buku sekolahku. Kata makcik Rosnah atau Che Nah ibu saudaraku yang menjagaku dari lahir bapaku masih hidup cuma rumahnya terlalu jauh untuk dilawati. Sejak beberapa bulan ini persoalan mengenai orang tuaku acap kali mengganggu fikiran tambahan pula tahun ini aku akan menduduki peperiksaan penting. Sayu sungguh hatiku apabila melihat rakan-rakan lain setiap hari mengucup tangan ibu bapa mereka. “Ya , aku cemburu!” getus hatiku tiap kali memandang adegan “sweet” anak beranak di pagar sekolah setiap pagi.

-------

Disember 2003,

      "Miqdad oooo Miqdad! “ laung Che Nah dari kamarnya. Takala itu aku sedang ralit menonton drama di kaca televisyen. Meluru aku ke biliknya lalu duduk di birai katil tanpa dipelawa. “ Kamu rindu abah kamu tak Miqdad?” tanya Che Nah perlahan sambal tangan tuanya mengusap pehaku. “ mestilah rindu Che Nah, Dad mana pernah jumpa abah… bercakap tak pernah tengok muka lagi tak pernah..” aku tutur satu-satu jawapan itu dengan seribu rasa yang tak terluah.


“ Tengok ni” Che Nah bersuara tiba-tiba sambil menghulur sesuatu kepadaku.

“Bukalah Dad, lama Che Nah simpan nak bagi kamu tengok sendiri”


       Allah..Allah gementarnya aku menyambut album lama itu. Album berkulit tebal yang agak lusuh bewarna merah hati. Satu demi satu wajah aku tatap dengan pandangan kosong. Rata-rata gambar di zaman 90-an agak kabur dan yang pasti aku tidak dapat tangkap wajah siapakah di sebalik gambar-gambar ini…

“Ini album Pak Usop arwah suami Che Nah juga abang kepada abah kau Dad” Che Nah bersuara seperti memahami segala pertanyaan di sudut kecil hatiku.

“Ini gambar abah kau Dad. Mohamad Izzat” Che Nah berkata lalu laju menunjukkan aku gambar dipenjuru album bersaiz passport.

Tak semena-mena mata aku kabur dek air mata yang aku tahan sejak tadi teruja sungguh melihat gambar abah sewaktu kecil dan yang pasti wajahnya seiras aku. “abah…..” aku capai gambar itu lalu aku balik-balikkan seperti berharap ada maklumat tercatat di situ. Benar sangkaanku di belakang gambar itu tertulis,


Mohamad Izzat Bin Haji Hussin

23 March 1999

23/25 Kampung Paya Keladi


“Che Nah!” aku separa menjerit memanggil Che Nah sambal menghulurkan gambar itu. “Che Nah, ini ke alamat abah? Abah hidup lagi? Jommmm pergi rumah abah!” gesa aku lagi sambil menggoyang-goyangkan lengan Che Nah. Tiba – tiba aku lihat mata Che Nah berair lalu bangun ke ruang tamu. Sayup-sayup aku terdengar suara Che Nah dalam tangisan itu .


“Abah kau amanahkan Che Nah jaga kau sampai kau habis sekolah…! Tamat saja persekolah nanti Che Nah janji Che Nah bawa kau jumpa abah kau….”

Dan… malam itu aku tidur dengan air mata. Air mata rindu dan kecewa yang aku tanggung entah untuk berapa lama. “ Allah panjangkan umurku juga abahku…semoga aku dapat bertemu dengannya”


    November 2006 adalah tahun paling indah buat aku. Alhamdulillah, aku berjaya hadiahkan kepada sekola juga Che Nah dan abahku yang jauh di mata itu keputusan PMR 2006 dengan 8A. pertama kali aku lihat Che Nah teramat gembira hingga sanggup memerah keringat mengadakan majlis kesyukuran buatku.. “andailah ibu dan abahku ada di sisi.. pasti aku akan jadi orang paling gembira di dunia”… monolog aku sendirian sambal menghela nafas panjang takala memandang kegembiraan tetamu yang hadir di rumahku.

Namun kegembiraan dan kebanggaan yang aku cipta tidak lagi dapat aku beri untuk Che Nah, wanita tua berusia 66 tahun itu. Aku tersilap langkah berkawan dengan budak-budak nakal hingga aku pernah ditahan di lokap beberapa kali atas kesalahan yang aku lakukan. Tiap kali aku ditahan ,tiap kali itulah Che Nah datang bersama linangan air mata. Marah tidak, berleter pun tidak. Mungkin terlampau kecewa denganku hingga tak terkata apa-apa.


Sedar tak sedar usiaku kini menginjak 17 tahun bererti tahun ini tahun akhir aku di sekolah. Namun aku tidak pernah begitu seronok menelaah pelajaran apatah lagi mempunyai cita-cita untuk cemerlang dalam SPM. Hidup aku tidak lain untuk “enjoy” semata-mata.

Suatu hari Che Nah masuk ke kamarku ketika aku sedang nyenyak tidur pada pagi hari minggu. Malam tadi rancak aku berlumba hingga fajar menjelma baru aku tiba di rumah.


“Bangun!” arah Che Nah dengan rakus menarik gebarku. “Kau ini kenapa Miqdad.? Belajar tak mahu, sekolah jarang pergi, ujian bulanan gagal.. kerja kau lepak tidur, merokok,merempit,dan main game saja!” bebel Che Nah sambal menolak-nolak bahuku.

Aku mendengar leteran Che Nah hingga aku perasan dada Che Nah sebegitu laju turun dan naik. Marah benar barangkali.

“Dad, andailah kau tahu bagaimana abah kau berkorban untuk kau. Pasti kau tidak tergamak malas sebegini….” Che nah bersuara dengan penuh getar menahan sebak.

“Abah? “ gumam hatiku seketika mendengar nama itu. Lama sudah Che Nah tidak menyebut tentang abah. Hampir empat tahun tidak silap. “ besok kau bersiaplah.. Che Nah tak sanggup tengok kau begini seperti tidak berguna langsung!” arah Che Nah seraya menolak daun pintu.

“Kita mahu ke mana?” tanya aku laju.

“Rumah abah kau” Che Nah menjawab perlahan mungkin terlalu kecewa kerana tidak dapat untuk dia simpan janji ingin menemukan aku dengan abah selepas habis persekolahan.

Dan aku? Seperti jantung ingin gugur!!

--------------------------------------------------


31 Ogos 2008, Ahad,

Kampung Paya Keladi


     Suasana hening di dalam teksi. Perjalanan yang hampir memakan masa dua jam itu tidak terasa lama dek debaran di dada. Mataku menghala perlahan ke arah Che Nah. Aku lihat tubir matanya basah dengan air mata sambil tangannya mendakap erat album merah hati itu. Debaran dadaku kian memuncak takala memasuki kampung bernama “Kampung Paya keladi “. “Abah Miqdad datang….” Monologku dalam hati seraya menyapu titisan air mata. Ahhhh rindu tak terkata.

Seusai memberi salam lama kami menanti di hadapan tangga rumah kayu bewarna putih ini. Daripada amatanku rumah ini seperti rumah tradisional tidak bersimen tetapi terdapat kesan terbakar di bahagian bawah tiang rumah. Di halaman rumah pula dipenuhi dengan pacakan bendera Malaysia serta diserikan dengan deretan bunga raya merah hati. Sedang aku asyik mengamati setiap inci senibina rumah itu, pintu dikuak perlahan.

Mata aku jeda.

Kakiku tiba-tiba kebas.

Dan mataku tak semena-mena mengalirkan air mata.


“Abah!!!!!” jerit aku seraya meluru laju ke muka pintu mendakap tubuh tua itu. Dialah lelaki yang aku rindu saban hari kini benar-benar berada di hadapan mata. Tubuhnya agak gempal tetapi tetap nampak tampan walau hanya berbaju kemeja putih lusuh dan kain pelekat biru. Tangisan aku mengiringi setiap ciuman aku ke wajah abah. Lambat-lambat tangan tua abah membalas pelukan aku. Lama kami sebegitu..

“Miqdad…kamu ke tu?”


Terhenti sebentar tangisanku lalu ku pandang tepat ke wajah abah.. “Ya ini Miqdad. Miqdad anak abah” laju aku usap wajah abah sungguh tak tertahan rindu ini namun abah sedikit pun tidak memandang aku. Tiba-tiba aku perasan sesuatu yang ganjil disini.

“Abah buta sebelah mata Che Nah!” jerit aku sambil melutut memeluk kaki tua itu “ abahhh! Miqdad ni Miqdad mintak ampun… Miqdad rindu abah…..” rayu aku seperti hendak putus nyawa. Tangisan aku sarat dengan rindu dan pilu!


Tapi…. Mana kaki abah!? ? Allahu abah!! Abah kudung dua kaki…!!! entah berapa lama aku berteleku di tepi tangga melepaskan tangisan.

“abah kenapa jadi begini? “

-------------------------------------------


     Seusai solat isyak di rumah kayu itu, aku bersandar lemah di sofa sambil berlunjur kaki. Ku amati setiap inci dinding di ruang tamu ini penuh dengan gambar lelaki lelaki segak berbaju uniform tentera. Otakku sudah tepu untuk berfikir siapa di dalam gambar itu semua ..

Sedang enak nafsuku memuncak ingin mencucuh puntung rokok di bibir abah datang menyapa lalu merampas laju rokok di tanganku. “ Miqdad!” tegur abah dengan nada sedikit tegas. Abah berusaha duduk di sisiku sambil menyandarkan tongkatnya di sisi sofa.

“Miqdad anak abah.. abah rasa harini hari yang baik dan tiba masanya abah ceritakan semua dari awal.. apa-apapun alhamdulillah Miqdad tetap terima abah sayang abah walaupun kita tak pernah bersua selama kamu hidup” bait kata-kata abah aku dengari dengan teliti . Ah berdebar sungguh!

Tangan aku digenggam kemas oleh tangan kasar abah. Jangkaan umur abah aku rasakan dalam linkungan 50-an.


“Ini rumah keluarga abah. Abah dibesarkan bersama abang abah arwah pak Usop kamu.. kami berdua bersama ayahanda dan bonda..Tok wan kamu adalah seorang tentera laut, manakala pak Usop seorang polis dan abah adalah seorang tentera darat……Tokwan kamu meninggal sewaktu abah berusia 18 tahun. Kami satu keluarga boleh dikatakan keluarga tentera. Hidup abah dengan pak Usop kamu dari kecik sampai dewasa mana kami nak sentuh benda pelik macam ni!” abah cerita dengan sebegitu lancar lalu membuang jauh rokok ke luar tingkap.

“Kami dibesarkan dengan penuh ketegasan , disiplin, jati diri dan ilmu agama menjadi keutamaan. Abah dan Pak Usop menamatkan pengajian pondok seawal 18 tahun. Kami berkecimpung penuh dalam bidang ketenteraan. Dada-dada kami impikan mati syahid. Jiwa kami terlalu besar hendak dipatahkan dengan anasir jahat. Abah dan Pak Usop tak pernah kenal kelab malam, panggung wayang, pesta seronok-seronok. Bukanlah kami membenci keseronokan. Namun kecintaan kami terhadap tugas dan rasa ingin berbakti kepada negara menjadi tunjang misi utama kami”


Abah berhenti seketika dan mengerling sebentar ke sebuah foto wanita cantik memakai baju Cheongsam. Walaupun mata abah sudah kabur dan sebelah lagi sudah buta namun tentang gambar itu abah ibarat sudah mahir kedudukannya. Tiba tiba abah tersenyum seraya berkata,


“Itu arwah ibu kamu. Namanya Tan Siew Mei atau nama Islamnya Mira Aishah. Dia adalah seorang wanita berbangsa cina dan berkahwin dengan abah sewaktu usianya 20 tahun manakala abah berusia 37 tahun. Abah jatuh hati dengan ibu kamu sebab ibu kamu seorang wanita yang berani, kuat dan tabah. Selepas dia memeluk agama Islam atas kerelaan hatinya dia dipulau keluarga. Waktu itu dia mulai belajar tentang agama Islam di rumah ini bersama nenek kamu Ustazah Hajah Umamah. Waktu itu Che Nah juga tinggal di sini menemani Tokwan dan nenek kamu sewaktu abah dan Pak Usop lama meninggalkan desa demi tugas. Berbangsa berbeza namun tak segan membantu abah laksanakan tugas abah..dan dua tahun selepas kami berkahwin ibu kamu mengandungkan kamu.

Khabar angin yang tidak enak telah tersebar ke seluruh kampung. Orang kampung menabur fitnah bahawa nenek kamu larikan ibu kamu dari keluarganya dan memaksanya menjadi hamba di rumah ini. Walhal ibu kamu dijaga baik oleh kami sekeluarga. Paling abah tak mampu bayangkan,, bilamana…………”


Tutur kata abah mulai tenggelam timbul bersama esakan. Aku usap perlahan pipi abah yang dibasahi air mata.


“Abah mendapat panggilan kecemasan dari rumah ini jam 7.00 malam. Waktu itu abah berada di sempadan Thailand – Malaysia. Menjaga keamanan sempadan negara dan abah tidak dapat pulang segera. Jam 12.00 malam abah berjaya untuk pulang ke rumah. Takala abah tiba di hadapan pagar rumah, abah lihat sekumpul lelaki samseng sedang cuba membakar rumah ini! Laju abah menerpa ke dalam rumah mencari kesemua ahli keluarga. Dalam kepulan asap tebal abah nampak ibumu terbujur kaku di lantai dapur sambil berlumuran darah disisinya ada nenek kamu dan abah terdengar jeritan Pak Usop “ Allahu akbar!”


“Pak Usop kamu mati dibelasah samseng-samseng itu. Sambil abah berhempas-pulas menyelamatkan nenek dan ibu kamu abah melaung meminta pertolongan. Alhamdulillah orang kampung membantu abah memadamkan api… nenek kamu dan ibu kamu tak dapat diselamatkan….. dan di malam itu juga kamu dilahirkan di hospital tanpa ibumu sempat melihat dan menyentuhmu …kaki abah juga tak dapat diselamatkan kerana melecur teruk lalu terpaksa dipotong sebulan selepas kejadian. Mata abah pulak rosak akibat asap yang tebal. Pada hari itu juga sebenarnya hari terakhir abah bergelar tentera……kekurangan abah tak benarkan abah meneruskan kerjaya walaupun abah amat menyayanginya. Tepat pada malam Malaysia menyambut kemerdekaan ke- 34 tahun itu.


Abah akhiri kata-kata abah dengan senyuman sambil memandang aku.


“Selamat ulang tahun anakku Miqdad. Kamu lahir di hari merdeka…kamu anak merdeka!.” Aku menyambut ucapan abah itu dengan pelukan. Itulah kali pertama aku menyambut hari jadi bersama seorang ayah..


----------------------------------------------------------------------------

Aku sudah menamatkan peperiksaan akhir tingkatan lima dengan baik sekali dan terus laju menuju ke rumah abah. Keterujaan yang mengusik hati takala abah berjanji hendak membawa aku ke kubur ibu beberapa bulan lalu. Hari ini hari yang aku nanti-nantikan!

“Abah, cantikkan tanah perkuburan ini!” ucap aku sambil memandang sekitar tanah perkuburan. Persekitarannya cukup bersih dan cantik sekali dihiasi pokok-pokok bunga raya pelbagai warna.

“Abah sengaja tanam pokok bunga raya di sini banyak-banyak. Bunga raya kan bunga kebangsaan dan sebagai tanda ingatan abah buat semangat mereka insan-insan yang pernah ada dalam hidup abah.. Ibumu dan Pak Usop” jawab abah tenang sambil tersenyum.

Sambil dalam perjalanan pulang abah sempat berkata kepadaku….

“Miqdad anak abah. Abah takdaa harta abah juga takda apa-apa nak bagi dekat Miqdad. Belajarlah rajin-rajin dan bawalah semangat keazaman, disiplin, jati diri keluarga kita ini sampai bila-bila. Suatu hari nanti dalam bidang apapun Miqdad ceburi. bekerjalah dengan hati niatkan kerana Allah dan jika diberi rezeki kekayaan jadilah orang yang paling rajin bersedekah. Paling penting berkawanlah dengan semua orang walaupun berlainan bangsa. Tengok cinta hati abah ibumu berbangsa cina juga! “ kata abah sambil mengusap bahuku.

Aku lihat mata abah berkaca mungkin rindu pada ibu. Insha Allah semoga di sana nanti cinta mereka bersatu semula…..


-------------------------


9 tahun selepas itu, 2017


Kring..Kring…! deringan telefon memecah segala lamunanku jauh menjelajah ke masa silamku. Ku seka air mata dipipi lalu pantas mengangkat gagang telefon.

“Bila abang balik rumah ya?” riang kedengaran suara Anisa isteriku di corong telefon.

“Minggu hadapan insha Allah sayang,abang balik. jaga anak kita baik baik” ucap aku laju menjawab soalan tadi. Setiap hari aku tak putus mendoakan kesejahteraan buat keluargaku sementelah kini aku telah punyai tiga cahaya mata hasil perkahwinan kami yang bakal menjengah usia lima tahun. Alhamdulillah….

“Selamat bertugas abang. Abang wira hati saya! “seloroh isteriku sebelum meletakkan gagang telefon.

. ------------------------------

“ Terima Kasih abah , Pak Usop, Ibu , Che Nah, tok wan dan nenek juga isteriku” kerana kalian aku disini menyarung baju celoreng bertanda bendera Malaysia menyambung legasi misi yang sentiasa mekar dulu dan kini!!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh zeel lela