Suasana waktu malam pada hari ini lebih
cerah daripada waktu yang semalam-semalamnya. Pada malam ini,
bintang-bintang bertaburan dengan lebih luas dan cerah. Seolah-olah
menjadi penghibur bagi insan yang sedang berhati lara, dan pemberi ilham
bagi para pemikir yang sentiasa memikirkan akan kebesaran Ilahi.
Keindahannya cukup memikat dan mengagumkan. Itulah tanda-tanda hamba
yang diciptakan tuhan. Sentiasa indah dan mengujakan. Sekalipun bukan
pada sifat luaran, ianya tetap ada pada unsur-unsur manfaat dan
fungsinya. Tetapi tidak bulan, sekalipun ia nampak berseri, ia tetap
suram seperti hari-hari semalam. Wajah bulan seperti sedang kesepian
menanggung rindu yang amat mendalam. Sekalipun ia bercahaya, tetapi
nampak kelam. Sambil bertemankan bintang-bintang, suasana yang terlihat
sangat indah tetapi penuh rasa sayu.
Akid, anak sulungnya
Sahara Huda yang berumur lima tahun, berlari keanak-anakan menuju
kedalam bilik tidur. Memanjat katilnya yang agak berselerak dengan
kereta Ferrari, kapal, motorsikal dan kapal terbang mainannya. Setelah
naik ke atas tilam, akid terdiam sebentar sambil terduduk. Dia melihat
permainannya yang bersepah. Kemudian dicapainya kapal terbang mainan dan
dibelek-belek. Akid seolah-olah berfikir sesuatu sambil menunjukkan
minat. Tidak hairanlah walaupun banyak lagi permainan lain yang lebih
menarik di hadapannya, kapal terbang juga yang dicapainya. Hanya kerana
Akid lebih meminati permainan itu. Mungkin juga cita-citanya bila sudah
dewasa nanti. Seperti ayahnya. Suasana bilik tidur yang indah membuatkan
Akid rasa bahagia dan selesa. Dia merebahkan tubuhnya di atas tilam
sambil tangannya masih lagi memegang kapal terbang. Alat permainannya
yang lain dibiarkan berselerak di atas tilam tanpa dikemas. Kapal
terbang mainan yang masih lagi berada di tangannya terus diperhatikan
dengan penuh minat.
Tidak lama kemudian,
kelihatan Sahara Huda masuk ke dalam bilik anak lelaki sulungnya itu.
Melihat Akid bersama alat-alat permainan yang lain bersepah di atas
tilam membuatkan Sahara Huda berasa tidak selesa dan sedikit marah.
“sayang, kenapa tak kemas
dulu sebelum nak tidur, kan ibu dah cakap, sebelum nak tidur kemas
dulu.” terang Sahara dengan lembut tetapi bernada marah.
Akid yang sedang asyik
memerhatikan kapal terbang idamannya itu terhenti seketika dan
memalingkan wajah ke arah ibunya yang amat disayangi.
“ops, sory bu.. terlupa, hehe..” jawab Akid sambil tersenyum manja.
Sahara Huda tersenyum, kata-kata anaknya itu menyejukkan hatinya.
“dah, kemas cepat, pandai anak ibu…”
Tanpa berlengah Akid
terus bangun dari tilam dan mencapai satu-persatu permainannya lalu
diletakkan di tepi meja yang berhampiran. Kapal terbanglah permainan
terakhir sekali yang diletakkan di meja sebelah kirinya. Selepas itu,
akid baring semula ke tilamnya, menarik selimut tebal yang khas untuk
dia, sangat cantik, selesa, dan lembut. Sahara Huda yang duduk di sisi
katil tersenyum melihat Akid. Dia mengusap rambut Akid yang lembut
tetapi sedikit panjang, sambil melemparkan senyuman manis kepada Akid.
Melihat wajah ibunya yang
menyejukkan jiwa, dia juga turut tersenyum selesa, keindahan wajah ibu
tidak setakat pada luaran, tetapi meresap ke dalam jiwa, lalu jadi
tenang, bahagia dan gembira apabila melihatnya. Akid memeluk bantal
busuknya dengan lebih erat sambil mengiringkan badannya kekiri. Terus
menatap alat permainannya yang baru dikemas tadi, terutamanya kapal
terbang. Sahara juga turut memalingkan wajahnya melihat perkara yang
serupa dengan Akid.
Akid terdiam sebentar,
adakalanya seperti seorang yang mengantuk yang hampir tertidur,
adakalanya seperti sedang memikirkan sesuatu yang menarik minatnya.
Sahara memalingkan wajahnya kembali ke arah Akid, mengemaskan keadaan
selimut yang menutupi tubuh anak kesayangannya itu.
“dah, tidur ok.. jangan
takut lagi, sebab orang lelaki mesti berani, ibu nak keluar kejap, nak
bual-bual dengan atuk, dengan nenek… tidur sayang” kata Sahara lembut,
mengusap kembali rambut Akid kemudian mengucup dahinya.
“ibu… bila ayah nak
balik, Akid rindu sangat dekat ayah. Ibu kata ayah pergi kerja sekejap
je, ayah tak balik-balik pun…” tiba-tiba Akid bersuara, kata-kata itu
walaupun tidak selalu, tetapi kerap disuarakannya.
Dan setiap kali pesoalan
itu terkeluar dari mulut Akid, hati Sahara pasti tersentuh, dia juga
memendam rindu yang teramat mendalam terhadap suaminya yang tercinta,
Dr. Rashid. Sudah seminggu Akid tidak bertemu dengan ayahnya.
Walaubagaimanapun, rindu Akid kepada ayahnya tidak sehebat dan seagung
rindu Sahara Huda. Hanya emosi itu dipendam dan disembunyikan daripada
penglihatan Akid, andai dia punyai sayap, sudah lama Sahara terbang jauh
mencari kekasih hatinya itu. Ternyata perpisahan ini amat memeritkan
dan memedihkan.
Dr. Rashid tidak boleh
berbuat apa-apa, demi tugasnya, dia terpaksa meninggalkan cintanya,
Sahara walaupun dengan waktu yang lama. Kepulangan Rashid belum pasti,
menambahkan lagi resah di hati Sahara.
Sahara cuba mengawal
emosinya yang tersentuh, jawapan yang diberikannya itu tetap sama dengan
hari-hari yang sebelumnya.
“ayah pergi kerja, kejap
lagi ayah balik sayang, ibu janji ayah mesti balik, sebab ayah pun rindu
dekat Akid, dekat ibu… hmm dah Akid tidur dulu ya..”, kata Sahara
dengan sayu, perasaannya tidak seperti pada hari-hari yang lepas. Entah
mengapa, pada malam ini jiwanya lebih terasa rindu bercampur hiba,
perasaan rindunya lebih mencengkam jiwa.
“pulanglah sayang, pulanglah cepat, aku amat merinduimu…”
hati Sahara Huda berkata-kata. Suatu suara yang tidak mampu di dengar
oleh telinga manusia, tapi mampu dirasai oleh setiap jiwa insani.
Akid seolah-olah percaya,
kata-kata ibunya disemat dalam hati, dia amat meyakini, suatu hari
nanti ayahnya pasti akan pulang. Akid berwajah sayu, kemudian menarik
nafas panjang, menjadikan dirinya terasa tenang semula. Dengan
perlahan-lahan, matanya ditutupkan.
Sahara berasa sedikit
lega, perasaan rindu yang membebani telah pun sedikit reda apabila
melihat Akid memejamkan mata. Diusap rambut dan diamati wajah Akid
dalam-dalam. Seolah-olah ingin berkata sesuatu kepada anaknya itu,
tetapi tidak bersuara. Sahara mahu anaknya mengerti dan memahami,
betapa dia teramat merindui Rashid. Andai sehari bagaikan setahun, entah
berapa tahun telah Sahara tunggu kepulangan insan yang dicintainya itu.
Terasa amat menyeksakan.
Sahara melihat mainan
kapal terbang kepunyaan Akid dengan perasaan yang berat. Sahara tidak
sanggup menatap kapal terbang mainan dengan lama, lalu terus memalingkan
wajahnya ke luar tingkap. Terlihat bintang-bintang bersinar dan
bergemerlapan, seolah-olah memberinya harapan dan sedikit kebahagiaan
sebagai pengubat rindu yang mendalam.
Sahara bangun dari sisi
katil Akid, lalu dengan perlahan menuju ke arah tingkap. Dia melihat
bintang-bintang yang bertaburan indah. Hatinya bahagia. Senyuman terukir
dibibir Sahara. Tingkap kaca lutsinar dibukanya dengan perlahan-lahan.
Angin malam yang tiba-tiba menyerbu masuk membuatkan Sahara berasa
kesejukan. Rambutnya yang indah, beralun perlahan. Sahara memeluk
tubuhnya dan mengusap kedua-dua belah lengan, menghilangkan kesejukan
malam. Memalingkan wajah ke arah Akid yang kelihatan semakin enak tidur
dibuai angin malam. Risau juga Sahara, takut-takut Akid terjaga dari
tidurnya yang enak.
Akid masih lagi tidur
dengan nyenyak. Sahara berasa lega, kemudian memalingkan wajahnya semula
melihat bintang-bintang dengan perasan bahagia. Dia berterima kasih
kepada bintang dan bersyukur kepada Tuhan, kerana telah melihat suatu
keindahan yang amat menakjubkan. Sahara berasa tenang, setenang suasana
pada malam ini.
Pandangan matanya
digerakkan perlahan-lahan, dan terlihatlah bulan yang bersinar suram.
Perasaannya terus berubah. Sahara berasa hiba apabila melihat bulan,
entah mengapa. Walaupun begitu, dia terus menatapnya lama-lama.
Seolah-olah terkenang sesuatu yang menyedihkan. Apabila melihat bulan,
Sahara terus tenggelam, tenggelam bersama seluruh dirinya.
Apabila melihat wajah
bulan, hatinya terbit rasa rindu dan cinta, hatinya sentiasa berharap.
Agar kekasih hati yang amat dicintai segera pulang. Wajah bulan
seolah-olah sengaja membuatkan Sahara menerbitkan rasa cinta yang
mendalam kepada Rashid. Jiwa Sahara menerbitkan sumpah setia, setia
kepada Rashid untuk selama-lamanya.
Lama juga Sahara
termenung melihat wajah Sang Bulan. Ibu Sahara, juga nenek kepada Akid
hanya terdiam dihadapan pintu bilik apabila melihat keadaan Sahara Huda.
Nenek Safiah hanya tersenyum. Perlahan-lahan dia berjalan menghampiri
Sahara. Kehadiran nenek Safiah langsung tidak disedari oleh Sahara.
Nenek Safiah memegang
lembut bahu Sahara, tersenyum sambil melihat bulan yang bersinar suram.
Sahara sedikit terkejut, khayalannya terhenti.
“cantik bulan malam ni.” kata nenek Safiah. Cuba menenangkan hati Sahara.
“iya ibu..” jawab Sahara sambil tersenyum, terus melihat bulan kembali.
Bapa Sahara, Hanafi yang
hanya lalu di hadapan bilik mereka terhenti, lalu tersenyum. Senyuman
yang penuh dengan makna yang mendalam. Kemudian terus berlalu dari situ.
“Rashid pasti pulang tak
lama lagi, dia seorang insan yang menjadi kebanggaan negara, Sara perlu
bergembira dan berbangga.” kata nenek Safiah dengan rasa terharu.
Sahara cuba menahan
sebak. Melihat wajah ibunya membuatkan hatinya tenang. Dia amat meyakini
kata-kata ibunya itu. Kata-kata ibunya itu membuatkan hati Sahara
sedikit gembira.
Sahara tidak mampu
berkata apa-apa. Dia terus memandang wajah bulan bersama ibunya. Kali
ini hatinya berasa tenang dan lega, dan berharap agar doa ibunya itu
termakbul. Rashid dapat pulang dengan selamat.
Bapa Sahara berjalan menuju ke
ruang tamu. Duduk di kerusi dengan selasa dan mencapai senaskhah akhbar.
Sudah menjadi kebiasaannya membaca akhbar pada waktu malam. Lalu
membaca ruangan depan akhbar tersebut yang juga menjadi berita
kebanggaan dan harapan seluruh rakyat Malaysia.
“3 Angkasawan Malaysia Berjaya Menjejakkan Kaki Di Bulan Hari Ini…”
Dalam
kedinginan malam itu, Sahara masih lagi melihat wajah Sang Bulan. Dia
yakin dan percaya, Suaminya pasti akan pulang kepangkuan. Setelah lama
Sahara menatap wajah Sang Bulan, lalu timbullah wajah Rashid yang ceria,
sambil melemparkan senyuman bahagia.
-TAMAT-