Home Novel Thriller/Aksi Kitab Itu
Kitab Itu
Dee Muhammad
18/8/2017 03:39:27
1,165
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
Satu
“Bila Ibu cakap lari, kamu lari dan terus lari! Jangan hirau penat lelah, terus lari sampai rebah. Ingat pesan ibu. Faham tak?”

Kerdipan mata sang ibu mula berair. Sang anak gamam. Bunyi api membaham kayu cengal dan seraya memecahkan hening. Penempatan itu warawiri dengan tempikan manusia dan bunyi derapan kaki haiwan ternak.

 Jeda.

“Lari,”

Bisikan halus ibunda melonjakkan adrenalin dalam tubuhnya.

Gugusan Libra memandang dari atas. Bayu malam yang berhembus lembut mula terasa kencang tatkala larian dimulakan. Rintik embun menerpa seiring dengan derapan langkah kakinya menembusi rimbunan pohon herba dan rumput hutan. Butiran air mata mula mengalir perlahan, sebak dan hiba menjadi nakhoda benak batinnya saat ini. Sesekali dia menoleh ke belakang mengintai kemungkinan ibunda kesayangannya menurut jejak kaburnya. Kitab di tangan digenggam erat, seerat banir tekoma memeluk bumi. Berapa lama dia kena berlari, dia pun tak tahu. Tapi dia kena lari, dan terus berlari dan terus berlari. Langit sudah membiru di ufuk. Mentari bakal bernyala semula.



“Budak,”

Siapa?

“Budak hei,”

Aku, dah rebah?

“Hei budak, dengar ke tidak?”

Matanya berpinar-pinar dek cahaya yang terang. Jari-jemari cuba digerakkan. Kepalanya berasa kebas sedikit, terbaring di tanah keras terlalu lama mungkin? Matanya cuba mencari suara yang memanggilnya tadi. Dia kaget apabila seseorang cuba merabanya. Matanya buntang.

“Aku bukan nak raba kau lah, nak tahu kau sihat ke tidak,” wanita separuh usia itu menggumam dengan kuat. Wanita berumur sekitar 50-an itu menyambung bebelannya seraya menatang sebuah dulang ke kawasan bertutup di sebalik tirai. Kitab itu! Panik mula menguasai dirinya. Matanya meliar ke segenap bilik kecil itu cuba mencari amanah ibundanya. Tubuhnya melurut turun dari katil, perlahan. Matanya menangkap arah melepaskan diri yang bakal diambilnya nanti setelah kitab itu berjaya digapai. Dapat! Langkah diorak menuju ke pintu yang terbuka luas. Terdengar sayup-sayup bebelan wanita tadi.

“Neon dan Argon adalah contoh gas adi,”

Eh?

“Beza Argon dengan Neon adalah kedudukan unsur-unsur itu dalam Jadual Berkala Unsur,”

Kimia?

“Muhammad Adam bin Sulaiman, keluar sekarang!”

“Aku memang nak lari lah!” balasnya kasar.

Wanita itu  tiba-tiba melangkah laju ke arahnya. Dia terbungkam. Dengan frekuensi yang memekakkan telinga, wanita itu memekik

“Keluar dari kelas saya SEKARANG!”



“Memang berani la kau cakap macam tu kat cikgu tadi. Boleh pulak kau buat ayat gila macam tu. Habis la kau kena target nanti dalam kelas,” kata Marwan, tangannya ligat memasukkan lauk ke dalam pinggannya. Suasana dewan makan asrama itu lengang kerana para pelajar sudah mula mengosongkannya. Lauk memang banyak berbaki, menyumbang kepada taraf Malaysia sebagai antara negara yang paling banyak membazirkan makanan dalam dunia. Terima kasih kepada semua seluruh pengusaha dewan makan seantero Malaysia.

“Bukan aku sengaja lah, mengantuk sangat tadi,” balasnya sambil megerutkan dahi.

“Eh, boleh pulak mengaku tak sengaja. Kau tahu tak, kau tu tidur dalam kelas tiap-tiap hari sampai nama naik dalam mesyuarat guru-guru tau. Nasib baik pandai sikit, kalau tak bersilat la kau dengan Cikgu Wanam,” balas Marwan panjang lebar.

“Dah, kejap lagi la kau nak ceramah panjang-panjang. Makan dulu,” buah tembikai disumbat ke mulut Marwan. Bunyi batuk Marwan tersedak tembikai disulami sayup-sayup azan Maghrib yang kedengaran di corong pembesar suara surau sekolah, Surau Jannatun Naim. Adam mengelamun sendiri. Dia masih ingat kata-kata Ustaz Alauddin, perkiraan hari dalam Islam dimulakan pada waktu Maghrib, bukan pukul 12 tengah malam seperti yang digunakan di seluruh dunia.

“Im,” panggil Marwan.

“Yow, nak apa?” Adam mengangkat muka. Tangan Marwan yang masih disaluti sisa-sisa makanan diraupkan ke wajah Adam.

“SHIT!” jerit Adam. Marwan berlalu ke singki sambil ketawa besar.

Malam itu malam Jumaat, atau sesetengah orang panggil Khamis malam, mana-manalah. Kalau yang nama orang Malaysia, malam Jumaat mesti dikaitkan dengan perkara ghaib dan cucu-cicitnya. Namun malam itu semua pelajar diarahkan untuk pulang ke asrama masing-masing usai solat Maghrib, atau lebih tepat selepas seorang kakak tingkatan lima melolong kuat di dalam surau. Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bertungkus lumus mengendalikan situasi. Mujur Presiden MPP itu anak seorang pengamal perubatan Islam, tahulah dia selok-belok histeria dan perkara sewaktu dengannya.

Setelah dua jam mengepung surau untuk mengelakkan mangsa histeria lari, barulah Marwan, Adam dan ahli-ahli MPP ‘bawahan’ lain dibenarkan pulang ke asrama. Terpamer muka-muka masam yang amat sangat akibat perasaan terkejut bercampur letih.

“Time macam ni lah ada orang nak histeria bagai. Tu lah orang suruh basuh pad, lepas tu barulah buang,” keluh Marwan. Fakta, kebanyakan kes histeria yang berlaku di sekolah berasrama adalah berpunca daripada pelajar wanita selekeh yang malas untuk menjaga kebersihan ketika mereka datang haid.

Kata-kata Marwan dibiarkan ditiup bayu malam, otaknya ligat berfikir mencari jalan untuk menyelesaikan masalah yang baru bertunas hari ini. Guru Kimianya bukannya jenis wanita yang jalan menunduk, duduk bersimpuh dan cakap slow penuh berhemah bak wanita Melayu terakhir. Cikgu Kimianya adalah cikgu disiplin merangkap ketua warden asrama, ganasnya macam lelaki sado yang suka bertinju. Ah, hiperbola.

“Weh,” Marwan tiba-tiba menggoncang bahunya.

“Kenapa?”

“Er, uhuks. Tak dak apa,”

“Apasal kau pelik sangat hari ni? Letih sangat ey?”

“Huuuu,” Marwan membalas, perlahan. Dia menatap wajah sahabatnya itu dari tepi. Sudah empat tahun berkawan rapat namun Adam masih tidak tahu. Dia sudah nekad untuk memberitahunya pada malam ini juga. Bayangkan seorang sahabat yang sanggup menipu selama empat tahun berkawan. Layakkah dipanggil sahabat?

“Mar, minggu depan nak join tak misi menangkap budak-budak gay kat asrama?” soalan Adam memecahkan suasana. Marwan menjuihkan bibir. Perasaan duka lara sedih bercampur hiba tadi hilang, digantikan dengan keinginan untuk ‘mendebik’ muka Adam yang memandangnya dengan perasaan hairan.

“Kau dah kenapa Mar, muka macam nak tumbuk aku ja,” tanya Adam. Soalan itu dijawab dengan dengusan.

“Kau period ke yang muka semacam je ni? PMS? Moody ja aku tengok,” Adam cuba berseloroh. Dia sedar Marwan mungkin letih dan/atau mengantuk gila selepas lima jam menahan pintu surau daripada dipecahkan budak-budak histeria.


“Ada budak asrama kena histeria ke Nadya?” lelaki berkumis tebal itu mengajukan soalan sebaik sahaja wanita 30-an bernama Nadya itu menapak masuk ke dalam bilik mesyuarat.

“Haah, tiga orang. Budak form five ja semua. Tak teruk sangat pun cikgu,” balasnya ringkas.

Lelaki yang dipanggil cikgu itu mengangguk perlahan. Tugasnya sebagai seorang pengetua sememangnya telah meragut rambut di kepalanya. Benaknya berputar mengimbau kenangan dahulu. Pokok besar di tepi surau itu sudah dipagar agar tidak dimasuki pelajar. Perjanjian juga telah dibuat dengan bunian yang menetap di situ. Dia melepaskan keluhan kecil. Mesyuarat tadi terganggu sejenak apabila budak-budak MPP kalut mencari warden.

“Baik, mesyuarat kita pun kiranya sudah tamat. Dismiss, kecuali Miss Nadya, Cikgu Fauziah, Ustaz Alaudin dan Cikgu Wanam,”

Cikgu-cikgu lain beransur keluar, meninggalkan lima orang itu. Bilik mesyuarat itu lengang. Bayu malam kemudiannya berhembus lembut ke dalam bilik mesyuarat melalui pintu dan jendela.

“Mawardi mana?” tanya Bujairimi.

“Di surau, membantu,” balas Wanam. Pengetua mengangguk tanda faham.

“Baik. Tadi saya baru dapat berita dari Pusat bahawa dua pembunuh upahan telah diupah dan bakal bertandang ke sekolah kita,” terangnya sambil tangannya menari-nari mencari sesuatu di dalam beg laptopnya.

Jeda. Riak wajah keempat-empat cikgu lain jelas menunjukkan mereka terkejut dengan pernyataan pengetua.

“Saya dah bandingkan profil yang saya terima dari agensi-agensi perisikan seluruh dunia dan mendapati mereka adalah pembunuh upahan antarabangsa yang dikehendaki di 68 buah negara atas 3 kes yang dibuktikan mereka bersalah, 357 kes yang kurang bukti pendakwaan dan lebihan 503 kes yang tak dapat diselesaikan dengan mereka sebagai suspek utama sejak 20 tahun yang lalu. Nama mereka, Zanjabil dan isterinya, Salsabil. Pernah dengar nama tu? 863 kes termasuklah…”

“Termasuklah kes pembunuhan, penculikan dan penipuan. Mereka ini amat profesional. Kali terakhir saya lihat, harga untuk khidmat mereka mencecah lima juta dollar Amerika,” Alauddin mencelah. Cikgu-cikgu lain berpandangan sesama sendiri.

“Tepat. Sangat tepat. Zanjabil dan Salsabil sangat berbahaya. Dan, Zanjabil dan Salsabil adalah orang Melayu tulen. Zanjabil lahir di Terengganu, Salsabil di Kedah,” balas Bujairimi. Sekali lagi semua yang ada dalam bilik itu tercengang.

“Orang Melayu pertama dikehendaki 68 negara? Dahsyat,” Fauziah menggumam perlahan. Mereka berpandangan sesama sendiri. Bujairimi kelihatan sedang memikirkan sesuatu.

“Baik, itu adalah maklumat awal yang saya dapat dari Pusat. Tapi kita pun kena fokus hal dalaman jugak. Fauziah awak boleh tolong tanya penghulu bunian histeria hari ni angkara siapa. Din, Wanam dan Nadya, pergi round asrama, pastikan budak-budak tu tak berbual pasal benda ni lagi,” Bujairimi memberikan arahan.

“And, Wanam. Pastikan Adam dan Mawardi selamat dari segala hantu setan ni,” Wanam menggangguk tanda setuju. Bujairimi melepaskan nafas kelegaan. Dia bersyukur dikurniakan teman sekerja yang sangat boleh diharap.



Wanita separuh umur itu terlopong. Katil yang berselerak di hadapannya itu direnungnya tanpa mampu berbuat apa-apa. Budak yang membawa kitab itu sudah lari. Lamunannya diganggu dengan kedatangan Musa, penghulu di kawasan itu.

“Mana budak tu Rosela? Dah lari?” tanya Musa, tenang seperti kebiasaan.

“Ya. Aku dah cuba panggil tapi dia tak menyahut,” balas Rosela, orang kampung memanggilnya Tok Bidan La.

“Aku perhati budak tu, dia bukan orang sini. Dia datang dari arah terbit mentari. Aku dengar ura-ura bahawa Tanah Merong sudah dilanggar. Siapa yang bertandang mahu menakluk, aku pun tak tahu,”

“Ha Musa, dia ada bawak kitab sebuah. Kulitnya dari kulit elok, kertasnya pun kertas bukan dari sini. Tulisan pun bukan jawi, bukan juga rencong atau cina. Kau rasa?” mata Rosela bertaut sebentar dengan mata Musa. Sesuatu sedang berlaku, dia pasti. Mata Musa tiba-tiba buntang. Mindanya memaut sejalur memori. Jantungnya berdegup kencang, darah mula naik ke muka.

‘Sihir!’ benaknya menjerit.

“La, arahkan semua penduduk bersiap. Kita akan berpindah. Lekas. Setiap saat sangat berharga, bila-bila sahaja mereka boleh sampai ke sini,” ujar Musa, cemas terpamer jelas dalam kedutan wajahnya.

“Kau ingat senang nak pindahkan satu kota! Kau pun tahu…”

“Kau nak matikah Rosela? Budak itu lari sebab dia dikejar. Kalau kau tak mahu beritahu warga kota,” potong Musa lalu bangkit, keris Ruas Malam disisip di pinggang, “Aku sendiri khabarkan kepada penduduk kota,” bayang Penghulu Musa hilang di muka pintu. Rosela cengang. Bukan selalu dia dapat lihat Penghulu Musa menjadi takut akan sesuatu. Mesti ada benda yang besar. Musa bukan senang tunduk kepada ketakutannya. Kalau difikirkan semula, budak yang melarikan diri tadi memang orang negeri seberang. Raut wajah dan pakaiannya seperti penduduk Rahasia atau Kota Setar atau Kota Palas di Tanah Merong.

“Aneh…” Rosela menggumam.Beliau terkial-kial sebentar, ditinggalkan dalam keadaan tertanya-tanya. Apakah bahana besar itu?



“Perhatian kepada semua pelajar asrama, anda diwajibkan untuk mengosongkan asrama dalam kiraan sepuluh…,” suara Ketua Asrama menyentak lena Adam. Matanya terbuka luas.

“Eh?”

Kamarnya masih samar-samar dengan cahaya lampu di koridor. Junior tingkatan dua yang tinggal sekamar dengannya pun masih berlayar di alam mimpi. Fakta asrama, junior bangun tidur lebih awal daripada senior, lagi-lagi budak tingkatan satu atau dua. Mimpi rupanya. Dengusan halus dilepaskan. Matanya menjenguk jam locengnya. Baru pukul empat pagi. Tuala dan bekas mandian dicapai malas. Dia mahu menyambung menulis skrip drama untuk pertandingan drama Bahasa Inggeris peringkat daerah bulan Ogos nanti. Kerja sekolah pun menggunung juga.

“Argh! Menyesal masuk sekolah ni, so much to do lah. Kerja sekolah lagi, kerja MPP lagi, skrip drama lagi, nak handle Sambutan Merdeka-Raya lagi,” keluhan dilepaskan. Langkah kakinya terhenti. Melalui celah tingkap kamarnya, dia terlihat Marwan di hujung koridor sedang berbual dengan … Cikgu Wanam?

“Haish, diorang buat apa pagi-pagi ni. Berdua-duaan pulak, khalwat,” Adam bermonolog. Matanya terus mengintip perbualan itu. Kawan baiknya berbual dengan cikgu Kimia paling garang di Asia?

Di hujung koridor pula,

“Ada orang perhatikan kita,” ujar Cikgu Wanam tiba-tiba. Marwan terkedu.

“Cikgu tengok sebelah sana, saya tengok sebelah sini. Don’t make that too obvious,” balas Marwan.

“Got it,”

“Siapa yang tengah tengok kita?” Marwan bertanya. Sekuntum senyuman palsu diukir untuk memberi tanggapan dia sedang berbual benda biasa sahaja. Tangan Cikgu Wanam pula dicekak ke pinggang, berlakon sebagai seolah-olah sedang memarahi Marwan.

“Budak dorm L1O5, tu bukan dorm Adam dengan engkau ke?” kata-kata Cikgu Wanam membuatkan dia terkejut. Marwan tergamam. Bagaimana kalau mata yang melihat itu mata Adam? Apa yang dia nak alasankan nanti.

“Peluk cikgu,” Marwan bertambah terkejut, matanya bulat merenung Cikgu Wanam.

“Woi, gila ka apa?” tanya Marwan separuh terkejut.

“Aku ni kakak kau la gila, aku takdak nafsu lah kat engkau tu. Berlakon macam kau sedih sangat-sangat,” ujar Cikgu Wanam. Sebuah pelukan terpaksa dibuat oleh Marwan. Mukanya berkedut seribu menahan perasaan geli-geli untuk memeluk kakaknya sendiri. Tangan kanan Cikgu Wanam menepuk belakang Marwan dengan perlahan. Hah! Lakonan yang meyakinkan.

Dalam kamar L1O5,

Adam ternganga luas. Matanya terbeliak kerana ‘keterkejutan’ tahap maksima.

“Ya Allah! Adam ada affair dengan Cikgu Wanam? Tak sangka cikgu tu ada nafsu kat lelaki! Ingatkan nak jadi anak dara tua,” nafasnya tersekat-sekat. Terkejut punya pasal, perutnya memulas. Bunyi pergerakan najis dalam ususnya seolah-olah menyerunya untuk bertinggung dengan lama di tandas terdekat. ‘Kami mahu bebas,’ ujar najis-najis. Adam tiada pilihan. Dia keluar meluru ke tandas sekaligus menamatkan pengintipannya.

“Eh, betullah. Adam rupanya yang mengintai,” Cikgu Wanam bersuara perlahan. Marwan melepaskan keluhan yang berat. Alasan apa nak diberinya nanti?

“Marwan, kau mesti ingat! Jangan beritahu sesiapa pun termasuk Adam yang aku ni kakak kau. Dan jangan bagitahu pun pasal tujuan kau berada di sekolah ini. Faham? Tak kiralah best friend forever ke, ukhwah fillah abadan abada ke, jangan bagitahu,”

“Humph, paham dah,” Marwan membalas, ringkas. Cikgu Wanam berlalu pergi. Lenggok badannya yang kian berbalam-balam ditatap Marwan dengan pandangan yang risau. Ancaman pula yang bertandang. Penjenayah profesional berprestasi tinggi yang dikehendaki 68 negara termasuk Malaysia sememangnya berbahaya. Langkahnya diatur perlahan ke kamarnya, kelopak mata sudah mahu tutup namun fakta yang beru diterimanya seolah-olah berdansa kencang di dalam otaknya. Adam keluar dari tandas lantas ternampak Marwan yang berjalan perlahan. Cikgu Wanam telah lesap. Dia tunduk ke bawah untuk membetulkan tualanya yang sudah mahu terlondeh. Eh, Marwan pun sudah lesap?

‘Kenapa pandangan semakin kabur?’

Adam jatuh terjelepok di hadapan tandas. Marwan segera mengangkat sahabat baiknya itu ke katil. Latihan selama tiga tahun di Turki akhirnya berbaloi.

“Sorry wey kena ketuk dengan aku. Tapi ni ja cara nak yakinkan kau benda ni mimpi,” Marwan berbisik perlahan. Ceh! Macamlah Adam dengar.

“putera Muar kendong kesumat,
dendamkan pangeran pembelit kata,
bahana ikrar rahsia disemat,
tatkala berkawan menenun dusta,”

Marwan menoleh ke belakang lantas tersenyum pahit.

“Bukan pilihan aku untuk berdusta, demi Adamlah sanggup aku berdusta,” balas Marwan antara dengar dan tidak. Pemilik suara itu tersenyum seraya mengangguk dan hilang seperti kabus yang ditiup.

Dan angin Februari berhembus pergi dari Bukit Kayu Hitam, menuju ke bahagian Bumi Allah yang lain dengan membawa seribu satu cerita pahit dan manis.



Atmosfera yang sunyi di masjid itu sememangnya menggamit ketenangan walaupun kadangkala terganggu dengan bunyi hon kereta dan bunyi ekzos motorsikal di jalanan. Al-Quran diambil, halamannya diselak perlahan, helaian demi helaian. Hanya diselak, tidak dibaca. Dia sudah lama tidak menjejakkan kaki ke Kedah, apatah lagi Alor Setar dan jauh sekali Masjid Zahir. Namun setelah tiga dekad, dia sudah tiba ke tanah kelahiran isterinya, Salsabil. Dekorasi dalaman masjid itu ditatap lama. Kali terakhir dia bertandang ke rumah Allah adalah 30 tahun lalu di Terengganu untuk menunaikan solat Jumaat. ‘ Lama tak masuk tempat macam ni’ getus hatinya. Al-Quran disimpan semula di raknya.

“Zanjabil!”

Suara garau itu membuatkan dia terkejut. Dia berpaling ke muka pintu. Bujairimi sedang berdiri tegak. Jeda.

“Ada apa Bujairimi kau cari aku?” soal Zanjabil walaupun jawapannya sudah diketahui. Telinganya bertukar merah, tanda dia tidak senang dengan kehadirannya.

“Sepatutnya aku yang tanya kau, apa tujuan kau nak datang sekolah aku. Semua duit haram yang kau raih selama ini tak cukupkah sampai kau sanggup berkomplot dengan Mereka?” Bujairimi membalas, nada kemarahan jelas terdengar dalam suaranya. Diam. Zanjabil tidak membalas. Mata mereka bertaut untuk seketika. Bujairimi bungkam, lidahnya kelu.

“Macam mana kau dapat cari aku?” Zanjabil memecahkan kesunyian dengan pertanyaan itu. Soalan Bujairimi tadi dibiarkan bergantung tiada tali.

“Tak penting. Aku datang sini untuk minta engkau supaya kau tak datang ke sekolah aku secara hormatnya. Apa jawapan kau?”

Zanjabil memilih untuk berdiam diri.

“Jawab, Zanjabil!!” bentak Bujairimi.

“Tidak.” jawab Zanjabil, perlahan.

Bujairimi sudah mengagak jawapan itu. Keris Ruas Malam ditarik dari sarungnya. Amarahnya sudah tidak tertahan.

“Wrong answer! 30 tahun sudah berlalu. 30 tahun juga kau sesat di jalan hina itu! Biar Allah menjadi saksi perjuangan aku menentangmu Salsabil!” laung Bujairimi. Salsabil kaget. Bujairimi sudah membuka buah silat. Kekuda sudah dipasang, keris sudah dihunus, yang tinggal adalah bila lelaki berumur 50-an itu akan memulakan serangan. Salsabil masih menggagau senjata di dalam beg.

“Kalau kau sayang sekolah kau, fikir betul-betul,” suara lembut itu mengejutkannya. Salsabil muncul dengan sebilah cucuk sanggul yang dihunus ke leher Bujairimi. Tiada bunyi, Zanjabil datang seperti bayang-bayang.

“Kau masih tangkas seperti dahulu Salsabil,” ujar Bujairimi sambil mengukir sebuah senyuman sinis. Kerisnya disisip dengan perlahan kembali ke pinggang, waspada. Diriannya dibetulkan semula. Lehernya terguris sedikit dek cucuk sanggul itu. Zanjabil masih mengacukan cucuk sanggul itu ke tengkuknya.

“Bujairimi, kau tiada harapan untuk menang dengan kami berdua. Pulanglah. Pulang ke Bukit Kayu Hitam dan tunggu kami, kau akan tahu apa yang kami cari nanti,” Salsabil bersuara tenang. Dia mengambil sebuah sapu tangan dan melumurkannya dengan kloroform. Jam di dinding dipandang sekilas. Bujairimi mengeluh kerana dia tahu dia bakal dipengsankan. Cucuk sanggul di tengkuk terasa semakin dalam tusukannya. Muka Salsabil direnung tajam.

“Putera Bongsu meledak marah,
minta pegaga diberi suasa,
kalau nafsu menuntut darah,
diturut juga kelak binasa,”

“Diam Bujairimi, kau nak mati berjuang ke mati macam ni?” Salsabil mencelah.

Tangan kirinya memegang rambut Bujairimi kasar dan menariknya, mengakibatkan kepala lelaki itu terdongak. Sapu tangan didekatkan ke mukanya. Bau yang menusuk hidung membuatkan pandangannya berpinar-pinar. Akhirnya dia pengsan dengan tubuhnya disambut Salsabil.

“Bengap. Membabi buta. Tak pernah berubah kau ya Bujairimi,” keluh Zanjabil.

“Kami tak bunuh kau sebab janji kami dulu dengan ibunda kau. Kalau tak dah lama aku siat-siat kulit kau tu,” Salsabil merungut kecil. Dia berasa sedikit kesal kerana nafsu membunuhnya tidak dipuaskan. Ya, Zanjabil dan Salsabil adalah pembunuh upahan profesional yang sejati.

“Jangan bimbang Bujairimi. Kami bagi masa dua bulan sebelum kami tiba di tanah kau,” perkataan ‘2 bulan’ dilakar di tangan kiri Bujairimi menggunakan cucuk sanggul tadi. Salsabil tersenyum nipis melihat darah yang keluar dari tangan Bujairimi. Tubuh lelaki pertengahan umur itu dibiarkan terlantar di lantai masjid dengan tangan berlumuran darah. CCTV? Salsabil telah mematikannya sejak awal lagi untuk mengelak daripada dikesan. 30 tahun menjadi pembunuh upahan membuatkan Zanjabil dan Salsabil profesional dahagakan darah. Agama, bangsa dan prinsip moral disodok ke tepi demi duit dan kemewahan dunia.

“Salsabil, nak tengok kertas arahan,” Zanjabil bersuara sebaik sahaja mereka meloloskan diri keluar dari perkarangan masjid. Dari kejauhan ternampak sebuah ambulans yang datang ke Masjid Zahir, dikelilingi beberapa lelaki yang berpakaian kemas untuk solat, panik dengan kehadiran Bujairimi mungkin. Salsabil menghulurkan sehelai kertas bercetak;

TARGETS WITH PRIORITY
Bujairimi bin Omar Sahal
Alauddin bin Abdullah
Nornadya binti Hisham
Fauziah Hanim binti Ruzaimie
Wan Amrina Rasyada binti Wan Luth
Wan Mawardi Muhammad bin Wan Luth
Muhammad Adam bin Sulaiman
Muammar bin Abdul Malek Anwar
SECONDARY TARGETS
All students and teachers

Zanjabil melakar seulas senyuman. Matanya terbeliak kerana riang. Dia berasa teruja memikirkan pembunuhan yang bakal dilakukannya nanti terhadap kira-kira 590 warga sekolah pimpinan Bujairimi. Mereka menapak kukuh menuju ke pusat bandar raya Alor Setar, ada seseorang untuk diambil nyawanya pada hari ini. Dari kejauhan sepasang mata dari alam ghaib sedang memerhati mereka. Sahabat baik Bujairimi telah menghantar salah seorang perisiknya untuk merisik kegiatan Zanjabil dan Salsabil. Sang bunian itu pun melayah pergi dengan informasi penting yang diraih.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Dee Muhammad