Home Novel Seram/Misteri Chandelier
Chandelier
FiFi HafiZa
13/4/2017 23:36:39
33,411
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 19

Mak Munah tidak lagi bekerja di situ. Trauma masih menguasai dirinya setiap kali terpandangkan rumah agam itu. Hanya Pak Deraman yang masih berulang bekerja disitu di samping menjaga Megat Iskandar. Meskipun Mak Munah tidak lagi bekerja di rumah agam itu, dia tetap menyediakan bekalan makanan buat bekas majikannya.

Setelah kematian isteri dan anaknya, Megat Iskandar hanya termenung panjang dan sentiasa menyalahkan dirinya. Kehidupannya tidak terurus. Sesekali, Pak Deraman akan menjenguknya dan memujuk sambil memberi kata-kata semangat padanya.Semangatnya telah mati. Mati bersama anak dan isterinya.

            “Iskandar, ada apa-apa yang Pak Deraman boleh bantu?”tanyanya sambil menggosok-gosok bahu majikannya.

            “Iskandar rindukan Aishah. Kalau diikutkan, dia tunggu hari dah waktu sekarang ni. Kami dah nak dapat anak. Nama apa nak bagi ye? Kami tak sempat bincang nama anak. Kasihan anak ayah. Ayah lupa nak bagi nama kat anak ayah.”Megat Iskandar mengomel perlahan. Dia kehilangan dirinya semenjak apa yang berlaku pada anak dan isterinya.

            “Mengucap, Iskandar. Mengucap, nak. Aishah dah tinggalkan kita. Dia dah tak ada. Redhalah pemergian dia, Iskandar.”Pujuk Pak Deraman. Tangan tua itu ditepis kasar.

            “Dia tak tinggalkan Iskandar! Dia ada di sini.” Dadanya yang bidang ditepuk kuat. Pak Deraman menggeleng. Entahbagaimana lagi hendak dipujuk majikannya ini.

            “Iskandar, ingat Allah nak!” bahu Megat Iskandar digoncang. Pipinya yang ditumbuhi bulu-bulu halus ditampar. Lelaki tua itu memeluknya. Megat Iskandar menangis teresak-esak di bahu Pak Deraman. Sambil memujuk, Pak Deraman membaca ayat-ayat suci Al-Quran  bagi menenangkannya.

Usai berkemas ala kadar, Pak Deraman meminta diri untuk pulang. Seperti hari-hari yang lain, Megat Iskandar tetap tidak mengendahkannya. Dia hanya termenung panjang dan sesekali menangis menjerit nama arwah isterinya. Jika kelelahan,Megat Iskandar akan terlelap sebentar. Itulah rutin hariannya setelah kehilangan insan yang dicintai. Makan pakainya tidak lagi dipedulikan. Segalanya diuruskan oleh Pak Deraman tetapi apalah nak diharapkan sangat pada kudrat orang tua itu.

Di malam hari, Megat Iskandar tidak keseorangan. Perasaan gembira memuncak apabila senja berlabuh. Dia akan menanti puteri kayangannya hadir di ruang tamu tanpa pengetahuan sesiapa.

Seperti biasa, lampu hias chandelier akan bergoncang seketika. Lampunya akan berkelip-kelip dan insan yang disayanginya akan hadir tatkala cahaya merah terbias. Megat Iskandar hanya memerhatikan isteri kesayangannya turun melayang dari chandelier indah itu. Tangan isterinya yang sejuk bak ais dipegang dan dikucup dengan penuh kasih sayang. Puteri Aisyah anggun mengenakan kebaya hitam dan bersanggul persis pakaian orang dahulu kala. Namun itu bukan halangan untuk mereka berdua bersama.

            “Abang, bila abang nak mengikut jejak Aishah? Aishah dan anak kita sangat rindukan abang. Aishah nak kita bersama seperti dulu.” Jari jemari runcing Puteri Aishah bermain-main di dada bidang suaminya. Megat Iskandar mencium dahi Puteri Aishah. Saban malam isterinya itu memujuknya.

            “Kenapa sayang perlu pergi? Kita boleh hidup seperi biasa. Sayang tak perlu pergi ketika subuh menjelma. Abang perlukan sayang dalam hidup abang.” Padanya, dia tak perlu mengikuti isterinya. Puteri Aishah yang perlu mengikut suami.

            “Abang kena faham. Dunia kita berbeza. Aishah dan anak kita di dunia lain, abang. Abang tak nak jumpa dengan anak kita? Abang dah tak sayang Aishah?” Puteri Aishah mula mengalirkan airmata, sedih dengan sikap suaminya yang tidak mahu bertolak ansur. Linangan air mata bertukar esakan kuat. Megat Iskandar terpempan.

Malam ini lain dari biasa. Puteri Aishah bagai merajuk dan terasa hati. Bukan dia tidak mahu berjumpa dengan anaknya yang didakwa berada di dunia lain, tetapi hatinya masih ragu-ragu.
            Benarkah ada dunia lain itu?

            “Abang, jika abang tak percaya cakap Aishah, tak apalah. Aishah tak dapat jumpa abang selalu. Anak kita perlukan penjagaan rapi. Lagipun dia masih bayi. Abang faham kan kalau Aishah tak jumpa abang?” Puteri Aishah mula mengugut suaminya tanpa disedari.

Megat Iskandar termenung. Saban malam dia menunggu kehadiran isterinya dengan kerinduan bersarat di dada. Isterinya pula tidak jemu memujuknya agar mengikutnya ke dunia lain. Separuh dari hatinya bersetuju untuk mengikut,manakala separuh lagi hatinya tidak bersetuju. Megat Iskandar menarik nafas dan menghembusnya perlahan berulang kali. Menimbang-nimbang keputusan yang bakal dibuat. Dia kini ditelan mati emak, diluah mati bapak. Perasaan isterinya perlu dijaga. Dia tidak mahu kehilangan isterinya sekali lagi. Dia juga mahu melihat anaknya. Fikirannya berkecamuk. Entah bagaimana mahu membuat keputusan.

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh FiFi HafiZa