Home Novel Fantasi RATU LANGIT
RATU LANGIT
Scarlet Silver
29/10/2016 18:53:58
11,428
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Senarai Bab
Bab 12

BAB 12 : UJIAN TERAKHIR

Koko tersedar setelah pengsan buat beberapa jam. Wooki dan Shan berada di sisi katilnya dengan wajah bimbang…

Wooki kata ada tenaga pengajar Finji tidak dikenali yang mengubati luka Koko. Koko tidak ambil pusing akan hal itu. Lega kerana cepat bangun daripada lena yang menyeksakan.

Malam menjelang dan mereka bakal melalui ujian terakhir untuk layak memasuki Finji. Para peserta yang lulus ujian pertama dan ujian kedua melalui sebuah gerbang ajaib di lingkaran teratas gunung Fuji bagi memasuki kawasan ujian terakhir berlangsung.

Seperti biasa, Tetuan Kashi menunggu para peserta di lingkaran seterusnya…

Setelah melepasi gerbang ajaib, Koko dan 60 orang peserta yang masih bersisa, berdiri di sebuah tanah lapang. Padang yang menghijau dan luas saujana memandang menyambut kehadiran mereka. Di situ, ujian terakhir untuk memasuki Gunung Finji bakal berlangsung…

“Kamu semua sangat bernasib baik kerana telah berjaya memasuki peringkat terakhir ujian kemasukan ke Gunung Finji.”

Tetuan Kashi berlegar-legar di hadapan mereka dengan sebatang tongkat putih yang membantu pergerakan kakinya agar lebih pantas.

“Sebaik saja kamu melepasi ujian ini, maka secara rasminya kamu menjadi salah seorang pelajar baru Gunung Finji,” sambung Tetuan Kashi lagi.

Para peserta mula berbisik sesama sendiri dengan senyuman kecil tertera di wajah masing-masing. Hanya sedikit saja lagi ujian yang mereka perlu hadapi sebelum berjaya melangkah masuk ke Gunung Finji yang terkenal di seantero dunia.

“Jika kamu gagal dalam ujian ini, jangan berputus asa. Tahun depan kamu boleh cuba lagi.” Tetuan Kashi sempat memberi nasihat.

Selang seketika, sebuah meja panjang tiba-tiba muncul tidak jauh dari tempat mereka berkumpul. Di atas meja itu kelihatan pelbagai jenis senjata. Ada pedang, ada tukul, ada tombak dan pelbagai lagi. Tetuan Kashi mengarahkan para pesera memilih satu senjata setiap seorang.

Koko, Wooki dan Shan mengambil sebilah pedang setiap seorang. Mereka merasakan objek itu lebih mudah digunakan berbanding senjata lain.

“Koko, kau rasa kita kena berlawan dengan syaitan lagi ke?” Wooki berbisik perlahan.

Koko terdiam lama. Matanya ralit memerhatikan pedang berhulu perak yang berada dalam genggaman.

“Bukan,” jawab Koko pendek.

“Mana kau tahu bukan?”

“Baiklah, dalam ujian terakhir hari ini… kamu semua perlu bertempur sesama sendiri.”

Suasana sunyi sepi apabila mendengar bicara Tetuan Kashi itu.

“Apa maksud Tetuan, bertempur sesama sendiri?” Shan lantang bertanya.

“Hanya 20 orang peserta terbaik layak memasuki Gunung Finji.”

“Adakah kami perlu mencederakan sesama sendiri untuk layak ke Finji?” tanya Shan lagi.

“Tidak…”

Para peserta sedikit lega.

“Tapi… kamu perlu membunuh sesama sendiri untuk berjaya dalam ujian terakhir ini.”

Suasana pegun buat beberapa ketika, sebelum semua peserta meluahkan rasa tidak puas hati. Mereka telah sampai ke peringkat terakhir dan sekarang mereka diminta membunuh sesama sendiri? Kegilaan apakah yang dikatakan Tetuan Kashi saat itu?

“Gunung Finji tidak memaksa kamu. Jika kamu takut mati, kamu boleh kembali ke Gerbang keluar. Jika kamu takut membunuh, kamu boleh pergi dari sini. Semuanya terpulang atas pilihan dan keberanian kamu sendiri.”

Kali ini, para peserta mula berpandangan antara satu sama lain. Masing-masing bersedia untuk mempertahankan diri dari sebarang serangan mengejut. Renungan membunuh mula terpancar dari mata masing-masing.

Koko memacak pedang atas tanah sebelum merenung langit. Kemudian dia selamba bergerak ke gerbang ajaib. Meninggalkan Wooki dan Senna yang sedang berfikir panjang.

“Tunggu dulu!” Tetuan Kashi menghadang langkah Koko.

“Sebaik saja kamu melangkah keluar dari gerbang ini, maka kamu dikira gagal dalam ujian terakhir untuk memasuki Finji.” Tetuan Kashi memberikan peringatan kepada Koko.

“Saya tahu Tetuan. Tak payah Tetuan nak ulang dua kali.”

Tetuan Kashi menelan liur pahit dengan bicara selamba remaja itu.

“Kamu betul-betul nak berputus asa dalam ujian terakhir ini? Saya rasa dengan kekuatan kamu, kamu boleh lepas ujian ini dengan mudah?” Tetuan Kashi masih tidak mengizinkan Koko melalui gerbang ajaib.

“Taklah… Dengan kekuatan saya… Saya mampu bunuh semua makhluk yang terdapat di padang ini… termasuk Tetuan.” Koko tersenyum licik.

“Jadi, mengapa kamu hendak tarik diri?”

“Hmph… jika membunuh sesama sendiri adalah cara untuk memasuki Finji, maka saya lebih suka gagal dalam ujian ini.”

“Kenapa pula kamu berbicara sedemikian? Sedangkan fitrah kamu sebagai syaitan adalah gemar membunuh manusia yang tidak berdosa?”

Tetuan Kashi merenung tajam seraut wajah itu lama. Cuba membaca fikiran gadis muda itu.

“Fitrah? Emm… mungkin fitrah saya berbeza dengan fitrah syaitan yang lain? Kalau fitrah syaitan adalah suka membunuh manusia… Bagaimana dengan fitrah manusia sendiri? Adakah mereka akan membunuh sesama mereka hanya kerana ingin menjadi pelajar Finji?”

Koko membuang pandang ke arah kelompok peserta yang bila-bila masa saja akan memulakan pertumpahan darah.

“Saya tak perlu memasuki Finji dan mempelajari ilmu cahaya jika tujuannya adalah untuk membunuh semata-mata. Saya takkan bunuh orang yang saya suka…”

Koko tersenyum kecil saat melihat wajah Wooki dan Shan dari jauh. Mereka masih pegun di situ dengan wajah pucat lesi. Masih bingung membuat keputusan. Ya, bagi Koko… kedua-dua manusia itu adalah sahabat kecilnya. Dia takkan menggunakan tangan sendiri untuk menamatkan riwayat mereka…

“Bagaimana dengan perjanjian kamu bersama Zeran?”

Tetuan Kashi ingin bertanyakan soalan terakhir itu. Dia mendapat tahu dari Weiran Mei tentang perjanjian antara Zen dan Koko. Adakah Koko tidak mahu helang putihnya lagi?

“Emm… waktu masih panjang. Jika saya tak berjaya masuk Finji tahun ini. Tahun depan, saya akan cuba lagi. Barang kepunyaan saya, tetap kepunyaan saya walau di mana jua ia berada.”

Koko tersenyum manis dan menyebabkan Tetuan Kashi kehilangan kata. Selang seketika, Koko melangkah keluar dari Gerbang Ajaib…

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Scarlet Silver