Home Novel Fantasi Pulau Masa: Makhluk Moker
Pulau Masa: Makhluk Moker
30/4/2016 15:25:51
1,065
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Senarai Bab

a

PROLOG

Mustakem

Dia memandang bangunan-bangunan tinggi itu untuk kali terakhir. Bercahaya cantik tika malam belum tentu memberikan kecerahan untuknya. Mustakem melihat jam di tangannya. Pukul 8:45 malam. Masih terlalu awal untuk tiket perjalanannya yang tercatit pukul 11:30 malam.

Sejurus usai makan, Mustakem bergelandangan. Ke sana-ke sini dia mengikut arah kaki. Tiada tujuan. Dia menggunakan masa tersebut melihat kembali kota yang dahulunya dipuja-puja. Kota yang diberitahu oleh Sulaiman dan Masrid sebagai tempat gelanggang rezeki. Dahulu, saat dia terpegun dan teruja dengan kata dan gambaran dua sahabat karibnya itu, Mustakem menjadi teruja benar.

Mustakem mahu mengubah nasib. Dia tidak mahu selama-lamanya menjadi nelayan. Dia tidak mahu lagi bertekak dengan Haji Lukman, peraih yang selalu membayar hasil tangkapan ikannya dengan begitu murah.

Kedatangannya juga mahu mengubah tanggapan ayah Salmah. Pak Noh yang sering menyindirnya saat terdengar khabar angin percintaannya dengan Salmah.

“Kerja nelayan. Kais pagi belum tentu dapat makan petangnya. Apa! dia ingat anak aku makan pasir,”

Terngiang-ngiang kata itu di gegendang telinganya. Dia jadi rendah diri dan malu saat Pak Noh menyindirnya ketika dia singgah di kedai kopi Wak. Hatinya tersiat-siat. Malah lebih tersiat-siat kala Salmah memutuskan percintaan mereka. Dengan hanya sepucuk surat yang diterimanya. Salmah patuh pada arahan ayahnya.

Cinta benar-benar mengecewakannya.

Dia lari ke kota besar ini untuk mengubah nasib. Namun bukan nasib yang terubah. Akan tetapi pendirian dan prinsipnya kian terubah.

Kota ini tidak menjanjikan apa-apa. Dia menjadi terlalu sibuk sehingga dia lupa kepada Pencipta. Dia kepingin menjadi kaya sehingga dia menghalalkan yang haram. Satu perbuatan yang tidak pernah dibuatnya kala dia menjadi nelayan yang berpanas berpeluh di laut.

Kota ini mengubahnya menjadi Mustakem yang bukan lagi wataknya dahulu.

Mustakem terhenti langkahnya. Dia melihat bangunan yag berkelip-kelip lampunya. Satu daripada kelipan lampu itu tidak bernyala. Rosak barangkali.

Mustakem merenung dirinya. Barangkali dia seperti lampu yang rosak itu. Kelam dan gelap dikelilingi lampu-lampu yang bernyala hebat.

Black

Sebentar tadi laju benar dia berlari. Kelibat orang-orang Tauke membuatkan mangsa yang sudah diperhatinya sejak sekian lama ditinggalkan begitu sahaja.

“Celaka,” Kaki Black menendang tong sampah. Berteraburan isi perut daripada tong tersebut. Black melepaskan kegeramannya.

Nasibnya hari ini memang baik. Orang-orang Tauke tidak perasankannya. Entah esok atau lusa dia tidak tahu lagi. Jika ketemu mereka pastinya dia akan dibelasah. Duitnya akan dirampas.

Black mengeluarkan sebatang rokok daripada beg pinggangnya. Dia menyalakannya. Menghembus perlahan-lahan sambil menikmati kenikmatan sebatang rokok tersebut.

Bukan dia tidak mahu bayar hutangnya dengan Tauke. Dia tahu adat berhutang mestilah membayar. Namun rezekinya sekarang semakin berkurangan. Polis ada dimana-mana sahaja. Sejak berita tentang kes penyeluk saku disiarkan di akhbar-akhbar, Black rasa periuk nasinya terancam.

“Celaka wartawan-wartawan tu,” Black menyumpah seranah.

“Tauke itu satu hal. Aku pinjam tak seberapa tapi bunganya melonjak-lonjak,” Black merepek-repek sendirian di sebalik lorong gelap. Satu-satunya tempat yang dia rasa selamat daripada polis. Namun daripada orang-orang Tauke dia belum tahu. Mereka ada di mana-mana sahaja.

Polis!

Selain daripada Tauke dia juga melarikan diri daripada pasukan beruniform itu. Dia tahu tentu mereka sedang mencarinya. Peristiwa yang berlaku tidak lama dahulu mustahil akan didiamkan sahaja oleh mereka. Black juga tahu dia pastinya akan menerima hukuman atas apa yang dilakukannya.

“Hukuman,” Black tersenyum sendiri. Baginya, apakah itu satu hukuman hanya kerana melepaskan orang yang disayanginya daripada kezaliman?

“Tidak itu bukan hukuman, aku berada di pihak yang benar,” jeritnya. Meluahkan apa yang dirasa.

Perutnya berbunyi.

Black memegang perutnya. Rasa lapar menulari. Daripada pagi tadi dia belum makan. Hanya air paip mengisi kekekosongan perutnya.

Rasa amarahnya kembali. Kalau tidak disebabkan orang-orang Tauke pasti dompet duit gadis yang berseluar jean itu sudah menjadi rezekinya. Barangkali saat ini dia sedang menjamah nasi lemak di warung Indonesia tepi longkang besar itu.

“Sial,” Black memaki-maki. Penuh perasaan tidak puas hati.

Ketika Black memenuhkan perutnya dengan hisapan asap rokoknya dia terpandang seorang lelaki yang sedang mundar-mandir. Lelaki itu hanya mengendong sebuah beg di bahunya. Black mengamati. Dompet duit lelaki itu sedikit terkeluar.

Black tersenyum. Kedudukan dompet tersebut memang menggembirakannya. Kerjanya akan jadi mudah.

Cuma... Black terfikir kembali apabila melihat susuk tubuh lelaki itu. Tegap. Dia takut lelaki itu akan menyedari perbuatannya dan melawan.

Hisss!!!

Black membuang jauh-jauh tanggapan itu. Selama dia mencopet, belum pernah mangsa tersedar. Lebih payah daripada dompet itu pernah dilakukan. Ini pula dompet yang sedikit terkeluar itu.

“Aku perlu berbuat sesuatu untuk mengisi perutku,” Black berjalan perlahan-lahan menuju ke arah mangsanya.

Dr Hamdan

Dr. Hamdan masih di pejabatnya. Walaupun sudah lewat malam dia masih belum mahu pulang. Dia mesti menyiapkan kajiannya segera. Perbentangan kertas kerja di Universiti Malaya tidak berapa lama lagi menjengah.

Petang tadi fikirannya berkecamuk. Dia menerima surat peguam bekas isterinya. Surat yang menuntut sebahagian daripada hartanya. Soraya benar-benar membuatkan fikirannya kacau. Perempuan itu memang berdendam dengannya.

Setelah tidur setengah jam tadi. Dr Hamdan bangun dengan tekad yang kuat. Dia tidak akan kalah dengan kehidupannya sekarang. Kalah dengan Soraya.

Biarlah hidupnya kini tidak terurus sekurang-kurangnya dia mahu masyarakat berbangga dengan penemuannya. Dia mahu membuka mata mereka yang selalu menyindirnya sebagai aneh, gila dan bercita-cita fantasi.

“Aku akan buktikan tentang kebenaran kewujudan tamadun Humra,” Dr Hamdan menjerit dalam hati.

Begitulah kebiasaan yang dibuatnya dikala hatinya rawan. Di kala dia merasa lemah dengan sindiran orang lain.

“Doktor mahu kopi?” pertanyaan itu membuatkan dia yang ralit dengan pembacaannya, terkejut.

Dr Hamdan membuka cermin matanya. Meletakkan ke atas meja dan memandang gadis yang berbaju t- shirt dan seluar jean hitam itu.

Dr Hamdan mengangguk-angguk.

Gadis itu mula melangkah keluar.

“Cristina,” Dr Hamdan memanggil. Gadis itu berpaling.

“Ya. Doktor nak apa-apa lagi,”

Dr Hamdan menyandar badannya ke kerusi. Melihat gadis itu dengan pandangan penuh bersalah.

“Saya nak minta maaf kerana suruh awak bekerja malam-malam ini. Saya tahu awak juga perlukan masa untuk kehidupan peribadi sendiri,”

Cristina menguntumkan senyum. “Tak mengapa doktor... saya tahu ini sebahagian daripada tugas saya,”

Dr Hamdan menghela nafasnya apabila mendengar pengakuan daripada gadis berdarah Iban itu.

“Boleh saya ke pantry?”

“Boleh. Err... lagi satu kopi itu jangan manis sangat,” pesan Dr Hamdan. Cristina mengangguk.

Ekor mata Dr Hamdan mengikut langkah Cristina. Dia begitu terpegun dengan kesopanan dan keramahan gadis itu melayannya. Pada saat dia sedang bergolak dengan alam rumah tangganya, gadis itu banyak membantu menguruskan makan minumnya.

Dia merasakan terlalu menyusahkan Cristina. Cristina hanya bertugas sebagai pembantu penyelidiknya. Bukannya bertugas sebagai pembantu peribadinya. Nampaknya ruang lingkup tugas Cristina sudah semakin luas. Dr Hamdan merasa terlalu bersalah.

“Oh... alangkah baiknya jika aku punyai anak seperti dia,” tutur Dr Hamdan. Namun kemudiannya dia mendengus. Perkahwinannya dengan Soraya tidak dikurniakan zuriat.

Dr Hamdan bangun. Mengarah ke arah akuarium yang hanya berisi seekor ikan emas. Sebenarnya dahulu terdapat dua ekor, pasangannya mati seminggu yang lalu. Dr Hamdan lihat ikan emas ini tidak aktif seperti berdua dahulu. Dia tidak lagi galak berenang.

Dr Hamdan menuangkan makanan. Ikan emas itu hanya diam. Dia tidak lagi merebut makanan seperti ketika mereka berdua dahulu.

“Emm... esok aku akan carikan engkau pasangan baru. Yang lebih cantik,” bisik hati Dr Hamdan sambil menjentik-jentik air di permukaan akuarium.

Cristina

Sudah setahun dia menjadi pembantu penyelidik kepada Dr Hamdan. Dahulu Dr Hamdan merupakan pensyarahnya. Ketika usai menerima ijazah, kerja yang dicari-carinya tidak kunjung tiba. Tiga bulan dia menganggur di ibu kota ini. Duit simpanannya semakin sedikit.

Dia sudah putus asa. Dia mahu pulang ke Sabah. Mungkin di sana dia akan mendapat kerja. Namun duitnya belum cukup untuk berbuat demikian. Sekurang-kurangnya dia perlukan simpanan. Dia tidak mahu menyusahkan neneknya.. Cukuplah dia menyusahkan nenek sepanjang pengajiannya.

Fikirnya, bekerja dengan Dr Hamdan hanya untuk seketika cuma. Buat mengumpul belanja pulang. Namun kini sudah setahun dia menjadi penyelidik kepada pensyarah yang berjanggut tebal tidak terurus itu. Dia semacam serasi dengan kerjaya sekarang walaupun gajinya kecil.

Dia tahu ramai memandangnya serong kerana bekerja dengan doktor yang aneh itu. Mereka cakap Dr Hamdan sudah gila. Mengkaji perkara yang tidak wujud.

Daripada pengamatannya, dia tidak melihat begitu. Dr Hamdan seperti manusia lain juga. Cuma mungkin kajiannya agak pelik sedikit.

Kadang-kadang Cristina merasa kasihan dengan Dr Hamdan. Kehidupannya tidak terurus. Makan minumnya tidak terjaga. Walaupun tidak pernah diberitahu sendiri oleh Dr Hamdan, namun cakap-cakap orang mengatakan yang rumah tangga Dr Hamdan sedang berantakan. Isterinya menuntut cerai. Kata orang lagi, isterinya tidak tahan dengan sikap Dr Hamdan yang asyik bekerja.

“Ah... itu semua kata-kata orang. Kenapa aku cepat terpengaruh,” Cristina lantas tidak mahu memikirkan sesuatu yang buruk terjadi kepada Dr Hamdan yang telah dianggap sebagai ayahnya itu. Sementalah pula dia hanyalah anak yatim piatu yang dibela oleh nenek sahaj.

Cristina menuangkan air ke dalam dua cawan. Satu untuknya satu untuk Dr Hamdan. Dimasukkan kopi. Bagi bahagian Dr Hamdan gula dikurangkan. Baginya gula dilebihkan kerana dia memang sukakan kopi manis.

Cristina menatang dua gelas kopi yang berasap-asap itu.

MUSTAKEM DAN BLACK

“Sial...jaga kau,” Mustakem lantas mengejar lelaki yang mencuri dompetnya. Namun lelaki itu agak licik. Dia lari di celah-celah orang ramai. Nampaknya lelaki itu memang sudah biasa dengan kawasan sekitar ini.

Mustakem berhenti. Dia termengah-mengah. Matanya masih meliar melihat kiri dan kanan.

“Lajunya dia lari. Aku mesti mendapatkan dompet aku, kalau tidak susahlah,” kata Mustakem sendiri. Semua wangnya diletakkan di dalam dompet itu. Malah yang lebih penting adalah dokumen pengenalannya. Kad pengenalan dan lesen semuanya di dalam dompet.

“Alamak! Tiket bas pun di dalam dompet,” berkerut dahi Mustakem apabila teringatkan tiket bas yang baru dibelinya itu.

Kelibat lelaki kurus dan hitam itu sudah lenyap. Walaupun agak laju Mustakem mengejarnya namun lelaki itu berjaya melepaskan diri.

“Tak mengapa. Aku akan cari dia. Wajahnya masih lagi aku cam,” Mustakem seolah-olah memberi semangat kepada dirinya sendiri.

Mustakem mundar-mandir. Dia melihat sekeliling. Di sebalik celahan orang ramai. Di sebalik kesibukan kenderaan dan orang ramai yang lalu lalang.

Mustakem mula putus asa. Dia mengambil keputusan untuk berehat di tepi jambatan yang agak redup kawasannya. Air sungai yang dipenuhi sampah itu mengeluarkan sedikit bau busuk. Namun kebusukan air sungai itu tidak memberi reaksi apa-apa kepada Mustakem. Hatinya berasa gundah tentang kehilangan dompetnya. Kehilangan tiketnya.

“Macam mana aku nak balik kampung ini,” keluhnya.

Ketika dia asyik termenung memikirkan nasibnya, Mustakem nampak kelibat seorang lelaki keluar daripada lorong bawah jambatan. Lelaki itu berjalan selamba tanpa menyedari Mustakem yang memerhatinya.

“Eh... itu lelaki yang mencuri dompet aku. Emmm... nampaknya kota ini tidaklah seluas mana. Nantilah engkau,” Mustakem kegeraman.

Mustakem perlahan-lahan mengikut lelaki tersebut. Dia berhati-hati agar kedatangannya tidak disedari.

Ketika dia menghampiri lelaki itu, Mustakem segera menyergah dari belakang. Dia memeluk erat lelaki yang terkejut tiba-tiba itu.

“Oh... kau ingat aku tak boleh cari engkau,” marah Mustakem.

Black yang mencuri dompetnya tercengang-cengang. Dia meronta-ronta. Mustakem mengeratkan pelukannya lagi. Kali ini dia memaut leher Black dengan lengannya. Tubuh Black yang kurus itu senang sahaja dipautnya.

“Eh... apa ini. Apa salah aku?” jerit Black.

“Oh... kau dah curi dompet aku, kau cakap salah apa ya,” Mustakem bertambah marah. Pautannya dikuatkan.

“Aduh... abang, sakit... sakit,” Black meronta-ronta. Suaranya hampir tidak keluar.

“Mana dompet aku,” marah Mustakem.

Lelaki itu meronta-ronta lagi.

“Hoi... mana dompet aku?” kali ini suara Mustakem semakin tinggi.

“Abang... abang... lepaskan aku. Kalau abang nak duit, abang ambiklah dalam poket,”

Mustakem menyeluk poket seluar Black. Beberapa keping duit kertas dikeluarkan.

“Tolonglah abang...aku curi sebab aku lapar. Duit abangpun belum aku gunakan lagi. Lapar abang,” rayu Black.

Namun Mustakem tidak memperdulikan kata-kata itu. Duit dalam poket seluar Black dikeluarkan. Sementara pautan leher diketatkan lagi. Mustakem tidak mahu Black melepaskan diri.

“Mana dompet aku?”

Black tidak menjawab.

“Kau nak aku humbankan dalam sungai itu. Cepat beritahu mana dompet aku, “

“Aku dah buang,” jawab Black tergagap-gagap.

Mustakem menjadi marah. Dompet yang berisi semua dokumen penting dibuang begitu sahaja. Mustakem melepaskan satu tumbukan ke perut Black.

“Aduh!!!” Black itu menjerit kesakitan sambil memegang perutnya.

“Oh... tahu sakit. Senang-senang sahaja kau buang dompet aku,” satu lagi tumbukan singgah di tempat yang sama. Black terduduk. Kesakitannya bertambah. Sudahlah dia belum makan, kini perutnya menerima dua tumbukan padu pula.

Mustakem mencekak leher Black. “Di mana kau buang? Cepat tunjukkan. Kalau tidak kau bakal terima tumbukan lagi,”

Black mengoyang-goyangkan tangannya. Dia sudah menyerah kalah. “Baiklah... aku tunjukkan,”

Black berjalan terhuyung-hayang. Tangannya masih memegang perutnya. Dia menuju ke bawah jambatan. Mustakem mengekori Black dengan penuh berwaspada. Mustakem bimbang Black akan melarika diri.

“Ingat kalau kau tipu atau kau cuba lari. Aku akan buat kau merana,” Mustakem memberi amaran.

Black menggeleng-geleng kepalanya. Tanda tidak akan melakukan apa yang disebut Mustakem.

Sampai di suatu tempat, di bawah jambatan yang agak gelap, Black menunjukkan sebuah lubang besar.

“Aku buang dalam lubang ini,” kata Black.

Mustakem menjenguk ke dalam lubang. “Apa lagi... kau masuk ke dalam lubang itu dan cari dompet aku,”

Black memandang Mustakem. Lubang tersebut agak gelap. Dia menjadi serba salah dengan apa yang disuruh Mustakem.

“Kau yang lempar, kaulah yang ambik,” Mustakem memberi amaran. Dia tahu yang Black teragak-agak.

“Masuklah...,”. Melihat Black yang masih mendiamkan diri, Mustakem mengambil keputusan untuk menolak Black. Walaupun kelihatan agak zalim, namun orang seperti Black selayaknya dilayan begitu.

Namun Black sempat memegang tangan Mustakem. Dalam keadaan tidak boleh menyeimbangkan diri, Mustakem terjatuh sama ke dalam lubang itu.

“Sial! Kenapa engkau pegang aku,” marah Mustakem. Nasib baik dia terjatuh di atas tanah dan tiada apa-apa benda yang merbahaya di dalam lubang itu.

“Abang yang tolak aku,” selamba sahaja Black menjawab sambil tangannya menyapu belakangnya.

“Kalau ikutkan aku, mahu sekali lagi kau makan penumbuk aku. Tapi aku kasihan tengok badan kau yang sekeping itu,” marah Mustakem sambil mengangkat penumbuknya.

Black menunduk. Dia tidak mahu lagi menerima tumbukan untuk kali ketiga.

“Cepat cari dompet aku,” arah Mustakem.

Black segera meraba-raba. Ruang dalam lubang tersebut agak gelap. Mustakem juga mencari di sekelilingnya namun tidak berjumpa.

“Eh,”

“Kenapa? Kau dah jumpa,” tegur Mustakem apabila mendengar Black bersuara.

Black memegang sesuatu. Sekeping papan yang sudah reput dipegangnya.

“Kau ini memang nak kena. Kau jangan ingat aku main-main,” pada fikiran Mustakem, Black mempermainkannya.

“Ada nombor. Mungkin nombor ekor ini,” perlahan kata Black.

Mustakem mengerling Black. Kemarahannya kali ini memang tidak boleh dikawal.

“797979,” Black menyebut nombor yang tertera di papan itu satu persatu.

Sejurus dia menyebut nombor tersebut, mereka berdua dapat merasakan kelainan di dalam lubang itu. Suasana dalam lubang itu semakin gelap.

“Hei... apa kau buat ini?”

Belum sempat black menjawab, sekeliling mula dirasakan terlalu gelap. Seolah-olah mereka sedang ditimbus sesuatu.

DR HAMDAN DAN CRISTINA

Selepas minum kopi yang dibuat Cristina, mata Dr Hamdan kembali segar. Dia bangun dan menggeliat. Jam di dinding menunjukkan pukul 12.30 malam. Sudah terlalu lewat.

Sebentar tadi dia menyuruh Cristina pulang. Namun gadis itu degil. Cristina masih mahu menghabiskan kerjanya. Dr Hamdan menuju ke tingkap biliknya. Pemandangan di luar sunyi sepi. Hanya lampu-lampu jalan menghiasi ruang malam institusi pendidikan termuka ini. Dr Hamdan membuka tingkap. Dia mahu merasa aroma angin malam membuai-buai.

Terkadang Dr Hamdan merasa bersalah terhadap Cristina. Gadis itu tekun bekerja. Ketika orang lain asyik mempertikaikan kajiannya, sedikitpun gadis itu tidak menyoal itu dan ini. Apa sahaja kerja penyelidikan yang disuruhnya, dilakukan tanpa banyak soal.

Angin berdesir-desir menyapa pipi.

Dr Hamdan membuka cermin matanya. Menyapu matanya yang agak keletihan itu. Kemudian memakai kembali cermin matanya.

Telefon genggamnya berdering. Lekas-lekas Dr Hamdan berlari ke meja mahu menjawab panggilan tersebut. Namun dia terhenti. Matanya tertancap pada skrin telefonnya.

Soraya.

“Apa lagi yang dia mahukan?”

Telefon yang berdering dibiarkan. Malas dia mahu menjawab. Dr Hamdan tahu sekiranya dia menjawab, mereka pastinya bergaduh. Sedikitpun Soraya tidak pernah memahami perasaannya. Sekelumitpun Soraya tidak pernah mendengar pendapatnya. Memang benar Soraya itu degil.

Telefon sudah mula berhenti berbunyi. Tiga kali panggilan tidak dijawab tertulis di atas skrin telefon.

“Rumah tangga ini memang tidak boleh diselamatkan lagi. Kalau soraya merasakan perpisahan itu menyenangkannya, aku biarkan sahaja. Tapi kenapa dia begitu tamak sehingga mahu membolot hartaku,” Dr Hamdan membebel sendirian.

Seringkali itulah yang dilakukan kala sendirian. Dia akan bercakap keseorangan. Mungkin kerana itulah dia dikatakan tidak waras. Namun bagi Dr hamdan bercakap sendiri itu adalah satu pengubatan psikologi yang dapat meredakan tekanan. Luahkan semuanya walaupun tiada sesiapapun yang mendengarnya.

“Masa untuk bekerja,” Dr Hamdan mengenggam tangannya. Dia tidak mahu kekucaran hidup peribadinya menganggu tugas yang selama ini diusahakan. Yang mahu dibuktikan kepada mata umum.

Dr Hamdan kembali ke meja. Dia membelek-belek buku yang belum habis dirujuknya.

“Kenapa pula dengan komputer ini?” Tiba-tiba sahaja komputernya semacam berlaku masalah. Sekejap menyala. Sekejap terpadam.

Dr Hamdan cuba memeriksa. Dia mengetuk-ngetuk komputernya. Skrin yang terpadam tadi kembali bernyala. Namun skrin tersebut memaparkan jalur-jalur dan digit-digit nombor yang tidak difahaminya.

“Kenapa pula. Masuk viruskah?” Dr Hamdan mendengus kecewa.

“Nasib baik Cristina masih ada. Mungkin dia boleh membetulkan komputer ini,”

“Cristina... Cristina...,” Dr Hamdan memanggil. Tidak sampai beberapa minit Cristina muncul di pintu biliknya.

“Kenapa doktor?” tanya Cristina.

“Boleh tengok-tengokkan komputer saya. Mungkin masuk virus,”

Cristina melangkah. Mendekati Dr Hamdan.

“kenapa boleh jadi begini?” tanya Cristina.

“Entahlah... tadi saya berehat sebentar, bila nak mula kerja terus jadi begini,”

Komputer terus berjalur-jalur skrinnya. “Ini bukan virus. Pelik juga,”

Dr Hamdan bangun. Dia menyuruh Cristina duduk dan melihat masalah komputernya.

“Awak tengoklah. Mungkin ada wayar tercabut,”

“Baiklah doktor pergilah berehat dulu,”

Dr Hamdan mengangguk. Dia berlalu ke arah sofa.

Belum sempat Dr Hamdan duduk, Cristina memanggil. “Doktor... lihat ini, kenapa skrin ini jadi macam ini. Nombor-nombor penuh seluruh skrin. 797979....797979....797979,”

“Eh... kenapa ini!” satu pancaran cahaya keluar daripada skrin komputer. Cristina mula menjerit apabila cahaya itu mengenai tangannya.

“Doktor... doktor....doktor,”

“Cristina... apa yang berlaku,” bergegas Dr Hamdan mendapatkan Cristina. Dia memegang tangan Cristina. Cahaya itu mula merebak ke tubuhnya. Cahaya itu umpama magnet. Menarik tubuh Dr Hamdan dan Cristina.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.