“Ibu sihat?”
“Hmm”
“Adik-adik mana,
bu?” tanya Farah dengan niat untuk bertanya khabar adik-adiknya memandangkan
mereka berdua tidak kelihatan sejak dia balik tadi.
“Ada kat padanglah tu.”
“Ibu…”
“Farah, mesti sayang penatkan. Dah pergi
berehat dulu. Nanti kita makan malam sama-sama ya,” pintas Syed Khalid
tiba-tiba setelah menyedari ada rasa meluat yang terbit pada wajah isterinya.
Farah hanya mengangguk sebelum berlalu.
“Som, Farahkan baru sampai. Kenapa awak
nak tunjuk muka bagai?”
“Habis tu abang nak saya bersorak gembira
dengan kedatangan dia kat sini. Macam tu?” balas Kalsom geram.
“Boleh tak jangan nak ungkit apa yang dah
terjadi dulu? Saya rimaslah dengan kerenah awak yang tak habis-habis ni. Kesian
kat dia.” Kalsom mencebik. Kemudian tersenyum sinis.
“Abang nak saya kesian kat perempuan yang
tak pandai jaga suami. Datang sini lepas kena halau dan tak diperlukan lagi kat
sana,” sindir Kalsom dengan kuat sekali.
Kalsom sengaja
buat begitu kerana dia mahu anaknya itu dengar setiap perbualan mereka.
“Som jangan nak uji kesabaran saya. Karang
budak tudengarkan susah,” marah
Syed Khalid beri amaran.
Kalsom sedikit
pun tidak tergugat dengan amaran suaminya yang tak seberapa mana.
“Abang jangan nak masuk campur. Dia anak
Som. Tahulah saya macam mana nak jaga dia. Abang uruskan hal Far dan Min.” Selamba
Kalsom berkata begitu.
“Awak nikan susah nak dilenturkan lagi.
Pandai-pandailah awak nak buat apa. Tapi jangan sesekali sakitkan hati budak
tu. Saya tak suka. Saya ayah dia. Tak pernah saya anggap budak tu macam anak
tiri tapi seperti anak kandung abang. Kali ini abang tak nak dengar awak cakap
yang bukan-bukan kat budak tu. Karang awak yang saya halau nanti. Faham?”
Farah mendengar setiap perbualan ibu dan
ayahnya. Kata-kata ibunya sedikit pun tidak menyakitkan hatinya kerana dia
sudah biasa dengan cara ibunya begitu tetapi apa yang merunsingkannya sekarang ialah persoalan
anak.