Home Fans Fiction Lucu Dunia Baru Reunion
Dunia Baru Reunion
Adra Halif
5/9/2014 13:13:23
2,792
Kategori: Fans Fiction
Genre: Lucu

“Sofia Nordin!”

“Ya, bos?” Opie terdongak. Di tepi kubikelnya, ada seorang lelaki berdiri sambil bercekak pinggang. Lelaki itulah yang memanggilnya tadi.

“Dah check emel?” tanya lelaki itu.

“Ada job baru masuk ke?”

“Tak.”

“Habis tu?”

Lelaki itu membetulkan rambut kerintingnya beberapa kali, melihat kiri dan kanan sebelum menggerakkan telunjuk ke biliknya. “Masuk sekejap.”

“Okey,” sahut Opie lalu menekan option sleep pada komputernya supaya tidak digodek oleh orang lain. Sejurus masuk ke bilik bosnya, Opie menutup pintu. Tanpa dijemput, dia duduk di hadapan bosnya seraya bertanya, “Apa hal?”

Bosnya memutar skrin monitor ke arah Opie sambil menyeringai. “Baca ni.”

Opie mendekatkan mata ke skrin. “Jemputan ke majlis reunion budak kejuruteraan batch DB1-2-3 di Homestay Doyok, Bagan Lalang pada 1 Disember 2014.”

“Ha, apa pendapat kau?” tanya Tajol.

“Kau ke yang buat ni Tajol?” tanya Opie pula.

“Ish, kalau aku yang buat mestilah aku buat kat tempat kelas-kelas sikit. Lepas tu aku kutip seorang paling kurang RM1000. Tapi ini macam jemputan je kot, tak payah bayar apa-apa. Check emel kau sekarang,” arah Tajol lagi.

Opie bergegas mengeluarkan telefon dari kocek seluar lalu memeriksanya beberapa ketika. “A’ah, aku pun dapat jemputan ni. Kau rasa semua orang dapat ke?”

“Kalau ikut isi emel tu, aku rasa ya,” jawab Tajol.

“Kalau semua orang dapat, maknanya yang anjurkan ni mesti dalam kalangan batch kita jugak kan? Kau rasa siapa eh?” tanya Opie lagi.

Tajol sudah duduk bersandar merapatkan jari-jemari daripada kedua tangannya. “Kau nak risau apa? Paling kurang sekarang kau kena fikir nak pergi ke tak, atau dengan siapa kau nak pergi.”

Opie buat muka cuak. “Kena pergi ke? Aku rasa macam malaslah. Reunion adalah waktunya semua orang nak buat perbandingan hidup siapa paling berjaya, famili siapa paling besar, laki siapa yang paling handsome, bini siapa yang lawa. Aku tak naklah.”

Tajol sengih lagi. “Aku tahu kenapa kau tak nak pergi. Sebab Adif, kan? Come on-lah, dah lama kot. Dahlah masa kenduri kahwin dia dengan Erika hari tu kau tak datang. Kalau kali ini kau tak tunjuk muka juga, dia orang cakap apa pulak.”

“Masa dia orang kahwin tu, aku ceri-beri kan,” kata Opie.

“Macamlah tak ada masa lain nak cirit-birit. Kau ingat orang tak tahu ke kau berpura-pura? Jomlah,” pujuk Tajol lagi.

“Tak naklah datang sorang-sorang.”

“Ha, itulah. Aku ajak kau kahwin kau tak mau,” balas Tajol.

“Ala... kau dengan semua orang kau ajak kahwin. Masa Madi ada problem dengan Darius sengal tu pun kau ajak dia kahwin jugak,” tempelak Opie. “Lagipun, tak naklah aku kahwin dengan kau. Kau ni dah macam Didi tau.”

“Tapi kau kena ingat, aku ni bos kau. Kau kena dengar cakap aku,” kata Tajol lalu menayangkan gigi.

Opie mengeluh. “Hai.. entah macam manalah aku boleh stick dengan kau sampai tujuh, lapan tahun.”

“Kan kita dah buat pakatan masa season 3 dulu, kau ni saja buat-buat lupa kan. Apa-apa hal, aku mesti support kau punya. Tengoklah sekarang, siapa orang kepercayaan aku – kau jugak,” balas Tajol. “Jomlah. Kalau kau tak nak pergi seorang, kau pergi dengan aku. Kalau kau nak cakap kita couple pun aku tak kisah. Nanti aku layanlah kau macam mem besar.”

“Kau pergilah sendiri. Dah kau yang beria-ia sangat,” balas Opie.

“Ramai-ramailah best. Dah banyak tahun kita tak jumpa dia orang. Takkan kau tak rindu kat Madi, Adif, Anizah, Sariah, Yusof ex-boyfriend kau tu, Suzana semua.”

“Buat apa aku nak rindu Suzana tu. Hari-hari aku boleh jumpa dia,” kata Opie.

“Eh, kau rasa dia datang tak?”

“Mestilah. Bila lagi dia nak show-off kejayaan hidup dia. Tercapailah hasrat dia kan nak kawin dengan orang kaya,” kata Opie dengan tangan di bahu, mata ke atas.

“Ish, tak baik dengki tau. Kau pun apa kurangnya, jadi orang kanan kepada seorang pengurus yang berjaya iaitu aku,” kata Tajol sambil menuding kedua ibu jari kepada diri sendiri, “Plus, kau masih macam dulu apa - comel, cantik, bergaya.”

“Kau tak payahlah nak puji aku sangat. Aku tahulah aku dah gemuk,” kata Opie sambil memutar bola mata.

“Kau ni dari dulu tak pernah nak berubah. Cubalah jangan memandang rendah kat diri sendiri. Keding macam itu pun asyik rasa diri tu tak cantik. Kang aku hantar kau pergi kaunseling, brainwash sikit otak kau tu baru tahu,” ugut Tajol.

Opie memuncung. Dia tunduk bermain-main dengan kuku. Sehinggalah Tajol melontar penutup pen, barulah Opie mendongak semula. Lambat-lambat dia menjawab, “Nantilah aku fikir dulu.”

Tajol menyahut dengan bunyi gumaman. Selepas itu dia berkata, “Dah, pergi buat kerja. Bergosip je, makan gaji buta ya.”

“Hampeh kan kau ni. Nasib baiklah kau ni bestfriend aku, dulu, kini selamanya,” balas Opie lalu berdiri meninggalkan Tajol yang masih tersengih sendirian.

Petang itu ketika hendak balik, Tajol mengajak Opie melepak di kedai makan di barisan bawah bangunan di kawasan pejabatnya. Pastinya untuk sambung bergosip hal reunion tadi. Cuma yang Opie tidak tahu, Tajol berjaya mengajak salah seorang rakan batch mereka untuk bertemu pada petang itu.

Sebelum apa-apa, anda perlu menggambarkan Tajol yang business-minded ni memang akan selamanya terlibat dengan bisnes. Selain agensi pelancongan yang diurus sejak zaman belajar, main MLM sampai dapat tahap diamond saphire dan entah apa lagi, Tajol telah menggunakan kemudahan internet secara maksimum untuk mencari pelanggan untuk bermacam-macam bisnes yang lain. Siap main saham juga. Walaupun dia tak ada tower macam Donald Trump, boleh dikatakan dia ni kaya jugak sebenarnya.

Opie pula sejak lepas grad, memang kerja dengan Tajol. Mula-mula kerja part-time saja sebab nak tolong kawan. Masa itu dia sudah bekerja di sebuah syarikat anti-virus. Tetapi selepas tak tahan kena buli di syarikat itu, Opie pun kerja sepenuh masa dengan Tajol. Dia sanggup berhenti walaupun gaji yang Tajol tawarkan lebih sedikit daripada tempat kerja lama dan pejabat mereka hanya menumpang sebelah kedai henfon entah siapa pulak.

Tapi Opie redha saja sebab kalau disingkap sejarah, banyak bisnes yang Tajol mulakan mesti berjaya. Jadi Opie yakin Tajol mesti berjaya mengkayakan dirinya juga. Dan benarlah, Tajol sudah mampu menyewa pejabat yang lebih selesa. Beberapa tahun lagi, katanya nak beli bangunan. Dia ambil satu tingkat dan yang lain akan disewakan. Begitulah berwawasannya mamat bernama Tajol ni.

Berbalik kepada babak di kedai makan. Ketika Opie dan Tajol baru meng-order makanan, datanglah seorang perempuan terkocoh-kocoh berjalan dengan gaya makcik-makcik.

“Madi!” Opie terjerit.

“Opie!” Madi terus menerkam Opie untuk memeluknya. “Eh, rindunya aku kat kau ni. Kau sihat ke? Mak kau dengan bapak Suzana masih bersama ke?”

“Wah terus gosip. Tak berubah kau ya,” kata Opie.

“Eh, aku tanya khabar je, mana ada gosip. Tak baik mengumpat tau, berdosa.”

Tajol menolak kerusi supaya Madihah duduk. “Kau masih macam dulu eh?”

“Apa kau ingat aku dah anak dua, tak boleh jaga badan ke? Eh tolong sikit eh. Sejak ada anak ni, aku jadi manusia paling berdisiplin tau, tak sepah-sepah macam dulu. Entah-entah aku lagi pengemas dari Suzana,” kata Madihah dengan mulut termuncung-muncung.

“Aku tak tahu pun kau panggil Madi datang,” kata Opie sambil memandang Tajol, kemudian dialih pada Madihah, “Darius mana?”

“Dia bawa anak aku pusing naik kereta. Budak-budak tu tak nak turun daripada kereta. Aku tak boleh lama ni, nanti dia pusing se-round dua, aku baliklah,” beritahu Madihah.

Apabila pelayan menghantar air, Tajol menyuruh Madihah memesan minuman. Madihah enggan tetapi merembat milo ais Opie sebelum sempat tuan empunya minum terlebih dahulu.

Opie menjeling, tak puas hati. “Kata tak nak minum.”

“Ala, aku tumpang minum sikit je. Itu pun nak berkira. Sengal!” Sesudah menyedut air hampir suku gelas barulah Madihah berhenti menyedut lalu berkata, “Kau orang pergi ke reunion tu?”

“Aku tak pergi kot,” jawab Opie.

“Kau?” Madihah bertanya Tajol pula.

“Aku mesti pergi. Aku tengah memujuk si Opie ni. Kau faham-fahamlah.”

“Ala... apa nak dikisahkan sangat hal Adif tu. Sepatutnya kau tumpang gembira dia dah ada famili sendiri dan bahagia pulak,” kata Madihah. Bab mentarbiah orang memang nombor satu makcik ni.

“Siapa kata aku tak bahagia. Aku okey,” balas Opie, tergelak-gelak sambil mengangkat kedua ibu jarinya.

“Hmm, mengaku ajelah kau masih belum terima hakikat si Adif tu dah terlepas kat orang lain. Lepas tu kau rasa tak ada lelaki sebaik Adif tu kan?” duga Madihah.

“Kau ni... sesekali jumpa nak bersyarah pulak. Yang kau ni, tanya orang. Kau pergi tak?” tanya Opie.

“Mestilah aku pergi. Harapnya tak sama serentak dengan waktu Darius exam nanti.”

“Tak grad lagi pakcik tu? Itulah, masa belajar main-main,” ujar Tajol.

“Kau ni, tak baik tau. Darius tu tengah sambung master tau haa, kau jangan tak tau. Dia jadi cikgu sekarang. Bab-bab budak bermasalah memang dia selalu handle, maklumlah dia kan dulu macam itu. Kalau dia dah habis belajar nanti, dapat naik gred gaji haa terjamin sikitlah hidup kita orang nanti,” kata Madihah.

“Itulah kau... aku ajak kau kerja dengan aku, kau tak mahu,” kata Tajol.

“Mana sempat aku nak kerja Tajol. Budak-budak nak membesar, kalau aku nak kerja, siapa pula nak jaga anak-anak aku. Gaji Darius sekarang ni, bukan besar sangat pun,” bebel Madihah.

“Kau tahu kan aku outsource service center aku kat Filipina. Setakat nak setup kerja untuk kau, apalah sangat. Kau tengok Opie ni, walaupun tak kaya macam aku, masih boleh dikategorikan berjayalah juga. Kerja bukan susah sangat, manage dan forwardkan kerja yang masuk je untuk kakitangan kita orang,” beritahu Tajol.

“Kau pulak buat apa?” soal Madihah.

“Aku bos, mestilah duduk diam merangka kerja-kerja Opie dan melihat gambaran yang lebih besar,” balas Tajol lalu mengangkat-angkat kening.

Belum sempat Madihah menjawab, kedengaran bunyi hon di depan kedai makan tersebut.

“Eh, laki aku dah sampai,” kata Madihah.

Disebabkan tiada parkiran kosong, Darius hanya memberhentikan kereta di depan kedai tanpa turun.

“Kita sambung cerita reunion nanti eh? Kau datang Opie, kalau tak putus sahabat!” ugut Madihah. Kemudian menukar watak kembali ceria. Dengan badan bergoyang –goyang, macam menari dangdut pun ada juga, Madihah berkata, “Bye Opie, bye Tajol.”

Madihah berlari-lari anak juga gaya makcik-makcik mendapatkan Proton Saga BLM putih yang dipandu Darius itu. Sejurus berbalas lambaian, kereta itu hilang dari pandangan.


1 Disember 2014

Hari yang dinanti-nanti telah tiba. Tajol berjaya juga meyakinkan Opie untuk datang ke majlis reunion itu. Syaratnya, Tajol perlu melayan Opie seperti seorang awek kerana mereka akan berpura-pura menjadi couple untuk satu malam.

Event itu berlangsung di sebuah homestayberupa sebuah banglo. Lamannya luas. Terdapat dua buah kanopi dengan gerai-gerai kecil di tepi yang mana menyediakan pelbagai makanan. Ada jug sebuah pentas kecil dengan set audio di patio, berhadapan dengan kanopi-kanopi berkenaan.

“Cantik juga homestay ni eh? Menarik kalau bercuti kat sini,” kata Tajol sambil membukakan pintu buat Opie. Mereka terpaksa park di luar pagar sahaja sebab tiada ruang untuk kereta di laman banglo berkenaan.

“Itulah kau, pandang rendah lagi kat Bagan Lalang,” balas Opie lalu keluar. Kemudian membetul-betulkan kebaya yang dipakainya.

Tajol segera menutup pintu kereta dan menguncinya. Kemudian dia menyua lengan.

Opie mengerut dahi lalu memberi isyarat bertanya, ‘Kenapa?’

“Kau kan awek aku. Kenalah berlakon lebih sikit kalau nak meyakinkan orang kau dah move-on daripada sukakan Adif tu,” jawab Tajol tersengih.

“Tak payahlah Tajol. Cukuplah kita pakai baju warna sedondon ni.” Opie menolak tangan Tajol, seterusnya berjalan mendekati pagar yang terbuka. Tajol terkocoh-kocoh mengikut rentak langkah Opie.

“Hai! Selamat datang ke homestay aku!” Muka yang menyambut di pagar membuatkan mereka terkejut.

“Sariah?” Opie dan Tajol bertanya serentak. Tajol bertanya lagi, “Jadi, kaulah yang organize reunion ni?”

“Ya, akulah.” Sariah nampak agak berlainan tanpa trademarknya; spek gadang dan rambut ketak kejung yang diikat ketat. Dah rebonding kau. Dan rasanya kat mata dia tu, Glam Grey dari Lofalens. Sekurang-kurangnya gigi besar ketika tersenyum itu masih ada. Itu cukup meyakinkan mereka bahawa betullah itu Sariah.

“Kau punya homestay? Biar betul,” tanya Tajol.

“Jangan ingat kau sorang je yang pandai bisnes ya. Ini homestay aku yang ke 111. Alang-alang, baik aku promote kat kawan-kawan aku dulu. Sambil tu boleh jumpa-jumpa, borak-borak, makan-makan. Masuklah, semua dah ada rasanya,” kata Sariah.

“Err, semua?” tanya Opie, mula buat muka cuak semula.

“Kau tak nak jumpa Adif dengan Erika ya?” Sariah menunjuk jari ke muka Opie.

“Taklah. Aku okey,” balas Opie sambil tergelak-gelak.

“Dia dah move-onlah. Dia dah ada pengganti yang lebih handsome dan lebih kaya daripada Adif tau,” celah Tajol.

“Siapa?” tanya Sariah.

Tajol mengangkat ibu jari, menunjuk ke arah diri sendiri. “Ha, akulah.”

“Betul ke?” Sariah membulatkan mata.

Tajol mengangkat-angkat kening. Di belakang Sariah, Opie menggerakkan bibir mengucap, ‘Thank you.’ Hanya Tajol dapat melihatnya. Seperti biasa, Tajol hanya tersenyum.

“Dah, pergilah cari tempat kau orang. Kejap lagi majlis nak mula,” gesa Sariah.

Opie dan Tajol pun bergegas mencari nama-nama yang sudah diletak di atas meja. Sempat mereka bertemu dan bertegur sapa dengan beberapa pelakon tambahan sebelum menemui meja mereka di hadapan pentas. Mereka duduk semeja dengan Suzana, Anizah, Madihah, Darius, Yusof dan... Adif.

“Hai Adif,” sapa Opie. Kenapa macam nervous pulak ni.

“Hai Opie, kau okey ke?” tanya Adif sambil senyum.

“Aku okey,” balas Opie. Kenapa kau suka buat muka inesen Adif? Buat aku cair je.Sorrylah aku tak datang kau kahwin hari tu, aku tak sihat.” Opie tergelak-gelak, cuba kaver nervous.

“Tak apa, dah tak sihat nak buat macam mana. Kita tak boleh paksa diwi, kan,” jawab Adif dengan sebutan R yang pelat. Kekeke!

Belum sempat Opie bertanya apa maksud kata-kata Adif, Tajol mencelah. Dia bersalam dengan Adif lalu bertanya, “Erika mana?”

“Ewika tengah mabuk. Sebab tu aku datang seowang,” beritahu Adif tersipu-sipu.

“Tahniah bro. Kalau dah ada Adif junior nanti beritahulah kita orang. Kita orang mesti lawat bagi hadiah baek punya,” kata Tajol sambil memegang tangan Opie. Opie terkejut dengan tindakan Tajol, tapi dia layankan saja. Dia terangguk-angguk macam burung belatuk.

“Oh kau owang berdua ke sekawang? Baguslah, aku memang dah agak dah kau orang akan couple punya, sebab selalu bersama, kan. Aku happy untuk kau owang,” kata Adif sambil tersenyum. Kemudian serius pula ketika menambah, “Tapi kau orang kena ingat, tak baik bercinta lama-lama. Baik kau orang kahwin je, baru dapat keberkatan. Kap ba wo, kaf alif, taa nun – keberkatan.”

“Kita orang memang dah plan. Kau tunggu ajelah kad kita owang... eh kita orang,” kata Tajol dengan confident. Opie masih tergelak-gelak dan mengangguk.

“Amboi, jejak kasih beghia-ghia. Kot ya pun, takkan sembang bertiga aje?” sampuk Madihah di meja.

Opie baru tersedar. Dia bergegas berlaga-laga pipi dengan kawan-kawan lamanya. Madihah dia sudah jumpa tempohari. Yang lain-lain juga, walaupun sudah lama tidak bertemu, masih happening seperti dulu.

Majlis malam itu dimulakan dengan bacaan doa oleh entah ustaz mana Sariah cari. Kemudian Sariah sebagai penganjur memberi kata alu-aluan. Seterusnya bab kegemaran semua orang - makan. Dan tak semena-mena, baru sahaja Opie hendak memulakan second round, Sariah memanggilnya ke pentas untuk menyampaikan sebuah lagu.

Seberapa beria-ia Opie menolak, begitu juga beria-ia mereka menyuruh. Alasan si Sariah, dia dah taja semua, maka dia nak Opie taja suara selagu dua. Opie pun mengalah. Sedang dia membetul-betulkan baju, Tajol menghulur tangan. Setelah Opie sambut, Tajol memimpin Opie ke pentas. Opie menyampaikan lagu Elyana, Diriku Tapak Sulaiman. Maklumlah, ramai yang cakap dia seiras penyanyi comel itu. Bukan itu sahaja, suara pun sebiji sama.

“Tapak sulaiman konon,” ejek Madihah dengan bibir mencebik. Ketika itu Opie sudah kembali ke meja. Anizah dan Suzana yang duduk berhampiran dengan Madihah tersengih-sengih.

“Kau cakap apa ni?” Opie menjeling Adif yang sibuk berborak dengan Tajol dan Yusof di satu bahagian.

Suzana menyampuk. “I baru cakap dengan dia orang, you berdua dengan Tajol berlakon je.”

“Eh, aku dengan Tajol memang couple-lah. Kita orang dah lama dah bercinta ni. Kau je yang tak tahu,” gerutu Opie. Mahu saja ditunjal muka Suzana yang tebal mekapnya itu.

“Kau nak tipu Adif, boleh. Tapi kita orang ni kau tak boleh tipu tau,” kata Anizah.

Madihah mengangguk. “Tapi kan Opie, ada baiknya kalau kau betul-betul bercinta dengan Tajol. Dia tu pun boleh tahan apa.”

“A’ah, dia tu banyak duit kan?” Suzana menyampuk.

“Kau ni... duit aje.” Madihah merenung Suzana, tetapi kemudian bersetuju pula. “Tapi ya jugak. Kira kalau kau dengan dia, terjamin hidup tau. Dahlah kuat berusaha, kira okeylah nak dijadikan suami.”

Opie menggaru-garu dahi. “Kau orang ni..”

“Cuba bagitahu kita orang, apa yang kau kejarkan sangat si Adif tu?” tanya Anizah.

“Macam dah tak ada lelaki lain dalam dunia ni. Siap menangis bengkak mata masa Adif kawin, lepas tu kata cirit-birit, konon.” Madihah mengomel lagi.

Opie merenung Suzana sambil menuding jari. “Siap kau Suzana kat rumah nanti.”

“Tak payah nak marah Suzana pulak. Kalau dia tak cakap pun, semua orang tahu,” kata Madihah.

“Aku bukan... aku... aku,” kata Opie tersekat-sekat.

“Ha... confius-lah tu. Dari dulu tak berubah. Asyik konfiuss aje. Cubalah kau fikir, kau ni betul-betul sukakan Adif ke? Dulu masa kau minat Yusof, kau macam ini jugak. Itu Yusof, ini Yusof. Bila dah dapat, lain pulak. Kau jamin ke kalau kau dapat Adif dulu sebelum Erika, kau akan masih dengan dia sampai sekarang?” tanya Anizah.

Opie diam sebentar, cuba memikirkan rasional soalan Anizah sebentar tadi.

Adif tu bukan kategori handsome tapi dia baik. Antara lelaki yang lembut yang sopan, bukan lembut auw-auw tu. Paling best, Adif ni seorang pendengar yang baik. Mungkin itu yang membuatkan aku rasa macam rugi je bila Adif terlepas kat orang lain. Tak semua lelaki macam tu.

“Macamlah tak ada lelaki lain yang baik macam Adif,” kata Madihah pula.

“Eh, aku cakap kuat ke tadi?” tanya Opie sambil menutup mulut.

“Hmm, berangan sampai tak sedar berdrama kat situ. Nasib baik mamat tu tak dengar.” Madihah memuncung mulut ke arah Adif di sebelah sana.

Opie tersipu-sipu. Dia benar-benar ingat dia bercakap dalam hati, rupa-rupanya tidak. “Kau orang... kau orang janji dengan aku, jangan bocorkan rahsia aku kat orang lain eh? Malulah. Memanglah aku dengan Tajol tu berlakon je. Aku tak nak Adif perasan aku ada simpan perasaan lagi kat dia.”

“Ya, biar pecah di perut, jangan pecah di mulut,” kata Suzana.

“Kau diamlah Suzana. Aku tak percaya dah kat kau,” ujar Opie kepada kakak tirinya itiew.

“Eh, Suzana. Berdosa pecahkan rahsia-rahsia ni. Tak ada keberkatan betullah kau ni,” pesan Madihah.

“Ha, sekarang ni, kita orang nak kau selesaikan masalah kau yang satu ni once and for all supaya lepas ni, kau tak perlu berpura-pura lagi. Hidup dalam realiti Opie, pada masa nyata,” kata Anizah. Kebanyakan masa memang dia ni nampak paling matang. Mujurlah minah ni tak on dengan si Fazley gila tu. Kalau tak tahap kematangan dia mesti effected dan ikut terencat macam mamat tu jugak.

“Yalah, yalah. Tapi korang... aku nak buat apa eh?” soal Opie.

Madihah, Anizah dan Suzana terdiam. Bukan kerana tidak tahu jawapannya, tetapi kerana tiba-tiba pula Adif datang duduk di sebelah Opie. Dia bertanya, “Hei, kau owang cewita apa ni?”

“Cerita kisah-kisah lama kita kat U dulu,” balas Madihah, kemudian memandang Anizah dan Suzana, “Errr... kau orang tadi kata nak kambing panggang kan? Jom kita makan kambing.”

I tak suka kambinglah. Busuk,” ujar Suzana.

“Aku suruh kau makan tu, makan ajelah. Lagipun kambing boar tak busuklah. Sengal!” gerutu Madihah sambil menolak-nolak Suzana supaya berdiri kemudian tersengih-sengih apabila memandang Adif dan Opie.

Sejurus kemudian, Opie dan Adif ditinggalkan sendirian. Opie tidak tahu hendak memulakan cerita. Bimbang kalau buka mulut, yang terkeluar adalah, ‘I wove you... Eh I love you. Kenapa aku nak ikut pelat pulak ni.

“Kau dengan Tajol sewius eh?” tanya Adif.

“A’ah, kenapa?” tanya Opie pula.

“Taklah, aku tak sangka dia simpan pewasaan kat kau selama ni. Mula-mula dulu, dia mengalah sebab aku sukakan kau lepas tu kau pulak sukakan Yusof kan. Lepas tu, dia sibuk bisnes semua, tapi memang dia sukakan kau wupanya,” kata Adif.

“Dia cakap dengan kau ke?” tanya Opie. Sempat dia menjeling Tajol yang sibuk menghulur kad bisnes kepada sekelian yang ada.

“A’ah. Yalah, kalau bukan sebab dia sukakan kau, apa lagi alasan dia nak kau selalu dengan dia sampai kerja pun nak sama-sama, kan?” kata Adif lagi , masih tersenyum. “Setiap hawi kau dengan dia, tukar-tukar cerita macam zaman kita kat uni dulu.”

Eh, betul juga kan. Dalam tidak sedar, selama ini memang Tajollah tempat dia mengadu itu dan ini. Ini bermakna Tajol juga pendengar yang baik. Dia memang ada ciri-ciri lelaki yang aku suka. Tapi betul ke Tajol suka aku? Ke masih dalam watak lakonan?

“Aku dengan Ewika pun kadang-kadang cewita pasal kita jugak. Windu kan, zaman kat universiti dulu,” kata Adif, mengejutkan khayalan si Opie.

“Oh ya? Err, kau dan Erika dan scan ke, jantina baby?”

“Tak nampak lagi,” jawab Adif, tiba-tiba macam malu-malu pula. Macamlah aku tanya jantina dia.

“Kalau kau dapat anak perempuan nanti, bagi nama Sofia. Mesti cantik dan baik, macam aku,” kata Opie.

“Okey,” jawab Adif, lurus terangguk-angguk.

Opie senyum. Sebeban perasaannya seperti luruh dari hati. Entah kenapa dia berasa sedikit tenang. Mungkinkah ini tandanya aku sudah melepaskan Adif dengan rela?

Majlis berakhir jam 12 malam, tetapi masih ada beberapa orang yang tercongok di meja-meja terutamanya yang bujang. Ini termasuklah Opie, Tajol dan Yusof.

Opie sedang duduk sendirian ketika Tajol datang menghampirinya. “Fuh, lepas ni aku boleh pergi casting untuk berlakon filem sebab setakat ni semua orang percaya kita ni couple.”

“Apa yang kau cakap dengan Adif tu, betul ke?” tanya Opie.

“Pasal aku sukakan kau tu? Mestilah berlakon. Kalau tak Adif tak percaya kau dah okey.”

“Tapi kalau fikir balik, macam lojik juga, kan? Kenapa kau tak ajak Anizah kerja dengan kau, padahal dia lagi pandai daripada aku, atau Suzana sebab setahu aku, kau pernah sukakan dia, kan? Kenapa kau ajak aku buat pakatan masa season3 dulu?” tanya Opie lagi.

“Sebab kita bestfriend-lah. Kau ni kenapa nak marah-marah pula?” soal Tajol, kerut dahi.

“Aku bukan marah. Aku cuma nak tahu sebab, kalau kau suka aku, aku boleh faham. Dan aku rasa ada kebarangkalian juga untuk aku pun sukakan kau,” kata Opie.

“Kau cakap apa ni?” Tajol cuba mengelak.

“Cuba beritahu aku, kau pernah suka aku tak?” tanya Opie.

Tajol diam.

“Takkan sikit pun kau tak pernah sukakan aku?” tanya Opie lagi. “Tolak Darius suami orang tu, kat dalam cerita ni hanya ada tiga lelaki dalam batch kita yang selalu muncul – Adif, Yusof dengan kau. Aku heroin, takkan sekali pun kau tak pernah sukakan aku kot?”

Tajol menghela nafas panjang. Dramalah pulak. Tapi setelah berkira-kira akhirnya dia berkata, “Aku pun macam tapak sulaiman. Hanya menanti kesempatan, untuk kuluah segala. Pabila kau bersedia.”

Mata Opie jadi bulat sekejap. Siap hafal lirik pulak mamat ni, biar betul.

Tajul cepat-cepat menambah, “Tapi aku tak nak kau anggap aku buat kelakar. Kita kawan baik selama ni.”

Opie mengangguk, menunggu Tajol membuat pengakuan.

“Kalau aku kata aku betul-betul suka kau, kau okey ke?” tanya Tajol.

“Entahlah Tajol. Aku confius tiba-tiba. Maklumlah, aku ni confius orangnya,” jawab Opie.

Kedua-duanya diam seketika. Opie mengeluh lalu berkata, “Aku kena jual mahal sikit untuk bagi impak yang baik dalam babak ni. So...”

So?” Tajul bertanya tanda tak sabar.

Opie tiba-tiba senyum. “Apa kata, esok pagi lepas Subuh aku beritahu? Tapi aku janji. Jawapan aku tu adalah baik untuk kau dan baik untuk aku.”

“Kenapa tak cakap sekarang?”

“Biasa la... cerita cinta mesti nak kena dramatik sikit. Baru orang nak tengok sambungannya.”

“Jadi drama kita ada sambungannya?”

Opie herot-herotkan mulut. “Adalah kot. Nanti aku tanya penulis skrip dia, Cik Wan Hasliza. Sekarang kita balik dulu eh Tajol sayang.”

Tajol senyum pulak dipanggil sayang tadinya. Terus dia balas,“Okey.”

Malam itu pasti menjadi malam yang panjang untuk kedua-dua mereka. Sama panjang macam masa aku menunggu Dunia Baru Musim 4 dulu. Yang sudahnya keluar dengan Dunia Baru Reunion kat Gua.com.my yang gua rasa tak puas hati. Dan sampai sekarang aku tertanya-tanya apa entah sepatutnya jadi kat diorang Musim 4. Dan abaikanlah perenggan akhir ni sebab ini dah jadi monolog penulis dan tak ada kena-mengena dengan cerita kekeke...

Terima kasihlah siapa yang baca sampai habis. Mesti you ols pun rindu kat Dunia Baru macam I ols kan kan? Daaa....

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Adra Halif