Home Fans Fiction Komedi/Romantik Komedi Jika Masa Boleh Diputar Semula
Jika Masa Boleh Diputar Semula
11/7/2014 16:32:37
1,522
Kategori: Fans Fiction
Genre: Komedi/Romantik Komedi

“Aaaargh!!!” Jerit hatinya apabila Umairah mendapati keadaan disekelilingnya langsung tidak sama seperti kali terakhir dia melihat biliknya. Kepalanya berdenyut-denyut. Dahinya diurut-urut untuk melegakan peningnya. Dia berasa sejuk seperti ada pendingin hawa di dalam bilik asing tersebut.

‘Ni bukan bilik aku. Bilik aku mana ada air-cond.’ Dia terus bangun dari pembaringannya. ‘Sejuknya.’ Umairah memeluk tubuh. ‘Aik, bukan aku pakai t-shirt ke sebelum tidur tadi?’ Dia mati akal. Apa yang sudah terjadi pada dirinya langsung dia tidak tahu. Dia melihat tubuhnya dan alangkah terkejutnya apabila dia hanya memakai spaghetti strap dan berkain batik.

‘Apasal aku seksi sangat ni? Seumur hidup aku mana pernah pakai baju macam ni.’ Getus hatinya dengan gelisah. ‘Ya Allah, apa dah jadi ni?’

Tiba-tiba dia merasakan seperti ada sesuatu yang berlingkar di pinggangnya seperti benda itu cuba memeluknya. Bulu romanya meremang.

“Aaaahh!!!” Jeritnya sekuat hati dan terus melompat jauh dari katil. Tubuhnya diselubungi dengan selimut, cuba untuk menutupi badannya yang hampir tidak berbaju itu. Benda atau lebih tepat lagi seorang jejaka yang berada disebelahnya tadi terus terjaga apabila mendengar jeritan dari Umairah. Umairah menggigil ketakutan.

Jejaka itu mula menapak kearahnya. Dengan tidak berbaju dan hanya berseluar pendek paras lutut, jejaka yang berusia lewat 20-an itu mencangkung betul-betul dihadapannya dengan riak wajah yang pelik. Tubuhnya dipeluk dengan lebih kuat.

“Siapa kau, hah? Apa yang kau buat dekat aku? Kau nak rogol aku, eh?” Jeritnya cuba untuk menakutkan jejaka itu. Namun riak wajah jejaka itu langsung tidak berubah. Malahan, dia hanya memandang Umairah dengan pandangan kosong.

“Apasal kau diam? Jawablah!” gertaknya. Namun, tiada langsung jawapan yang keluar dari mulutnya. ‘Bisu ke apa mamat ni?’

“Jawablah! Bisu ke apa?” Jeritnya dengan lebih kuat.

“Apa yang awak merepek ni Umairah? Awak mengigau ke?” Suara serak basah lelaki itu menerpa telinganya dengan lembut. Matanya terbuntang luas. ‘Aku macam kenal je suara ni.’

Jejaka dihadapannya terus berdiri dan menuju ke bilik air. “Daripada awak tanya saya soalan yang bukan-bukan, lebih baik awak solat dulu. Subuh baru je masuk tadi.”

“Eh, kau tak payahlah nak berlagak alim sangat! Sekarang kau beritahu aku siapa sebenarnya kau. Kenapa kau culik aku? Dan mana kau tahu nama aku.”

Namun apa yang dia terima hanyalah pandangan kosong dan gelengan kepala jejaka tersebut sebelum dia memasuki bilik air. Umairah mengurut-urut kepalanya yang semakin berserabut. Dia cuba untuk menenangkan dirinya. Rambutnya yang panjang diikat. ‘Eh, sejak bila pula rambut aku panjang?’

Umairah terus mendapatkan cermin yang terdekat. Alangkah terkejutnya apabila pantulan yang terdapat dalam cermin itu lain daripada dirinya yang sebenar. Wajah yang terdapat dalam cermin itu memang dia tetapi kelihatan lebih matang. Badannya pula lebih tinggi dan berbentuk lebih kewanitaan. Rambutnya pula panjang dan ikal mayang.

“Dah ambil wuduk ke belum? Kita solat sama-sama.” Suara lelaki itu menghentikan lamunannya. Dengan serta merta tangannya memeluk tubuhnya dengan harapan supaya ia dapat menutup tubuhnya walaupun sedikit. “Jangan pandang.” Katanya sambil berlari ke bilik air.

Jejaka itu menjadi semakin pelik. “Jangan pandang? Heh, aku dah tengok lebih dari tu, Umairah.” Tuturnya dengan perlahan dan senyuman sinis terukir dibibirnya sambil membentangkan tikar sejadah. Usai mengambil wuduk, Umairah terus keluar dan memakai telekungnya dengan kelam-kabut.

‘Tak apa Umairah. Yang penting sekarang kau solat dulu. Lepas tu kau nak menjerit, jeritlah kuat-kuat.’ Fikirnya dan terus berdiri di belakang jejaka itu.


“So, boleh terangkan apa yang dah jadi sekarang?” Soal Umairah. Dia masih lagi bertelekung manakala jejaka itu pula sedang melipat sejadah.

“Terangkan apa?”

“Terangkan siapa kau yang sebenarnya, kenapa kau culik aku dengan macam mana kau boleh kenal aku.” Telekungnya masih lagi dipakainya. Jejaka itu mengeluh.

“Saya suami awak.” Jawabnya dengan selamba. Umairah terus terdiam kaku. Mulutnya terlopong, matanya terbuntang luas.

‘Suami awak…’

‘Suami awak…’

‘Suami awak…!’

“Hah?!” jeritnya dengan kuat.

“Hish, janganlah jerit. Bising. Dah tak ada apa-apa lagi yang dijelaskan. Baik sekarang awak sediakan sarapan dulu sementara saya siap.” Kata jejaka itu dan beredar ke bilik air untuk mandi.

“Eh, kejap, kejap. Umur kita sekarang berapa?” Tangan lelaki itu ditarik dengan kuat. Lelaki itu hanya mendengus.

“Saya 27, awak 26.” Jawabnya dan hilang disebalik pintu bilik air. ’26? Tuanya.’

Kuali yang berada di genggamannya dipanaskan. Batter pankek dituangkan ke dalam kuali. Fikirannya menjadi lebih serabut apabila dia cuba memikirkan situasi yang dia sedang hadapi sekarang. Apa yang dia tahu, malam semalam, sebelum dia tidur, dia masih lagi seorang gadis yang berusia 16 tahun. Tetapi selepas itu semua berubah apabila dia terjaga dari tidur dan berakhir dalam situasi dimana dia berada sekarang. Dia hanya mampu mengeluh.

“Mak!” Jeritan suara kanak-kanak menghentikan lamunannya. Pankeknya pula telah hangus akibat kuali yang terlalu panas. ‘Mak?’

Dia cuba mencari sumber suara itu. Di pintu dapur terdapat seorang kanak-kanak berusia 7 tahun lengkap berpakaian sekolah berdiri di situ dengan senyuman manis. Kening Umairah terangkat tinggi. Kanak-kanak yang lebih kecil lagi muncul disebelah kanak-kanak yang berusia 7 tahun itu. Dua-dua kanak-kanak itu adalah lelaki. Menyusul pula seorang kanak-kanak perempuan yang sedang memegang nak patung beruang di hadapan pintu. Umairah menjadi semakin janggal dan pelik.

“Mak! Lapar!” Jeritan kanak-kanak itu terus membuatkankepalanya semakin pening. ‘Uwaaa, I can’t take this anymore!’ Fikirnya dan seluruh tempat menjadi hitam. Umairah pengsan.

“Abang, mak pengsan!” Nazrin, anak kedua menarik baju abangnya dengan panic. Hana, anaknya yang ketiga menangis dan terus memeluk tubuh emaknya. Manakala Izaki, anaknya yang paling sulung berlari ke bilik untuk mendapatkan ayahnya.


“Apasal perangai Umairah pelik sangat hari ni?” ngomel Raid sendirian sambil membutangkan kemejanya. “Bangun-bangun je terus jadi macam tu..” Keluhnya sambil mengikat tali lehernya pula.

“Ayah! Mak pengsan!” izaki yang berada dihdapan pintu bilik tercungap-cungap kepenatan. Wajah Izaki panic.

“Ayah, mak pengsan dekat dapur!” Jeritnya sekali lagi dan menarik tangan Raid dengan kuat. Raid yang masih lagi cuba memproses apa yang sedang berlaku terus berlari ke dapur. Di dapur, terdapat sekujur tubuh yang tidak sedarkan diri di lantai.

“Ya Allah, macam mana mak boleh pengsan?” tanya Raid sambil mengangkat tubuh Umairah dan membaringkannya di sofa. Izaki yang berada di sebelahnya hanya menggeleng laju.

“Tadi Zaki masuk dapur. Lepas tu tiba-tiba mak pengsan.” Cerita Izaki. Raid yang berada di sisi Umairah pula cuba menenangkan Hana yang sedang menangis teresak-esak. Raid meletakkan belakang tapak tangannya di dahi Umairah.

“Nak kata demam, tak pula. Umairah, Umairah. Kenapalah hari ni kau pelik sangat?” Keluhnya dengan perlahan.

“Zaki duduk sini dengan Nazrin dan Hana. Tolong jaga mak sekejap.” Kata Raid dan berdiri lalu menuju ke dapur.

“Ayah nak pergi mana?” Jeritnya sambil mendukung Hana yang berusia empat tahun.

“Ayah buatkan sarapan. Lagi pun mak cuma penat je tu. Izaki, Nazrin dengan Hana tolong jagakan mak tau.” Ketiga-tiga anaknya mengangguk faham. Raid pula menuju ke dapur dan membuat sarapan.

‘Nak tak nak, hari Izaki kena juga pergi sekolah sebab hari ni dia ada ujian. Kalau tak ada memang aku dah suruh dia ponteng dah. Nampaknya kena day off lah hari ni.’ Keluhan berat dilepaskan.

Selepas bersarapan, Raid menghantar Izaki ke sekolah dan Nazrin ke tadika. Dia terpaksa membawa Hana bersamanya dan meninggalkan Umairah sendirian di rumah kerana tiada siapa yang dapat menjaga Hana ketika dia menghantar Izaki dan Nazrin ke sekolah dan tadika.


“Awak okey?” Tangan Umairah dipegang. Raid yang hampir terlelap terjaga semula apabila Umairah tersedar dari tidurnya. Risau sungguh Raid dibuatnya setelah hampir empat jam dia pengsan. Tangan yang dipegangnya ditarik dengan kasar. Umairah memandangnya dengan bengang.

“Saya okey. Tapi buat masa ni janganlah sentuh saya sewenang-wenangnya.” Ujarnya dengan kasar. Raid semakin pelik.

“Okey, okey. I’m sorry. Awak rehatlah dulu. Kalau lapar nanti awak cakap, saya masakkan.” Tangannya diangkat tanda mengalah. Hana yang sedang tidur terus terjaga apabila mendengar suara Umairah.

“Mama!” Hana memeluk Umairah dengan kuat. Umairah yang masih lagi terpinga-pinga hanya membalas semula pelukan Hana.

“Mama okey?” Umairah tidak tahu sama ada nak membahasakan dirinya Mak atau sebaliknya.

“Okey.” Jawabnya sepatah sambil tersenyum. Walhal, dalam fikirannya, dia hanya mampu menangis dan menjerit kerana dia langsung tidak tahu apa yang sedang berlaku sekarang. Raid yang berada di sebelahnya hanya tersenyum.

“Awak tahu,” Umairah bersuara. “Saya tak kenal siapa awak dan nama awak, tapi yang penting lepas budak kecil ni tidur, saya nak awak ceritakan semua benda yang saya tak tahu dekat saya.” Katanya sambil mendodoi Hana sehingga dia terlena. Raid yang berda disebelahnya hanya mengangguk.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.