“Bilik
untuk disewa.
Wanita
bekerjaya sahaja.
Lokasi:
Good Year Court Apartment, USJ.
Bilik
untuk seorang.
Rumah
dilengkapi perabot asas, dapur, mesin basuh, televisyen, dll.
Harga:
RM 100/sebulan.
Deposit sebulan sahaja.”
Apa lagi!
Mencanak lah Wati melihat iklan tersebut di satu ruangan iklan internet. Hampir
terjatuh telefon bimbit yang dipegangnya. Tergetar-getar dia membaca iklan
tersebut. Dibeleknya pula beberapa kali gambar bilik dan rumah yang disertakan
bersama, tidak lah semewah yang disangkakan. Tetapi teramat lah berbaloi dengan
kadar sewa yang dikenakan. Dia menyemak tarikh iklan itu dipaparkan.
28
Mac 2017
“Eh! Tarikh
dua hari lepas! Iklan baru lagi ni!”
Kadar
terujanya Wati dek iklan tersebut mungkin boleh diibaratkan bagai kera mendapat
bunga. Bunga - sejambak bunga ros merah yang mahal, dan dibeli dengan harga
hanya RM1. Lantas Wati tatal ke bawah skrin telefonnya. Mencari-cari butiran
empunya iklan. Tiada nama diletak. Hanyalah nombor untuk dihubungi. Cepat-cepat
Wati screenshot iklan tersebut. Kemudian, tangannya pantas mendail
nombor telefon yang ditinggalkan.
Keningnya
dikerut-kerutkan. Harapan setinggi gunung. Mengharapkan empunya iklan
mengangkat telefon, dan yang lebih penting, harapan agar bilik itu masih ada!
Harapan.
Tut Tut...Tut
Tut..Tut Tut…
Hanya bunyi
deringan kedengaran. Agak lama. Masih tiada orang yang mengangkatnya. Seka
beberapa minit, masih tidak berjawab. Wati mengeluh kasar. Harapan kian
memudar. Dia mematikan talian dan kembali membelek iklan tersebut. Di penghujung
bucu kanan, terdapat satu nota kecil.
Seller
says : Whatsapp preferred
“Aha! Bingo!”
Walaupun
mulutnya menyuratkan kegirangan, konon-kononnya empunya iklan hanya akan
melayan pertanyaan melalui mesej dalam aplikasi whatsapp, jauh di sudut
hati, tersuratnya, harapan Wati terus memudar. Sudah tentu ramai yang bertanya
dan sudah tentu juga bilik itu telah pun ditempah. Harga sewanya terlalu murah,
tambahan pula lokasinya yang strategik, terletak di pusat bandar Subang Jaya.
Wati gagahkan
juga menghantar satu mesej pesanan ringkas kepada empunya iklan.
-Hello.
Saya Wati dari Tanjung Malim, bekerja berdekatan area Taipan, USJ. Saya ada
terbaca iklan bilik untuk disewa di USJ yang cik letak di laman sesawang
Senang.My. Boleh saya tahu sekiranya bilik itu masih available?-
Waktu
dihantar: 3:30 pm.
Status: Pending.
Harapan Wati
menggunung ketika itu. Dia kemudian melihat status dalam talian empunya iklan.
Kenapa pending? Kenapa bukan double tick? Tak kisah la blue
double tick ataupun tidak. Janji double tick. Sekiranya single
tick macam sekarang, bermakna empunya iklan itu masih belum menerima
mesejnya. Hampa mula menguasai diri Wati.
Last
seen: today at 5:00 am.
Wati menggaru
kepala.
“Pukul 5 pagi
masih online? Jenis tak tidur malam ke apa dia ni. Lepas tu tak online
pulak tu sampai sekarang. Dah lewat tengah hari kot? Siang tidur malam berjaga
ke apa?” Bisiknya di dalam hati.
Wati melihat
gambar profil tuan empunya itu. Hanya gambar belakangnya kelihatan. Seorang
wanita yang berambut lurus, panjang sampai ke tengah belakang. Wajah? Tidak
nampak. Barangkali satu posisi yang disengajakan. Sedang menongkat dagu
menghadap luar tingkap.
“Ewww! Profile
picture entah apa-apa. Kalau ye pun nak posing ala-ala ada orang tengahsnap
masa dia tengah leka melihat pemandangan luar tingkap, letak lah gambar yang
cantik sikit. Ni dah la gambar gelap. Pemandangan kat luar pun tengah gelap
malam. Apa yang nak dinampaknya?” Gomel Wati di dalam hati tatkala melihat
gambar profil tuan empunya iklan itu - seorang wanita berambut lurus panjang -
yang menjengkelkan dia.
Diperhatikan
sekali lagi gambar itu. Bilik itu suram. Kurang pencahayaan. Rambutnya terlalu
lurus. Cantik sangat, panjang mengurai. Tapi terlalu cantik. Berkilat-kilat.
Dia mengenakan blouse berwarna putih ketika gambar itu diambil. Sekali imbas,
betul-betul ibarat (H._.N._.U).
Tidak
semena-mena bulu romanya menegak. Seram.
“Hehehehe!
Apa lah aku ni! Bukan-bukan je difikirkan,” pintas Wati sambil ketawa
keseorangan.
Selang 10
minit. Wati menyemak sama ada mesejnya telah pun dibaca. Masih belum diterima.
Masih tiada respon. Hampa.
**********
7.30 malam
Azan maghrib
kedengaran di ruang legar rumah kampung Wati. Sumbernya dari kaca televisyen.
Wati ketika itu baru saja selesai mandi. Letih berulang-alik dari Tanjung Malim
ke Subang Jaya. Saban hari, itu rutin hariannya, seawal pagi subuh lagi Wati
sudah pun tegak berdiri di platform stesen komuter Seremban. Perjalanan Tanjung
Malim - Subang Jaya amat panjang. Letih. Pergi dan baliknya kerja Wati tanpa
melihat sinar mentari. Namun digagahkan juga semangatnya, bagi mencari sumber
rezeki yang halal. Sebab itu lah dia terlalu tekun menelaah iklan-iklan bilik
untuk disewa. Dan yang penting, harus lah murah.
Bzztttttt!
Bzztttttt!
Gegaran
telefon bimbitnya kedengaran. Wati menggapai telefonnya yang diletakkan di atas
meja solek, sambil mengelap rambutnya dengan tuala. Dilihatnya sekali imbas,
ada makluman penerimaan mesej. Mesej dari empunya iklan itu! Tergelincat
kegirangan seketika. Wati mengabaikan buat sementara, setelah mengenakan
pakaian ringkas dan posisi yang selesa diambil, dia kembali membelek skrin
telefonnya. Mesejnya terbalas:
-Hello
Wati, ye bilik masih available. Berminat ke? - Izzah-
Wati terus
berdiri keseronokan. Dia meloncat-loncat anak setempat. Senyum? Bukan lagi.
Sengih? Ya. Berkali-kali dia membaca mesej itu untuk mengesahkannya.
“Izzah
- Agaknya itu nama tuan empunya iklan. Izzah ye?” Ngomelnya di dalam hati.
Tangannya terus ligat menaip sesuatu, untuk membalas mesej itu.
-Ye Izzah,
saya berminat. Boleh saya datang tengok rumah esok? Kalau semuanya OK, saya
terus bayar deposit. Deposit sebulan je kan?-
Tidak sampai
seminit, telefonnya bergegar buat kali kedua.
-Ok. Tapi
saya tiada di rumah esok. Kalau Wati nak tengok bilik, saya boleh tinggalkan
kunci rumah di bawah pelapik pasu bunga depan rumah. Ya, deposit sebulan, jadi
total RM 200 sahaja. Seratus deposit, seratus lagi untuk sewa untuk bulan ni.
Untuk pas sekuriti, Kalau Wati ada kenderaan, kena selesaikan sendiri dengan
pihak pengurusan. Sebulan 5 ringgit je untuk motosikal. Kalau bawa kereta 15
ringgit je.-
Hairan.
“Berani betul
perempuan ni nak tinggal kunci rumah macam tu je senang-senang? Aku ni totally
stranger kot? Ahhhh! Lantak lah! Janji aku dah dapat bilik sewa. Murah pula
tu! Hehehehe…”
-Wah. Ok.
Saya datang selepas habis waktu pejabat boleh?-
-Ok. Blok
A, no. A-5-11. Tahu kan apartmen ni kat mana?-
-Ye saya
tahu. Yang cat warna kuning tu kan? Depan kilang mee segera tu?-
-Betul.
Esok kalau setuju nak sewa bilik ni, whatsapp saya.-
-Baiklah!
Terima kasih Izzah!-
Ketika itu,
senyuman kegembiraan langsung tidak lekang dari bibir Wati. Dia terus
berlari-lari anak dengan langkah yang berirama, seakan-akan kawad kaki irama
bujang lapok, sambil bersiul menuju ke dapur. Berita gembira ini harus
disampaikan kepada ibunya secepat mungkin.
“Alhamdulillah…”
**********
Keesokan hari. 4:30 petang
Termengah-mengah
Wati menaiki anak tangga. Satu persatu. Hatinya mula menyedari mengapa bilik
itu lambat untuk mendapat penyewa, dan murah. Apartmen ini tidak dilengkapi
dengan sistem lif! Tapi bagi Wati, itu bukan lah halangan yang perlu
dibesar-besarkan, setakat memanjat anak tangga setinggi 5 tingkat, sudah biasa
dengan staminanya selaku bekas atlet olahraga.
Dulu lah.
Sekarang
adalah peluang terbaik Wati untuk mengembalikan kegemilangan, keupayaan dan
kekuatan jantungnya. Setakat ini, dari segi suasana persekitaran, dia masih
berpuas hati dengan apartmen tersebut. Persekitarannya bersih. Tidak lah
seperti yang dibayangkan. Tidak lah seperti flat kos rendah. Suasananya aman
damai, tersusun. Bahkan, anak tangganya turut dijaga rapi. Langsung tiada kesan
vandalisme dapat dikesan Wati. Yang ada pun hanyalah beberapa bau-bauan kurang
menyenangkan. Itu pun hanyalah bau tahi kucing. Nipis-nipis baunya.
Cuma suasana
agak suram di sepanjang laluan anak tangga. Suasana yang sedikit mengganggu
perasaan Wati. Kurang pencahayaan. Setibanya di tingkat 5, dia tercari-cari
nombor rumah yang dimaksudkan.
“A-5-1...A-5-2...A-5-3….”
ngomel Wati sendirian sambil memerhatikan satu demi satu nombor rumah yang
dipaparkan di atas muka pintu. Banyak rumah yang kosong. Tidak berpenghuni.
Ataupun mungkin ada penghuni, cuma penghuninya tersorok di dalam rumah. Suasana
di luar dan di dalam setiap rumah di kota raya ini tidak boleh jangkakan. Luar
kelihatan berhantu, dalam rumah dah macam kelas tadika punya riuhnya.
Tiba-tiba
Wati mengeluh, berdasarkan telahannya, rumah yang hendak dicarinya nun di
hujung sana. Paling hujung. Terpaksalah dia menyusuri laluan yang suram ini
setiap hari.
Takk…….Takk……..Takk………Takk………..
Kedengaran
bunyi tapak kaki di penghujung koridor, sedang menaiki anak tangga,
membelakangi Wati. Bunyinya persis bunyi kasut terompah. Hairan. Masih ada
orang yang memakai terompah. Wati hanya mengendahkan bunyi terompah tersebut.
Tidak menoleh ke belakang dan hanya meneruskan perjalanan.
Takk..Takk..Takk..Takkk..Takkkk..Takkkkk…...
Bunyi
terompah itu semakin laju, mempercepatkan langkahnya. Semakin lama semakin
menghampiri Wati, terasa bunyi itu betul-betul di belakangnya. Pantas Wati
menoleh.
Kosong!
Yang ada
hanyalah kelipan lampu koridor. Sekejap menyala, sekejap tidak. Hairan. Wati
menggaru kepalanya sambil mengangkat kedua-dua belah bahunya menunjukkan bahasa
badan “tidak tahu”. Langkahnya dipercepatkan, selaju yang mungkin.
“Haaa..jumpa
pun..A-5-11,” ujar Wati, sedikit gembira tatkala tiba di hadapan rumah yang
bakal disewanya.
Matanya
meleret ke beberapa pasu bunga yang disusun di koridor laluan masuk rumah itu.
Segera dia menggagau, meraba-raba mencari kunci. Hati kecilnya tersenyum. Pasu
bunga yang dia gambarkan tatkala membaca mesej Izzah seakan-akan pasu bunga di
taman-taman. Mekar bunganya. Harum semerbak. Ini tidak. Hanya ada pasu dan
tanah. Tiada bunga. Hati kecilnya mengekek sedikit.
Setelah kunci
diperolehi, dan mangga dibuka, Wati cuba memegang tombol untuk membuka pintu
tetapi secara tiba-tiba dia menarik tangannya dengan laju menjauhi tombol pintu
itu. Seakan-akan direnjat kejutan elektrik. Tombol pintu itu sejuk sekali.
Sangat sejuk. Ibarat terletaknya bukit ais disebalik daun pintu ini. Wati
membelek-belek kembali tombol pintu itu. Tiada yang aneh. Cubaan keduanya
berjaya. Tidak lagi sejuk. Mungkin tadi hanya mainan perasaan.
“Bismillah….”
Krrrreeeekkkkkkkkk…….
Bunyi
berkeriut pintu kedengaran. Sebaik melangkah masuk, Wati terkejut. Sangkaannya
meleset. Dia menyangkakan angker rumah itu sama seperti keadaan di luar. Tidak.
Rumah itu kemas. Bersih. Tenang. Nyaman. Beberapa perabot asas tersusun kemas.
Ruang tamu dihampar dengan permaidani yang sangat cantik. Berwarna
merah-kehitaman. Satu senyuman diukirkan. Di sudut kanan, terdapat satu bilik.
Pintunya ditutup. Wati cuba membukanya, tetapi berkunci.
“Ahh! Mungkin
ini bilik Izzah.”
Dia
kemudiannya menuju ke satu lagi bilik kosong, yang terbuka luas. Bilik itu
hampir kosong. Yang ada hanyalah kipas dan katil bujang. Ruangnya agak luas.
Dengan kadar sewa yang amat murah, bilik itu terlalu berbaloi. Di samping
dengan kemudahan lain di rumah yang serba serbi lengkap untuk orang bujang. Dia
menoleh ke bilik yang lagi satu, bersebelahan dengan dapur. Bilik itu sedikit
sempit jika nak dibandingkan dengan bilik yang dimasukinya sebentar tadi. Dari
jauh, kelihatan bilik itu dipenuhi dengan barang-barang. Seakan-akan stor.
“Rasa-rasanya
bilik kosong ini lah kot bilik aku. Ini dah cukup berbaloi. Jangan lepaskan
peluang ini.”
“Terbaeeekk..”
Wati meniru ayat terkenal karakatur Boboboi.
**********
Sedang
menanti ketibaan komuter, Wati cuba menghubungi Izzah. Tetap sama. Deringnya
ada, tetapi tidak diangkat. Asap amarah kecil mula menguasai dirinya. Dari
tadi, di rumah sewa tadi, masih tidak berjawab. Wati ingin membayar wang
deposit, khuatir bilik itu dikebas orang. Pasrah, dia hanya menghantarkan
pesanan ringkas melalui aplikasi WhatsApp.
-Salam
Izzah. Saya setuju nak sewa bilik itu. Boleh saya masuk secepat mungkin? Dan
bila Izzah free? Saya nak jumpa, nak bayar duit deposit-
Dia hanya
mengeluh kecil, mengharapkan respon positif.
**********
8:00 malam
Telefon
bimbitnya bergegar, menandakan notifikasi penerimaan pesanan ringkas. Sebaik
selesai sahaja Solat Maghrib, Wati terus menerpa mencapai telefon bimbitnya.
Sangkaannya tepat! Izzah membalas pesanan ringkasnya.
-Ye Wati.
Awak boleh masuk bila-bila masa. Kunci yang ditinggalkan di pasu tu memang
disediakan untuk penyewa.-
Wati terus
tersenyum lebar sambil menaip sesuatu, membalas mesej itu.
-Baiklah,
terima kasih. Kalau macam tu hujung minggu ni lah ye saya datang bawa
barang-barang. Nak tanya, deposit macam mana saya nak bayar ye?-
-Sabtu
dengan Ahad ni saya tiada di rumah. Ahad malam baru saya ada. Tapi tak apa,
awak boleh pindah masuk dulu. Untuk bayaran deposit, awak boleh masukkan dalam
sampul, dan selitkan je bawah pintu bilik saya. Tolak ke dalam bilik. Nanti saya
ambil.-
-Ok.
Terima kasih. (" ,)-
-(^o^) sama-sama-
Sekali lagi
dia berjalan irama bujang lapok, sambil bersiul, mencari ibunya.
**********
Ahad, 5.30 petang
Usai mengemas
kesemua barangnya, Wati tersandar keletihan. Lututnya lemah terketar-ketar.
Letih berulang alik dari bawah ke tingkat 5 untuk mengangkat kesemua barangnya.
Mujur abang dan kakak saudaranya datang membantu. Kalau tidak, lepas maghrib
lah gamaknya baru selesai. Sambil berbaring, Wati bersiul-siul kegembiraan.
Baru dia sedar, siling biliknya turut dihiasi dengan beberapa corak menarik,
berbunga-bunga di setiap penjuru. Cantik. Sambil memerhatikan corak-corak di
syiling, matanya semakin berat melayan keletihan. Wati terlelap. Keletihan.
Krrrreeeekkkkkkkkk…….
Bunyi pintu
dibuka yang menyedarkan Wati dari tidur. Wati menggapai telefon yang diletakkan
di sebelahnya dan melihat sesuatu di skrin telefeon. Sudah 7.30 malam.
“Astaga..lama
juga aku tertidur..”
Sambil
menggeliat kecil, dia mengambil masa beberapa minit untuk menghilangkan mamai
tidur sebelum bangun sepenuhnya. Ototnya diregang-regangkan bagi mencari
kelegaan. Wati melangkah keluar bilik, mencari gerangan pembuka pintu rumahnya.
Tekaannya, Izzah sudahpun pulang, memandangkan esok hari bekerja. Tetapi
kelibat Izzah tidak kelihatan. Bahkan pintu rumah tertutup rapat. Wati berjalan
menghampiri bilik Izzah, dan terlihat cahaya lampu di sebalik celahan pintu
biliknya. Biliknya masih tertutup rapat.
“Betul
lah..Izzah sudah pulang.”
Niatnya untuk
bertegur sapa terbantut, memikirkan mungkin Izzah keletihan.
“Nanti lah…”
**********
9.00 malam
Di sebalik
kelekaan menonton televisyen, Wati kehairanan. Izzah masih belum keluar dari
biliknya. Bahkan sebarang bunyi mahupun aktiviti pergerakan tidak didengari.
Wati cuba untuk tidak terlalu menjaga tepi kain orang. Dia menumpukan pasang
matanya ke arah kaca televisyen, sambil menghirup kuah mee segera yang baru
dimasaknya sebentar tadi.
“Tak kan
balik terus tidur? Bunyi bilik air dalam bilik dia pun tak dengar..Ahh!
Lantaklah..”
Slurrrpppp….
**********
Khamis. Hari keempat di rumah
baru. 7.30 pagi
Selesai
bersiap, Wati melangkah keluar dari biliknya untuk ke tempat kerja. Sempat dia
menjeling ke arah celahan pintu bilik Izzah. Sudahpun gelap. Sunyi sepi.
“Dah keluar
rasanya si Izzah ni. Adoi! Nak berkenalan pun susah. Entah-entah dia memang
jenis yang tak kawan dengan orang. Lantak lah. Aku pun dah lambat ni.”
Sesampainya
ke tempat kerja, Wati menegur kesemua rakan sekerjanya. Semua orang tahu dan
kenal Wati. Dia peramah. Perwatakan cerianya selalu menghidupkan suasana di
pejabat. Pendek kata, sekiranya pejabat sunyi sepi, tekaan pertama kakitangan
di situ, “Wati cuti ke?”
“Wati!
Amacam? Dah selesai ke urusan pindah masuk bilik sewa baru kau tu?” Tanya Amy,
seorang pengkid yang merupakan rakan karibnya sejak dari hari pertama bekerja
lagi. Mulutnya tidak pernah berhenti dari mengunyah gula-gula getah.
“Ok lah.
Tulang belakang retak je. Hahaha! Penat weh mengangkat barang naik tingkat 5.”
“Laaa..lif?”
Geleng.
“Hahahahahahaha!”
Hanya gelak tawa besar dihadiahkan Amy.
“Kau pergi
mana? Lama tak nampak?”
“Aku cuti lah
bahalol. Pergi bercuti dengan awek aku.”
Diam
seketika.
“Amy..aku
ragu-ragu sikit lah dengan house mate aku tu.”
“Apasal weh?”
“Kau nak
tahu, aku tak pernah lagi jumpa dia.”
“Aik? Macam
mana tu?”
“Selama ni,
aku deal dengan dia by fon je. Whatsapp. Aku call tak
pernah diangkatnya. Jumpa sekali imbas pun tak pernah. Kunci rumah pun dia main
tinggal je kat pasu depan rumah.”
“Hahahaha..weirdo
dowh teman baru kau.”
“Sepanjang
aku duduk di rumah tu, walaupun sebumbung, tak pernah lagi terserempak. Padahal
dia ada je dalam bilik. Dah maghrib baru balik rumah, entah dari mana. Lepas tu
terperap dalam bilik sorang-sorang. Apa yang dibuat entah di dalam tu, sunyi
sepi je. Lepas tu siang esok terus hilang.”
“Wahhhh..pelik
ni.”
“Ada sekali
tu, aku ketuk pintu bilik dia, nak menyibuk.”
“Hahaha!
Lepas tu?”
“No
respond at all!” Ujar Wati sambil menggenggam kedua-dua penumbuknya, tanda
geram.
“Hahahahahahaha!”
“Eyh. Kau ni
Amy! Gelak je dari tadi. Aku dah sampai naik takut tau tak?”
“Jangan-jangan
house mate kau tu………………….”
“Apaa???????”
“Hannnttttttt……..”
usik Amy sambil memuncung-muncung kan bibirnya.
“Bodoh la
kau!”
“Hahahaha..rileks
la, aku bergurau je. Habis tu aku nak tanya, macam mana kau bayar duit sewa,
duit deposit kalau tak pernah jumpa dia?”
Diam.
Wati menepuk
dahinya.
“Allah! Aku
lupa! Aku tak bayar lagi duit rumah! Dia pesan suruh masukkan bawah pintu bilik
dia je! Sebab tu la Izzah tu tak nak layan aku kot,” kata Wati sambil terus
menepuk-nepuk dahinya.
“Kau tu yang
ngeng.”
**********
Khamis. 8:30 malam
Deposit
berserta wang sewa bulan ini disisip kemas di dalam sampul surat bersaiz A4.
Tidak padan dengan nilai wang yang agak kecil. Hanya sampul bersaiz besar itu
yang dijumpanya. Disamping itu, dikepilkan sekali satu nota ringkas:
“Izzah, ni
bayaran deposit dan sewa rumah untuk bulan ni. Wati minta maaf sebab terlambat.
Wati betul-betul terlupa. Maaf terlambat.”
Tatkala Wati
berdiri di hadapan bilik teman serumahnya, keadaan masih sunyi sepi. Tetapi di
sebalik celahan pintu, cahaya lampu masih terang melimpahi segenap ruang.
Tukk! Tukk!
Tukk!
3 kali
ketukan ganjil pintu bilik. Sengaja Wati ingin mencuba nasib. Mana tahu, jika
nasibnya baik, mungkin Izzah tengah mood ceria, dibukanya pintu. Tapi
cubaannya membawa kepada kehampaan. Sunyi sepi. Lantas Wati hanya menolak
sampul berisi wang itu melalui bawah pintu. Ditolaknya dengan sedikit tenaga
agar ianya menerjah ke ruang tengah bilik. Ketika ingin beredar, ragu-ragu mula
timbul. Apa lah gerangan yang sering dilakukan oleh Izzah di sebalik pintu ini.
Tidak berpuas hati, Wati terfikirkan sesuatu.
“Apa kata
kalau aku menghendap?” kata-kata hati Wati sambil merenung lubang kunci pintu
bilik tersebut.
Tidak
berlengah, terus Wati membongkokkan badan, menutup sebelah matanya, dan
menghendap melalui celahan lubang kunci itu. Diperhatikan dengan teliti. Di
penjuru kanan, terdapat sebuah katil yang dikenakan cadar berwarna putih,
berserta set bantal bercorak bunga. Biliknya kosong dan tampak kemas. Alat
solek kelihatan penuh disusun kemas di hadapan meja sisi. Barangkali itu lah
meja soleknya dek satu cermin kecil diletakkan di atas meja itu. Wati meluaskan
pandangannya, agak sukar penglihatannya dengan celahan yang agak terhad itu.
Kelibat Izzah
langsung tidak kelihatan, hanya bunyi mandian di bilik air dalam biliknya.
“Ohhh..tengah
mandi kot.”
Selang
beberapa saat, tiada lagi bunyi pancuran air kedengaran. Mungkin sudah selesai.
Bunyi pintu bilik air kedengaran dibuka. Wati masih setia menghendap. Tidak
tahu malu agaknya. Tertonggek-tonggek diluar. Tatkala pintu bilik air dibuka,
hidung Wati menangkap satu haruman yang sangat wangi. Terlalu harum baunya.
Tetapi harum yang pelik dan jelik.
“Sabun apa
Izzah ni pakai. Pelik baunya.”
Wati terfikir
sejenak. Bauan itu pernah dibaunya. Oh! Bau bunga kemboja, mungkin bau air
mawar yang bercampur dengan bau kemenyan yang telah dibakar. Bauan yang Wati
terhidu semasa kematian bapa saudaranya. Menusuk hidung tengik wanginya. Anak
matanya cuba diperbesarkan. Hasratnya cuma satu, ingin melihat Izzah, walaupun
sekali, walaupun dengan cara jelik yang dia tengah lakukan sekarang. Tiada
bunyi tapak kaki kedengaran, yang ada hanyalah haruman yang menaikkan bulu roma
Wati itu, haruman yang mengingatkan dia kepada kematian.
Sedang Wati
memberikan sepenuh perhatian. Tiba-tiba jerkahan kedengaran.
“APA KAU
TENGOK HAHH???!!!!!!”
Terduduk Wati
ketika itu. Jantungnya bagai nak pecah. Terkejut. Sempat dia perhatikan, mata
Izzah membalas hendapan di sebalik celahan itu. Anak mata yang hitam legam,
separuh wajahnya tidak kelihatan, ditutupi rambutnya yang basah. Kulit muka
Izzah pucat. Seperti mayat. Seram! Terkejut Wati. Bersenoyong Wati berlari ke biliknya
ketakutan. Terus mengunci pintu biliknya dan menyorok di sebalik selimut.
Tanggannya masih menggigil.
Bzztttttt!
Bzztttttt!
Telefon
bimbitnya bergegar.
-Jangan
kacau. Sibuk.-
Bzztttttt!
Bzztttttt!
Telefon
bimbitnya bergegar buat kali kedua.
-Terima
kasih untuk bayaran-
**********
Isnin, 10 pagi.
Peristiwa
yang berlaku tatkala Wati menghendap bilik Izzah masih kuat menghantui
fikirannya. Walaupun sudah hampir 4 hari berlalu. Saban hari, dia semakin fobia
untuk melintasi bilik Izzah. Izzah masih sama dengan rutin hariannya. Biliknya
hanya cerah menjelang malam, dan menghilangkan diri di siang hari. Masih belum
bersua muka. Kadang-kadang fikirannya menyeleweng dari norma fikiran manusia
biasa. Mungkin Izzah bukan manusia, mungkin Izzah makhluk Allah yang lain.
“Ahhh!
Merepek lah aku ni! Mesti lah dia marah. Kalau aku pun marah ada orang hendap
bilik aku. Baru lepas mandi pulak tu. Macam orang gila seks!” Telahan di
hatinya, cuba untuk menyedapkan perasaan.
“Woi berangan
apa tu!!” Sapa Amy sambil menepuk kuat bahu Wati. Terkejut beruk dibuatnya.
Nyaris Wati menghadiahkan maki hamun kepada pengkid itu.
“Hish kau ni!
Terkejut aku.”
“Hahahahaha..weh
Amy kau ni apa hal?”
“Apa hal??”
“Jangan lah
marah.”
Wati
mengendahkan Amy dan meneruskan kerjanya.
“Aku tengok
kau macam pelik je Wati. Selalu kau kan ceria. Dah berapa hari dah kau senyap
je. Senyum pun dah kurang.”
“Aku OK lah.
Tak der paper.”
“Kau nak
kencing aku silap orang la derr.”
Diam.
Wati
menghentikan kerjanya dan mengajak Amy ke pantri menggunakan isyarat tangan.
Setibanya di pantri, Wati mula menyusun ayatnya, bersedia untuk menceritakan
sesuatu kepada rakan “lelaki” nya itu.
“Aku rasa
kan, housemate aku tu hantu la.”
“Hahahahahahahahahahaha!”
Amy terus ketawa berdekah-dekah. Dia terhenti setelah dicubit Wati. Sambil
melihat sekeliling, khuatir ketawanya tadi didengari orang lain, Amy terus
menutup mulutnya menahan ketawa.
“Ni aku malas
cerita kat orang ni.”
“Ok..ok..ok..ok…sorry-sorry,”
ujar Amy sambil menahan ketawa.
“Aku serius
ni. Kau ketawa pula.”
“Ok. Cuba
cerita. Mana tahu aku boleh tolong…..”
**********
8:00 malam
Ting! Tong!
Bunyi loceng
pintu rumah utama kedengaran. Pintu dibuka. Kelihatan Wati berdiri ceria
dihadapan pintu, menyambut ketibaan Amy.
“Amy rupanya!
Kawan Wati kan? Masuklah. Wati tak der kat rumah. Dia keluar kot.”
Amy kehairanan.
Dia memerhatikan Wati, mengenakan baju blouse@gaun serba putih, dan memakai
rambut palsu yang lurus, sepanjang tengah belakang.
“Kau buang
tabiat ke apa Wati??”
“Eh! Wati
keluar tadi. Saya Izzah, bukan Wati. Masuk la dulu. Duduk dulu kat sofa tu.
Nanti Wati balik lah kot.”
Amy hanya
membiarkan jenaka Wati.
“Sahih dia ni
dah gila, dah masuk air semenjak dapat housemate hantu ni,” bisik Amy di dalam
hatinya.
Amy
memerhatikan telatah Wati, gerak geri tubuhnya pelik. Pergerakannya, cara dia berjalan
dan senyum, semuanya pelik dan aneh. Ibarat pergerakan orang lain, bukan lah
seperti Wati yang dikenalinya. Amy tercium bau wangian yang dipakai Wati,
pelik. Dia mengenakan minyak wangi yang berbau aneh. Nak kata bau minyak attar,
bukan, bau bunga pun bukan juga. Wati hanya tersenyum kepadanya dari tadi.
Selang beberapa ketika, Wati bangun dan menuju ke dapur sambil berpesan kepada
Amy:
“Amy duduk la
dulu ye. Izzah buatkan air teh. Ke nak kopi?”
“Bodoh lah
kau ni. Hahaha! Nak sangat jadi Izzah apa hal?? Hahahah! Bagi teh tarik kaw dah
lah Wati. Malam-malam ni best teh tarik.”
Wati bingkas
menuju ke dapur, menyediakan air. Di saat itu, Amy memerhatikan keadaan
sekeliling. Tiada apa yang aneh. Rumahnya kemas, bersih dan tenang sekali.
Hanya bau wangian yang dipakai Wati sebentar tadi sedikit menganggu
konsentrasinya. Amy bangun dan berlegar-legar, sempat dia menjeling ke arah
dapur. Kelihatan Wati sedang menyediakan sesuatu, sementara menunggu air yang
di masaknya mendidih. Melihat kealpaan Wati, Amy terus menyelinap ke dalam
bilik Wati. Tiada yang aneh. Hanya sedikit bersepah. Biasa lah, bujang. Amy
kemudiannya perlahan-lahan menuju ke bilik utama yang pintunya tertutup.
Sangkaannya, itu bilik Izzah memandangkan satu lagi bilik kelihatan ibarat
stor, bilik yang dikatakan Wati kononnya bilik hantu teman serumahnya itu.
Amy cuba
memulas tombol pintu bilik itu, tidak berkunci! Apa lagi, terus ditolaknya daun
pintu itu seluas-luas yang mungkin. Tidak pula Amy terus terjah masuk ke dalam
bilik itu, mungkin perasaan takut tetap ada, walaupun kononnya berani. Dari
luar, Amy tercegat memerhatikan keadaan dalam bilik itu. Bilik itu ibarat bilik
orang biasa. Tiada yang aneh. Tidak menyeramkan. Cuma bau wangian yang tidak
menyenangkan memenuhi ruang bilik itu. Wangian yang sama dipakai Wati sebentar
tadi. Dari pemerhatian Amy, memang ada seseorang yang tinggal di situ. Maknanya
Izzah wujud.
Amy
kemudiannya melangkah masuk, dan mula memerhatikan satu demi satu barang-barang
yang terdapat di dalam bilik itu. Kesemuanya barang-barang yang boleh
dijangkakan untuk ditemui di dalam bilik seorang wanita bujang. Tiada yang
pelik. Dia kemudiannya membuka pintu gelangsar almari pakaian. Baju-baju penuh
digantung di dalam almari tersebut. Amy mula memerhatikan beberapa helai baju
dan menyedari sesuatu. Dia kenal benar baju-baju yang sedang dipegangnya.
“Eh! Ini
bukan baju Wati ke??” Tanya Amy kehairanan sambil membelek-belek baju-baju yang
sedang tergantung itu. Matanya kemudian terlirik kepada satu gambar kecil yang
ditampal di tepi dinding almari. Sah! Itu gambar Wati. Amy kemudiannya mula
menyedari satu demi satu barang yang disimpan di situ, hampir semua pernah
dilihatnya. Barangan milik Wati. Dari kasut yang disimpan di belakang pintu itu
hinggalah ke beberapa buah beg tangan yang tersusun di penjuru sana. Itu semua
Amy kenal! Itu milik Wati. Kelengkapan yang sering dilihatnya di pejabat,
kelengkapan yang seringkali digayakan oleh Wati.
Kenapa barang
Wati ada di sini?
Ingatkan
bilik ni bilik Izzah?
Siapa Izzah?
Dan apa kaitannya dengan Wati?
Mungkin??
Adakah???? Itu sebabnya Wati tak pernah berjumpa Izzah??
Jangan...jangan……….!!!!!!!!
“APA KAU
TENGOK HAHH???!!!!!!”
Tidak
semena-mena satu jerkahan kedengaran di muka pintu. Wati sedang berdiri di
hadapan pintu. Di tangannya tergenggam erat sebilah pisau. Matanya terbeliak,
menjegil memandang tajam wajah Amy. Dadanya berombak-ombak seperti menahan
marah. Ketika itu Amy gusar, gusar sesuatu yang buruk bakal menimpa dirinya,
tambahan lagi ketika dia melihat Wati sedang menggenggam erat pisau tersebut.
Seakan-akan ingin menikam dirinya.
“Watiiiii….bawa
bertenang. Kau OK ke?”
“Kau buat apa
dalam bilik aku?”
“Aku nak
tengok-tengok kan je Wati. Kau yang minta tolong kan?”
“Keluar!”
“Kau OK ke
tak ni Wati?”
“Aku Izzah
lah! IZZAHHH!!! Kau pekak ke apa? Wati sewa bilik di sana! Ini bilik aku!!”
Segalanya
berlaku dengan pantas. Secara tiba-tiba Wati meluru dan menikam perut Amy dengan
pisau yang digenggamnya.
“Hahahahaha!”
Amy terjatuh
kesakitan, terguling-guling menahan pancutan darah yang keluar dari perut
hadapannya. Sedang Amy masih meraung menanggung kesakitan tikaman yang pertama,
tikaman kedua hinggap di pinggang kirinya. Mata depan pisau itu kelihatan
terkeluar, menembusi bahagian perut hadapannya. Dengan sekali sentapan, Wati
menarik semula pisau tersebut. Memancutlah darah dari pinggangnya. Merah pekat.
Jeritan kesakitan Amy berselang seli dengan ketawa histeria Wati. Wati? Ataupun
Izzah?
“Hahahahahahaha!”
Selang
beberapa minit, hanya hilaian ketawa Wati kedengaran. Tiada lagi bunyi raungan
dari Amy. Tubuhnya terkujur kaku, bergelimpangan dengan darah merah pekat
bercampur hitam. Tidak berpuas hati, Wati@Izzah terus menikam bertubi-tubi,
walaupun Amy tidak lagi bergerak. Dan diakhiri dengan satu tikaman kuat di
leher Amy.
Ghhroookkkkkk……srisssshhhhhhhhh!!
Hanya bunyi
darah memancut dari leher Amy kedengaran ketika itu, persis bunyi sembelihan
lembu. Bunyi darah yang memancut deras dan kadang-kadang tersangkut.
Mati.
**********
Setahun kemudian.
Peristiwa
kematian dua orang gadis di apartmen tersebut tidak lah tersebar dengan meluas,
bahkan tidak mendapat sebarang liputan media. Hanya penghuni blok tersebut dan
segelintir orang berdekatan yang tahu dengan peristiwa hitam itu. Itu pun hanya
tahu berita secara dasar, tanpa perincian. Memang lumrah mereka, menjaga kain
masing-masing perlu diutamakan. Satu peristiwa hitam yang dikatakan seorang
gadis dan seorang separuh gadis yakni pengkid saling berbunuhan. Masing-masing
berlumuran dengan darah hasil tikaman. #Cerita 1. Ada yang mengatakan pengkid
itu dibunuh gadis itu, dan kemudian dia membunuh dirinya sendiri. #Cerita 2.
Ada juga yang mengatakan kedua-kedua mereka telah dirasuk untuk membunuh sesama
sendiri oleh makhluk yang sekian lama menghuni rumah tersebut #Cerita 3. Dan
yang terakhir, ada yang mengatakan mereka berdua dibunuh secara terus oleh makhluk
yang menghuni rumah tersebut #Cerita 4.
Tetapi tiada
siapa peduli. Masing-masing meneruskan kehidupan seharian mereka. Hanya sekejap
sahaja riuhnya.
Nun jauh di
utara, di satu pekan di kawasan luar bandar, terdengar jeritan seorang gadis.
Jeritan terkinja-kinja kegembiraan. Mana tidaknya, gadis itu masih lagi
bergelar pelajar, dan akan menjalankan latihan industri di Subang Jaya tidak
lama lagi. Sudah hampir berputus asa, gadis itu gembira dan bersyukur ya amat
dengan satu iklan bilik sewa, yang agak murah. Tambahan, tempat latihan
industrinya hanya dalam jarak perjalanan kaki dari apartment tersebut.
Tangannya lincah menaip sesuatu, menghantar pesanan ringkas melalui aplikasi Whatsapp:
-Okay sis!
Saya confirm sewa terus bilik tu ye-
-Baiklah.
Tahukan alamat apartment di mana?-
-Tak
apa sis. Saya boleh pakai Waze je-
-Ok.
Saya jarang ada di rumah. Tapi tak apa. Kalau saya tiada, kunci rumah saya akan
tinggalkan di bawah pelapik pasu bunga depan rumah. Sewa rumah dengan deposit
boleh masukkan dalam sampul, selitkan bawah pintu bilik saya nanti-
-Baiklah!
TQ sis Izzah!-
- TAMAT-