Cuaca
hari ini agak baik. Dengan angin sepoi-sepoi bahasa yang memukul lembut wajah
Hisham. Hisham melihat jam tangan yang dipakai di tangan kirinya. Waktu
sekarang menunjukkan jam 9.00 pagi, bermakna baru setengah jam masa berlalu
sepanjang dia berada di klinik kesihatan ini. Hisham meneruskan bacaan novel
yang baru dibeli semalam, setelah berehat beberapa saat.
“Lagi sejam
siap la tu kot,” bisiknya di dalam hati.
Selang
beberapa minit, Hisham meletakkan penanda buku di halaman
yang sedang dibaca dan menutup novel itu lalu meletakkannya di pangkal paha. Lehernya terasa kebas. Dengan berhati-hati, Hisham meletupkan tulang leher dengan menoleh ke kiri dan
kanan.
Prakkk!!
Prakkk!!
Terasa
hilang sedikit rasa letih dan lenguh di leher. Hisham menoleh ke arah barisan kerusi
yang sedang didudukinya. Tidak ada sesiapa yang mahu berada di ruangan menunggu
situ. Mungkin kerana barisan kerusi itu adalah ruangan menunggu untuk klinik
terapi gantian metadon. Yang ada hanyalah beberapa lelaki berpakaian selekeh
yang sedang beratur menunggu giliran penerimaan ubat gantian mereka. Salah satu
inisiatif untuk merawat mereka yang terjebak dengan najis musuh nombor satu negara
itu. Hisham menggelengkan kepala terkenangkan nasib mereka. Kononnya di mulut,
masyarakat semua berikrar untuk membantu mereka pulih dan sebagainya. Tetapi
dalam masa yang sama, mengaplikasikan konsep pemulauan. Diskrimasi. Contoh
semudah tidak mendampingi mereka seperti sekarang. Sanggup menjauhkan diri.
Ruangan menunggu di sini lengang! Kosong! Walhal ruangan di hadapan sana penuh!
Netizen sanggup berdiri menahan lenguh kaki, dari datang dan berjalan kaki cuma
20 meter dan duduk dengan selesanya di sini.
Hisham meneruskan
bacaan novelnya.
******************************
Pinnn! Pinnn!
Bunyi
hon yang mengejutkan dan membantutkan bacaan Hisham. Dia meninggikan kepala
untuk melihat apa yang sedang berlaku. Kelihatan seorang wanita, keluar dari kereta kancil berwarna kelabu dan
melangkah dengan hormat menuju ke sebuah van yang menghalang lalu lintas dan
sekaligus menghalang laluan keretanya untuk keluar dari parkir.
“Encik..boleh
minta tolong alihkan kenderaan sebentar? Saya tak boleh keluar parking.
Encik block kereta saya.” Pinta wanita tersebut dalam nada yang bersopan
santun.
Lelaki
tersebut membuka tingkapnya dan melihat wanita tua tersebut. Kemudian dia
menjengok ke dalam klinik beberapa kali sambil melihat wanita tersebut. Selang
beberapa saat, barulah lelaki tersebut memberikan respons hambar.
“Jap
kak. Saya tunggu isteri ambil ubat. Sekejap je. Mak cik duduk dulu
dalam kereta.” Jawab lelaki tersebut dalam nada yang serius.
Dan
ketika itu jugalah, kelihatan seorang wanita muda berlari-lari anak menuju ke
van. Dia memohon maaf kepada wanita tua tersebut. Sebaik sahaja wanita muda itu
memasuki van, kelihatan lelaki tersebut, yang diyakini adalah suaminya,
terus mememarahi wanita tersebut. Tidak pasti apa yang dimarahinya. Beberapa kali
dia menghentak-hentak stereng van melepaskan geram dan terus menekan minyak memecut
vannya. Hisham tersenyum sinis melihat senario tersebut, tambahan lagi melihat telatah
wanita yang keretanya dihalang oleh van tersebut. Masih tercengang-cengang.
Hisham
meneruskan bacaan novelnya.
******************************
Seorang
lelaki tiba-tiba menghampiri dan duduk selang satu kerusi di sebelah Hisham.
Hidung Hisham terus menangkap bau badan lelaki tersebut yang agak tengik. Dan
itu amatlah mengganggu konsentrasinya!
"Fuh! Tengiknya bau ketiak.” Seloroh Hisham di dalam
hati.
Hisham memalingkan muka melihatnya, seorang lelaki tua,
sebaya ayahnya barangkali, mungkin lebih tua. Wajah lelaki itu kelihatan
sedikit comot, dengan tambahan wajahnya yang berminyak. Namun, pemakaiannya
kemas, berbaju-T berkolar, berseluar panjang kasual berwarna hiram, dan
berkasut coklat gelap. Hisham perhatikan kasutnya sedikit terkoyak di hujung
kasut, dibahagian ibu jari kaki. Lelaki itu turut melihat Hisham dan terus menghadiahkan
sekuntum senyuman. Hisham membalas senyumannya diiringi dengan anggukan lemah
sebagai tanda sapaan.
Hisham
cuba untuk meneruskan bacaan novelnya. Akan tetapi dia tidak dapat meneruskan keinginannya itu. Terganggu
dengan bau badan lelaki tersebut.
“Mujur
hari ni cuaca tak berapa panas kan pak cik?” Cetusan penyataan yang Hisham
ajukan kepada lelaki tersebut, memecahkan kebuntuan.
“Haaa..yela,
harini tak berapa panas. Kalau tidak, fuhh..boleh pecah peluh kita ni!
Ha! Ha! Ha!” Jawab lelaki tu dengan nada bergurau. Suaranya kedengaran agak
serak basah, bersulamkan nada sengau yang sedikit.
“Datang
sini buat apa nak?” Tanya lelaki itu kepada Hisham.
“Ni haa..teman
isteri saya, dia buat pregnant check-up. Ada kat depan tu. Saya ni
meneman je,” jawabnya.
“Oo
yeke. Anak sulung ke?” Tanya lelaki itu lagi.
“Ye pak
cik. InsyaAllah. Minta-minta dapat la yang sulung.” Hisham menjawab dengan sedikit
keluhan. Mengapa dia mengeluh? Dia risaukan isterinya mengalami keguguran sepertimana
yang berlaku sebelum ini.
“Pak cik
pulak datang sebab apa ye? Seorang diri je ke?” Hisham
mengajukan soalan selepas melihat lelaki itu mengangguk dan kehabisan idea
untuk meneruskan perbualan.
"Sorang
je..Pak cik datang ambil ubat ni haaa.” Jawabnya sambil mengeluarkan dan
menunjukkan kepada Hisham nombor giliran yang diselitkan di celah
jari-jemarinya.
Sambungnya lagi, “maklumlah nak, orang dah senja-senja, macam
ni lah..cukup masa, datang klinik ambil ubat. Dah tak payah beli beras, dah tak payah makan nasi. Makan
ubat dengan lauk ikan goreng pun orang dah tak hairan.”
“Ha! Ha! Ha! Ha! Ha! Ha!”
Mereka
berdua berbalas ketawa beberapa ketika.
“Pak cik
datang naik apa?” Tanya Hisham lagi.
“Tuuu..naik kuda pak cik tu..” Selorohnya lagi
sambil menudingkan jari ke arah sebuah motosikal buruk yang diletakkan di
penghujung parkir.
Mereka terdiam seketika melayan perasaan. Masing-masing
kembali kebuntuan idea untuk meneruskan perbualan. Beberapa detik kemudian,
lelaki itu mula memberi sedikit nasihat kepada Hisham. Nasihat sebagai seorang
yang bergelar ayah.
“Kamu bila dah ada anak nanti. Didik anak kamu
betul-betul. Besarkan dia dengan penuh kasih sayang. Bagai menatang minyak yang
penuh. Bagi didikan yang secukupnya. Jangan sesekali abaikan didikan agama.
Jangan sesekali melarang kalau dia nak menuntut ilmu ye.”
Hisham menganggukkan kepala tanda memahami petikan
nasihat yang diberikan.
Sambungnya lagi. “Pak cik ni dulu orang susah. Kerja pak
cik kerja kampung ja. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Semua
upah pak cik ambil, dari menebas rumput, mengutip pelepah nipah, sampai lah
membaiki atap rumah. Janji dapur rumah berasap.”
"Tapi sesusah mana pun pak cik. Pak cik tak pernah
abaikan pelajaran anak-anak pak cik. Pak cik akan usahakan juga dapatkan sumber
rezeki janji anak-anak pak cik dapat menuntut ilmu, dapat menjadi insan yang
berguna. Bukan jadi macam pak cik. Tak ke mana. Biar pak cik ikat perut 2-3
hari pun tak apa. Janji pak cik dapat bayar yuran pengajian anak-anak”
“Anak-anak pak cik berapa orang?” Hisham memintas
percakapannya.
“4 orang. 3 lelaki, seorang perempuan. Yang sulung tu
perempuan. Semua dah kerja hebat-hebat sekarang. Bangga pak cik dengan mereka.”
Jawabnya.
“Oooooo...” Hisham mengiyakan jawapan lelaki tersebut.
Sambung lelaki itu lagi. “Yang Kak Long tu sekarang jadi
pensyarah kolej swasta kat Ipoh sana. Angah pula manjang dok atas
langit nuh. Dok bawa kapal terbang. Pilot katakan! Ha! Ha! Ha!”
“Alang tu ja pak cik tak berapa nak faham kerja dia. Dia
cakap dok atas laut. Periksa tu la, periksa menatang ni la.
Sekali pergi laut, sebulan dua bulan baru nak balik darat. Apa ntah dia cakap
kat pak cik haritu. Lupa dah. Cari gali minyak macam tu la.”
“Yang si adik bongsu ni ja kerja ganas sikit. Dia kapten tentera. Sekarang kat Sabah. Dah lama dah dia pi sana. Nak dekat 4 tahun dah. Pak
cik pun hairan kenapa dia minat sangat nak jadi askar. Masa belajar, dia cakap
hari-hari menghadap komputer, pegang mesin canggih-canggih. Tengok-tengok bila
dah kerja kena pegang senapang. Ha! Ha! Ha!” Lelaki itu terus bercerita tanpa
henti.
Hisham dapat melihat raut wajah lelaki tersebut yang
kelihatan sangat gembira. Wajah yang berminyak dengan kesan peluh itu kelihatan
manis sekali dengan senyuman kebanggaan tatkala dia menceritakan betapa gahnya
anak-anaknya. Dapat dirasakan jauh di lubuk hati lelaki tersebut, dia amat puas
dengan kejayaan anak-anaknya, puas dengan kejayaannya dalam mendidik anak-anak.
Walaupun dengan kisah silam yang sangat jerit dan pedih dalam mencari sesuap
makanan untuk meneruskan kehidupan. Tiba-tiba hati Hisham terdetik kehairanan,
lantas diajukan satu soalan;
“Pak cik tak pandai bawa kereta ke? Lagi selamat kan.
Selesa pun ye. Ke memang sebab pak cik suka bawa motosikal? Kalau pak cik
memang suka bawa motosikal, pak cik suruh la anak pak cik beli yang jenis scooter,
senang sikit nak bawa. Motosikal yang tu saya tengok pun takut. Macam bila-bila
masa je boleh pecah berderai. Buruk sangat! Hehehe..” Hisham bertanya lelaki
tersebut sambil diiringi ketawa sinis.
Namun, seloka Hisham tidak disahut lelaki tersebut.
Lelaki itu kelihatan tersentak seketika. Beberapa saat kemudian barulah lelaki
itu kembali mengukirkan senyuman dan membalas pertanyaan Hisham.
“Pak cik boleh ja bawa kereta. Tapi kereta pak cik dah
rosak. Kereta lama nak oi. Faham-faham je la.”
“Tapi tak apa, si Angah dah janji haritu masa dia balik
kampung beraya 3 tahun lepas, dia nak belikan pak cik kereta baru. Cuma dia tak
balik-balik lagi rumah lepas tu. Nanti dia balik nanti dia mesti belikan sebuah
untuk pak cik. Hihihi.”
“Dia sibuk. Pak cik faham. Telefon pak cik tanya khabar pun
tak pernah. Ye lah. Tengah-tengah bawa kapal terbang mana boleh main telefon ye
dok? Ha! Ha! Ha!”
Hisham
terkedu seketika. Tapi tatkala Hisham menatap wajah lelaki tersebut, dia kembali yakin dengan janji anak lelaki
tersebut. Sedikit kegusaran pun tidak wujud di raut wajah lelaki itu. Masih
tersenyum manis dengan harapan. Harapan dengan janji anaknya. Harapan seorang
ayah yang tidak pernah luntur dan yakin anaknya itu akan kotakan janjinya.
Hisham
kemudian terlihat kesan-kesan parut di tangan lelaki tersebut. Kesan parut yang
masih segar. Penuh di sekitar tangannya hinggalah ke pangkal sikunya.
“Kenapa
tangan tu pak cik? Jatuh ke?” Soal Hisham.
“Ooo
ni ke? Tak la..luka-luka sikit je masa pak cik nak mencari daun nipah. Nak cari
daun tu gini lah nak. Kalau tak luka..memang amalkan ilmu kebal la tu. Ha! Ha!
Ha!” Jawabnya bersulamkan ketawa besar.
Kali ni
Hisham tidak merasakan celoteh lelaki itu menghumorkan hatinya. Dia kehairanan.
Kenapa lelaki itu masih bekerja keras sekiranya anak-anaknya sudah berjaya?
“Kenapa
pak cik kerja lagi? Duduk la kat rumah, kesian kat pak cik. Berehat je la. Pak
cik dah uzur.” Tanya Hisham mengumpan jawapan bagi menjawab persoalan yang
berlegar-legar di fikirannya.
“Ish!
Kalau pak cik tak kerja. Pak cik nak makan apa? Mana ada duit nak oi nak
beli barang dapur, nak beli beras. Tambah-tambah lagi semua barang dah naik
harga pula tu. Kalau pak cik rajin sikit, dapat la makan sedap-sedap, beli ayam
ke, ikan pari ke. Tak lalu pak cik nak makan ikan masin dengan ikan sardin
dalam tin hari-hari. Hihihihi!”
Jawapan itu menyentap hati Hisham. Hisham amat terkejut dan langsung tidak menjangkakan seorang ayah yang mempunyai anak-anak yang telah berjaya masih perlu bekerja keras demi mencari sesuap nasi.
Lelaki tua itu terus menyambung percakapannya, kali ni dengan senyuman yang lebih girang dengan harapan.
“Pak cik
sekarang tengah pulun himpun duit nak bagi besar sikit rumah. Rumah pak
cik sempit sangat. Kalau rumah besar sikit, baru la selesa. Bagi anak-anak
selesa sikit bila diorang nak balik beraya nanti. Ni rumah sempit, panas pula
tu. Nanti dah cukup duit pak cik nak pasang air-cond. Kesian kat
cucu-cucu pak cik. Kalau pak cik jadi diorang pun. Pak cik sendiri pun tak nak
balik bermalam kalau rumah sempit dan tak selesa macam rumah pak cik sekarang.
Hehehehe..”
"Rumah dah selesa, sejuk pula tu, baru la mereka semua nak balik rumah pak cik kan?"
"Tapi
lambat sikit la kot nak besarkan rumah tu. Pak cik baru dapat kumpulkan beberapa ratus je duitnya. Hehehehe...”
Tatkala
Hisham mendengar sambungan kata-kata yang keluar dari mulut lelaki itu, hatinya
tersentap. Ya Allah! Mulianya pemikiran lelaki ini. Langsung tidak berprasangka
buruk terhadap durhaka anak-anaknya. Ketika itu, Hisham betul-betul geram. Darahnya
mendidih kemarahan. Mahu saja dia pergi bersemuka dengan kesemua anak-anak
lelaki tua itu dan melepaskan geram dengan kejahilan mereka. Tergamak mereka
membiarkan ayah mereka terkontang-kanting di sini. Tidakkah mereka tahu sekujur
tubuh yang berada di sebelah Hisham ini adalah insan yang telah bermati-matian
membesarkan mereka?? Insan yang telah mencurahkan sepenuh kasih sayang dalam
mendidik mereka?? Insan yang sanggup mengorbankan maruah dan nyawanya asalkan
mereka berjaya??
Tiba-tiba
hati Hisham kembali sayu melihat raut wajah manis lelaki tua itu. Lelaki itu
masih tersenyum riang dengan harapan palsu. Hisham perhatikan lagi wajah lelaki
itu sekali lagi. Sedalam-dalam yang mungkin. Dilihat matanya, kerut di tepi
matanya jelas kelihatan. Anak matanya masih bersinar-sinar. Ya Allah! Langsung
tiada sesalan kelihatan. Hebatnya insan yang bergelar Ayah ini.
Dan
ketika itu jugalah, Hisham terdengar panggilan isterinya yang memanggilnya.
Urusan pemeriksaan kandungan isterinya telah selesai. Hisham lantas memohon
untuk mengundurkan diri daripada lelaki tersebut. Ketika bersalaman, dapat
Hisham rasakan tangannya sangat kasar, menandakan betapa kerasnya dia
membanting tulang dari dulu hingga sekarang. Tatkala itu, Hisham tidak dapat
menahan sebak. Matanya mula berkaca dengan air mata. Hisham terus beredar
pergi, khuatir lelaki itu menyedari genangan air mata Hisham.
Setelah
Hisham menghidupkan enjin kereta dan mengenakan tali pinggang keselamatan.
Kelibat lelaki tua itu kelihatan di penjuru parkir, sedang memimpin motosikal
buruknya. Dia memakai helmet lusuh berwarna biru. Kelihatan lelaki tersebut
bersusah payah menghidupkan enjin motosikalnya. Sekali lagi Hisham sebak.
“Abang...kenapa
ni? kenapa abang menangis ni?” tanya isteri Hisham kehairanan.
“Tak ada
apa sayang, nanti abang ceritakan,” jawapan yang Hisham berikan setelah
mengesat air matanya.
Hisham terus mencapai telefon bimbitnya, dan terus
menghantar mesej pesanan ringkas, bertanyakan khabar kepada ibu dan bapanya di
dalam kumpulan keluarga menggunakan aplikasi whatsapp.
-TAMAT-
*Nota:
Penulis menyeru semua pembaca budiman untuk terus menghubungi
ibubapa kalian hatta semudah menghantar mesej pesanan ringkas bertanyakan
khabar, sementara mereka masih bernyawa. Indahnya jika kita dapat
menggembirakan hati mereka walau sekecil mana pun kegembiraan itu. Dan bagi
yang telah kehilangan mereka, ketahuilah amalan kalian dapat menggembirakan roh
mereka. Segala yang baik itu datangya dari Maha-Pencipta, dan segala yang buruk
itu datang daripada diri saya sendiri.