Home Cerpen Islamik Wahabi!
Wahabi!
Abu Hurairah
18/1/2017 21:35:43
1,090
Kategori: Cerpen
Genre: Islamik

Kelihatan jauh sekali Haji Azhar tercokoh di sebalik jendela rumahnya. Diulit khayalan yang tidak beberapa menyedapkan perasaan. Bunyi dedaun pohon kelapa di hadapan rumahnya berdesir dek tiupan angin. Butirannya dapat didengar dengan jelas. Kelihatan pepohon di sekitarnya juga turut melambai-lambai seakan-akan memanggil Haji Azhar. Dingin malam juga turut menggigit tulang-temulangnya pada ketika itu. Sejuk sungguh pagi itu.


“Macam nak hujan je pagi ni,” tafsiran yang dikeluarkan oleh Haji Azhar.


Brumm..rumm..rummm..rummmm..


Kedengaran bunyi enjin motosikal milik Haji Azhar dimatikan. Dia melihat kelibat anaknya yang lengkap berserban dan berjubah putih menongkatkan motosikal di sebalik tiang hadapan rumahnya.


“Assalamualaikum...Rizqi dah balik...”


Rizqi, anak Haji Azhar yang baru pulang dari surau untuk solat subuh berjemaah. Haji Azhar menjawab salam dengan lantang sambil melunjurkan kedua-dua kakinya. Penyakit gaut yang dihadapi Haji Azhar telah membataskan pergerakannya. Sudah lama dia tidak menjengah ke surau kerana kesukaran dan kesakitan yang terpaksa ditanggung ketika dia cuba untuk bergerak. Setiap kali hari jumaat, dia terpaksa berhempas pulas menahan sakit untuk menunaikan Solat Jumaat. Pernah sekali, dia terpaksa ponteng Solat Jumaat kerana anaknya terpaksa berkursus di negeri lain. Tiada siapa yang sanggup membantunya, melainkan anaknya sendiri walhal niat sebenarnya tidak mahu menyusahkan jiran-jirannya.


Haji Azhar memerhatikan sekali imbas wajah anaknya. Sejuk hatinya apabila melihat anaknya yang soleh itu. Tidak sia-sia dia mendidik anaknya dengan didikan agama. Hilang segala susah payah yang terpaksa diharunginya dahulu dengan pelbagai cubaan dan dugaan ketika menghantar anaknya itu ke sebuah sekolah agama yang terkenal. Banyak onak dan duri terpaksa direntasi mereka sekeluarga, apatah lagi ketika anaknya mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di sebuah universiti di Jordan. Haji Azhar bersyukur segala penat lelahnya terbalas. Anaknya itu kini menjadi pegawai di majlis zakat negeri. Di samping itu, jadual malam anaknya padat dengan jemputan pengajian dan memberi tazkirah di sekitar masjid dan surau di daerah mereka. Satu kampung kenal anaknya, Ustaz Rizqi. Bahkan, berkat rezeki yang diperolehi anaknya itulah yang membantu dia dan isterinya menjejakkan kaki ke Baitullah, dapat menyempurnakan Rukun Islam yang ke-5, walaupun dengan keadaan yang kurang mengizinkan.


“Ramai ke orang kat surau tadi Rizqi?” Tanya Haji Azhar.


“Alhamdulillah abah. Cukup satu saf macam biasa,” jawab anaknya bersahaja.


“Tu, umi kamu dah bancuh kopi dengan cekodok pisang. Jom kita sarapan jom,” pelawa Haji Azhar.


Rizqi perlahan-lahan memapah ayahnya ke kerusi roda. Dengan cermat sekali, ayahnya diangkat dan diletakkan di kerusi roda, dan dengan cermat sekali, dia menolak kerusi roda ke arah dapur. Mereka sekeluarga menjamah sarapan yang kelihatan tidak seberapa itu bagi pandangan mata kasar masyarakat sekarang, tetapi secara tersiratnya, itulah diantara makanan yang terbaik yang pernah dirasai oleh Haji Azhar dan anaknya. Air tangan wanita yang merupakan tulang belakang bagi mereka berdua. Cukup sedap!


“Rizqi, abah nak tanya sikit, boleh?” Haji Azhar mula membuka persoalan selepas mereka hampir selesai menjamah sarapan.


“Ye abah? Nak tanya apa tu?” Jawab Rizqi selepas menghirup beberapa kali air kopi panas yang luar biasa penangannya itu.


“Abah tak berapa nak sedap hati sejak kebelakangan ni. Abah tahu ilmu agama kamu kamu tinggi. Tapi abah letih dengar buah mulut orang kampung yang selalu mengumpat kamu.”


Rizqi hanya tersenyum mendengar rintihan ayahnya itu. Perlahan-lahan dia meletakkan cawan yang dipegangnya ke atas piring. Rizqi tersenyum manis melihat ayahnya. Sambil itu, Rizqi mengurut lembut janggut seciputnya. Haji Azhar kehairanan dengan telatah anaknya yang langsung tidak menunjukkan sebarang elemen kejutan. Hanya bersahaja dengan mukadimah soalan yang dituju olehnya. Seperti sedang berfikir sesuatu, ananknya membalas;


“Ni mesti pasal orang kampung cakap Rizqi ni Golongan Wahabi kan? Konon-kononnya golongan yang semakin menguasai dan meracuni pemikiran Ahli Sunah Wal-Jamaah di negara kita ni kan?” Balas Rizqi.


“Tu laa..abah pun tak berapa pasti, mungkin kamu betul, mungkin juga pendapat kamu tidak beberapa tepat. Tambah-tambah lagi masa kamu mengatakan dalam tazkirah yang bacaan talkin adalah bida’ah. Benda yang tidak pernah dibuat oleh Rasulullah S.A.W.”

“Abah dengar Tok Imam kampung kita marah benor bila dengar benda tu dari mulut orang kampung.”

“Apa ntah diorang cakap haritu. Tok Imam ada membalas dan membidas penyataan kamu. Lupa pula. Bida’ah hasanah kot? Ye ke?”


“Betul abah, Bida’ah hasanah. Perkara yang tidak diamalkan oleh Rasulullah S.A.W, tetapi memberi manfaat kepada pengamalnya.” Jawab Rizqi.


“Haa..abah bukan apa, risau. Orang kampung mengata kamu ni golongan Wahabi. Golongan yang baru muncul untuk menyesatkan umat di negara kita ni.” Sambung Haji Azhar lagi.


Rizqi hanya tersenyum simpul mendengarnya. Dia melepaskan pandangan ke arah luar jendela. Seakan-akan memikirkan sesuatu. Selang beberapa ketika, Rizqi melihat wajah ayahnya, tersenyum dan kembali menyusun percakapannya.


“Macam ni la abah. Rizqi buat satu penceritaan dan perbandingan.”

Golongan yang digelar Wahabi, Salafi dan satu lagi golongan, yakni golongan Ibnu Tammiyan dikatakan semakin meracuni pemikiran umat Islam di negara kita.”

“Walhal, golongan ini tidaklah menggelarkan diri mereka sendiri sebagai Wahabi, Salafi dan sebagainya. Mereka bukannlah bertindak untuk meracuni pemikiran sesiapun. Ianya hanyalah gelaran yang telah diberikan oleh sebuah pihak, dan di viral kan di media sosial.”

“Semakin lama, gelaran ini semakin kuat melekat kepada mereka. Dan masyarakat semakin takut dan berwaspada dengan golongan Wahabi ni. Bahkan beberapa ulama’ besar negara kita pun digelar Wahabi. Hinggakan terdapat ulama’ yang tinggi tarafnya di negara kita pun hampir terpengaruh dengan penggelaran Wahabi, Salafi, dan sering mengumumkan untuk berdebat sesama sendiri secara langsung dan sebagainya.”

“Tapi tahukah abah, siapa yang sebenarnya mencetuskan pemberian gelaran ini?”


“Siapa?” Tanya Haji Azhar.


Rizqi masih mengukir senyuman di wajahnya, dan kembali menyambung percakapannya.


“Dikatakan golongan Syiah yang memulakan agenda menggelarkan pengikut Wahabi ini. Mereka ini lah, golongan Syiah ini lah, yang menghasut umat Islam di negara kita dan mengapi-apikan agar berlakunya pergaduhan, perselisihan pendapat di antara kalangan umat Islam itu sendiri, supaya kita, masyarakat Islam yang sentiasa kuat dapat berlaga sesama sendiri dan melupakan siapa musuh kita yang sebenar, iaitu Syiah.”


Kali ni, jawapan yang diberikan anaknya menarik perhatian Haji Azhar. Dia menunjukkan raut wajah yang agak berminat.


Oooo..yeke? Teruskan lagi. Abah nak dengar,” kata Haji Azhar.


“Sebelum Rizqi nak cakap lebih lanjut ni. Abah kena faham ye. Rizqi takut abah salah faham pula. Hehehe..”

“Rizqi adalah ahli pengikut Ahli Sunah Wal-Jamaah, ASWAJA. Pegangan akidah Rizqi berpegang teguh dengan ajaran ASWAJA, sepertimana dengan hampir kesemua umat Islam di kepulauan melayu ini. Ilmu Fiqh Rizki, Feqah Rizki adalah mengikut Imam Syafi’e dan tassawuf Rizqi, iaitu ilmu untuk mensucikan hati adalah berdasarkan ajaran Imam Ghazali. Tidak pernah sama sekali Rizqi mengumumkan Rizqi mengamalkan fahaman Wahabi.”

“Saya yakin majoriti, mungkin hampir kesemua umat Islam di negara kita bersetuju. Aqidah kita adalah ASWAJA, Feqah mengikut Mazhab Syafi’e dan Tassawuf menurut Imam Ghazali. Kalau yang lain pun, mungkin mereka bukan berasal dari negara kita.”


“Ooo..abah pun baru tahu. Hehehehe..” Haji Azhar tersenyum seakan-akan malu.


Rizqi menyambung lagi.


“Nak bagi senang faham siapa musuh kita sebenarnya, Rizqi buat perbandingan macam ni. Contoh ye, bukan betul-betul.”

“Abah adalah ASWAJA, Rizqi adalah golongan Wahabi, manakala Mak adalah pengikut Syiah. Contoh je tau. Hahaha.”


“Hahaha. Mak kamu diletaknya Syiah. Hahahaha! Ok. Teruskan,” balas Haji Azhar.


“Ok. Kita patah balik kepada asas Iman kita, asas ajaran Islam yang diajar oleh Rasulullah S.A.W.”

“Pegangan utama kita, sudah tentu adalah berdasarkan kitab suci, kitab agung Al-Quran. Abah setuju?”


Haji Azhar mengganggukkan kepalanya.


“Kita bandingkan abah dengan mak, abah ASWAJA, mak Syiah. Dari segi kesahihan Quran itu sendiri dah terdapat percanggahan. Abah sebagai wakil ASWAJA yakin bahawa Quran yang menjadi pegangan kita sekarang adalah sama sebijik-sebijik dengan Quran yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad S.A.W. Langung tiada sebarang perubahan, pengurangan dan tokok tambah. Abah setuju kan?”


“Ye la. Semua orang tahu,” balas Haji Azhar.


“Ok tapi mak, sebagai wakil Syiah tak bersetuju! Mak cakap Quran yang abah baca sekarang tak lengkap. Mak cakap, ada banyak khilaf, tapi yang pasti, sebagai seorang Syiah, Quran mereka yang dikenali sebagai Mushaf Fatimah adalah yang benar.”

“Quran yang abah baca sekarang tak lengkap. Banyak kurang. Banyak cacat celanya. Mushaf Fatimah mereka, jauh lebih tebal dari Quran abah, lebih kurang tiga kali ganda tebalnya. Maknanya mak berpegang kepada Quran yang benar. Quran abah tak benar!” Hujah Rizqi dengan nada yang tinggi menyebabkan Haji Azhar tersentap kemarahan. Lantas Haji Azhar mengatakan;


“Gila ke apa Syiah ni?”


Rizqi tersenyum melihat telatah abah nya dan kembali menyambung andaian.


“Ok. Kita banding pula abah dengan Rizqi. Abah ASWAJA, Rizqi Wahabi. Dari segi kitab suci Al-Quran itu sendiri. Kita berdua tak ada masalah langsung. Kita berdua sangat bersetuju dengan kesahihan mukjizat kitab Quran yang kita amalkan pada masa kini.”

“Poin pertama Al-Quran, Abah dengan Rizqi no problem. Abah dengan mak banyak problem.


Haji Azhar semakin tertarik. Kopiahnya diperbetulkan.


“Ok kita bergerak ke poin kedua pula. Setelah Al-Quran, panduan yang ditinggalkan oleh Nabi Allah S.A.W. kepada kita, umatnya adalah sunnah-sunnah baginda. Kan?”


Haji Azhar mengangguk. Kali ini lebih laju.


“Kita tengok pegangan hadis dan sunnah yang diamalkan oleh mak, Syiah. Hahahaha! Sunnah mereka langsung tak boleh pakai! Imam Syiah mengatakan bahawa memakan terung adalah sunnah, walhal disebabkan Imam Syiah itu sendiri yang mengusahakan tanaman terung. Segala sunnah yang abah amalkan langsung tak boleh pakai! Semuanya salah kalau mengikut ajaran yang mak belajar.”

“Para perawi hadis, orang yang meriwayatkan hadis baginda, yang kita hormati, dihina oleh mak and the geng. Syiah langsung tak percayakan sunnah yang abah amalkan.”


Punggung Haji Azhar mula terasa panasnya.


“Tapi kita berbalik di antara Abah dengan Rizqi. Abah langsung tiada masalah dengan Rizqi, golongan Wahabi, dari segi sunnah baginda. Bahkan, geng-geng Rizqi lagi hebat dari menjaga hadis-hadis sahih Rasulullah S.A.W. Segala hadis-hadis daif terus ditolak oleh Rizqi. Bagi geng-geng abah, hadis-hadis daif masih boleh digunapakai sekiranya dapat memberikan pengajaran dan semangat, contohnya seperti hadis yang terkenal di negara kita, tuntutlah ilmu sampai ke negeri China.”

“Tapi tak apa, dari segi pengamalan hadis dan sunnah itu sendiri. Abah dengan Rizqi memang langsung tiada masalah. Kita berdua berpegang kepada hadis dan sunnah baginda S.A.W.”

“Poin kedua sunnah Baginda S.A.W., Abah dengan Rizqi no problem. Abah dengan mak banyak problem.


Haji Azhar memperbetulkan kedudukannya. Dia terus khusyuk mendengar.


“Poin ketiga, setelah Al-Quran, As-Sunnah, kita bergerak kepada para sahabat. Setelah kedudukan sebagai Nabi, tidak ada lagi kedudukan yang lebih tinggi dan lebih mulia dibandingkan melainkan para sahabat-sahabat baginda.”

“Abah dengan Rizqi memang langsung tiada problem dengan kehebatan para-para sahabat Baginda S.A.W. Kita yakin dengan keimanan mereka, kehebatan mereka, kekuatan aqidah mereka yang terlalu utuh terhadap Allah yang satu, dan kekasih-Nya.”

“Tapi bagaimana pula pendapat mak jika nak dibandingkan dengan pendapat kita berdua?”


Kali ni Haji Azhar ketawa sinis, seakan-akan sudah tahu jawapannya. Berapa taksubnya golongan Syiah dalam bab pertikaian sahabat Nabi S.A.W. sehingga terus menyeleweng dari ajaran sebenar. Kali ni Haji Azhar sendiri yang menokok tambah, memintas percakapan anaknya.


“Syiah mengkafirkan Saidina Abu Bakar As-Siddiq! Banyak lagi para sahabat baginda yang dikafirkan!” Pintas Haji Azhar dengan nada yang sedikit marah.


Rizqi membalas, “Betul tu. Poin ketiga para sahabat. Abah dengan Rizqi memang langsung tiada masalah. Abah dengan mak terlalu banyak percanggahannya.


Kali ini Rizqi berehat sebentar. Dia menghirup sedikit kopi yang sudahpun suam-suam kuku itu. Setelah diperbetulkan kedudukan cawan kopinya, dia kembali menyambung hujah dan andaiannya.


“Baru lah kita tengok ke poin terakhir, poin ke-empat, dari segi Feqah, dari segi pengamalan ibadah.”


“Cuma dari segi Feqah sahaja, Abah dengan Rizqi, ASWAJA dengan Wahabi ada sedikit perselisihan. Sedikit je..Itu pun masing-masing disokong dengan hujah-hujah yang kuat. Pendapat geng-geng abah mungkin berbeza sedikit, tetapi disokong dengan hujah yang bernas. Begitu juga dengan geng-geng Rizqi. Masing-masing bukannlah tidak bersebab.”

“Tapi cuba abah bandingkan dengan mak?” Sambungnya lagi;

“Abah solat tadi, lepas niat, angkat takbir terus turunkan tangan tak ke sisi? Berdiri tegak?” Tanya Rizqi.


“Eh? Apa pulak, tangan diletakkan dihadapan la, di atas perut. Ingat Syiah ke apa?” Balas Haji Azhar.


Rizqi ketawa sinis. Dia kembali menyambung.


“Abah mesti lupa letak batu kat tempat sujud tadi kan? Masa tahiyat akhir abah ada tak tepuk-tepuk peha lima kali sebelum nak bagi salam?”

“Kalau abah tak buat, solat abah tak sah. Hehehe!”

“Itu kata-kata geng mak la, geng Syiah.”

“Feqah mereka, Syiah, jika nak dibandingkan denga feqah yang kita berdua pelajari, memang confirm terus out. Langsung tak boleh pakai. Diorang punya pelik-sepeliknya. Sesat-sesesatnya. Feqah Syiah terus ditolak mentah-mentah jika nak dibandingkan dengan Feqah ASWAJA dan Wahabi. Tetapi Feqah abah dibandingkan dengan Rizqi, hanya terdapat sedikit perselisihan. Tetapi Rizqi ulang sekali lagi, masing-masing mempunyai hujah yang kuat. Abah setuju kan?”


Haji Azhar mengangguk lagi.


“Setuju sangat,” Balasnya.


“Jadi, dari poin pertama, kedua, ketiga dan keempat, abah dengan Rizqi tiada masalah yang besar. Jika ada pun, hanyalah sekecil-kecil perselisihan pendapat jika nak dibandingkan poin-poin dengan puak Syiah. Dari empat poin utama yang Rizqi beri, satu pun tidak boleh dipakai.”

“Sebab tu Rizqi cakap mula-mula tadi. Dikatakan Syiah yang memperkenalkan untuk menggelarkan sesetengah golongan sebagai Wahabi, Salafi, Ibnu Tamiyyan dan sebagainya.”

“Tujuan mereka hanya satu. Bagi kita bertikam lidah sesama kita, tuduh menuduh, dan akhirnya melonggarkan persaudaraan di antara umat Islam, sekaligus menguatkan lagi puak Syiah secara diam-diam. Hinggakan kita terlupa siapa musuh kita yang sebenarnya.”

“Itu je yang cuba Rizqi sampaikan.”


"Tapi Rizqi, banyak orang tidak sukakan mereka. Golongan ini selalu menyalahkan seseorang. Menghukum seseorang. Itu Bida'ah! Itu Haram! ini tak patut buat lah! Macam mana tu?"


"Abah..Ok la..macam ni..kenapa kita perlu menilai seseorang daripada keburukan yang telah dilakukan olehnya? Mungkin kita tidak bersetuju dengan beberapa pendapat ataupun perangai mereka. Tetapi, cuba kita tengok kembali kebaikannya. Adakah kebaikannya lebih banyak dari keburukannya? Adakah kita perlu membenci seseorang yang tidak sependapat dengan kita dalam 5 perkara, walhal, kita bersetuju dengannya dalam 10 perkara?"



-TAMAT-



*Nota

Cerpen ini dikarang dan diolah berdasarkan kuliah Maghrib di surau tempat penulis. Sekiranya terdapat sesiapa yang terguris dengan coretan ini, penulis menyusun 10 jari memohon maaf. Segala yang baik datangnya dari Allah, dan yang buruk itu datang dari diri saya sendiri. Wallahhua’lam.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Abu Hurairah