Home Cerpen Fantasi Sola-Ui ~Dan berakhirlah memori ini...
Sola-Ui ~Dan berakhirlah memori ini...
Norhairie Nordin
20/7/2016 22:48:42
955
Kategori: Cerpen
Genre: Fantasi

Sola-Ui

- Dan berakhirlah memori ini….

Inginku ceritakan, satu kisah ringkas; katakanlah kisah ini hanyalah dongenganku. Suatu hari, apabila aku bangkit daripada lenaku, tiada cahaya menerangi. Fikirku, mungkin bekalan elektrik buat hal lagi. Aku pun menuju ke punca elektrik, cuba menghidupkan suis utama tetapi gagal. Matahari sudah galak menerangi, tetapi tiada seorang pun kelibat keluargaku di rumah. Menyedari situasi ini, buatkan aku curiga. Apabila aku menjenguk luar rumahku melalui tingkap, kecurigaan aku makin menjadi-jadi.

Pertamanya, tiada langsung kereta lalu-lalang. Malah, jalan yang sibuk itu, lengang bisu seribu bahasa. Aku bingkas keluar dari rumahku, memerhatikan situasi aku kini. Lampu-lampu isyarat tidak berfungsi. Malah, apabila aku ingin masuk ke kedai serbaneka di hadapan rumahku, pintu automatik itu tidak berfungsi. Fenomena pelik ini membawaku kembali ke rumah, mengambil basikal elektrikku lalu kutunggang ke pekan berdekatan. Sebagaimana situasi di kawasan rumahku, pekan yang sibuk itu, tiada langsung kelibat manusia di sana. Terlalu sunyi untuk sebuah kawasan tumpuan di tempat aku!

Aku tidak berganjak lagi, sebaliknya termangu di situ. Tiada kereta, bas atau teksi yang biasanya menghiasi sungai tar ini. Pekan yang menjadi tempat singgahanku itu, bersosial dan berurus niaga, bagai sudah mati dilanda sepi. Aku tidak mengalah, lalu menghidupkan suis basikal elektrikku itu kemudiannya menunggang ke bandar kecil berhampiran. Keputusannya sama, tiada tanda-tanda kehidupan di situ. Aku tidak mengalah lalu meneruskan perjalananku mencari makhluk bernama manusia. Pekan ke pekan, bandar ke bandar. Dari minit menjadi jam. Daripada kegigihan kepada kekalahan. Akhirnya aku tidak mencari lagi. Bunyi amaran bateri pada basikal elektrikku berbunyi, menandakan perjalanan aku perlu ditamatkan.

Sedar atau tidak, aku sudah berada di ibu kota Malaysia, Kuala Lumpur. Mungkin kegelisahanku membutakan aku pada jarak yang pastinya mustahil untuk aku pergi hanya dengan berbasikal elektrik ini. Dalam kecamuk fikiranku, perutku menjerit minta diisi. Aku tidak bersarapan lagi. Lantaran itu, aku menuju ke sebuah pasar raya yang sunyi tanpa manusia itu, mencapai makanan seperti roti dan kuih, serta minuman tin yang sudah tidak lagi sejuk kerana keputusan bekalan elektrik. Sudah tentu, aku meletakkan bayaran harga makanan kuambil itu di kaunter, sebelum menjamah kudapanku itu. Rasa bersalahku sesekali mengusik hati, mengambil makanan di kedai kosong itu, biarpun kubayar harganya.

Selepas mengalas perut, aku berjalan jauh ke dalam kota gergasi di Malaysia ini. Mulanya, aku gembira melihat kenderaan di atas jalan raya, namun riaku tidak berpanjang kerana semuanya kosong – tanpa manusia. Aku cuba mengecas bateri basikalku di stesen cas yang menggantikan stesen petrol, kerana bahan bakar itu sudah pupus di muka bumi ini. Malang sekali, elektrik di stesen itu juga terputus. Aku menyeluk saku jaketku, mencapai sesuatu.

Oh, aku punya telefon pintar! Aku mendail nombor keluargaku, tetapi hanya membisu. Tiada nada atau suara operator kedengaran melalui telefon pintarku. Aku kemudiannya berputus asa, mengayuh basikalku secara manual, pulang ke rumahku dalam keadaan yang sangat hampa. Tibanya di rumahku, hari sudah gelap. Kalau tiada telefon pintarku ini, pastinya sukar untuk aku melihat dalam keadaan jalan yang amat gelap tanda lampu. Aku masuk ke rumah, mandi dan terus sahaja tidur. Mungkin kalau aku bangun nanti, semua ini akan berakhir, sebagai mimpi semata-mata. Ya, aku yakin bahawa aku sedang bermimpi ketika ini. Tuhan, apabila aku sedar esok, kembalikan dunia aku sebelum ini.

Ah, masih lagi tiada tanda kelibat manusia di sekelilingku. Kosong. Keluargaku juga tidak kelihatan dari semalam. Aku yang sudah mencelikkan mata ini, bangkit daripada tidurku lalu merencanakan sesuatu. Aku pun mula menyiasat rumah ke rumah. Semua rumah yang kumasuki, tiada langsung tanda-tanda yang menunjukkan berlakunya penculikan, pembunuhan atau sebagainya yang menyebabkan mereka hilang begitu sahaja. Di rumah-rumah yang aku masuki, tersusun set pinggan mangkuk di atas meja, untuk persiapan makan bersama keluarga. Daripada pemerhatianku, makanan yang dimasak di rumah-rumah tersebut kemungkinan besar sebagai sarapan kerana di dalam periuk dan pinggan tersebut merupakan nasi lemak, lontong dan makanan-makanan yang popular di Malaysia sebagai juadah pagi. Sungguhpun Malaysia sudah mencapai kemodenan yang pesat sehingga berada dalam dunia pertama, negara maju, tetapi sebahagian besar warganya tetap mengekalkan makanan tradisi ini.

Musykil hanya satu, ke manakah perginya manusia-manusia ini? Mereka ghaib begitu sahaja. Satu rumah ke satu rumah aku ceroboh untuk mencari jawapan, sebaliknya mindaku terus dipenuhi persoalan demi persoalan. Sehari itu, seluruh kawasan penempatan kejiranan ini aku redah. Tatkala memecah masuk rumah-rumah itu, aku mengumpul makanan tahan lama dan makanan tin untuk bekalanku. Aku mula mengumpul keperluan hidup tersebut di rumah aku. Sepanjang hari aku bergerak ke kiri dan ke kanan, memunggah barangan dengan troli yang ku’pinjam’ dari kedai serbaneka berdekatan.

Hari pun berlalu dan kini mencecah seminggu. Sepanjang waktu itu aku mencari setiap ceruk dan penjuru, maklumat dan keperluan hidupku. Dunia tanpa elektrik ini, membuatkan aku mencari alternatif lain, menggunakan penjana solar, yang aku ‘jumpa’ di dalam salah satu rumah kosong yang ku’ziarahi’. Aku mula mempelajari cara pemanduan sendiri menggunakan kereta-kereta elektrik yang ada. Setelah beberapa kali menjahanamkan kenderaan mesra alam ini, aku sudah tidak kekok lagi memandu. Aku memecah masuk rumah paling kaya berdekatanku, dan ‘meminjam’ kereta solar sebagai ‘kaki’ baharu aku menyelesaikan misteri ini.

Kadangkala, aku berharap akan ada insan yang memberkas aku kerana perbuatan aku ini. Mencuri makanan dan barangan elektrik di kedai-kedai atau di rumah-rumah yang menjadi rutin harianku dalam tempoh masa aku keseorangan di tempat aku ini. Tetapi, perasaan bersalahku lama kelamaan lenyap kerana bagai menjadi kelaziman buatku. Sekalipun begitu, aku benar-benar harap ada polis menangkapku. Sekurang-kurangnya, aku dapat bertemu dengan manusia yang lain. Impianku itu hanya terus menjadi anganan sahaja.

Masuk minggu kedua, seluruh kawasan di tempatku diselubungi bau-bau busuk. Bau-bau ini datang daripada makanan basi yang ada di dalam kediaman kosong mahupun di premis perniagaan terbiar. Apatah lagi, bekalan elektrik yang terputus, memburukkan situasi ini. Kendatipun begitu, adaptasi manusia begitu menakutkan. Dalam keadaan stres ini, aku membiasakan diri dengan bau-bau tersebut. Minggu ketiga, bau itu tidak lagi aku endahkan. Dalam masa tersebut, aku perasaan sesuatu. Makanan yang mula mereput itu, tiada seekor lalat pun yang menghurung. Tiada seekor lipas pun yang merayap. Aku benar-benar dalam dunia tanpa kehidupan! Tidak, sekurang-kurangnya masih ada pokok yang tumbuh melata, menghijau pandanganku. Pokok juga sebahagian daripada kehidupan.

Sebulan hidup menyepi, akhirnya aku mengambil keputusan meninggalkan rumahku ini. Aku memuatkan bagasi dan makanan dalam kereta solar mewah yang kini menjadi milikku lalu memulakan perjalanan yang tiada destinasi itu. Kereta solar itu hanya mampu beroperasi pada siang hari. Pada sebelah malamnya, aku akan berhenti di mana-mana kawasan yang mempunyai bekalan air. Aku tidak risau akan nyamuk atau haiwan bisa jika tidur berdekatan hutan kerana makhluk-makhluk ini tidak wujud walau seekor pun setakat ini. Mungkin kerana terlalu kerap menggunakan kenderaan ini, kereta solar mewah ini tidak lagi beroperasi dan rosak. Namun, aku tidak kisah kerana aku menggantikan kenderaan itu dengan kereta solar model terkini yang baru dijual dalam pusat pameran yang kebetulan aku temui sebelum kereta itu rosak. Sesekali aku rasa agak bagus hidup begini. Sampai sahaja di bandar besar, aku akan menggantikan kereta aku dengan model lebih baik atau setarafnya. Dari Kuala Lumpur, aku menuju ke Bangkok, sebelum tiba di Hanoi. Entah beberapa bulan aku merantau, aku tiba di Beijing.

Perjalanan aku tidak ada destinasinya. Sampai bila? Sudah aku katakan ini dongenganku. Aku akan terus merantau dan merantau. Mungkin bulan, mungkin tahun, mungkin dekad, mungkin hingga penghujung nyawaku. Menjerit di Dubai? Menconteng Tembok Besar Cina? Berjoget di Seoul? Seorang diri, tanpa teman, aku membazirkan masaku sebegitu sahaja. Agaknya hampir berbulan-bulan keseorangan tanpa berteman, apalah perasaan aku agaknya kalau aku bertemu seseorang. Bagaimanakah rupa wajahku apabila bersemuka dengan manusia yang lain? Agaknya macam ini....

Di hadapanku, ada seorang gadis, menyelubungi dirinya dengan kain tebal seperti kanvas, dengan rambut seakan keperakan memandang tepat kepada aku. Biarpun rambut itu dilindungi kain dipakainya itu, tetapi jelas warna rambutnya bagai bersinar pada pandangan matanya. Raut wajah gadis itu bertukar ceria, terlalu gembira kerana buat kali pertama dalam masa hampir setahun ini, dia bertemu dengan seseorang. Air mata kegembiraan mengalir deras, tatkala gadis itu tersenyum lebar lalu membahasakan sesuatu;

“Wattakumps stilryht kiltz fithks, wattakumps rigthkka survitha...”

Gadis itu memeluk aku, tanpa memberi ruang untuk aku memahami kata-kata itu. Sekali pun begitu, aku bagai memahami perasaan gadis tersebut. Kata-kata gadis itu mungkin sama dengan apa yang kufikirkan....

“Terima kasih kerana berada di sini, terima kasih kerana masih hidup... bukan?”

- Inilah pertemuan pertama kami......

.....................................................................................

Hidup berkelana aku diteruskan seperti biasa, bezanya kali ini berteman. Teman baharuku itu, seorang yang duduk di sebelah aku ini tidak mempunyai aura seperti manusia biasa. Sekalipun begitu, aku masih terasa hangat tubuh gadis itu membuatkan aku rasa seperti ‘hidup’. Bila difikirkan balik, ini kali pertama aku berpelukan dengan seorang gadis bukan muhrimku. Aku jadi keseganan tiba-tiba. Gadis itu memandangku, tertanya-tanya mengenai perubahan reaksi wajahku secara tiba-tiba.

“Jumptha isthkhtara ush?” Soal gadis itu. Bahasa apakah yang diujari gadis ini. Inggeris, pastinya bukan. Jerman? Nampak macam ganjil benar bunyinya.

“Razif. Saya Razif....” Kataku, menepuk dadaku, memperkenalkan diri.

“Khitriath Razif?” Soal gadis itu. Aku mengangguk kecil.

“Milth, Tiamat...” Meniru gayaku, gadis itu memperkenalkan diri.

“Tiamat?” Aku mencari kepastian. Tiamat mengangguk, mengesahkan kenyataan itu. Aku tersenyum melihat telatah gadis itu, sangat comel. Gadis itu berketinggian dalam lingkungan 140 cm, jauh lebih rendah daripada aku yang berketinggian 171 cm.

“Utlskth mia jtahnana kuth....” Tiamat bersuara lagi, tetapi aku tidak memahaminya. Tiamat bagai menunggu reaksiku, tetapi aku tidak mengerti apa yang perlu aku lakukan.

“Ulskth!” Setelah bosan menantikan reaksiku, Tiamat mencapai tanganku, lalu menggenggam jemariku dengan kedua-dua tangannya. Mulut Tiamat terkumat-kamit, membacakan mentera yang tidak kufahami sebelum tangan gadis itu mengeluarkan cahaya.

“Bahasa dikesan. Mengaktifkan komunikasi bahasa Melayu...” Tiamat mula berinteraksi dalam bahasa ibundaku.

“Awak boleh berbahasa Melayu?” Ujarku, gembira.

“Ya, saya baru menguasainya....” Tiamat mengangguk.

“Siapakah sebenarnya awak, Tiamat?” Soalku, ingin mengetahui identiti gadis itu.

“Makhluk asing, dalam bahasa kamu....” Jawab Tiamat, tanpa selindung.

“A-awak yang memusnahkan bumi?!” Aku terus sahaja membuat konklusi tersebut. Dalam cerita fiksyen Sains, makhluk asing yang datang ke bumi pasti mahu menghancur bumi dan kehidupan di dalamnya. Tiamat menggelengkan kepalanya.

“Yang memusnahkan bumi itu, ialah manusia. Saya datang menyelamatkannya...” Balas Tiamat, membuatkan aku terdiam.

“Apa maksudmu, Tiamat? Ini semua salah manusia?” Soalku lagi.

“Razif, manusia mencipta teknologi gelombang sebagai alat penting dalam penerokaan alam semesta. Mereka mahu mengawal gelombang graviti supaya mereka dapat menjelajah planet lain dalam sekelip mata. Mereka berjaya. Kapal angkasa gelombang pertama telah berjaya dilancarkan. Ironinya, kejayaan itu hanya mendatangkan kegagalan kerana akibat penggunaan teknologi ini, bayarannya begitu mahal iaitu terjadinya keralatan dimensi ruang dan masa di bumi. Awak satu-satunya manusia yang tidak terkesan dalam fenomena. Dengan kata lain, semua manusia di dunia telah dihanyutkan dalam dimensi ruang dan masa sekarang. Saya perlu menyelamatkannya...” Jelas panjang Tiamat.

“Bagaimana?” Soalku, masih tidak mampu untuk menelan kenyataan gadis itu.

“Saya perlukan manusia untuk menjadi teras dalam membetulkan situasi ini. Jadi kehadiran awak sangat besar maknanya....” Jawab Tiamat.

“Saya? Kenapa?” Aku tidak berpuas hati, memandang aku pula perlu dipertanggungjawabkan untuk menyelesai krisisi ini.

“Saya perlukan memori kehidupan. Awak ialah manusia yang hidup di dunia ini...” Tiamat tidak tersinggung dengan reaksiku, sebaliknya lembut bersuara.

“Jangan risau, awak tidak akan melakukan atau berkorban apa-apa. Itu tugas saya...” Sambung Tiamat.

“Baiklah, aku faham. Jadi di manakah destinasi kita sekarang?”

“Turki, Istanbul. Tempat paling sesuai untuk saya melakukan pemulihan tersebut.”

“Mana alatnya?” Soalku, memerhatikan sekeliling.

“Sayalah alatnya itu....”

.....................................................................................

Buat kali pertama, aku mempunyai destinasi yang perlu aku tuju. Istanbul, antara tempat tumpuan pelancong di seluruh dunia itu menjadi lokasi seterusnya penjelajahan aku. Bersama Tiamat, gadis makhluk asing ini, aku melalui beberapa sempadan negara untuk sampai ke sana. Sepanjang perjalanan, Tiamat bertanyakan aku itu dan ini. Bagaikan budak kecil, Tiamat begitu teruja melihat tempat atau benda baharu. Aku juga turut sama meladeni karenah gadis ini sehingga aku lupa bahawa Tiamat makhluk asing. Sebenarnya, setelah aku mendengar Tiamat bukanlah ‘kehidupan’, tetapi ‘alat’, aku agak sedih dan kecewa mengetahui hakikat itu. Namun, siapalah aku untuk mempersoalkan Tiamat dan nasib dirinya. Cukup bagus makhluk ini mahu membantu manusia membetulkan bencana yang dilakukan oleh mereka sendiri.

“Kenapa Razif? Awak marah?” Soal Tiamat, mengembalikan aku pada dunia realiti. Saat ini kami berada di Moscow, ibu kota Russia. Hari sudah menjelang senja, dan aku memilih berehat di rumah presiden kerana musim sejuk di luar. Rumah mewah pemimpin tertinggi Russia itu mempunyai penjana kuasa elektrik khas membuatkan aku dan Tiamat selesa di kediaman tersebut. Setelah mengembara hampir 3 bulan bersama, aku dan Tiamat terpaksa menetap di sini buat sementara bagi menunggu ribut salji reda pada musim sejuk ini. Sudah lama aku tidak merasai tilam empuk, jadi inilah peluang untuk aku menikmatinya, bukan?

“Razif?”

“Maaf, saya masih terkesima melihat keindahan rumah Presiden ini. Siapa sangka, saya dapat berada di sini meskipun dilanda bencana ini...” Spontan kataku, melihatkan Tiamat yang berubah wajah apabila melihat aku terdiam sejak tadi.

“Awak pasti?” Tiamat menyoal lagi.

“Ya, ya....” Kataku, membelai rambut perak gadis yang lembut itu.

“He..he...” Riak Tiamat kembali ceria, tersengih kecil apabila aku mengusap rambutnya, seperti kanak-kanak.

Tiamat pandai memasak. Menggunakan tepung dan bahan yang ada, Tiamat menyediakan hidangan seperti pasta, roti dan sup panas. Agak sukar untuk kami mendapatkan sumber protien memandangkan tiada langsung haiwan yang boleh diburu atau ditangkap. Mujurlah ada produk tenusu dan keju yang dapat membekalkan keperluan kami. Tambah lagi, produk suplemen yang kami ambil daripada farmasi yang ada dapat membekalkan nutrisi ini. Tiada masalah bagi buah atau sayur kerana bahan ini boleh didapati di dusun atau di kebun yang terbiar. Aku gembira dengan kehadiran Tiamat, tetapi sampai bila kami akan terus bersama. Selepas berakhirnya misinya itu, mahukah dia hidup bersamaku?

“Tiamat, boleh saya tanya sesuatu?” Soalku, tiba-tiba, semasa kami makan malam bersama. Hari ini, makan malam kami berupa piza berintikan keju, ketulan tuna (dalam tin) dan sayuran (diambil daripada kebun sayur Presiden).

“Ya, Razif? Ada masalah?” Respon Tiamat, yang sedang menjamah pizanya.

“Selepas tamat penjelajahan dan misi kita ini, mahukah Tiamat terus bersama saya?” Tanyaku dengan nada serius. Tiamat meletakkan potongan piza ditangannya dan menghabiskan kunyahan sebelum berkata;

“Maaf, perkara itu mustahil...”

“Mengapa? Mengapa mustahil? Tiamat akan lenyap selepas menyelamatkan bumi?” Soalku, agak terkilan dengan jawapan itu.

“Tidak. Saya masih wujud selepas ini. Tetapi Razif, awak akan melupai saya...”

“Mustahil, Tiamat. Saya pasti bahawa Tiamat akan saya ingati sampai mati!” Aku menyangkal dakwaan Tiamat, tetapi Tiamat menggeleng kecil seraya berkata;

“Terima kasih Razif. Saya juga akan mengingati awak...” Tiamat tersenyum.

“Saya cinta akan kamu, Tiamat...” Aku terus memeluk tubuh kecil gadis itu. Gadis itu membalas pelukanku.

“Terima kasih Rasif....” Aku rasa ada kehangatan menyerang dadaku. Air mata Tiamat membasah dadaku. Aku tidak sedar bahawa Tiamat tidak membalas luahan cintaku. Hanya ucapan terima kasih, dan bisikan minta maaf.

Dua bulan kami berada di rumah itu, dan kami berdua bagai merpati dua sejoli. Sekalipun tiada kata cinta daripada mulut Tiamat, kami berdua begitu rapat dan sering bersama sentiasa. Namun, hubungan kami masih terbatas sekadar kawan baik sahaja. Aku tidak kisah begitu. Aku bahagia bersama Tiamat. Masa tidak menunggu sesiapa, dan musim sejuk di Moscow akhirnya berlalu pergi. Menggunakan kenderaan istimewa Presiden, aku dan Tiamat meneruskan perjalanan ke Istanbul.

.........................................................................................................

Sola-Ui ialah makhluk yang mampu rentasi dimensi. Mereka mampu menguasai ilmu dan pengetahuan manusia untuk memudahkan pengadaptasian mereka dalam masyarakat manusia ini. Sola-Ui akan bertindak sekiranya berlaku gangguan dimensi seperti menimpa dunia Razif. Dunia Razif yang canggih kerana kemajuan teknologinya itu, membuat kesilapan besar melalui kajian ‘Pandora Box’. Dengan membuka dimensi dunia, manusia dapat bergerak tanpa memerlukan ‘daya’ sebaliknya perubahan ‘ruang’. Teknologi ini melampaui kaedah ‘teleport’, memindah objek melalui pergerakan partikal atau ‘warp’ yang menggunakan kelajuan cahaya untuk bergerak. Seperti nama kajiannya, apabila ‘kotak’ itu terbuka, yang datang, hanyalah malapetaka. Seluruh kehidupan yang bergerak hilang dalam dimensi menjadi bumi kini dalam keadaan statik. Mengapa pula Razif masih ada di dunia itu?

Razif kebetulan sedang tidur dan apabila dia tidur, pergerakan dirinya agak minimum hingga ada yang cuba mengejutnya menyangkakan Razif sudah meninggal dunia. Nasib Razif baik dalam hal ini, kerana tabiat buruknya itu, dia tidak terkesan dalam fenomena ini. Sola-Ui Tiamat terpaksa mencari makhluk yang masih wujud di dunia ini bagi menyelamatkan keadaan, dan kemunculan Razif menceriakannya.

Seorang Sola-Ui sukar menunjukkan ekspresi mereka. Tiamat agak berbeza, kerana dia sudah biasa berdampingan dengan manusia. Teman manusia Tiamat semuanya menyayanginya kerana kecomelannya. Semua temannya melahirkan perasaan sama seperti Razif, iaitu ingin bersama biarpun bencana yang dihadapi sudah berakhir. Sebaliknya, kesudahan mereka tetap sama, memori mengenai Tiamat terpadam dengan sendirinya. Tiamat tidak memulihkan dunia, sebaliknya memutarkan masa dunia sebelum bencana berlaku dan menghalang bencana tersebut sebelum bermula. Mustahil memori mereka akan kekal apabila ‘memori bersama Tiamat’ tidak pernah berlaku.

Tiamat tidak kesah kerana yang pentingnya, dia pernah merasai kasih sayang daripada ‘teman-teman’nya itu. Walau bagaimanapun, inilah kali pertama Tiamat menerima luahan cinta. Razif begitu menyayanginya. Pertama kali, dia merasakan perasaan aneh dalam hatinya. Sebagai Sola-Ui, dia tidak faham. Bersama Razif, dia bersama terlalu bahagia, gembira dan sejahtera. Sebab itulah, sebelum mereka meneruskan perjalanan ke Istanbul, Tiamat telah menghadiahkan sesuatu kepada Razif.

“Razif, awak simpanlah benda ini...” Kata Tiamat kepada Razif.

“Buah rantai?” Soal Razif, yang agak terkejut dengan hadiah tiba-tiba itu, melihat ukiran buah rantai yang unik dan istimewa itu.

“Simpan hadiah saya itu, sebagaimana awak menyayangi saya...” Razif tersenyum dengan ujaran Tiamat itu, dengan ceria berkata;

“Baiklah!”

......................................................................................

Setelah hampir sebelum meredah laluan bergunung-ganang menggunakan kenderaan istimewa ‘pinjaman’ aku ini, akhirnya kami melepasi sempadan Turki. Nampaknya, penjelajahan kami hampir sampai ke penghujungnya. Aku melihat Tiamat yang begitu asyik melihat permandangan sepanjang perjalanan kami ini. Senyuman manisnya membahagiakan aku. Malah, aku menerima hadiah daripada gadis itu. Pertama kali dalam sejarahku, aku menerima sesuatu daripada seorang gadis.

“Razif, apakah itu?”

Aku melayan pertanyaan Tiamat tanpa jemu-jemu. Setiap saat bersama gadis ini akan aku hargai sebaik-baiknya. Walaupun Istanbul sudah tidak jauh, aku mengambil keputusan berhenti di kawasan peranginan berhampiran untuk berehat di sana. Tiamat tidak membantah, kontradiksinya bersetuju dengan cadanganku. Malam itu aku menyediakan unggun api dan berkhemah di kawasan khas. Biarpun lalang dan semak-samuk mula menguasai tapak itu, kami tidak bimbang kerana tiada kehidupan lain yang akan muncul di sini. Aku dan Tiamat berbual panjang sebelum tewas dengan kantuk yang menyerang kami.

Esoknya, aku memandu kereta ke arah lokasi yang ditunjukkan oleh Tiamat. Sampai sahaja di kawasan itu, Tiamat terus sahaja menuju ke tempat lapang lalu memulakan upacara menyelamatkan bumi. Sebaik sahaja simbol aneh muncul di bawah kaki Tiamat, dia memanggil aku.

“Razif, awak kenaa mendekati saya....” Arah Tiamat. Aku menurut sahaja.

“Begini?”

“Rapat lagi. Dekatkan dahi awak dengan saya, rapat-rapat...” Aku merapati Tiamat dan meletakkan dahiku pada dahi Tiamat. Tiamat tersenyum, sangat manis membuatkan aku keseganan. Aku menyayangi gadis ini, sepenuh hati.

“Razif, saya mencintai awak juga....” Luahan Tiamat itu mengejutkanku.

“Benarkah?” Aku gembira.

“Ya, Razif. Tapi, maafkan saya kerana........”

...............................................................................................

“Abang, bangun!” Rohana, adikku menggunakan seluruh keupayaannya menggegarkan katil bujangku itu.

“Yelah....” Aku mengalah lalu bangkit dari katil menuju ke bilik air.

“Jangan lupa sarapan!” “Yelah......”

Aku duduk di meja makan yang terhidang sarapan masakan ibuku selepas mandi. Aku memulakan suapanku dengan penuh berselera, bagaikan sudah lama tidak menikmati makanan ibuku itu. Entah mengapa, aku rasa sangat rindu akan masakan ibuku. Kerana asyik dengan makanan, aku menghiraukan sahaja paparan berita sensasi mengenai kemusnahan projek rahsia ‘Pandora Box’ di Amerika Syarikat angkara sabotaj oleh pihak luar. Projek rahsia itu gagal dilaksanakan dan merugikan negara Pakcik Sam itu berbilion-bilion Dolar Amerika. Aku yang suka akan berita sensasi ini mengutamakan makanan. Ibuku yang melihat kegelojohan aku itu menegurku sambil diiring tawa menjengkelkan oleh adikku itu. Biarpun berasa marah, entah mengapa, terasa amat bahagia ketika ini.

“Em?” Kocek seluar berbonjol, terisi sesuatu di dalamnya. Aku mengeluarkan benda itu kerana agak merimaskan aku. Sebaliknya, apabila aku melihat benda dikocekku itu, aku jadi kelu. Rantai kunci? Sejak bila aku memilikinya?

“Abang, kenapa abang menangis? Mak, abang menangis. Takkan kena ejek pun menangis....” Adikku yang ceria itu mula cuak dengan tangisanku.

“La, takkan dah besar pun nak nangis. Eh, kenapa dengan Zif ini....?”

Aku menangis teresak-esak. Air mataku ini bagai tidak mahu terhenti. Kenapa? Apa yang sedang aku lupakan? Aku.......

........................................................................................

“Tiamat, misi awak sudah berakhir....” Ujar ketua misi Sola-Ui, Yggdrasil kepada Tiamat, melalui telepati. Tetapi, Tiamat tidak menjawab. Dia kini berada di sebalik pokok, memerhatikan seorang lelaki yang sedang menangis teresak-esak, melalui tingkap rumah.

“Tiamat, dia sudah melupakan awak. Tidak, awak tidak wujud dalam hidupnya...”

“Saya tahu....” Tiamat cuba tersenyum, tetapi air matanya pula mengalir.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.