Mierda
tersedar dari lamunan tidur yang panjang. Tidak beberapa pasti, adakah ianya
tidur ataupun kelahiran semula ataupun hanyalah sebuah nukilan mainan perasaan?
Tetapi Mierda tahu, terdapat beberapa kepingan memori yang berlegar-legar di
fikirannya. Memori yang pudar tanpa sebarang imej dan resolusi grafik yang
jelas. Beberapa petikan memori yang kurang jelas mengenai asal usul Mierda. Mierda
lantas menidakkan kesemua fikiran yang mencelarukan deria rangsangannya dan
cuba kembali berpijak di dunia yang nyata.
Matanya dirasakan amat berat, seakan-akan dihempap
timbunan folio teori kemusykilan. Amat sukar untuk dibuka. Mierda cuba menghela
nafas, tetapi cubaannya gagal! Deria hidu nya mungkin masih belum diaktifkan.
Ataupun ianya dalam tempoh pemulihan barangkali. Mierda berehat sebentar dari
melakukan apa-apa, badannya masih terasa lemah. Istirehat diperlukan.
**************************************************
Tiba-tiba
Mierda disedarkan oleh satu rangsangan kesakitan yang amat sangat! Seluruh
badannya terasa sangat keras dan azab kesakitan yang amat sangat seperti
digenggam oleh gergasi danawa yang kejam! Seperti digenggam seerat-eratnya.
Mierda dapat mendengar beberapa bunyi anggota badannya yang patah. Satu demi
satu bunyi tersebut semakin jelas. Sakit sangat! Mierda terus tidak sedarkan
diri tak tertahan dengan kesakitan duniawi yang ditempuhinya. Benarkah duniawi?
**************************************************
Mierda
tersedar kerana terasa dirinya dicurahkan dengan air suam. Ataupun dia dicelup
ke dalam cecair tersebut? Mierda tidak pasti. Mierda cuba mengumpulkan segala
kudrat yang dimilikinya dan menyerondong ke permukaan khuatir kelemasan. Mierda
mencuba sedaya upaya untuk bernafas. Dia kemudiannya cuba menggerakkan
tangannya dan menendang permukaan air bagi mewujudkan deria apungan.
Percubaannya untuk berenang gagal. Kemudia Mierda sedar, dia langsung tidak
dapat merasakan refleks tulang empat keratnya. Dia cuba menggerakkan tangan dan
kakinya. Tetapi mana tangannya? Mana kakiknya? Perasaan risau semakin
menyelubungi segenap fikiran Mierda. Adakah anggota badannya dipotong? Derianya
masih lemah, penglihatannya masih kabur, mungkin masih buta. Mierda mula
berfikir dan mengenangkan segala dosa yang pernah dilakukannya. Mungkin ini
adalah balasan untuk dirinya di atas segala kezaliman yang dilakukan, ataupun
mungkin ini adalah kesan halusinasi pengambilan benda haram, ataupun mungkin
Mierda terlibat dalam satu kemalangan yang sangat dasyat sehingga menyebabkan
benda nyata menjadi sebuah ilusi ini? Akan tetapi, sekali lagi Mierda gagal
menggamit memori silamnya. Mierda buntu.
**************************************************
Grooommmmmm!!!!
Mierda
dikejutkan dengan satu bunyi yang sangat kuat. Punca bunyi tersebut amat hampir
dengannya. Bunyi seakan-akan dentuman guruh berserta tiupan taufan yang
menghentam betul-betul di sebelah jasadnya.
Grokkkkkkkkkkk!!!
Tingg!! Tingg!!
Sekali
lagi Mierda terkejut. Kali ini butiran intonasinya lain, seakan-akan bunyi
geseran batuan yang amat besar diselangi dengan bunyi lengking, yakni bunyi
seperti besi yang dipukul.
Bunyi-bunyi
tersebut masih berterusan tanpa henti. Sangat bising! Mierda mengandaikan
gegendang telinganya mungkin akan rosak tidak lama lagi dek bunyi-bunyi yang
bingit itu. Kadang-kadang, bunyi tersebut mewujudkan satu situasi seram
kepadanya kerana seakan-akan mimik sejenis raksasa penghukum yang sedang
bersiap sedia. Raksasa yang sedang bersedia menerima arahan dari tuannya untuk
mendera dan menyeksa Mierda. Mierda menguatkan semangatnya dan cuba mengambil
inspirasi daripada kejayaannya yang masih dapat bertahan dari segala ujian yang
ditempuhinya sepanjang berada di ruangan misteri ini.
**************************************************
Kali ini deria bau Mierda menangkap satu bauan yang
kurang menyenangkan. Semakin lama, bauan tersebut semakin kuat. Bau tersebut
amat busuk! Sebusuk mayat reput yang telah dibiarkan selama beberapa minggu.
Mungkin lebih busuk dari itu! Mierda tidak tahan. Bau tersebut terus berterusan
tanpa henti menyerang rongga hidungnya dan menjajah setiap pelusuk tubuhnya.
Mierda kehairan kerana dia masih belum dapat merasakan hidungnya, masih belum
dapat menggerakkan hidungnya, tetapi bau busuk ini tersebut terus menembusi
logik akal tanpa belas budi kasihan.
Acap kali Mierda merasakan kepalanya pening dan ingin
pitam. Mungkin Mierda telahpun pitam beberapa kali tanpa menyedari keadaan yang
berlaku. Mierda buntu dan hanya pasrah dengan nasib malang yang menimpa dirinya.
Apa lagi yang mampu dilakukannya melainkan hanya berserah kepada takdir. Di
ketika itu, Mierda hanya berdoa agar segala penderitaannya ditamatkan, agar
terus dimatikan! Dirinya sudah tidak terdaya dengan satu persatu ujian yang
ditempuhinya. Mierda terus berdoa dan berdoa. Tetapi tiba-tiba Mierda tersedar!
Kepada siapa dia ingin berdoa? Mierda cuba mengorek lagi dalam memorinya. Apa
agamanya? Siapa yang patut dia berdoa? Apa itu doa???
**************************************************
Badan Mierda mula rasa stabil tanpa sebarang perubahan.
Mierda dapat merasakan setiap aggotanya telah kukuh. Mungkin semakin beransur
pulih. Suasana turut sunyi sepi seketika. Mierda bersyukur! Adakah doanya
diterima? Itu semua tidak penting bagi pendapat Mierda, yang penting
kesakitannya dapat dikurangkan. Akan tetapi, bau busuk itu masih terus
menyengat hidungnya. Cuma tidaklah sebusuk sebentar tadi. Sebentar tadi?
Mungkin semalam? Mungkin 2 hari lepas? Mungking seminggu yang lepas? Mierda
tidak pasti. Ataupun, mungkin juga Mierda sudah biasa dengan bau busuk
tersebut.
Mierda kembali memfokuskan deria rangsangannya. Mierda
dapat merasakan seperti ada sesuatu unsur yang menyokong berat badannya. Oh!
Cecair yang hampir melemaskannya sebelum ini rupanya. Selang beberapa ketika,
Mierda menyedari yang dia sudah pun terapung! Tanpa sebarang susah payah. Tanpa
perlu Mierda berenang apungan mahupun bergerak walaupun sedikit. Mierda
terfikir indahnya sains itu dapat mengapungkan dirinya hasil daripada perubahan
ketumpatan jisim. Itu adalah pertolongan yang diterimanya! Tidak sia-sia Mierda
berdoa. Tetapi sekali lagi persoalan tersebut bermain di fikirannya. Kepada
siapa dia patut berdoa? Adakah dia masih diizinkan untuk berdoa pada saat dan
ketika ini?
Mierda kembali ke landasan awal niatnya. Setiap saraf
rangsangannya cuba diamplifikasikan. Fungsinya cuba difokuskan, digandakan.
Ketika itu Mierda dapat merasakan dan menggambarkan keadaan sekujur tubuhnya.
Seluruh tubuhnya seakan-akan dibalut sesuatu. Sesuatu yang keras dan melekit. Kejap
sekali balutan tersebut hinggakan sebarang pergerakan pun tidak dapat dilakukan
oleh Mierda. Mierda cuba membuka matanya sekali lagi. Tetapi tidak boleh.
Sangat sukar dan berat. Mierda dapat merasakan seperti kelopak matanya telah
dijahit dengan kemas sekali!
**************************************************
Tiba-tiba Mierda dikejutkan dengan hempasan ombak tsunami
disertai dengan taufan yang kuat! Bunyi dentuman yang mengerikan itu muncul
semula. Mierda dapat merasakan dinding ruang misteri itu bergerak secara rawak dengan
frekuensi yang sangat laju! Mengecut dan mengempis hinggakan menekan tubuh
badan Mierda dengan kuat. Sakit ya amat! Mierda dapat merasakan ombak-ombak
meninggi dan menghemas sekujur tubuh Mierda. Hairan! Mierda langsung tidak dapat
merasakan sebarang pergerakan udara hatta angin yang kuat. Akan tetapi,
bagaimana terhasilnya ombak-ombak yang menggila ini?
Dinding ruang misteri itu terus memukul-mukul Mierda.
Menekan-nekan dan kadang-kadang memulas dan memutarkan badan Mierda. Badan
Mierda diperlakukan seakan-akan bola ragbi. Dibawa, digengggam, dilanggar,
ditindih, dihentam, ditendang, dipijak dan sebagainya! Mierda langsung tiada
masa untuk berharap, berdoa dan menganalisis apa yang sedang berlaku.
Kesemuanya berlaku sangat pantas dan menyakitkan! Terlalu menyakitkan Mierda!
Fenomena celaka itu berterusan tanpa henti beberapa minit.
Hinggalah Mierda dapat merasakan dia ditolak keluar
secara paksaan melaui satu laluan yang dirasakannya sangat sempit. Laluan itu
dirasakan memegang seluruh tubuhnya. Seakan-akan tidak membenarkan dia keluar.
Akan tetapi! Dinding ruang misteri itu terus memukul Mierda tanpa henti.
Menolak dan menghalau keluar Mierda melalui laluan sempit itu. Mierda sudah
tidak tahan diperlakukan begitu. Mengapa dia dihalau? Mengapa dia dipukul?
Tetapi, mengapa laluan tersebut tidak membenarkannya pergi? Mierda hanya
pasrah, menahan sakit yang ditanggung dan menanti apakah kesudahan penderaan
yang dialaminya.
Beberapa minit kemudian, Mierda dapat merasakan kepalanya
melepasi laluan tersebut. Sedikit demi sedikit, badannya mula melepasi laluan
durja tersebut. Mierda tergamam dan sedikit kegirangan terasa menyelubungi
perasaannya. Ruangan misteri yang baru dimasukinya agak selesa. Sedikit cerah
dan terang dan mempunyai pengudaraan yang baik jika nak dibandingkan dengan
keadaan ruangan misteri sebelumnya. Akhirnya seluruh tubuh badan Mierda berjaya
keluar dan memasuki ruangan baru. Terus jatuh bebas tanpa mengetahui hala tuju;
Dan selang beberapa detik, ajal Mierda sampai. Mierda menghembuskan nafas
terakhir tanpa sempat mengatakan apa-apa, tanpa sempat mengimbau siapakah
dirinya sebelum ini. Tetapi hanya sedetik itu di saat-saat akhir pemergian
Mierda, Mierda bersyukur. Doanya didengari, penderitaannya sudah tamat. Terima
kasih kepada...tetapi sekali lagi Mierda terfikir, kepada siapa dia patut
berterima kasih? Siapa dirinya? Siapa yang perkenankan doanya? Persoalan yang
tidak terjawab dan terus menghantui seiring dengan pemergian Mierda.
**************************************************
Flluuuussshhhhhhhh!!
Bunyi air yang memenuhi mangkuk tandas hasil daripada flush
tangki jamban. 10 minit Ali bertarung tadi. Hanya segilintir manusia yang faham
perasaan sembelit. Ali menghela nafas panjang. Lega rasanya bila dapat membuang
dan mengosongkan perut.
“Ahhhh..lega...”
"Membuang air besar adalah salah satu nikmat yang tidak ternilai..fuhhh.."
-TAMAT-