Home Novelet Keluarga Mat Lidi vs Cik Kak Lempeng
Mat Lidi vs Cik Kak Lempeng
Nik Zah
19/2/2016 22:58:02
32,523
Kategori: Novelet
Genre: Keluarga
Bab 13

(Dah lama tak update cerita ni..Harap terhibur la ye..:).segala kekurangan dari segi penulisan saya, sila la komen..


Sejak kebelakangan ini, Epul semakin jarang mengikut Mustafa ke kebun. Ada sahaja alasan yang dibuat untuk mengelakkan diri. Epul juga sering keluar rumah dan pulangnya juga agak leat dan ini semakin menambahkan gusar di hati Mustafa. Mustafa bersandar di batang pokok pisang miliknya sambil mengenangkan perangai anak-anaknya yang semakin meningkat dewasa. Walaupun hanya dua orang, cukup sahaja menggamatkan isi rumah.Azlin dengan perangainya yang tersendiri, adakalanya degil dan tidak mendengar kata. Jika dia tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara, memang alamatnya panjang berjela bebelannya. Bukannya dia tidak mendengar bebelan anaknya itu setiap kali pulang ke rumah tetapi sengaja dia diamkan. Walaubagaimanapun Mustafa tahu hati budi sebenar anak sulungnya itu. Di sebalik kekerasan Azlin masih ada kelembutan di sebaliknya. Si bongsu pula kadang-kadang perangainyajuga sukar dijangka dan selalu dicop sebagai pemalas oleh kakaknya.

Sebab itu jika mereka berdua berada di dalam rumah, keadaan di dalam rumah akan gegak gempita dengan suara mereka berdua. Masing-masing tidak mahu mengalah dan suka mengikut kepala masing-masing. Tetapi jika salah seorang daripada mereka tiada di rumah, sunyi pula rasanya.

Epul pula baru sahaja menginjak ke usia 19 tahun, masih muda benar. Keputusan SPM Epul juga di tahap yang biasa-biasa sahaja. Sederhana. Bukan Mustafa tidak menekankan Epul tentang pelajaran. Dia sendiri pernah mendaftar Epul di pusat tuisyen bagi beberapa mata pelajaran yang lemah, tetapi nampaknya Epul masih tidak berminat dan Mustafa terpaksa redha. Jika pelajar-pelajar lain berebut-rebut untuk menerjunkan diri di universiti-universiti terkemuka tetapi tidak bagi Epul.Sebaik sahaja keputusan SPM diterima, Epul tidak pula mengisi mana-mana borang UPU mahupun bidang kemahiran lain. Epul nampaknya lebih berminat melakukan kerja di kebun, itu pun apabila beberapa kali diingatkan.  Biarlah, Mustafa tahu pasti ada rezeki untuk anaknya itu. Mustafa tidak mahu terlalu mendesak Epul. Epul berhak membuat pilihan sendiri.

Mustafa menarik nafas panjang mengenangkan sikap Epul kebelakangan ini yang banyak mencipta alasan untuk ke kebun membantunya. Sebenarnya kebunnya bukanlah sebesar mana. Dia juga masih mampu menguruskan kebun seorang diri tanpa di bantu anak lelakinya itu tetapi jika berteman itu lebih baik. Sekurang-kurangnya dia tidak kesunyian dan ada juga teman untuk berbual. Selagi dia masih ada kudrat, selagi itu dia rasa rugi jika kudratnya itu tidak digunakan untuk melakukan kerja yang dapat mendatangkan hasil. Lagipun masih ada yang berminat untuk membeli hasil-hasil kebunnya itu. Sedikit sebanyak dia akan dapat memperoleh hasil daripada jualan buah-buahan di kebunnya itu.Peraih itu juga merupakan orang di kampungnya juga dan masing-masing sudah lama kenal antara satu sama lain.

Mustafa teringat perbualan antara dirinya dengan Epul baru-baru ini. Mungkin memang ini juga salahnya menyebabkan Epul berubah laku, itu yang dia fikirkan. Sengaja dia ingin menduga hati anaknya itu sekaligus melihat reaksi Epul apabila hal itu dibangkitkan. Sekali-sekala mengusik jiwa anak lelakinya itu tiada salahnya.Tetapi tidaklah dia menyangka sehingga begini sekali rajuknya.

 

Azlin terbangun dari tidur apabila berasa perutnya mula berkeroncong. Salah dirinya juga kerana ego dengan pelawaan Hana yang ingin membawanya ke kedai makan. Sanggup pula dia menahan lapar sedangkan perutnya sejak tadi lagi berdendang sayang. Mana tidaknya, selepas pulang dari hospital hanya maggi yang masuk ke dalam perutnya. Nasib baik juga sekurang-kurangnya ada sebungkus mi maggi sebagai penyelamat perutnya ketika itu tetapi berapa lama sangatla perutnya itu dapat bertahan? Hm..malasnya Azlin untuk bangun dari katil. Lena pula tidurnya sehingga tidak sedar jam sudah bergerak ke angka sepuluh malam. Nasib baik dia tertidur selepas selesa imenunaikan solat Maghrib  dan terbangun ketika ini. Dapatlah dia menunaikan solat Isyak yang sememangnya menjadi kewajipan ke atas setiap orang Islam. Selepas solat bolehla dia pergi ke dapur dan memikirkan apa yang boleh dijadikan makanan .Makanan ringkas-ringkas sahaja sudah cukup, asalkan dia tidak tidur dalam kelaparan.

Mi segera lagi? Oh no! Dia tidak akan selalu menjamah mi segera kerana dia juga tahu keburukan makanan itu, lagipun dia hanya makan ketika terdesak sahaja seperti siang tadi.  Tiba-tiba Azlin teringatkan Epul yang suka makanan segera itu sebagai sarapan pagi. Ketika dia di rumah tempoh hari, dia nampak ada beberapa bungkus mi segera di dalam laci kabinet dapur. Dia tahu adiknya itu malas memasak dan antara makanan yang mudah disediakan ialah mi segera yang pelbagai perisa itu tetapi Azlin tidak menyukai situasi itu. Dia  tidak mahu Epul menerima kesan buruk di kemudian hari. Sebab itulah sempat dia pergi ke bandar sebentar dan membeli beberapa bungkus roti dan jem untuk diletakkan di rumah. Lebih baik adiknya itu menjamah roti disapukan jem daripada mi segera yang memang tidak berkhasiat itu. Tetapi biasalah Epul,masih lagi merengek mengatakan tidak minat makan roti.

“Asyik-asyik roti. Taksuka betul la. Feeling macam Mat Saleh pulak” Itulah ayat-ayat yang keluar dari mulut Epul apabila melihat Azlin yang membawa pulang bungkusan roti.Kesudahannya, mi segera yang menjadi pilihan

Naik geram juga Azlin dengan adiknya itu. Ayahnya pula kebiasaannya awal-awal lagi sudah ke kebun,ada-ada sahaja kerja yang dilakukan ayahnya itu. Risau juga Azlin melihatkan kesungguhan ayahnya itu sedangkan usia ayahnya bukanlah muda lagi. Biasanya sebelum bertolak ke kebun, ayahnya itu awal-awal lagi sudah sediakan kopi panas. Jika sempat ayahnya akan sediakan juga makanan-makanan yang ringkas seperti nasi goreng. Tapi macam biasalah Epul yang cerewet itu adakalanya tidak menjamah nasi goreng yang sudah disediakan. Biasa juga mereka berdua akan menjamu selera di kedai sahaja. Kalau nak harapkan Epul yang memasak memang tidak makanlah mereka di rumah,

Epul pula bila nak diajar memasak, ada sahaja alasannya padahal ia untuk kebaikannya juga.  Entahlah, bila agaknya adiknya itu hendak berdikari. Azlin tahu ayahnya juga risaukan masa depan Epul. Tentang hasrat Epul untuk mengikutnya balik tempoh hari, dia sendiri tidak tahu samaada hasrat Epul itu serius atau tidak. Lagipun Epul datang ke sini untuk apa? Kerja? Betul ke adiknya itu sudah dapat kerja di sini? Bila Epul mohon? Kerja sebagai apa?Jika dia mahu kerja di sini, dia mahu tinggal di mana pula? Tetapi  memikirkan alasan yang diberitahu adiknyajuga membuatkan Azlin terfikir sekali lagi. Betul ke ayahnya ingin kahwin lagi?Dengan siapa ayahnya ingin berkahwin? Tidak pula dia dengar desas desus ayahnyaingin kahwin lagi. Atau Epul sengaja mereka cerita supaya dapat merasai nikmat keluar dari kampung? Pening, pening.

Dia juga kalau boleh mahu sahaja tinggal di kampung tetapi telah ditakdirkan bahawa dia mendapat rezeki di sini iaitu di Selangor. Mujur juga jarak dari Selangor  ke Melaka tidaklah terlalu jauh, sebab itu dia masih boleh juga kerap pulang ketika cuti sekolah dengan menaiki bas ekspres. Sebenarnya Azlin cukup tidak suka menaiki bas, kepalanya cepat pening lebih-lebih lagi apabila terpaksa bersesak-sesak dengan penumpang lain. Sebab itu Azlin lebih rela pergi ke tempat kerjanya dengan motor sahaja. Memang diakui agak bahaya dengan gelagat pengguna jalan raya lain yang adakalanya agak mementingkan diri, tetapi buat masa ini motor sahaja yang mampu dia beli. Dia tidak sanggup meminta-minta wang dengan ayahnya, biarlah dia cuba berdikari sendiri dan menabung sedikit demi sedikit.

            Dengan perasaan yang amat malas, akhirnya Azlin bangun jua. Dia sudah tidak hiraukan rambutnya yang mengerbang dan juga bagaimana rupanya sekarang. Apa yang penting ialah tunaikan solat dan mengisi perutnya yang lapar. Azlin membuka pintu perlahan-lahan. Azlin sangkakan mungkin Hana sudah pun tidur tetapi rupa-rupanya Hana masih berada di kerusi mengadap televisyen. Rumah sewa mereka ini bukanlah besar mana. Bila pintu bilik di buka, akan terus kelihatan ruang tamu yang menempatkan beberapa buah kerusi, meja empat segi dan juga sebuah televisyen yang sederhana besar yang bersaiz 24 inci.

            Rupa-rupanya Hana masih belum tidur dan sedang ketawa mengekek menonton cerita lakonan P Ramlee. Hana nampaknya tidak sedar tentang kehadiran Azlin kerana kedudukan kerusi yang membelakangi bilik Azlin. Sebenarnya bilik mereka hanya sebelah menyebelah. Ada tiga bilik kesemuanya dan satu bilik lagi lebih paling kecil dan mereka jadikan bilik itu sebagai stor untuk menempatkan barang-barang mereka. Bilik yang dijadikan stor itu kedudukannya hanya bersebelah dengan dapur.

            Sehinggalah Azlin tiba di depan pintu bilik air juga, Hana masih juga  tidak menyedari tentang Azlin. Azlin pula sengaja berjalan perlahan-lahan sambil matanya tidak lepas-lepas memandang gelagat Hana. Ketika baru sahaja Azlin ingin melangkah masuk ke dalam bilikair, tiba-tiba Azlin tidak dapat menyeimbangkan diri. Azlin cuba berpaut kepada singki tetapi Azlin terjatuh juga. Serentak dengan itu Azlin terus menjerit.

Bunyi yang agak  kuat membuatkan Hana tersentak dan terus bangkit dari kerusi. Hana segera berlari menuju ke bilik air.

“Ya Allah, Azlin!” Hana menekup mulut terkejut melihat keadaan Azlin yang merintih kesakitan.

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.