Suatu ketika, Min dan Danny singgah di rumah mama memberikan cenderahati sepulang dari percutian luar negara. Mereka singgah tatkala Izha ada dirumah. Kebetulan. Mungkin menghabiskan cuti tahunan, atau ada agenda lain, namun mereka tidak memperdulikan kelibat Izha.
Izha yang waktu itu sedang sibuk membelek basikal ‘5ribu’ macam gugup antara seronok dan tidak. Melihat si kecil Hazidi, melihat Min dan melihat Danny.
Faizah beriya menjemput masuk namun ketiadaan mama, membuatkan mereka menolak. Izha sentiasa cuba berbual kosong dan bersungguh cuba untuk untuk menonjolkan dirinya. Berbual seakan tidak pernah berlaku pergeseran antara mereka. Seakan lupa hati-hati yang telah disakiti.
Min cuma nampak betapa Izha masih sangat berusaha memperlihatkan dirinya yang lebih baik dan lebih bagus berbanding Danny. Manakala Faizah mesra teramat, sentiasa cuba menongkah dan memperlekeh ayat-ayatIzha.
Dan akhir bagaimana Faizah menghenyak si kecil Sofia atas riba Izha yang waktu itu sibuk bercerita akan keinginannya untuk terus menambah zuriat. Macam nak ajak mereka berlumba beranak!
Yang ada pun tak terbela.
Izha bungkam. Faizah mengomel berterusan. Min hampir tidak dapat menahan tawanya, segera bergegas meminta diri. Tidak mahu terperangkap di dalam kemelut itu. Bergegas mereka berlalu laju.
Di dalam kereta mereka berdua terburai ketawa.