Home Novel Keluarga Hakikat Sebuah Derita
Hakikat Sebuah Derita
chema
25/4/2018 12:01:36
40,743
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 9

BAB 9

Kadir membasuh kakinya yang berkerak sebelum melangkah masuk ke dalam rumah. Bau bubur nasi yang sedang dimasak Gayah itu membuatkan perut yang seharian kosong tidak terisi mula berkeriuk menahan lapar. Sejak semalam dia belum menjamah apa-apa bukan tidak mahu makan tetapi tidak ada apa yang boleh dimakannya. Melihat Gayah tidak mengendahkan kehadiran dia disitu tahulah Kadir, Gayah sedang merajuk dengannya. Kadir melepaskan baju ditubuh lalu menggantikan dengan yang sudah berbasuh. Dia umpama kambing yang takutkan air. Entah dimana silapnya hinggakan hidupnya semakin melarat. 

“Aku lapar” Tutur Kadir sepatah membantutkan kerja Gayah yang sedang memunggah kayu bakar. Dia menjeling sekilas ke arah Kadir yang sudah bersila dilantai rumah sebelum meneruskan kerjanya. Sakit hatinya mengenangkan perangai buruk Kadir sejak semalam lagi menghilangkan diri dan sekarang baru nampak muka.

“Kau dengar tak apa yang aku cakap ni, aku lapar nak makan” suaranya ditekan sedikit dalam apabila melihat Gayah tidak mengendahkannya.

“Dah tahu lapar kenapa tak cari kerja, cari duit” Gayah mula naik angin, mana tidaknya suara meninggi suaminya itu bagai jarum yang sedang mencucuk kulit dan daging tubuhnya. Sudah lah ghaib sejak semalam, muncul saja terus dimarahnya. Hati siapa yang tidak sakit. Dia yang seharian berkerja, penat jaga anak demam lagi. Semua kerja dia lakukan sendirian tidak adakah sedikit perasaan timbang rasa Kadir kepadanya. Nasib baik juga kesihatannya bertambah baik jika dia sama-sama sakit apalah yang akan jadi dengan anak-anaknya. Gayah mengemaskan simpulan kain batik dipingangnya gaya orang hendak buka silat. Tidak kuasa lagi dia mahu mengikut kata suaminya yang tahu memerintah tanpa sedikitpun menimbang rasa penat lelahnya.

“Kalau aku ada duit aku tak makan kat sinilah.” jerkah Kadir hingga membuatkan Ammar dan Emir yang masih lena itu terjaga. Emir terus menangis manakala Ammar berengsot ke belakang dalam ketakutan. Menggigil tubuhnya menahan panas dan sekaligus rasa takut apabila melihat wajah bengis ayahnya. Masih terbayang dikepala kanak-kanak itu apa yang belaku kepada kakaknya semalam. Ammar tidak mahu perkara semalam berulang kembali, dia tidak mahu emaknya pula menjadi mangsa.  

Gayah tidak melayan. Dia terus mendapatkan Emir dan menidurkan kembali anak kecilnya. Ammar yang nampak kelihatan takut juga dipeluknya erat. Bahang panas dari tubuh Ammar meresahkan hatinya. Air yang tersedia didalam bekas dibasahkan dengan tuala lalu diletakkan ke atas kepala Ammar. 

“Kalau awak kesiankan budak-budak ni tolonglah cari kerja bang, saya dah penat buat semua kerja. Berjudi tu tak boleh buat awak kaya pun sampai bila awak nak jadikan benda haram tu darah daging.” Perlahan rasa terbuku dihati dilepaskan. Itulah rasa selama ini yang terbuku dihati. Diam Kadir bermakna dia boleh meneruskan luahannya. 

“Tak payah lah diikutkan perangai sangat Samad tu, kita makan ke tidak Samad tak pernah ambil peduli. Dari awak buang masa dengan mereka lebih baik awak cari kerja. Anak-anak makin besar bang, keperluan mereka pun bertambah”  Nasihat Gayah tidak pernah berputus asa. Setiap hari dia berdoa agar suaminya berubah laku. Entah bila doanya akan dimakbulkan dia tetap juga bersabar.

Kadir tarik nafas dalam, bagai menarik beban yang tergantung disudut hatinya. Sudah agak lama dia tidak mendengar bebelan panjang Gayah. Sebelum ini suara itulah yang selalu menjadi penghibur hatinya. Namun sejak kehidupannya semakin dirundum malang semakin jarang pula dia berbual dengan Gayah, bercerita tentang masa depan, berkongsi saat-saat manis bersama. Jauh disudut hati Kadir rindu akan kenangan masa lalu mereka. Biarpun hidup mereka sederhana tetapi mereka selalu bersama.

Dia bukan lagi seorang suami yang mampu menjaga keluarga. Entah berapa banyak beban yang dipikul Gayah. Sejak dia mengenali dunia judi pulang ke rumah waktu dinihari sudah menjadi kebiasaan. Terkadang seharian dia tidak menatap wajah isteri dan anaknya. Balik ke rumah Gayah sudah nyenyak tidur bersama anak-anak, apabila hari siang pula bangun dari tidur Gayah sudahpun keluar berkerja. Sampai bila dia mahu meneruskan hidup seperti ini. Kadir buntu, dia tidak punyai sesiapa sebagai tempat mengadu.

Gayah tidak pernah tahu sudah banyak kali dia mahu berubah namun semakin dia mahu menjadi lebih baik pasti ada sahaja halangannya. Kadir merasakan hidupnya sungguh tidak berguna. Benarlah kata cikgu Bakri hidupnya hanya menyusahkan orang. Kadir mula rasa kecewa dengan kehidupannya.

Gayah jeling sekilas ke arah Kadir yang diam tidak menjawab. Hanya melihat belakang tubuh suaminya itu Gayah jatuh kasihan. Kurus tidak berdaging. Dahulu tubuh itu yang sering menjadi bantal peluknya tetapi semuanya telah berubah. Dia tidak tahu apa yang dilalui suaminya saat ini. Walaupun hatinya teramat geram dengan sikap suaminya namun cinta dan kasih sayang terhadap Kadir tidak pernah berubah. Langkah kaki diatur menuju ke dapur. Disediakan hidangan untuk suaminya. Dia tidak mampu untuk menyediakan lauk pauk yang enak hanya bubur nasi berlaukkan kicap dan telur dadar sahaja untuk mereka.

“Bawak-bawak lah diri tu bertaubat, saya pun dah lama tak nampak abang sembahyang. Abang boleh tinggalkan saya, tinggalkan anak-anak tapi jangan tinggal Allah. Dia satu-satunya tempat kita bergantung bang. Saya dah tak kenal siapa abang lagi dah.” Luah Gayah sebak.

“Makanlah, ini saja yang mampu saya sediakan. Semalam saya diberhentikan kerja, esok kalau budak-budak ni dah sihat saya nak cari kerja.” Ucap Gayah sebelum berlalu meninggalkan Kadir yang termanggu sendirian menatap butir-butir nasi yang telah menjadi bubur berlaukkan telur dadar. Kata-kata Gayah cukup membuatkan hati jantannya cair betul-betul menikam terus ke jantungnya. Dia sudah lupa bila kali terakhir wajahnya basah dengan wuduk, bila dahinya tunduk patuh menyentuh bumi. Rasa yang digumpal menjadi satu itu tidak tahu dimana mahu dilontarnya. Dia malu menyembah Tuhan sedangkan dosanya semakin bertimbun. 

Rasa bersalah kepada Gayah dan anak-anak juga menghimpit saluran nafasnya. Dia yang patut menyediakan semua keperluan rumah mereka bukan Gayah. Dia yang patut menjadi pelindung kepada keluarganya bukan sebaliknya. Perlahan-lahan bubur nasi itu masuk ke mulutnya. Walaupun perutnya terasa begitu lapar namun sebaik sahaja butiran putih itu masuk ke tekak dia tidak mampu menelan. Terasa tersekat didalam kerongkong. Pahit dan pedih itulah yang dia rasa.


Previous: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.