Home Novel Fantasi Reality Override
BAB 48

SUBJEK EKSPERIMEN

Kelopak mata Ilham dibuka perlahan. Cahaya putih yang amat terang lagi menyilaukan menerobos masuk ke dalam matanya secara mendadak. Terkebil-kebil mata Ilham menahan cahaya yang menyilaukan itu. Kepalanya masih terasa sakit. Mungkin kesan akibat menghantukkan kepalanya ke dinding sebelum ini.

Sebaik matanya dapat melihat dengan jelas, baru dia tersedar yang kini dia berada di sebuah bilik lain. Keadaan di bilik itu berbeza sekali. Dia tidak dapat mengecam di mana dia berada sekarang.

Kepalanya dipusing ke kiri dan kanan. Ilham amati persekitarannya.

Seluruh bilik ini serba putih, dari lantai sampai ke siling. Tubuhnya juga kini terbaring di atas katil yang turut berwarna putih. Di kiri dan kanannya terdapat pelbagai jenis mesin yang Ilham sendiri tidak tahu apa fungsinya. Beberapa bahagian tubuhnya dipasang dengan beberapa peralatan untuk mengambil bacaan daripada tubuhnya.

Sebelah tangannya disambung dengan beg cecair yang tergantung di tepi katil. Darah turut dibekalkan kepadanya, memandangkan dia telah kehilangan banyak darah akibat kecederaan sebelum ini. Kepalanya yang tercedera akibat dihantukkan ke dinding dengan sengaja sudah dibalut.

Walaupun tubuhnya masih terasa sakit, Ilham cuba juga untuk bangun. Namun usahanya itu terbantut tatkala menyedari tubuhnya diikat ke katil pada bahagian bahu. Tangan dan kakinya turut diikat kemas ke birai katil.

'Kat mana ni?'

Ilham tetap berdegil untuk membangunkan tubuhnya. Mungkin dia terlalu panik dengan situasi yang dihadapinya kini. Dengan tenaga yang masih bersisa tubuh, Ilham cuba melepaskan diri daripada ikatan yang membelenggu kebebasannya. Tubuhnya cuba bangun dengan menolak ikatan yang melilit bahunya.

Sejurus kemudian, seseorang yang memakai kot makmal masuk ke bilik itu. Dia melangkah tenang sahaja. Tidak menyedari yang Ilham telah tersedar. Dia terus berjalan ke arah katil tempat tubuh Ilham dibaringkan.

Setelah berada di sisi katil Ilham, baru dia tersedar yang subjek pemerhatiannya telah pun tersedar. Ilham yang menyedari kehadiran lelaki itu terus diserang rasa panik dan ketakutan. Entah kenapa, dia berasa begitu takut dengan kehadiran orang memakai kot makmal. Tambahan pula, tubuhnya sedang diikat sekarang. Adakah perkara yang paling ditakutinya telah berlaku?

"Kamu dah sedar," ujar lelaki itu mendatar sambil mula melakukan pemeriksaan rutin ke atas Ilham.

Ilham pada mulanya ingin memberontak, tetapi dihalang dengan keadaan tubuhnya yang masih diikat.

"Kat mana aku ni?" soal Ilham terburu-buru.

"Tak penting pun untuk kamu tahu," balas lelaki yang memakai kot makmal itu sambil memeriksa tubuh Ilham.

"Siapa kau ni?"

"Saya Doktor Amril. Saya akan pantau keadaan kesihatan kamu sepanjang kamu berada kat sini," terang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai seorang doktor itu.

"Doktor? Kenapa pula kau kena jaga aku? Aku tak sakit pun. Dah, lepaskan aku sekarang," desak Ilham sambil meronta-ronta untuk melepaskan dirinya.

Desakan Ilham tidak dipedulikannya. Sebaliknya dia sibuk mengambil bacaan-bacaan yang tertera pada mesin-mesin di sekeliling Ilham. Ilham pula semakin ganas rontaannya. Kesakitan di tubuhnya tidak dipedulikan.

Menyedari akan tingkah Ilham, dia terus mengeluh kasar lalu berkata, "Dah, hentikannya Subjek 209. Kamu takkan mampu lepaskan diri pun."

Ilham yang pada asalnya tidak berminat untuk mendengar kata-kata doktor itu tiba-tiba menghentikan rontaannya. Bukan disebabkan dia ingin patuh kepada arahan doktor tersebut tetapi dia tertarik mendengar perkataan 'Subjek 209' disebut oleh doktor itu.

'Subjek 209? Siapa? Aku ke?' soal Ilham sendiri. Matanya membulat luas tatkala menyedari hakikat itu.

"Dah, lepas ni kamu rehat dan jangan banyak bergerak. Lepas ni ada banyak tugasan untuk kamu menunggu," ujar doktor itu senada. Bukan saranan lembut tetapi arahan tegas yang harus dipatuhi. Setelah selesai memeriksa Ilham, dia kemudiannya berjalan keluar meninggalkan bilik Ilham.

Setelah pintu bilik serba putih itu ditutup, Ilham termenung sendiri di katilnya. Lagipun, apa yang dia boleh buat selain termenung dan berfikir. Seluruh tubuhnya sudah diikat.

'Adakah aku ni jadi subjek dalam human experimentation?' Sebelum Ilham boleh berfikir dengan lebih jauh lagi, kepalanya lagi sekali diserang rasa sakit yang menggila. Nampaknya, dia terpaksalah berehat sahaja dan berhenti daripada terus berfikir.

***

Fenomena aneh yang berlaku semasa Ilham mengamuk dan menyerang Fizri tempoh hari cuba ditutup oleh pihak pentadbiran universiti. Peristiwa itu ditutup dengan mengatakan ia berpunca daripada kemalangan di dalam makmal.

Walau bagaimanapun, fenomena aneh itu turut tidak terlepas daripada menerima berbagai-bagai spekulasi daripada para pelajar universiti. Berita kemalangan itu dengan pantasnya merebak ke seluruh kawasan universiti dengan media sosial sebagai mediumnya.

Ada yang berspekulasi, kejadian tempoh hari bukan disebabkan kemalangan, tetapi disebabkan serangan daripada pemberontak. Mereka sebenarnya menyasarkan kem tentera yang dikatakan terletak di kawasan universiti ini.

Ada juga yang mengusulkan teori lebih pelik. Mereka berspekulasi bahawa kejadian tempoh hari mungkin ada kaitan dengan eksperimen rahsia yang dijalankan di kawasan universiti ini.

***

"Fizri!"

Fizri yang pada waktu itu baru keluar dari sebuah makmal, terus berhenti melangkah lalu menoleh ke arah punca suara. Luqman sedang berdiri tercegat di belakangnya sambil tersenyum.

"Ya, ada apa Dr. Luqman?"

"Kamu dah okey ke?" soal Luqman. Dia memerhatikan beberapa bahagian tubuh Fizri yang masih berbalut dek tercedera akibat fenomena aneh tempoh hari. Mereka berdua meneruskan perbualan sambil berjalan di koridor itu.

"Dah okey kot," balas Fizri tetapi riak wajah yang dipamerkan menunjukkan sebaliknya. Dia memandang ke arah lain lalu termenung jauh.

"Apa yang kamu menungkan?" soal Luqman prihatin.

"Saya fikirkan pasal ...." Fizri baru sahaja ingin menjawab tetapi telah dipintas seseorang.

"Ha, Fizri! Kat sini rupanya kamu. Kamu jangan lupa tugasan kamu lepas ni. Memandangkan kita baru je berjaya dapatkan Subjek 209, kamu akan jadi lebih sibuk lepas ni," pintas Zahran yang datang dari arah bertentangan.

"Ya, saya tahu," balas Fizri pantas. Dia seperti mahu tidak mahu sahaja membalas kata-kata Zahran.

"Apa yang kamu dah tahu?" soal Zahran ingin tahu.

Fizri baru tersedar dia telah terlepas cakap. Dia terus cepat-cepat membalas dengan memutar belitkan kata-katanya tadi.

"Saya tahu tugas saya professor."

"Good. Saya harap kamu boleh jalankan tugas kamu dengan baik dan tak kecewakan kami. Kamu ni betul-betul bijak, mewarisi kepintaran papa kamu," puji Zahran di hujung bicara sambil menepuk bahu Fizri.

Fizri berasa tidak selesa tatkala dipuji sebegitu lalu dia menunduk sahaja tidak membalas apa-apa. Luqman yang masih berada di situ hanya mendiamkan diri.

"Tak sia-sia saya hire kamu dalam projek ni," kata Zahran lagi sebelum berjalan meninggalkan mereka berdua. Fizri dan Luqman terus memandang ke arah kelibat Zahran yang kian menjauh. Masing-masing senyap tidak terkata apa.

Setelah memastikan kelibat professor itu menghilang dari pandangan, barulah Fizri boleh menghembuskan nafas lega. Hampir-hampir sahaja rahsianya pecah.

"Fizri ...." Hanya itu yang dilafazkan Luqman di bibirnya dengan isyarat mata, tetapi sudah cukup untuk memberitahu Fizri akan apa yang cuba disampaikan lelaki itu.

"Hmm, okey," balas Fizri sambil memandang ke atas. Berasa bersalah akan kecuaiannya tadi.

***

Amril membuka balutan di kepala Ilham perlahan. Luka di kepalanya beransur sembuh. Dia juga sudah dilepaskan daripada ikatannya tetapi masih berada di bawah pemerhatian dan kawalan ketat. Selain doktor itu, ada dua orang askar turut berkawal sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan Ilham bertindak ganas.

Ilham pula hanya termangu di atas katil sambil menunduk. Sepanjang berada di dalam rawatan, Amril sering datang ke bilik rawatan itu untuk menjalankan pemeriksaan rutin ke atasnya. Ilham terpaksa akur sahaja memandangkan dia diikat ke atas katil.

Sepanjang tempoh rawatan, Ilham dipaksa untuk menerima makanan dan ubat-ubatan yang diberikan kepadanya. Dia sebenarnya sudah tiada semangat lagi untuk meneruskan kehidupan. Namun, dia terpaksa akur juga kerana dia akan dikenakan tindakan jika ingkar pada arahan.

Tiba-tiba, pintu bilik rawatan itu terbuka. Seorang lagi lelaki memakai kot makmal masuk ke bilik itu. Ilham tidak pernah nampak lelaki itu sebelum ini. Mungkin dia seorang lagi doktor yang menjaganya.

'Cukuplah seorang. Aku tak sanggup berhadapan dengan lagi seorang,' rungut Ilham di dalam hati.

Ilham renung sahaja lelaki memakai kot makmal itu menuju ke arahnya. Lelaki itu mengukirkan senyuman penuh agenda. Ilham tidak mahu membalas senyuman itu. Sebaliknya membalas dengan renungan tajam bak pemangsa ingin menerkam mangsanya.

Lelaki itu terus menuju ke arah Amril yang sedang mencatatkan sesuatu pada rekod perubatan Ilham.

"Amril, macam mana dengan Subjek 209? Dia dah sedia ke?" soal lelaki itu. Amril yang ralit menyiapkan tugasnya hampir tidak perasan akan kehadiran seorang lagi lelaki itu.

"Ha, Qarin! Bila kau datang? Aku tak perasan pun?" Amril membalas sapaan daripada lelaki yang dipanggil Qarin itu.

"Baru je." Qarin menjeling sebentar ke arah Ilham sebelum menghadap semula wajah Amril. Ilham pula pada waktu itu sibuk memerhatikan Amril dan Qarin. Ingin mendengar butir perbualan mereka.

"Macam mana dengan Subjek 209? Adakah dia sudah bersedia? Prof. Zahran dah tak sabar nak mulakan eksperimen ke atas dia." Qarin mengulang soalan yang diajukannya tadi.

"Perkembangan dia sangat bagus. Tapi ...." Amril berjeda seketika. Dia merasakan berat sahaja untuk menceritakan perkembangan Ilham.

"Tapi?" gesa Qarin musykil.

Amril turut menjeling sekilas ke arah Ilham sebelum menyambung, "Kadar penyembuhan dia ni luar biasa pantas."

"Baguslah kalau macam tu. Lagi cepat kita boleh jalankan eksperimen ke atas dia." Meriding bulu roma Ilham tatkala mendengar perkataan eksperimen itu disebut berulang-ulang oleh mereka.

"Tak. Bukan itu masalahnya. Maksud aku, kadar penyembuhan dia ni luar biasa pantas. Mengatasi level manusia normal. Kau rasa ... ni ada kena-mengena dengan fenomena Reality Override ke?" Amril meminta pendapat saintis itu.

Ilham memasang telinga untuk mendengar butir perbualan mereka berdua. Entah kenapa dia berasa tertarik pula mendengar perkataan yang disebutkan mereka. Qarin terdiam sejenak memikirkan pertanyaan Amril. Ilham pula mula memikirkan apa maksud di sebalik istilah yang didengarnya tadi.

"Hmm ... mungkin ya. Jangan lupa tulis dalam laporan kau nanti dan submit pada aku. Aku perlukan sebagai bahan rujukan," pesan Qarin.

"Okey," balas Amril sambil menyambung tugasnya semula.

"Err ...." Ilham tiba-tiba bersuara. Amril dan Qarin yang ralit berbincang memandang ke arah Ilham serentak.

"Ya, ada apa-apa yang kamu perlukan, Subjek 209?" soal Amril.

Ilham memusingkan bola matanya 360 darjah mendengar gelaran yang diberikan kepadanya sejak dia dikurung di makmal ini.

'Subjek 209 tu nama baru aku ke?' soal Ilham sendiri.

"Reality Override. Boleh kamu terangkan apa maksud istilah ni? Saya berminat," pinta Ilham tanpa segan-silu. Bagi Ilham, malu bertanya sesat jalan. Jadi, lebih baik dia bertanya sahaja.

"Tak penting pun untuk kamu tahu." Amril memberi jawapan seperti biasa. Jawapan ini sudah selalu meniti di bibirnya setiap kali Ilham mengajukan soalan, sehinggakan Ilham sendiri sudah malas untuk berkomunikasi dengan doktor itu.

Namun hari ini dia memilih untuk menyuarakan juga persoalannya. Rasa ingin tahu yang membuak-buak di kalbu menyebabkan hatinya tergerak untuk bertanya.

"Kamu akan tahu juga nanti." Giliran Qarin pula memberi jawapan. Sama juga tidak menjawab soalan cuma dengan variasi berbeza.

Amril memandang ke arah Qarin dengan riak penuh tanda tanya. Pelik dengan jawapan yang diberikan saintis itu kepada Ilham. Namun Qarin membiarkan sahaja Amril memberikan pandangan sebegitu kepadanya. Dia memang sudah meramalkan daripada awal pun reaksi daripada rakannya itu.

Qarin menghampiri Ilham sambil tersenyum penuh agenda. Dia memandang ke arah Ilham dengan penuh minat. Ilham turut membalas pandangan saintis itu dengan renungan tajam.

Hatinya masih mendidih dengan kemarahan dek perdebatan tempoh hari. Selepas perdebatan itu, kebenciannya kepada golongan Sains semakin bertambah-tambah. Dia cukup benci dengan cara mereka berfikir. Dia cukup benci dengan pemikiran logik. Dia benci.

Akan tetapi, bukankah rasa kebencian Ilham itu bertentangan dengan rasa cinta mendalamnya terhadap ilmu Fizik?

Qarin berjalan ke sisi Ilham. Sepanjang perjalanan Qarin, Ilham perhatikan sahaja saintis itu dengan renungan tajam.

"Kamu mungkin lebih tahu daripada kami tentang fenomena tu. Tak sabar rasanya nak lakukan eksperimen ke atas kamu. Reality Overrider macam kamu biasanya dapat melihat sesuatu yang tak mampu dilihat manusia biasa." Qarin menepuk bahu Ilham perlahan setelah berada di sisinya.

Ilham yang masih dengan wajah masam mencuka memandang ke arah Qarin di sisi.

"Sesuatu yang tak dapat dilihat? Bukan kamu sendiri yang menafikan kewujudan manusia macam aku? Orang macam aku tak patut wujud, kan? Sebab aku akan membantutkan perkembangan ilmu Sains." Ilham menjawab dengan penuh sarkastik.

Qarin terpanar mendengar jawapan Ilham, kerana kata-katanya itu mengingatkan dia kepada sesuatu, atau seseorang. Sebelum ini, ada seseorang yang pernah mengatakan perkara lebih kurang sama seperti ini.

"Kamu ni memang sepakat betullah, atau kamu dah pernah berhubung dengan mereka berdua?" Qarin sengaja ingin menduga Ilham. Ilham tidak membalas, sebaliknya melemparkan pandangan penuh tanda tanya ke arah Qarin.

"Takpalah kalau macam tu." Qarin faham akan reaksi yang ditunjukkan Ilham. Mungkin persamaan itu hanya kebetulan. Dia mula beransur meninggalkan bilik itu. Ilham pula kembali menunduk dengan wajah sugul.

"Tapi ... kenapa aku? Kenapa kamu nak jalankan eksperimen ni ke atas aku?"

Soalan Ilham itu mematikan langkah Qarin. Dia kemudian berpaling semula memandang Ilham lalu menjawab, "Sebab hanya orang macam kamu sahaja yang sesuai untuk eksperimen ni."


Previous: BAB 47
Next: BAB 49

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.