“SAYA nak report A to Z menjelang hujung minggu
ni. Pandai-pandailah awak dapatkan maklumatnya Yun!”
“Puan
Jannah! Biar betik? Hujung minggu ni dua hari aje lagi. Mana saya mampu
dapatkan info pasal banglo mewah tu!”
Bentak
Yun, hampir menjerit. Dia baharu sahaja menghantar laporan Operasi Cegah
Maksiat di Bukit Bintang pagi tadi, kini, Puan Jannah memberi ugutan baharu
pula. Puan Jannah yang baru keluar dari pantry tidak segera menjawab. Sempat
dia minum secawan kopi sebelum menikam pandangan tidak puas hati Yun
terhadapnya. Ketika itu, tiada siapa yang berada di Unit Jenayah melainkan
mereka berdua sahaja.
“Betik
atau epal, belimbing atau anggur, dua hari lagi report tu mesti ada atas meja saya. Kalau tak, awak boleh pilih
mana-mana unit lain yang berkenan di hati awak.”
“Saya
serius, Yun!”
Tambah
Puan Jannah lagi sebelum beredar masuk ke dalam biliknya. Yun kaget. Wajahnya
bagai hilang warna saat dikhabarkan berita terburuk dalam sejarah
perkhidmatannya itu. Mana aku nak pergi selain Unit Jenayah yang dah lama
bertakhta di hati ni? Takkan Unit Hiburan pulak? Tak pasal-pasal kerja aku kena
mengemaskini gosip artis setiap dua jam pada Puan Bib. Oh, tak boleh jadi! Yun
geleng kepala sendiri.
“Melampauuuu!”
Jeritnya
apabila diri kembali ke alam nyata. Kebetulan, Wan baru menolak pintu. Yun dan
Wan sama-sama terkejut.
“Oi, yang
kau menjerit tak pasal-pasal ni kenapa Yun?”
Tegur Wan
sambil meletakkan beg galas ke atas mejanya. Yun tidak menjawab. Perlukah dia
menceritakan apa yang berlaku kepada Wan? Kalau dicerita pada Wan, apa bantuan
yang Wan boleh beri? Oh, beban besar terasa berat di atas kepala!
YUN memecut skuternya selaju yang
boleh. Mindanya ligat berfikir destinasi yang paling tepat boleh dituju untuk
mengorek segala misteri tentang sebuah banglo mewah di pinggiran kota yang
dikhabarkan menjadi kilang rahsia dan pusat operasi besar-besaran dadah di
Malaysia. Menurut Puan Jannah, dia tidak mahu Unit Jenayah akhbar Edisi
Malaysia menjadi pihak kedua, keempat atau ke tujuh belas yang membuat laporan
tentang operasi dadah tersebut, kerana setakat ini, belum ada pendedahan dibuat
oleh mana-mana akhbar. Sama ada ia belum dihidu oleh mereka atau mereka juga
sedang mengumpul bukti, seperti Edisi Malaysia sedang lakukan kini. Sebab itu
Yun terpaksa jadi Scooterwoman, merempit ke sana-sini sebelum tempoh empat
puluh lapan jam tamat.
“Alah,
masa ni pulak dia nak mengelipnya.”
Yun
mengomel sendiri apabila terpandangkan isyarat tangki yang hampir mencapai E.
Dia tunduk sambil menekan pedal minyak, konon-konon mengaplikasikan Hukum
Gerakan Newton, supaya skuter yang dipandu bertambah laju.
Debaran
di dada berdetak pantas juga, kot lah tiba-tiba enjin skuter mati masa tengah
pecut, melakar sejarah ajelah kerjanya hari ni. Namun dia berasa lega, papan tanda
di hadapan menunjukkan stesyen minyak terdekat hanya sejauh lima ratus meter di
hadapan. Yun terus gagah memecut dan membelok masuk ke arah stesyen minyak
tersebut, malah sempat pula memotong sebuah BMW yang sedang merangkak perlahan
untuk mengisi petak di sebuah pam.
PONNNN!
Hon panjang kedengaran memekik di telinganya. Yun tahu dia salah tapi masa
empat puluh lapan jam yang diberi kepadanya terasa amat berharga untuk
dibazirkan di belakang BMW mewah itu. Yun mematikan enjin skuternya lalu
melangkah deras ke arah kereta tersebut. Daun pintu kereta ditolak.
“Oi!”
Sapaan paling sopan di muka bumi menyapa gegendang telinga Yun. Yun tahu lelaki
itu marah dan dia tidak peduli. Masa itu emas, kan?
“Saya isi
minyak dulu ya, encik.” Yun meminta izin dengan beraninya, namun ketika cermin
mata hitam lelaki itu ditanggalkan, Yun rasa nak pengsan! Alahai Mamat Gagak
Hitam ni ke? Tak ada manusia lain ke yang boleh ganti dia dalam seramai-ramai
umat manusia ni? Yun sempat membebel sendiri. Berpatah atau teruskan? Emm, apa
kata aku buat-buat tak ingat dia? Ya, buat tak ingat saja! Masa itu emas, kan?
“Saya
tumpang kejap, encik. Nak isi minyak.”
“Apa yang
ada dalam pam ni selain minyak? Awak ingat saya datang sini nak cuci mata? Saya
bersusah payah berbaris, tunggu dua biji kereta di depan, senang aje awak
potong saya.”
“Jangan
marah, encik! Nanti cepat tua. Saya nak cepat ni. Tolong saya, ya? Lain kali kalau
saya jumpa encik lagi, saya bagi encik potong saya berkali-kali. Saya janji!”
Yun angkat tangan bagai mengangkat sumpah, dengan topi keledar masih melekat di
atas kepala namun tawa yang meletus dari ulas bibir lelaki itu
menghairankannya.
“Saya dah
ingat awak. Kuda belang...kita bertembung kat majlis koktail tu kan?”
“Majlis
koktail? Encik, tak payahlah nak melambat-lambatkan saya. Kalau bukan urusan
masa, tak ingin pun saya potong que
encik. So, tumpang lalu ya?”
Tanya Yun,
buat-buat lupa. Niatnya satu, untuk mengalih perhatian lelaki itu. Dia terus
bergerak ke pam, mengangkat nozel dan laju menapak ke arah skuter
kesayangannya. Dia memulas penutup tangki minyak dan terus menekan picu nozel
tersebut, namun tiada apa yang keluar melalui muncung nozel tersebut. Yun
mencuba lagi, dan lagi sehingga terasa ada seseorang mendekatinya.
“Hukum karma.
Awak potong que saya, dan awak kalut
mengelak dari saya. Kesan sikap gelojoh awak tu, awak tak bayar harga minyak.
Awak jugak yang tersangkut kat sini.”
Tegur Zill
Qayyim dengan senyuman yang tidak dapat ditahan. Lucu betul wanita skuter merah
itu. Kelam kabut dari awal pertemuan mereka lagi. Namun, hati lelakinya masih
punya simpati. Walau pada awal tadi, dia dirasuk amarah kerana barisannya
dipotong wanita itu, namun demi terlihat sekujur rupa itu, marahnya bagai
disimbah tabung pemadam api. Hatinya terus sejuk, malah bersedia pula untuk
membantu wanita itu. Lihat sahaja rupanya yang sudah berubah bila minyak belum keluar
dari mulut nozel itu.
Ponnn!
Kereta di belakang sudah membunyikan hon sedang Yun masih setia memegang erat
nozel itu.
“Cukup-cukuplah
berdrama dengan nozel tu. Sekarang, awak dah boleh isi minyak dengan jayanya.”
“Atau awak
nak saya tolong isikan?” Tokok Zill Qayyim lagi membuat darah merah menyimbah
ke muka buat sekian kalinya.