Home Novel Cinta Unforgettable Love
Unforgettable Love
Mastura Abdullah
19/6/2020 15:23:20
44,519
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10

PANDANGAN hanya mampu dilontarkan ke luar jendela sambil meratapi nasib diri. Entah kenapa dia yang dipilih untuk berdepan dengan dugaan seperti ini. Sudahlah kehidupan ibu dan adik-adik di kampung banyak bergantung kepada pekerjaan yang diusahakannya. Kini segala-galanya musnah.

Dia tidak mampu berjalan seperti dulu. Kalaupun boleh, ia tentu akan mengambil masa yang panjang bahkan dia perlu menjalani terapi. Tangan kiri juga amat sukar digerakkan akibat tulang bahu yang patah. Kata doktor, ia perlukan masa untuk sembuh. Semalam, dia disahkan pula menghadapi masalah Vocal Cord Paralysis. Peti suaranya terjejas dek kerana keretakan di bahagian leher.

Teringin sungguh dirinya hendak berkenalan dengan insan yang sungguh istimewa, yang menjadi punca kepada segala kerosakan yang sedang ditanggungoleh dirinya ketika ini. Sampai hati. Tidak ada sedikit rasa simpati pun yang ditinggalkan untuk dirinya.

Doanya seperti dimakbulkan. Bunyi pintu bilik dikuak mengalihkan segala perhatiannya. Muncul seorang lelaki yang tidak dikenali, mendekati. Berkerutd ahinya cuba mengecam.

“Siapa?” Andai suara boleh dilontarkan seperti dahulu. Itulah soalan yang sedang ditanya kepada lelaki itu. Anehnya, mereka saling merenung, tanpa sebarang bicara.

“Aku pesalah kau, Hud!” jelas Hud memperkenalkan diri.

Kerutan di kening itu seperti difahami apa ertinya. Dia sudah dimaklumkan dengan kondisi Zahra yang agak buruk. Kata doktor, Zahra tidak mampu bercakap akibat kemalangan itu. Semalaman Hud tidak dapat melelapkan mata selepas menerima berita itu. Terasa dirinya turut dihukum atas kesalahan yang dilakukan pada malam dia menjadi pemburu hampir tiga minggu yang lalu.

Zahra mengalihkan pandangannya ke arah lain. Air mata gagal dikawal buat sekian kalinya. Terjawablah sudah keinginan hati yang hendak berkenalan dengan orang yang telah memusnahkan hidupnya.

“Maaf,” Suara itu kedengaran lagi. Tak ingin Zahra melihat wajah itu.

“Maaf? Adakah maaf yang kau pinta ini dapat mengembalikan diri aku yang dulu? Aku yang sihat dan boleh bekerja? Aku yang sihat dan boleh ketawa? Aku yang sihat dan boleh menyuap ibu dan adik-adikku makan?” Rasa marah membuak-buak di dalam hati.

Berkongsi rasa dengan marah, air mata terus-menerus menghujani pipinya.Zahra sangat sedar tangisan itu tidak akan mengembalikan dirinya yang dahulu,lantas dia mencapai pen dan buku nota yang berada di sisi. Dia tulis apa yang dia mahu. Dia menulis dengan segenap kudrat yang dia ada, bersungguh-sungguh dek kerana marah biarpun perbuatan menulis menyakitkan diri sendiri.

“Kenapa kau tak bunuh saja aku malam tu?”

Hud membaca tulisan penuh emosi itu. Dia tersentak. Marah! Dia tahu Zahra marah kepadanya. Begitu banyak kesan yang terpaksa ditanggungnya, semua telah disampaikan oleh Doktor Zaidah. Terkini, Zahra menunjukkan perilaku agresif apabila mendapati keadaan fizikal dirinya tidak seperti dahulu.

Lalu, dia datang melawat dengan niat hendak meminta maaf. Namun, dia sedaryang kedatangannya hanya mengundang rasa marah dan menambah kebencian. Hatinya terjentik melihat air mata yang tumpah di wajah itu.

“Maaf. Sungguh aku tak ada niat nak menyakitkan dirimu, menderamu secara fizikal dam emosi. Kalau aku tahu begini seksa yang kau tanggung, tentu aku tak akan...”

Kata-katanya mati di situ. Tak tergamak Hud hendak menyebut perkataan melanggar itu kerana segala yang keluar dari mulutnya hanya akan menyemarakkan lagi api kebencian. Dia lihat Zahra menulis lagi.

“Aku boleh mintak maaf juga. Maaf. Tapi apa yang berubah?

“Kau masih begitu, boleh berdiri, boleh meminta maaf, boleh pergi ke mana yang kau nak pergi. Aku? Aku terlantar sakit di sini. Aku hanya mempu mengenang nasib diri yang malap, tak ada masa depan setelah apa yang kau buat pada aku,”

Hud melepaskan nafas yang berat. Kata Doktor Zaidah diakui kini. Dia tidak menggalakkan Hud menemui Zahra walaupun sekadar meminta maaf kerana emosinya sedang bercelaru. Tak sanggup hendak melihat wajah terluka itu lama-lama, Hudsempat menitip kata-kata terakhir sebelum keluar.

“Aku janji takkan biarkan kau begini selamanya. Walaupun aku tak kenal siapa kau, kau tak kenal siapa diri aku, Aku janji akan jadi dahan untuk kau dan keluarga kau berpaut,”

Tubuh itu hilang dari pandangan namun kata-katanya masih terngiang-ngiangdi telinga. Entah dirinya boleh berpegang pada kata-kata itu, entahkan tidak.Sedang fizikalnya elok pun tak ada siapa sudi memandang, apatah lagi meringankan beban yang dipikul oleh dirinya yang kerdil. Inikan pula ketika dia tiada daya dan upaya.

Ayah? Entah di mana ayah berada pada ketika ini. Selepas ayah membuat onar,berhutang sehingga dua puluh ribu ringgit dan hampir menjualnya kepada lintah darat untuk menyelesaikan hutang itu, ayah meninggalkan rumah dan tak pulang-pulang lagi.

Perit bila segalanya jadi begini. Sudahlah dia tak dibenarkan keluar dari hospital sehingga benar-benar pulih. Untuk pulih pula, dia perlu menjalani terapi yang entah berapa puluh ribu harganya. Selama dia di hospital, emak dan adik-adik di kampung entah apa cerita? Entah mereka makan dengan cukup ataupun tidak? Buntu Zahra memikirkan kekusutan itu.

Hati teringin benar hendak melihat wajah emak dan adik-adik di kampung tapiapakan daya, dalam keadaan seperti ini, dia hanya mampu terlantar di atas katil. Kalaulah dia boleh perlahankan masa, tentu dia tidak akan bekerja lebihmasa malam itu, apatah lagi melintas jalan besar itu sendirian. Tentu dia memilih untuk pulang kerja lebih awal.

Walaupun pendapatan sampingannya mungkin kurang, tetapi dia masih dalam keadaan sihat, mampu melakukan dua kerja dalam satu masa. Pendapatan yang dia dapat boleh diagihkan di antara keperluan diri dan keluarga di kampung. Dalam keadaan seperti ini, Az Zahra pasti bos tidak akan memberi muka kepadanya lagi kerana tidak hadir bekerja lebih dua minggu tanpa menyatakan alasan.

Tentu susah hendak bangkit. Tentu susah hendak memulakan langkah baharu selepas ini. Entah dari mana Az Zahra hendak memulakan langkahnya. Awal lagi ia sudah pencong. Nafas berat dilepaskan perlahan-lahan. Semoga sinaran matahari pagi esok membawa sinar baharu ke dalam hidupnya.


“KAU pasti dengan apa yang kau nak buat? Kau nak sarahidup orang yang tak ada kaitan dengan kehidupan kau?”soal Zain sebaik dikhabarkan yang Hud sedia membantu meringankan beban yang ditanggung oleh Zahra dan keluarganya.

Hud mendiamkan diri. Itu adalah keputusan muktamad yang tidak dipengaruhi oleh sesiapa. Simpati dan kemanusiaan. Ya, dia fikir sifat itu sudah hilangdari dirinya, rupa-rupanya ia tersembunyi di lubuk yang paling dalam.

“Hud?”

“Aku pasti dengan apa yang aku nak buat,” angguk Hud, lantas keluar membawa diri.

Dia malas hendak mendengar atau berunding lagi akan hal Zahra. Walaupun misi hidupnya masih lagi memburu orang yang telah menghancurkan keluarganya,namun dia tidak boleh membutakan mata dan memekakkan telinga dengan apa yangtelah berlaku.

Perlahan-lahan dia mengerti beban yang ditanggung oleh Zahra. Sebab itu Zahrateramat marah apabila satu-satunya kudrat yang dia ada direntap begitu sahaja dari dirinya. Hud faham kerana dia juga berada di dalam situasi yang sama,menjadi sandaran keluarga untuk meneruskan sisa hidup.

Bezanya, dia memiliki segala keupayaan yang diingini oleh Zahra untukmenyara keluarga. Hud menyambung menung di dalam kereta. Terbayang di mata dengan mengejar Nissan Skyline berwarna silver sebelum kereta yang dipandu laju oleh dirinya melanggar seorang wanita.

Sebutir Doxepin ditarik keluar dari botolnya dengan harapan ia dapat meredakan perasaan yang asyik mengenang peristiwa itu. Lebih teruk, segalasoalan yang ditanya oleh Zahra menghantui malam harinya. Hud tidak dapat melelapkan mata malam tadi. Sebab itu, dia terpaksa menelan sebutir Doxepin untuk meredakan perasaan sendiri.

Kelopak mata mula memberat. Dalam keadaan separuh sedar, wajah seorang adik perempuan datang menyapa.

“Abang Hud…” panggil Zara.

“Ye, dik!”

“Abang…kami semua nak pergi jauh dari hidup abang. Kami sayang abang, tapi kami kena pergi juga dari pandangan abang. Kasihan abang, hidup masih mengenang kami yang tiada. Adik harap Tuhan gantikan kebahagiaan berlipat kali ganda dari apa yang hilang dari hidup abang. Adik sayang abang!” pesan Zara sebelum suaranya hilang perlahan-lahan.

“Adik!” panggil Hud, menjerit.

Dia rasa Zara sangat dekat dengannya namun itu cuma mainan tidur sahaja.Hud meraup muka berkali-kali. Jam di dashboard menunjukkan angka dua setengah petang. Ada hutang yang belum diselesaikan dan perlu lunaskan dengan segera.

Kereta terus dipecut meninggalkan perkarangan Empayar Bumi biarpun ada beberapa panggilan penting yang tak disedari sebelum ini.  Bagi Hud, tiada yang lebih penting melainkan apa yang berada di dalam fikirannya ketika itu. Menyelesaikan isu hak dan kemanusiaan.

Hampir lima jam memandu, dia tiba di Kampung Gong Pak Jing, KualaTerengganu. Matahari telah meninggalkan tempatnya secara beransur-ansur,memberi keindahan jingga kepada langit nun di atas sana. Beberapa kali Hud berhentidi tepi jalan untuk bertanya rumah yang hendak ditujui, akhirnya pencarian Hud berakhir di sebuah rumah di hujung kampung. Ia sunyi dan jauh dari pandangan mata orang.

Azan Maghrib baru berkumandang ketika dia keluar dari perut kereta. Hud tidak memberi salam sebaliknya menunggu sehingga azan selesai berkumandang barulah dia mendekati rumah yang tampak daif pada matanya itu.

“Assalammualaikum,” ucap Hud, agak perlahan.

Salamnya hanya disambut sang nyamuk yang asyik singgah untuk menghisapdarah. Pap! Dia menampar dahi yang gatal agak kuat.

“Aduh!” rungut Hud. Dia memberi salam kali kedua. Kali ini lebih kuat dari sebelumnya.

Selepas itu, barulah kedengaran salamnya disambut sayup dari dalam bersama derap kaki si tuan rumah, barangkali.

“Sape?” tanya satu suara kecil. Orangnya masih belum kelihatan sehingga daun pintu terbuka. Adik Zahra. Teka Hud dalam diamnya.

“Cari sape?” tanya suara itu lagi sebelum terdengar suara si ibu pulabertanya siapa yang mencari mereka.

“Kiter dok kena sape.” Si Adik itu memberitahu. Muka Hud ditenung buat kali seterusnya.

“Saya Hud... maaf mengganggu makcik maghrib-maghrib ni. Makcik ingat sayalagi?”

Wanita separuh abad itu mengangguk. Wajahnya tidak senyum, tidak juga marah. Dia tetap mempelawa Hud naik ke rumah. Hud sahaja yang menolak kerana dia mahu terus balik ke KL selepas urusan itu selesai.

“Terima kasih tapi saya sekejap saja, makcik. Saya datang ada sebabnya,”

“Bakpe?”

Hud tidak segera menjawab. Lama juga dia mencari kata-kata yang sesuai sebagai pembuka cerita.

“Pasal Zahra dan pasal makcik sekeluarga.”

“Bakpe dengang Zahra?”

“Zahra dah sedar, makcik...”

“Alhamdulillah,” ucap Wan Ida. Matanya terpejam rapat, cukup bersyukur dengan berita itu.

“Tapi...” 

Mata yang dipejam celik kembali. Perkataan terakhir itu seakan ada berita buruknya. Benar, dia tidak mengikuti perkembangan kesihatan anak itu di Kuala Lumpur. Dia pergi ke Kuala Lumpur pun dengan susah payahnya, tiada tempat tinggal, malah terpaksa menumpang bermalam di wad yang dihuni oleh anaknya.

Oleh kerana Zahra masih belum membuka mata, dia terpaksa bekerja semula untuk menguruskan keperluan dua orang anak yang masih di sekolah rendah. Akibatnya,perkembangan anak yang sulung itu tidak diketahuinya walaupun setiap hari dia teringatkan Zahra. Hanya pada ALLAH tempat dia memohon, agar anak itu sentiasa dalam perlindunganNYA.

“Zahra tak dapat bercakap, makcik. Spinal cordnya terjejas sebab kemalangan tu.” Hud tetap menyampaikan berita itu walaupun pahitnya seperti menelan hempedu. Wajah tua itu berubah.

“ALLAHU Akbar! Siangnye ke anok aku. Pah se-se! Bakpelah Hud gi langgorZahra?,” sungut Wan Ida, pedih mengenangkan nasib yang menimpa anak sulungnyaitu.

Pada Wan Ida, Zahra tak patut ditimpa musibah seperti itu kerana dia anak yang sangat baik dan taat kepada ibunya. Apa sahaja yang dia ada, dia akan mendahulukan keluarga daripada keperluan dirinya khususnya bab kewangan. Sebab itu Wan Ida sangat bersedih apabila Zahra diuji seperti ini.

“Maaf, makcik. Saya datang sebab cuba nak meringankan beban Zahra danmakcik sekeluarga. Saya dah bincang dengan doktor. Kata doktor, Zahra masih boleh dirawat, cuma ambil masa yang panjang untuk pulih,” jelas Hud pula.

Air mata yang merembes di pipi, diseka dengan laju.

“Kaki Zahra? Suara Zahra, buleh bekki smule ke?”

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.