Izzah bangun dengan rasa tak bersemangat bila mengingatkan apa yang berlaku malam tadi. Dia berharap apa yang berlaku semalam ialah satu mimpi buruk yang boleh dia lupakan. Namun, apabila dia melihat wajah muram Prof Izmir yang serius sewaktu sarapan, dia tahu bahawa ia bukan satu mimpi.
Pagi-pagi lagi Izmir telahpun siap dengan pakaian kerjanya. Kemeja putih dengan kot warna biru gelap. Nampak tampan dan segar di mata Izzah. Dia tidak berkata apa-apa tentang mesyuarat yang mereka perlu hadiri hari itu. Tapi Izzah dapat menjangka bahawa selepas sarapan lelaki itu akan bergerak dari rumah. Oleh itu, awal-awal lagi Izzah sudah siap. Bertudung dan pakai baju semalam. Begnya telah diletakkan siap-siap di ruang tamu.
Suasana begitu senyap seolah semua orang sedang mengingat apa yang berlaku termasuklah Puan Nora dan Encik Hakeem. Izzah tahu dalam hal itu, bukan dia seorang yang harus dipersalahkan. Izmir pun turut bersalah. Namun Izzah terasa seperti Izmir menyalahkan dia. Hakikat itu makin terasa bila tiba-tiba Izmir yang duduk di hadapannya berubah tempat duduk menjauh darinya. Bila Izzah ingin mengambil cawan di atas meja yang disediakan oleh Puan Nora, cawan itu diambil oleh Izmir sebelum sempat Izzah menyentuhnya. Bila Izzah pandang Izmir, Izmir hanya merenung tajam. Terpaksa Izzah tundukkan kepala kemudian bangun mengambil cawan yang lain.
Paling geram, Izmir juga mengambil kuih yang Izzah baru hendak ambil seolah sengaja ingin menyakitkan hati Izzah. Puan Nora dan Encik Hakeem yang melihat mengeleng-ngeleng. Izzah terpaksa akur. Kalau waktu lain pasti mulut dia sudah berdas bahasakan lelaki itu tapi dalam keadaan itu terpaksalah dia pasrah. Ambil saja kuih yang lain. Jangan nak gaduh. Diakan boss kau, desis hati Izzah. Entah bagaimanalah dia hendak menghadapi Professor itu setiap hari kalau cara Izmir melayannya berlarutan seperti itu. Sanggupkah dia menelan egonya?
Selepas sarapan dia membantu Puan Nora membasuh cawan dan pinggan. Baru saja dia selesai, Izzah perasan bunyi enjin kereta di hidupkan. Dia melirik ke tingkap dan melihat Prof Izmir sedang memasuki keretanya. Pantas Izzah bersalaman dengan Puan Nora kemudian mengambil barang-barangnya, dan keluar. Kelam kabut dia jadinya.
“Prof, tak kan nak tinggalkan saya macam ni?” jeritnya lantas tercungap-cungap menghampiri kereta Izmir dan membuka pintu penumpang. Izmir melirik pada Izzah dengan wajah serius.
“Kalau ikut hati saya, saya nak tinggalkan saja awak. Pandai-pandailah balik sendiri,” ujar Izmir dari dalam kereta. Izzah tersentak. Sampai hati!
“Prof, jangan macam tu. Prof tak ingat yang Prof ada meeting? Tak kan Prof dah lupa yang Prof nak lantik saya jadi pembantu semalam? Saya kan tukang catit? Ingat lagi tak?” jerit Izzah di antara deruan enjin kereta Izmir.
“Setelah apa yang dah berlaku semalam saya rasa nak cancel saja,” jawab Izmir bengang. Apa? Izzah pun apa lagi. Pantas dia melabuhkan punggungnya ke seat penumpang sebelah Izmir dan terus menutup pintu kereta. Dia tak mahu Izmir tinggalkan dia. Biar dia masuk dalam kereta dulu.
“Prof. Please. Saya minta maaf atas apa yang berlaku semalam. Saya tak..” rayu Izzah. Wajah Izmir yang sedang marah direnungnya.
“Awak tak apa? Tak berniat? Saya sebenarnya musykil dengan awak ni Izzah. Entah-entah awak sengaja buat semua itu supaya kita berdua kena kahwin. Awak dah desperate sangat nak kahwin agaknya,!” tuduh Izmir geram. Izzah membulatkan matanya. Sampai hati Izmir menuduh dia begitu. Lelaki itu adalah lelaki terakhir yang dia sanggup kahwini. Kalau Izmir itu Wafiq nak juga dia kahwin. Anak jutawan. Ini entah Professor mana yang dia baru jumpa satu hari. Izzah and Professor? Ah! Tak glamour langsung. Lagi satu kemungkinan lelaki itu berusia 10 tahun lebih tua dari dia pulak tu. Memang tak sesuai dia kahwin dengan orang yang seperti itu!
“Apa? Tak masuk akal tu Prof. Saya bukan desperado nak kahwin. Saya masih muda. Saya generasi Y dan Prof tu generasi X. Tak sesuai langsung. Lagipun, banyak lagi perkara yang saya tak buat dan capai lagi. Jadi, perkahwinan adalah perkara terakhir dalam fikiran saya buat masa ni. Harap maklum,” ujar Izzah marah.
“Konon.,” sindir Izmir dengan gigi diketap.
“Betul Prof…saya memang tak sengaja. Lagipun salah Prof juga… kenapa Prof tak sergah saya terus dan buka lampu malam tadi? Kalau Prof buat macam tu tak ada lah saya terkejut badak sampai pengsan. Saya ingat monster mana yang datang kat saya malam tadi. Pandangan Prof tu menyeramkan tau!” luah Izzah.
“Awak yang suka duduk kat dapur gelap-gelap lepas tu nak salah kan saya pulak?” marah Izmir pula.
“Tapi Prof yang tak bukak lampu. Prof biarkan saja saya belasah air yogurt Prof tu. Ha yang itu siapa yang salah?,” Izzah menempelak pula. Izmir mengetap gigi.
“Haih budak ni…pagi-pagi dah buat saya angin. Saya bukan apa, hanya nak tengok sejauh mana awak..” namun kata-katanya tidak diteruskan.
“Sejauh mana apa? Eh Prof ada terniat apa-apa ke? Ha! Prof sengaja skodeng saya kan?” sambung Izzah saja mengusik.
“Eh awak ni…maksud saya sejauh mana awak nak habiskan semua air saya tu! Terniat? Eh, tak ingin saya nak skodeng budak otak tak cukup macam awak. Saya hanya fikir pasal air tu sahaja,” nafi Izmir.
“Sampai hati Prof kata saya tak cukup otak!. Kecik hati saya!” marah Izzah.
“Biar kecik hati tu! Awak tu memang tak kisah langsung pasal hak orang. Sama macam awak ambik parking saya dan sekarang awak habiskan pulak air yogurt tu. Awak memang tak hormat hak orang dan seorang yang sangat tak bertanggungjawab,” luah Izmir makin geram.
“Alah…kedekutlah Prof ni. Hal kecil macam air yogurt tu pun dah sentap. Mula cakap tentang hormat dan tanggungjawab. Saya hanya minum satu botol saja. Bukan saya habiskan semua dalam peti ais tu!” marah Izzah. Izmir mendengus.
“Dan satu lagi awak memang kurang adab. Memanglah awak hanya habiskan sebotol sahaja tapi awak dah susahkan saya. Sekarang saya kena tuduh buat tak semenggah dengan awak pulak. Ini semua salah awak!”
“Tapi Prof yang peluk saya dulu. Saya hanya minum air tu sahaja. Saya tak bersalah dalam hal ni. Kalau Prof tak peluk saya semua ni tak akan jadi,” Izzah masih tidak setuju. Izmir merenung Izzah. Geramnya tuhan sahaja yang tahu.
“Dah awak tu nak jatuh,”
“Biar je lah saya jatuh. Kenapa Prof pergi cempung saya pulak? Kenapa?,” jawab Izzah buat Izmir makin hangat.
“Kalau saya tak cempung, nanti awak cedera pulak. Menyesal saya selamatkan awak. Patut saya biar je awak jatuh. Biar benjol dahi awak tu. Biar pecah mulut awak tu!” ujar Izmir geram.