Home Novel Seram/Misteri PUTERI IKAL MAYANG
PUTERI IKAL MAYANG
Pemburu Malam
20/11/2017 20:16:51
11,257
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
PROLOG

     PROLOG 


     LAUT bergelora ditemani ombak besar dikala matahari kian terbenam di kaki langit .  Suasana seakan mahu ribut , pepohonan nyiur melambai rakus ke kiri dan ke kanan , condong seakan mahu tumbang.  Mega mendung di sambut pula amarah sang guruh yang berdentum .  Sang petir saling berkejaran sana- sini membelah langit senja. Rekahan langit  bercahaya !


      "  Doh nok wat gane ni pok ? Ribut nok mari doh ning, wel dok sedor lagi ning ! " Wan Embong di landa rasa gusar apabila sahabat nelayannya secara tiba- tiba tidak sedarkan dirinya. Dia yang terpaksa membawa Ismail balik semula ke daratan,  dengan menaiki  perahu mereka yang teroleng- oleng di landa sang ombak , benar- benar dilanda kerisauan. Wan Embong pasti Ismail tiada sebarang penyakit , tapi kenapa secara tiba- tiba dia pengsan semasa mereka di lautan ? 


       Angin semakin liar dan rakus menerpa ke arah  kerumunan manusia nelayan itu. Deru hujan kian membuakkan amarahnya di hujung kampung . Bertebaran kain- kain batik samping kesemuanya kini di tendang sang angin monsun . Makin lama suasana semakin gelap kini . Rintik hujan semakin rakus menghempas diri ke bumi sang penyu itu . 


        " Mu , dok payoh rungsing  ! Aku tahu  nok wat gane !" Ujar Tok Aki sambil meyimpul kembali lilitan kain batik di kepalanya yang melorot di kuis bayu ribut . Dia menghantar pandangan dan renungan tajamnya ke arah lautan yang sedang merusuh itu . Lama sekali . Matanya di pejam sambil kedua - belah tangannya di depangkan . Berkumat- kamit mulutnya kini .


       Di tengah- tengah lautan yang sedang hebat bergelora itu ,  bayangan seorang perawan jelita lengkap berpakaian bangsawan dahulu- kala mulai muncul.  Tok Aki Limbong kini terbuka matanya . Dan dia tahu , ada yang tak kena. 


       " Jenuh kami berenam mencari ,kakanda  Puteri Ikal Mayang ( Puteri 1 ) ....Di sini rupa- rupanya . Apa yang telah kakanda lakukan ini ? " Puteri ke 6 membuka bicara. Bukan mahu menyibuk , tetapi hanya mahu tahu kenapa  ? 


      " Ya , kakanda mengapa di usik manusia- manusia daratan itu ? Lagipun , bukankah ayahanda serta bonda tidak mengizinkan kita ke sana ? " Sahut Puteri ke 5 pula. Puteri Ikal Mayang  hanya berdiam diri . Bukannya dia mahu mengacau teruna daratan itu , tetapi hatinya berkocakan tatkala terpandang wajahnya . 


      Wajah teruna itu mirip sekali dengan Putera Sulaiman." Kakanda, jawablah ...Mengapa membisu seribu bahasa ? " Puteri 2 pula mencelah kini . " Baiklah kalau adinda sekalian mahu tahu kerana apa ? Marilah ikut kakanda sekarang " Selendang di bahu kini di kibar- kibarkan . 


       " Wel, mu gi  cari umbuk mayang derah, pahtu wat acok pulut kuning." Tok Aki tiada cara lain lagi , kini dia terus bersila di atas pasir pantai ditemani ombak besar yang bergulungan menghempas pantai . 


       Senja pada hari itu , tidak seperti senja kebiasaannya .  Ngilu rasanya tatkala mata memandang ke arah tarian pepohonan kelapa yang semakin rakus liuk- lentoknya . 


        Wan Embong saling berpandangan dengan yang lain. Angin semakin bertiup kencang . Ada yang terpaksa memegang lilitan kain batik di kepala mereka .  Keadaan amat kacau- bilau kini . Terangkat- angkat bumbung perumahan papan yang mendepani pantai . Adakalanya hablur- hablur kecil  pasir pantai  memasuki ke ruangan mata dek terjahan sang bayu rakus . 


      " Tapi tok , nak cari mane ? Hujan lebat doh ni ! " Hampir sahaja lelaki berbadan kurus itu rebah dek terjahan sang angin . Nasib dia sempat berpaut pada rakannya yang agak sasa. Tok Aki yang sedang ralit membaca mantera kini terbuka matanya lalu menancap tajam pada Wan Embong . Membuatkan pemuda itu tertunduk menekur pasir pantai . Sampan- sampan kosong   yang kaku di pinggir pantai ,  teroleng- oleng dipukul sang badai . 


       " Mu , nak ismail mati ke gane ? Nu, penunggu kaut duk tunggu dia nu!   Aku napok  dalam firasat aku! Aku tahu puok-puok dia mesti mari!  Aku dok tau mende hok Ismail wak ke puok-puok tu. " 


        Ya, memang Tok Aki tidak dapat membaca apa yang telah Ismail lakukan sehingga mewujudkan amarah sang penunggu laut ! 


        Mahu tak mahu , Wan Embong dan beberapa orang lagi terpaksa meredah belukar berdekatan sambil menempuh ribut dan hujan lebat . " Awe , mu gi cari pulut kuning ! " Arah Wan Embong pada salah - seorang yang mengikutinya itu . Kini , mereka berpecah  . Dua orang ke arah susunan rumah papan untuk mencari kedai makan. Sementara, Wan Embong pula dan rakannya Ali Kerteh menuju ke arah belukar mencari umbut mayang .

     


**********


     " AKU ....Aku di mana ni ? " Soal Ismail menapak lesu seorang diri . Dia tahu tempat yang dia sedang berdiri sekarang ini , bukan tempat asalnya . Hutan itu terlalu asing baginya . 


      " Kau siapa ? Kamu semua siapa ? " Soal Ismail bersiaga . " Hihihi...." Tawa canda puteri - puteri itu melihat ulah berhati- hati Ismail . " Tuan hamba jangan gusar , patik bertujuh ini penduduk asal negeri Awangan ini " 


      " Negeri Awangan ? " 


      " Ya , tuan hamba berada di negeri patik " 


      " Tapi bagaimana hamba boleh berada di sini ? Dan mengapa hamba boleh sampai ke sini ? Mana rakan hamba yang lain ? Bukankah sepatutnya hamba sekarang berada di laut ? " 


      Bertubi - tubi Ismail menyerang gadis bangsawan berkenaan dengan soalan . Dirinya kini semakin dipenuhi rasa curiga . Siapa yang tak pelik ? Apabila buka mata sahaja , dirinya berada di satu tempat yang asing ! 


       Dan terpaksa pula berdepan dengan tujuh orang puteri yang cukup jelita namun mengerikan . Terutama sekali senyuman puteri yang bernama Ikal Mayang  . Renungan matanya pula bisa mendebarkan perasaan sesiapa yang menatapnya . 


       " Kakanda , sudahlah tu .....Tak usahlah kakanda bercanda lagi . Patik berenam faham akan perasaan kakanda ....Pulangkanlah kembali teruna daratan itu ...." 


      " Maafkan patik sekalian wahai pemuda  ... Maaf sekali lagi tuan hamba kerana patik telah mencuri ' semangat ' tuan hamba dan telah membelenggunya  di dunia patik..." Puteri Ikal Mayang cuba mendekati pemuda daratan itu , tetapi pemuda itu terus menjauh darinya .


**************


       UMBUT .....Mayang di umbut .....Umbut dengan jala ....Jemala.....Ulit....Mayang di ulit ....Ulit dengan puterinya satu .....( di nyanyikan secara mendayu ) 


       Lantunan suara gemersik itu ditemani dentuman sang guruh . Ismail masih lagi tidak sedarkan dirinya . Tok Aki Limbung pula seakan di rasuk oleh suatu kuasa lain . 


      Tergoyang - badannya sambil menghempaskan umbut mayang ke seluruh tubuh Ismail yang terbaring kaku itu . Sekali pandang , dia seakan tiada bernyawa lagi . 


      " Ku tahu asalmu , wa...hai puteri....Aku bermohon padamu wahai puteri....Pulangkan pemuda ini kepangkuan kami ....." Suara Tok Aki juga semakin berubah .


       Dentuman guruh yang menyinga menyebabkan Wan Embong terpeluk rakannya akibat keterkejutan . Apatah lagi sang kilat masih lagi mahu membelah langit pantai itu . Semua yang ada ternyata amat terkejut , kerana tidak semena- mena sahaja . Walaupun , mereka tahu sekarang memang sudah memasuki ke musim tengkujuh . 


         Puteri satu berbaju serong ....Puteri satu bersubang gading  ....Puteri satu berselendang kuning ....Ulit mayang di umbut ....Ulit dengan jala - jemala.....


          Semuanya pakat memandang langit gelap , memandang langit yang masih lagi menurunkan hujan lebat . Walaupun mereka kini berada di dalam pondok kecil , pondok di mana perahu- perahu di simpankan namun tempias tetap melencunkan mereka semua . 


        " Wahai Tuan Puteri yang indah rupawan , tolong kembalikan pemuda ini kepangkuan kami .... Maafkan dirinya andai telah menyakiti hati mu ..."  Tok Aki sedang berinteraksi dengan seseorang dengan mata yang terpejam . 


        Angin kian menderu rakus membuatkan pepohonan nyiur di pesisir pantai ke kanan dan ke kiri seolah mahu tumbang . Ombak pula  bergulungan tinggi , dari jauh tak ubah seperti mahu tsunami .


        Jika sambut ....Mayang di sambut ...Sambut dengan puterinya dua  .....Puteri dua berbaju serong ....Puteri dua bersanggul sendeng ....Puteri dua bersubang gading...Puteri dua berselendang kuning   .....Ulik mayang di umbut ....Ulik dengan jala - jemala....


         Wan Embong dan yang lain ternganga mulut , membulat mata walau pedih di asak sang bayu ribut . Munculnya  bayangan berupa perempuan berpakaian bangsawan . 


*********


2017


     " WAWA ! " Pekik Puan Latifa selaku  pensyarah dan juru tari ASWARA . Bagaimana mereka semua tak di amuk resah , apabila melihat tarian Wawa atau nama sebenarnya Azwa Mayang Sari  tidak seperti mereka . 


       Lenturan badannya , lentik jari - jemarinya kala menari seakan di rasuk sesuatu .Pandangan matanya agak tajam pabila mengibaskan selendang yang terikat di pinggangnya . Muzik gamelan serta- merta di arahkan berhenti namun Wawa tetap menari . 


       Jenuh juga Puan Latifa dan Mira sahabat serumah Wawa cuba menghentikan tariannya itu dengan memeluknya . Mira terundur ke belakang , apabila Wawa terpandangnya . Renungan Wawa tajam menikam tunak matanya . Adrenalin mengalir laju bersama dengan pacakkan bulu roma . 


        " Mira , baca bersama ayatul qursi cepat ...! " Arah Puan Latifa apabila rontaan Wawa dirasakan ada ' sesuatu ' yang sedang ' menumpang ' dalam jasad gadis itu . Memandang waktu kian berganjak ke senja . Latihan yang sepatutnya tamat di  sambung lagi kerana lagi seminggu bakal mengadakan persembahan di dewan Philharmonik . 


         " Wawa , ikut saya ...! Jangan berdegil ! " Puan Latifa masih lagi membisik ayat- ayat suci Al Quran . Namun, gadis itu tetap berdegil dengan rontaannya dan menderam seram . 


         " Allah....Huakbar....Allah....! " Salah - seorang dari penari lelaki terpaksa mengazankan pabila Wawa terjerit- pekik meronta - ronta dalam pegangan pensyarah dan beberapa orang penari lagi .


         Akhirnya , Wawa rebah di kalimah Allah ! 


Previous: PROLOG
Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.