Home Novel Seram/Misteri Rahsia bukan rahsia
Rahsia bukan rahsia
Maryani Zailani
14/2/2024 00:27:17
8,666
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 4
“Kau jangan merepek. Kau mimpi je kot!” Bidas Fatimah setelah Najwa menceritakan semua yang terjadi kepadanya semasa hilang kesedaran.

 “Aku tak mimpi! Memang aku yakin benda tu betul!”

 “Macam ghost whisperer pulak kau!” Sampuk Manisah.

 “Tak apalah kalau korang tak percaya. Aku masih dengan pendirian aku.” Najwa berkecil hati.

 “Okeylah. Kalau apa yang kau alami tu betul… kau nak buat apa?” Soal Manisah.

 Najwa duduk di birai katil. Termenung sejenak.

 “Aku rasa… macam ada sesuatu yang belum selesai. Entahlah.”

 “Bila seseorang dah meninggal dunia, maka terputuslah urusannya dengan dunia. Aku rasa… kau terbawa-bawa dengan memori itu je. Dahlah. Jangan fikir sangat. Kau mandi. Berwuduk. Solat. Kemudian, tidur.”

 “Betul, aku setuju dengan Manisah.”

 Najwa tidak berpuas hati dengan kata-kata mereka. Namun, dia tidak meluahkannya. Dia masih dengan pendiriannya.

 Fatimah dan Manisah keluar dari bilik. Mereka mahu menyiapkan tugasan di ruang tamu.


“Korang dah dapat idea nak interview siapa untuk assignment oral history kita?” Soal Manisah setelah selesai kelas untuk pagi ini.

Mereka bertiga berjalan beriringan menuju ke kafe untuk makan tengahari. Petang nanti bersambung kelas untuk subjek seterusnya.

 “Belum. Lecturer bagi kita kebebasan, kan? Maksud aku tema kajian,” balas Fatimah.

 “Ya, betul! Aku berminat nak interview seorang penulis novel aksi. Tak sabar gila nak gali ilmu daripada beliau. Sambil menyelam, sambil minum air! Bukan senang tau nak dapat ilmu penulisan. Percuma lagi!” Manisah hampir melompat di situ. Terlalu teruja. Sudah terbayang-bayang wajah penulis kegemarannya.

 Fikiran Najwa menerawang jauh. Dia tidak mendengar langsung perbincangan kedua rakannya. Hingar-bingar menyapa telinga mulai mengecil bunyinya sehinggalah dia tidak perasan bahawa sekeliling mulai membisu. 

 Gelap. Najwa melangkah tanpa sedar seluruh latarnya bertukar gelap.


‘Aku di mana?’ Najwa panik. Semuanya gelap kecuali tempatnya berpijak disirami cahaya lampu sorot. Terasa bagai di atas pentas teater. Telatahnya ditonton. Cuma, dia tidak tahu siapa sedang menontonnya.

 Akibat berpusing tanpa tujuan, dia tersadung kaki sendiri lalu terjatuh. Mujur sahaja tidak terhantuk ke lantai. Namun, saat dia mendongak kepala, dia kembali ke dunia nyata. Baru mahu menarik nafas lega, tiba-tiba dia terasa keadaan sekeliling seperti bukan berada di garis masa terkini. 



 “Salam takziah atas kematian roommate kau.”

 Suara itu menarik perhatian Najwa. Dia menoleh ke belakang. Barulah terlihat kewujudan para pelajar. Beberapa orang sedang bercakap-cakap dengan Raudhah. 

 “Terima kasih. Pemergiaan Maisarah sangat mendadak. Aku ralat tak berada di sisinya.”

 ‘Penipu! Perempuan lidah bercabang!’ Najwa tidak tahu mengapa suara hatinya menjerit begitu. Dia menjadi benci melihat Raudhah tidak malu memasang tampang sedih. Baginya, perempuan itu langsung tidak layak berlakon sedemikian rupa.

 “Kesian betul dekat arwah. Meninggal seorang diri. Seminggu lepas tu baru orang sedar sebab terbau busuk dari rumah tu.”

 “Kau tak takut tinggal situ? Yalah. Hmmm… ada orang meninggal dunia. Pulak tu, dia meninggal dalam bilik kau tidur.”

 Raudhah sudah seriau. Dia memang tidak berasa aman semenjak kejadian malang menimpa Maisarah. Sejujurnya, dia menumpang di rumah rakannya yang lain. Pernah juga berurusan dengan pejabat kolej agar ditukarkan ke rumah lain. Permohonannya dalam pertimbangan setakat ini.

 ‘Kau takut sebab kau telah berbuat salah! Bukan sekadar kau rampas kekasih dia tapi…’ Kata-kata itu dicelah dengan tawa menakutkan. ‘… kau sendiri tahu! Yang pasti kau memang penipu besar!’


“Najwa!” Terkebil-kebil Najwa bahunya ditepuk kuat oleh Fatimah.

 “Kau jalan menonong je! Kau hampir-hampir tau melanggar lecturer paling garang jurusan kita!” Marah Manisah.

 “Bila?” Najwa terasa bodoh kemudiannya dengan soalan sendiri. Sebenarnya dia masih bingung dengan fenomena aneh menimpanya.

 “Tadilah masa kita borak pasal interview oral history! Kau main jalan je. Nasib baik aku nampak. Lagi sikit tau kau nak langgar madam Raudhah. Dia tu tak boleh tau kita ni tak jaga adab. Habislah dicanang kita dalam kelas. Nasib tak baik, kita dapat kelas dia. Adoi!” Bebel Fatimah.

 “Kejap. Siapa nama madam tu?”

 “Madam Raudhah. Kenapa?” Manisah sudah berkerut dahi.

 “Raudhah…” Nama itu diulang-ulang.

 “Eh, kau! Janganlah seru nama dia tanpa pangkat di depan. Buatnya dia datang marah kau, macam mana?” Fatimah sudah diselubungi kerisauan.

 Najwa tidak peduli. Terus-menerus diulang sambil berjalan menuju ke kafe. Tiba-tiba langkahnya mendadak berhenti sehingga hampir membuatkan kedua mereka di belakang melanggarnya. 

 “Aku ada idea!” Najwa memetik jari. Jelas teruja dengan apa yang bakal dilontarkan.

 “Apa dia?” Hampir serentak Fatimah dan Manisah bertanya.

 “Kita akan interview madam Raudhah walau apa yang jadi sekalipun!”

 “Eh, kau gila!” 

 “Entah kau ni!”

 “Muktamad. Tolonglah assignment kali ni dengar cakap aku. Please…” 

 “No!” Fatimah dan Manisah membantah serentak.

 “Dia tu garang macam singa! Dia tak mesra pelajar tahu tak!” Marah Manisah.

 “Mana korang tahu? Dia bukan pernah ajar kita pun. Don’t judge book by its cover, okay?”

 “Aku tak nak…” Manisah berdegil.

 “Aku pun! Kau buatlah sendiri.” Fatimah lagilah. Siap keras nada suaranya.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.