Home Novel Seram/Misteri KEJAM
KEJAM
nurmazunie razif
2/5/2017 21:09:03
51,735
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 7

Bab 7


Di dalam kereta Volkswagen Golf milik Nilam.


"Kau yakin ke, bomoh yang kita nak jumpa ni, dapat ubatkan aku". Nilam berkata tanpa memandang Erin yang asyik membelek smartphone Huawei Honor X5 berwarna gold dari tadi.


Nilam lebih menumpukan pemanduannya ke arah jalan raya di hadapan. Dia tidak mahu sesuatu yang buruk terjadi kepada mereka berdua jika terlalai seketika. Namun, perlakuan Erin dapat dilihatnya dari ekor mata. Dia tahu Erin melihat GPS untuk mencari arah rumah bomoh tersebut.


"Adoiii!! Tak berfungsi pula!" rungut Erin.


Erin mengeluh lantas menutup aplikasi GPS apabila kawasan yang mereka lalui tidak mempunyai signal untuk akses kepada rangkaian internet.


"Kau dah tahu yang kita ni nak pergi ke tempat jin bertendang, yang kau beriya sangat nak tengok GPS tu kenapa? Nak update di Fecebook yang kita ini nak jumpa bomoh! Kau ni betul-betul bagi idea gila kat aku!" Nilam berkata agak kasar. Rasa menyesalnya mula menyelinap masuk ke dalam dirinya. Seumur hidupnya belum pernah sekalipun dia berbomoh.

Rasa menyesalnya lagi menebal apabila jalan yang mereka lalui seperti tidak pernah dilalui oleh manusia lain. Jalan yang dilalui seperti tidak berpenghujung. Nilam dapat merasakan mereka seperti berpusing-pusing di jalan yang sama.


"Kau juga yang setuju! Kononnya nak berikhtiar dengan bomoh pula! bomoh ini bagus tau!" Erin tersenyum senget. 


"Idea gila" Omel Nilam perlahan namun tidak didengar oleh Erin yang sedang asyik dengan permainan android pula. Tidak habis-habis dengan smartphone sehingga Nilam naik rimas dengan tingkah-laku  Erin yang tidak lepas-lepas bermain dengan telefon.


Erin sebenarnya seorang yang gilakan permainan Android. Segala jenis permainan didownloadnya. Permainan budak tadika pun dimainnya. Taksub betul, sehingga memori kad telefon tidak cukup mahu menampung aplikasi yang telah dimuat turun.


Bagi menghilangkan rasa bosan yang menyengat Erin ralit bermain dengan permainan adroid kegemarannya. Permainan tersebut tidak memerlukankan capaian internet untuk berfungsi. Erin tidak lagi mengendahkan Nilam yang sedang fokus memandu. Erin leka dengan dunia permainannya buat seketika.


"Woii, Erin kau yakin ke bomoh yang kita nak jumpa ni boleh harap, entah-entah bomoh makan duit orang je, ishh! Kenapalah aku tak fikir dulu sebelum ikut kau ni...." Nilam menjeling sepintas lalu ke arah Erin.


Erin serta-merta memberhentikan permainan androidnya apabila persoalan bomoh itu dibangkitkan. Terasa mahu marah pula apabila ideanya diperlekehkan oleh Nilam.


"Mestilah aku yakin, bomoh ni handal tau, masa aku kecil dulu, emak aku kata, aku selalu kena tetegur dengan jembalang hutan, jadi aku akan demam berhari hari, bila demam tak kebah, nenek akan bawa aku jumpa bomoh ini, lepas tu aku okey"Jawab Erin panjang lebar. Kenangan masa lalu, sepintas lalu hadir di kotak memorinya. Erin tersenyum. Erin bangga kerana dia dapat merasai pengalaman duduk di kampung. Begitu seronok. Jika dapat diulangi waktu berputar ke belakang semula, waktu sewaktu dia tinggal di kampung adalah waktu yang akan diulanginya.


Nilam menoleh sekilas ke arah Erin. Rasa tidak percayanya hadir apabila mendengar cerita Erin. Lagi-lagi apabila mendengar perkataan jembalang hutan membuatkan wajah Nilam berkerut. Rasa ngerinya hadir semula. Pengalamannya berjumpa dengan makhluk hodoh tempoh hari dah cukup teruk buat Nilam, inikan pula jika berhadapan dengan jembalang tanah. Silap haribulan, boleh demam berbulan-bulan gamaknya. 


"Kau ni macam-macamlah, boleh tak jangan sebut benda-benda peranormal macam tu...ishh!". Nilam membalas . Bulu romanya mulai meremang. 


Erin cuma mengangkat bahu dan mencebikkan bibirnya sahaja.

Sedang asyik memandu, fikiran Nilam teringatkan Dr.Rizal. Dia masih belum berterima kasih kepada Doktor Rizal yang menemuinya di dalam lif tempoh hari. Dia dikatakan tidak sedarkan diri dan ditemui berlumuran darah di dalam lif. Ramai rakan rakan sekerjanya yang bertanya , apa yang sebenarnya terjadi.Namun Nilam tiada jawapan.Takkan nak beritahu bahawa dia terperangkap di dalam lif dan dipeluk oleh makhluk berwajah hodoh yang berbau busuk. Makhluk tersebutlah yang telah menikam nikam tubuhnya menggunakan kuku panjang dan menghirup darahnya dengan rakus. Sudah pasti mereka tidak akan mempercayai kata kata Nilam. Oleh itu lebih baik jika Nilam mendiamkan diri dan mengatakan yang dia  tidak ingat apa apa tentang kejadian yang dialaminya . 


Apabila mengingatkan yang dia telah memeluk makhluk hodoh berbau busuk semasa di dalam lif  Nilam tersenyum sendiri. Mana tidaknya pandai pula makhluk hodoh itu menyerupai Doktor Nazmi sehingga dia asyik didalam dakapan lelaki itu. Ah, permainan syaitan. Senang-senang memanipulasikan minda manusia. 


"Tersengih sengih.kenapa?....".Tegur Erin


"Teringatkan abg Nazmi kesayangan ke?" gurau Erin sambil tertawa kecil.


" Ya betul"Nilam mengiyakan. Malas rasanya untuk berterus-terang. Dia tidak mahu perkara dia dikejar makhluk hodoh tempoh hari dibangkitkan semula.


"Tak sabar nak ke jinjang pelamin".Nilam menyambung lagi sambil ketawa agak kuat.


"Dah, jangan nak berangan... nak berangan kat rumah ye"tegur Erin, meluat.


"Pandu elok elok, aku taknak hilang nyawa" sambung Erin serius.


"Baik bos"balas Nilam.


Sebenarnya sejak dari tadi, hati Nilam berasa tidak sedap, tetapi tidak diluahkan kepada Erin. Idea untuk berjumpa bomoh adalah idea Erin. Semenjak kejadian dia diganggu oleh makhluk  berwajah hodoh bersama hilaian ketawa serta bayangan nenek tua yang menakutkan tempoh hari, Nilam sering merasa resah. Hidupnya menjadi amat tidak keruan. Dia tidak tahu kenapa gangguan sebegini datang dalam hidupnya. Apakah puncanya? Oleh sebab itulah, dia menerima cadangan Erin untuk berjumpa bomoh.


Sebelum ini ustaz yang dijumpainya, semuanya mengatakan, mereka tidak mengetahui punca gangguan yang terjadi kepadanya. Mereka meminta Nilam untuk memperbanyakkan zikir dan  membaca surah-surah yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian. Nilam mengakui, dia bukanlah seorang perempuan yang berpegang teguh kepada agama. Tetapi sejak peristiwa yang melanda hidupnya tempoh hari dia mula mendekatkan diri kepada hal hal agama, walaupun baru di peringkat permulaan. Baginya, biarlah dia berakit rakit mempelajari ajaran agama, asalkan dia faham. 


Adakah disebabkan dia kekurangan didikan agama, pelbagai makhluk ngeri dan hodoh, dalam erti kata lain  syaitan, sering mengganggunya.Tetapi kenapa baru sekarang setelah dia berumur 25 tahun. Bukankah syaitan akan menganggu semua manusia, tidak kira manusia itu baik atau jahat, jadi kenapa harus dipersoalkan syaitan yang mengganggunya? Ataupun, ada kejahatan hitam yang mahu merosakkannya? Nilam tiada jawapan. Oleh sebab itulah dia begitu teruja mahu berjumpa bomoh. Namun kini, perasaan menyesal pula yang terbit. 


Nilam tersentak, lamunannya sebentar tadi terbang melayang. Suara Erin pula kedengaran kuat di gegendang telinganya.  


"Nilam berhentikan kereta!! Berhentikan kereta!!...kau ni beranganlah!!!" tempik Erin dengan kuat sehingga mengejutkan Nilam.


Serta merta Nilam menekan brek mengejut. Badannya dan Erin terdorong ke hadapan.Secara automatik tangan Nilam yang sedang memegang stering kereta Volkswagen miliknya mengeletar. Jantung pula berdegup kencang bagai nak luruh dari alterinya. Peluh mula kelihatan berbintik di dahi. Liurnya ditelan berkali-kali.


Kereta yang mereka naiki berhenti betul betul di tengah jalan.

Di hadapan mereka seorang perempuan tua  berpakaian lusuh dan bertongkat persis nenek kebayan terbongkok bongkok  sedang melintas jalan. Mata masing masing terbuntang luas. Perasaan terkejut tidak dapat digambarkan. Debaran jantung masing masing masih terasa. Kelibat nenek kebayan terbongkok-bongkok yang berjalan perlahan melintas jalan amat menghairankan mereka berdua.


"Dari mana nenek tu datang Erin,.. aku tak perasan pun dia lalu tadi?" Nilam berkata perlahan. 


Nilam menoleh ke arah Erin di sebelahnya yang masih membulat matanya memandang nenek itu tanpa berkelip. Nilam tahu Erin terkejut begitu juga dengannya, tetapi janganlah sampai tidak bergerak gerak.


"Kau dah macam patung cendana aku tengok, kenapa Erin?" Tegur Nilam, namun sedikitpun Erin tidak berkutik. Cuma matanya sahaja yang membulat dan terkebil-kebil.


"Hoi!". Nilam menepuk kuat bahu Erin, sehingga gadis itu  tersentak.


"Aku okey, cuma aku terkejut!"  Jawab Erin, pendek.


"Aku pun sama" Nilam membalas perlahan. 


Tiba tiba nenek tersebut memalingkan wajahnya memandang mereka.


"Tak mungkin...".Nilam berbisik.


"Nenek Anong!?" Wajah perempuan tua persis nenek kebayan itu mirip nenek Anong. Wanita tua yang mendapatkan rawatan di hospital tampatnya bekerja.  Nenek Anong berhenti sejenak memerhatikan mereka. Nilam kaget, setahunya wanita tua yang dikenalinya sebagai Nenek Anong itu masih lagi terlantar di hospital. Bagaimana pula secara tiba-tiba wanita tua itu boleh berjalan sampai ke situ. Ah, pening Nilam memikirkannya.


Setelah lama berdiri merenung Nilam dan Erin, wanita tua itu mengorak langkah untuk menyambung kembali perjalanannya. Sebaik sahaja wanita tua persis Nenek Anong itu berjalan laju menuju ke kawasan belukar, tanpa menunggu lagi, Nilam keluar dari kereta dan mengejar Nenek Anong.


"Nilam....woiii, nanti..... aku nak ikut woiii" Jerit Erin yang tergesa gesa membuka pintu kereta dan mengejar Nilam.Tetapi larian Nilam lebih pantas untuk mengejar nenek Anong. Dia tidak lagi menoleh ke belakang ke arah sahabatnya Erin yang melambai ke arahnya.


Nilam memasuki hutan kecil dan terus mengejar nenek Anong.


"Cepat betul perempuan tu berjalan, biar betul" Nilam berkata di dalam hati. Semakin laju langkah kakinya dibawa ke dalam  hutan kecil tersebut. Kelibat nenek Anong sudah tidak lagi kelihatan. 


Semakin jauh Nilam berjalan, semakin dalam kawasan hutan yang dimasukinya. Bertambah gelap dan sunyi suasana hutan tersebut. Nilam meredah semak-semak renek dan mematahkan pohon-pohon renek yang menghalang perjalanannya. Nilam hairan, bagaimana kelibat Nenek Anong boleh hilang begitu sahaja, sedangkan wanita tua itu berjalan begitu perlahan. Adakah dia berhalusinasi? Tidak! Erin juga nampak kelibat Nenek Anong di hadapan kereta mereka tadi, jadi tidak mungkin dia berhalusinasi.


Nilam ingin berpatah semula, namun mustahil, dia tidak nampak jalan asal yang dilaluinya. Nilam tahu dia telah tersesat jauh di dalam hutan tersebut. Mahu sahaja rasanya dia meraung sekuat hati. Badannya mengigil. Perasaan takut mula menghantui perasaan Nilam, tiba tiba Nilam merasakan bulu romanya meremang. Diraup tengkuknya dengan tangan kiri untuk menghilangkan perasaan tersebut .


Dari jauh, hanya beberapa meter di hadapan, Nilam melihat sebuah tokong kecil lusuh yang diperbuat daripada kayu. Langkah kaki Nilam berhenti di tokong tersebut. Sekeliling tokong diperhati. Nampaknya tokong kecil ini masih digunakan .Kelihatan beberapa colok masih berasap .Kuih dan buah yang diletakkan di dalam pinggan di bahagian bawah tokong untuk dipersembahkan kepada tuhan yang dianuti masih baru.  


.Asap colok yang menusuk hidung amat menyengit baunya. Nilam terbatuk-batuk. Asap dari colok yang masih menyala terasa melalui rongga hidung dan terus ke kerongkongnya. Asap tersebut membuatkan tekak Nilam terasa pedih.


"Nilam.... Kemari... kedatanganmu memang kutunggu.... Kemari Nilam" bergema satu suara. 


Nilam memandang langit, adakah suara itu datangnya dari langit. Dia berpusing pusing di sekeliling tokong mencari arah suara tersebut .Namun dia tidak dapat mengesan dari mana datangnya suara itu. Bayang mahupun kelibat manusia tidak kelihatan di mana-mana. Cuma tokong dan hutan tebal yang berdindingkan pokok-pokok besar sahaja memenuhi kiri dan kanan Nilam. 


"Nenek Anong!!" Nilam menjerit kuat. Adakah suara Nenek Anong yang didengarnya tadi? Dimanakah wanita tua itu sebenarnya? Kenapa perlu menyembunyikan diri? Tiba-tiba fikiran Nilam bercelaru. Dia seperti mahu menghantukkan kepalanya sahaja ke tanah. 


"Arghhhh......." Nilam sedaya upaya cuba menahan dirinya dari melakukan sesuatu yang di luar dugaannya. Dia tahu itu semua permainan syaitan yang mahu membuatnya hilang pedoman. Dia tidak akan sesekali hilang pedoman diri, dia mesti mencari jalan keluar dari hutan tersebut. 


  Nilam melangkah beberapa depa ke hadapan sebelum menemui sepohon pokok angsana yang sebesar dua pemeluk manusia. pokok tersebut begitu aneh kerana amat besar. Nilam belum lagi pernah melihat pokok angsana sebesar itu seumur hidupnya . Pokok tersebut berbau begitu wangi kerana telah mengeluarkan bunga kuning yang begitu banyak. Bunganya banyak yang telah gugur ke bumi. Nilam membongkokkan tubuhnya dan mengambil sekuntum bunga tersebut.


" bunga sena!!" Nilam menelan liur, tiba-tiba dia teringatkan sesuatu.


"Buai laju-laju sampai pokok sena, apa dalam baju sekuntum bunga sena"


kedengaran sayup-sayup lagu tersebut berdendang di tepi telinga Nilam. Gemersik suara yang mengalunkan lagu tersebut membuatkan jiwa Nilam terbuai keasyikan. Tanpa Nilam sedari dia mendendangkan sama lagu itu.   

Nilam memejamkan mata. Seketika dia didatangi oleh seorang perempuan cantik berkebaya kuning dan bersanggul emas. Di telinganya terselit sekuntum bunga sena yang harum baunya. Perempuan itu tersenyum ke arahnya. Bunga sena yang terselit di telinga diambil oleh perempuan itu. Diberinya kepada Nilam. Sebaik sahaja kuntuman bunga sena bertukar tangan, perempuan tua tersebut berubah menjadi wanita tua yang dikenalinya sebagai Nenek Anong itu. Wanita tua itu ketawa mengilai-gilai seperti dirasuk, bergema memenuhi suasana di sekitarnya. 


Nilam tersentak, lantas membuka mata. Dia kembali semula ke alam nyata. Tiada perempuan berkebaya kuning begitu juga tiada Nenek Anong yang ketawa mengilai di sisinya. Namun di gengaman tangan Nilam terdapat sekuntum bunga sena. Sebaik sahaja menyedari bunga sena itu adalah pemberian perempuan berkebaya kuning yang bersanggul emas, lekas-lekas Nilam membuangnya ke tanah. 


Nilam memandang di sekelilingnya. Dia masih lagi berada di tempat yang sama iaitu di bawah pokok angsana yang berbunga lebat. Nilam tidak tahu bagaimana mindanya boleh dimanipulasikan sebentar tadi sehinga dia terbuai keasyikan. Ah! Pastinya permainan syaitan lagi.


Tiba tiba Nilam tercium  bau busuk yang amat pekat baunya, sehingga dia menenyeh hidungnya beberapa kali.


"Bau apa ni, macam bau bangkai sahaja...." Nilam berkata kepada dirinya sendiri.


Naluri  ingin tahunya begitu kuat. Nilam mengelilingi pokok Angsana tersebut beberapa kali sambil mendongakkan kepalanya memandang ke atas pokok yang amat besar itu. Nilam seperti yakin bau yang dihidunya datang dari pohon angsana tersebut. 


".gedebukkk...."  Satu jasad manusia jatuh betul betul  di hadapannya dalam keadaan tertiarap.


"....Makkkk.." Nilam terjerit dan jatuh terduduk di hadapan jasad yang tertiarap itu. 


Nilam mengesotkan sedikit tubuhnya ke hadapan supaya mudah baginya untuk menyentuh jasad yang tertiarap di hadapannya. Sebenarnya dia sangsi, samaada mahu melihat wajah jasad itu atau lari sahaja meninggalkan tubuh yang tidak bergerak itu. Namun naluri kemanusiaannya mengatakan pilihan pertama adalah yang terbaik iaitu melihat wajah jasad tersebut. Mana tahu jika jasad itu tiba-tiba bergerak dan mahukan pertolongan. Sekurang-kutangnya dia dapat menghulurkan sedikit pertolongan jika dipinta.


".Siapakah ni?," Nilam memandang tubuh kaku di hadapannya dengan dada yang berdebar debar. setelah hampir 5 minit keadaan jasad itu diperhatikan, dengan keadaan teragak-agak Nilam mendekati jasad tersebut dan menterbalikkannya.


"Ya ALLAH". Nilam menekup mulut apabila melihat keadaan tubuh yang tidak mempunyai mata, serta wajah yang penuh dengan darah. 


Jasad tersebut telah menjadi mayat dan bau busuk yang dihidunya tadi datang dari mayat dihadapannya. Nilam loya, tekaknya terasa begitu mual. 

Nilam amati wajah mayat tersebut, serta merta dirasakan wajahnya pucat  seperti tidak berdarah. Mayat di hadapan matanya adalah Erin. Sahabatnya sendiri. Nilam meraung sekuat hati. Suaranya bergema di sekeliling pokok angsana itu.


"...Erin? Erin.... Erin". Panggil Nilam sambil mengoncang goncang jasad yang tidak bernyawa itu.Erin sahabatku dibunuh?Tak mungkin.


"... Maafkan aku Erin. Siapa yang membunuh kau?Apa semua ini?".Nilam menjerit kuat. 


"Ini semua salah aku..... salah aku". Tiba tiba Nilam bertempik sepuas puasnya.Dia dapat mendengar suaranya sendiri bergema di dalam hutan kecil itu.Setelah itu dia menangis teresak esak.Kalaulah dia tidak meninggalkan Erin dan meneruskan perjalanan ke rumah bomoh untuk berubat, kemungkinan semua ini tidak akan terjadi.


"Hahahahahaha...".Terdengar hilaian ketawa yang panjang.


"kau siapa? kau yang bunuh Erin, tunjukkan diri! pengecut!!".Nilam memekik dengan memarahi suara yang didengarnya tadi.Keberaniannya hanya sementara sahaja apabila, Tiba tiba perasaan takut yang teramat sangat meresapi perasaannya.Lantas Nilam bangun dan berlari sekuat hati tanpa arah tuju dan melanggar apa sahaja di hadapannya.


Nilam berlari.... Lari....lari....lari ...sehingga dia merasakan tubuhnya melayang layang dan perasaan gayat menghantui. Baru Nilam menyedari bahawa dia terjatuh ke dalam gaung yang dalam dan amat tinggi.. 


"Arghhhhhhhhh. ". Nilam menjerit sekuat hati.Dapat dirasakan tubuhnya melayang layang sebelum terhempas ke bumi......... 



Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurmazunie razif