Register   |      Log in   |   Terlupa password
Home Novel Komedi/Romantik Komedi ISTERI ACAH-ACAH
ISTERI ACAH-ACAH
muRni aQiLa
23/3/2017 15:24:20
45,719
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
BAB 19

BERHARI-HARI Jay termenung. Walaupun dia duduk atau berdiri di hadapan kertas lukisan, tetapi sebenarnya dia tak buat apa-apa langsung. Terfikir-fikir apa yang Hani cakap tempoh hari. Sebutir demi sebutir perkataan Hani masuk ke dalam kepala otaknya.

Berhari-hari dia cuba hadam cadangan Hani. Akalnya bagaikan tersumbat. Tak boleh nak fikirkan idea yang geliga. Angkuh macam mana pun, dia terpaksa bersetuju dengan pendapat Hani. Lukisan bukan sekadar lukisan.

Direnung lukisan yang tidak siap-siap. Lukisan dusun yang Hani perlekehkan. Dia tak ada mood nak siapkan selepas mendengar komen Hani.

Sudahnya, diletakkan berus dan palet ke tepi. Telefon bimbit dicapai. Mahu membuat carian di internet. Manalah tahu dapat idea. Dia berbaring di sofa Cleopatara. Jenuh cari idea berjam-jam di atas sofa itu, tetapi masih tak ada apa yang membantu. Makin buntu lagi ada. Pening dia dibuatnya. Sudahnya, dia termenung merenung siling. Telefon bimbit dibiarkan di atas dada.

Bunyi notifikasi mesej di WhatsApp pun dibiarkan juga. Mula-mula tak banyak. Lama-lama bertambah kerap bunyi itu. Dicapai semula telefonnya. Di aplikasi WhatsApp grup kawan-kawan sekolah, semua sedang membincangkan tentang penerbangan Liana.

“Alamak... esok Liana nak fly ke Melbourne.” Dia berdecit.

Ada yang hendak menghantar Liana ke KLIA. Ada yang kirimkan doa saja untuk gadis itu. Ada juga yang nak jumpa di rumah Liana sebelum gadis itu berangkat pergi.

“Aku mesti pergi! Kekasih hati kot. Barulah nampak yang aku ni sungguh-sungguh nak kat dia.”

Lalu dia menaip mesej memberitahu yang dia akan ke KLIA. Demi Liana, apa pun dia sanggup. Dibaca lagi mesej daripada yang lain-lain. Tiba-tiba baru dia teringat.

“Eh, aku nak pergi KLIA macam mana? Liana punya flight pukul 10.30 malam pulak tu! Naik bas? Hisy, leceh kot. Nanti kantoilah aku dah duduk Kuala Kubu. Silap-silap, kantoi yang aku dah kahwin.” Dia menggeleng-geleng tak mahu.

“Ah, macam mana ni?” Risau pula dia. Dia bingkas duduk pula. Tergaru-garu kepala memikirkan bagaimana cara supaya dia boleh bertemu dengan Liana sebelum gadis itu pergi jauh.

“Takkan nak minta tolong Hani? Aduh... peninglah!” Makin giat dia menggaru kepala. Rasa-rasanya, itu saja cara yang dia nampak dan paling praktikal.

“Haih... macam mana nak minta tolong kat Hani ni? Nak cakap apa?” Dipicit-picit dahinya. Nak minta tolong Hani yang payah ni. Bagaikan terpaksa turunkan harga diri hingga ke paras tapak kaki.


-*-*-*-*-*-


SALLEH yang baru sampai di rumah dari tempat kerja, membuka pintu kereta setelah mematikan enjin. Kereta Rozilah tiada di garaj.

“Entah ke mana ajelah isteri aku ni pergi. Keluar rumah bukan nak cakap.” Dia merungut sambil membuka pintu rumah.

Rumah itu senyap sunyi. Terus dia melangkah ke dapur. Perut terasa lapar. Tetapi tiada apa-apa yang Rozilah masak. Dapur pun nampak macam tak berusik. Malah, buah-buah dalam karung yang Hani bagi masih terperuk di tempat yang sama sejak balik dari Kuala Kubu Bharu hari itu.

“Kalau aku tahu, aku makan aje kat luar macam biasa. Ingatkan dia masak. Hari tu beria-ia suruh Hani bagi macam-macam. Konon nak buat nangka muda masak lemak. Haram dia tak buat langsung! Entah ke mana dia merayau,” bebelnya.

Dibuka karung itu. Dah berwap peluh semuanya. Setandan pisang raja yang Hani potong sesikat demi sesikat sudah ada yang menguning. Dipetik tiga biji. Makan pisang sajalah nampaknya. Ditelan pisang itu hingga habis. Buat alas perut. Lepas mandi kejap lagi dia nak makan di luar.

Dia beredar mahu naik ke bilik di tingkat atas. Baru setapak dua mendaki tangga, dia terdengar bunyi enjin kereta. Rozilah sudah balik. Tak jadi dia nak ke bilik. Dia turun semula dan membuka pintu rumah.

Kelihatan Rozilah mengeluarkan bungkusan-bungkusan dari tempat duduk belakang. Banyak. Terkejut Salleh.

“Tepi, tepi...”

Salleh memberi laluan kepada Rozilah masuk ke dalam ruang tamu sambil mulutnya melopong memerhatikan macam-macam bungkusan di tangan kiri dan kanan isterinya itu.

Sedangkan Rozilah tersengih-sengih melihat Salleh tergamam. Dihempaskan duduk di sofa melepaskan penat. Barang-barang yang dibawa tadi dibiarkan di atas karpet.

Salleh mendapatkan Rozilah. “Banyaknya shopping!

Rozilah hanya ketawa.

“Saya bagi awak duit suruh buat belanja barang dapur. Bukan beli...” Salleh memandang beg-beg kertas dan bungkusan itu. “Kasut, handbag, baju, alat mekap... ya ALLAH. Bankrap aku!” Dia rasa nak pengsan.

Rozilah mencemik. “Eh, jangan nak perasan ya? Saya beli ni semua tak pakai duit yang abang bagi.”

“Habis tu?” Salleh duduk di sofa menghadap Rozilah.

“Adalah...” Rozilah ketawa lagi. Dia duduk bersilang kaki. Seronok betul dia. Rasa bahagia sangat tadi ketika membeli-belah. Tak ada nak bajet-bajet. Main beli saja apa yang dia suka.

Salleh kehairanan. Mana Rozilah dapat duit?

“Oh ya... saya ada beli Kenny Rogers dan Manhattan Fish.” Rozilah membelek-belek mencari makanan yang dibeli tadi. Bungkusan plastik makanan itu diletakkan di atas meja kopi di hadapannya. Menyuruh Salleh mengambil sendiri.

“Wah! Beli makanan pun yang mahal.” Bertambah pelik Salleh. Jangan-jangan... “Awak ‘paw’ Hani ke?”

Rozilah senyum sambil menunjuk tepi dahinya dan kemudian tanda bagus.

“Berapa banyak awak ‘paw’ duit dia, Zilah? Sampai macam-macam boleh beli ni. Abang punya tak ada ke?”

Rozilah ketawa. Dia dah agak dah. “Saya belikan abang baju kemeja. Haa... geliga tak otak saya? Duit kita pun jimat, tapi boleh shopping macam-macam pulak.”

Salleh ikut ketawa. Hilang rasa marah pada Rozilah tadi. Fuh... kalau macam ni, selamat duit aku.

“Tak sia-sia kita kahwinkan Jay dengan Hani. Bergeliga kepala otak saya ni.”

Lebar senyuman Salleh. Memang takkan rugi. Sebab dia pun boleh tumpang sekaki merasa duit Hani.


-*-*-*-*-*-


SEJAK balik kerja tadi Hani perasan sikap Jay nampak agak lain. Dia perasan Jay curi-curi memandangnya. Malas nak hiraukan sangat pasal Jay, dia buat tak tahu saja.

Selepas mandi, dipanaskan lauk-pauk yang dimasak pagi tadi. Siap semuanya barulah dia makan. Sendirian dia di meja makan itu. Tak apa. Dah biasa. Jay tak pernah nak makan bersama. Yalah... orang tak sudi. Alasan Jay, dah makan awal-awal lagi.

Tapi terkejut dia yang sedang menyuap nasi ke mulut melihat tiba-tiba Jay muncul di situ. Dipandang Jay yang tidak memandangnya. Bermuka ego seperti biasa.

“Makan,” pelawa Hani. Sekadar ajak-ajak ayam. Dia tahu Jay dah makan dulu sebelum dia balik kerja.

Jay tak membalas. Dia pura-pura ke dapur mahu minum. Sedangkan dalam kepala otak tak henti-henti berfikir bagaimana cara nak minta tolong Hani.

Hani dah agak. Jay mesti tak sudi melayannya. Diteruskan makan dengan bersahaja. Lauk yang ringkas. Ikan pari masak kari dengan kacang panjang masak sambal. Ada juga ikan kering.

Jay meneguk air sejuk sambil memandang Hani dari belakang. Akalnya buntu. Tak tahu macam mana nak memulakan kata. Sudahnya diambil sepinggan nasi, lalu duduk semeja dengan Hani. Duduk berdepan.

Terlopong Hani memandang Jay. Jarang Jay nak makan bersama. Tetapi hari ini, Jay datang sendiri duduk semeja.

Jay buat-buat tebalkan muka. Terpaksa direndahkan sikit ego. Dia mencedok lauk ke dalam pinggan.

“Abang Jay tak makan lagi?”

Jay menggeleng. Dia sudah makan. Tetapi disebabkan nak minta tolong Hani, nak tak nak dia mengaku belum makan.

“Biasanya... Abang Jay tak nak makan sama-sama dengan saya.” Hani yakin Jay sudah makan. Sebab dia masak agak banyak pagi tadi. Lauk yang tinggal sekarang macam dah dimakan banyak. Tetapi dibiarkan saja Jay makan lagi. Lapar sangat agaknya.

Dengan selamba Jay makan. Perlahan-lahan. Sambil akalnya ligat bekerja memikirkan rancangannya. Suasana sepi antara mereka.

“Esok ke mana?”

Soalan Jay itu membuatkan Hani mendongak. Dipandang wajah Jay yang seolah-olah tak ada perasaan. “Esok?” Keliru dia dengan soalan semudah itu. “Hari Jumaat. Pergi kerja ajelah.”

“Malam?”

Dahi Hani sedikit berkerut. Tak pernah-pernah Jay bertanya begini. Dia menggeleng. “Tak ke mana. Duduk rumah aje.”

“Pinjam kereta.” Tak berlengah Jay berterus terang. Dia tak pandai nak cakap mendayu-dayu minta simpati macam Rozilah buat pada Hani tempoh hari.

Pinjam kereta? “No! Tak boleh.” Spontan Hani bagi jawapan. Tak perlu fikir-fikir.

“Pinjamlah. Aku ada hal ni.” Jay dah mula rasa nak marah. Nak pinjam kereta pun tak boleh? Kedekut!

Hani tetap menggeleng. Dia tak percaya bagi pinjam kereta pada orang lain. Kalau jadi apa-apa, dia juga yang kena tanggung. Kemek ke, calar ke, pecah ke, rosak ke, kena saman ke... semua itu dia tak nak ambil risiko. Buatnya Jay pinjam lepas tu menghilang berhari-hari, mana dia nak cari kereta lain nak pergi kerja?

Nak cakap ‘please’, tapi ego Jay terlalu teguh. Takkan sesekali dia merayu pada Hani. Namun dalam keadaan sekarang, dia perlukan sangat-sangat pertolongan Hani. Dia diam. Terhenti mengunyah. Susahnya dia nak tepis keangkuhan diri.

Hani perasan perubahan air muka Jay. “Nak ke mana?”

“KLIA.”

“Kalau nak, saya boleh tolong hantarkan.” Hani menawarkan diri. “Setakat nak hantar, saya tak berkira. Cuma jangan pinjam atau drive kereta saya. Yang tu memang sampai bila-bila pun saya takkan benarkan. Tak kiralah dengan sesiapa pun.”

Nak suruh Hani hantar? Nanti Hani menyibuk nak tahu pasal Liana. Mulalah soal macam-macam nak busybody. Lagipun, aku tak nak Hani kacau aku. Nak luangkan masa dengan Liana secara aman pun tak senang!

“Tak nak, sudah.” Hani menghabiskan nasi di pinggan.

“Okeylah, okeylah!” Jay bersuara bagaikan nak marah. “Esok kat airport pukul 8.00 malam.”

Tengok! Cara orang ego bercakap. Hani perhati saja perangai Jay. Keras betul hati. “Nak buat apa pergi KLIA?”

“Nak hantar Liana. Dia nak ke Melbourne sambung belajar kat sana.”

Dengar nama Liana, hati Hani terluka. Sudah tentulah bagi Jay hal ini sangat penting. “Flight pukul berapa?” Dia masih ikhlas nak tolong walau seego mana sekali pun perangai Jay. Walau berderai luka hati sendiri.

“Pukul 10.30. Tapi ada hal nak borak-borak dulu sebelum dia boarding. Jangan lambat esok. Pukul 6.00 dah kena gerak dari sini.” Tegas nada Jay. Dia nak Hani ikut cakapnya. Dah kau tak bagi aku pinjam kereta. Nak jugak hantarkan. So, ikut cakap aku.

“Liana sambung belajar kat U mana?”

“Jangan nak menyibuk ambil tahu pasal oranglah! Nak hantar, hantar ajelah. Busybody pulak.” Ni yang Jay tak suka. Benci betul dia bila Hani mula nak tahu macam-macam dan jaga tepi kain aku.

Hani sekadar bertanya. Tak terfikir pun nak jadi busybody. Dia yang sudah selesai makan, menanti sehingga Jay juga habis makan. Dia nak kemas sekali meja dan basuh pinggan mangkuk terus. Sementara itu, dia merenung Jay. Entah kenapa, hatinya kian sayu. Macam-macam yang bergelodak dalam jiwanya.

“Esok pukul 6.00 tepat kita pergi KLIA. Jangan lambat!”

Hani mengangguk. Dan serta-merta datang satu idea. “Okey... tapi dengan satu syarat.”

Jay memandang Hani.

“Esok pagi saya nak tengok Abang Jay solat subuh.”

Terus mengeras tubuh Jay. Terkedu.

Previous: BAB 18
Next: BAB 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.