Register   |      Log in   |   Terlupa password
Home Novel Komedi/Romantik Komedi ISTERI ACAH-ACAH
ISTERI ACAH-ACAH
muRni aQiLa
23/3/2017 15:24:20
40,775
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
BAB 18

KERETA sorong ditolak perlahan-lahan melalui lorong yang menuju ke dusun arwah atuk. Hani senyum apabila melepasi pagar memasuki dusun itu. Dusun yang menyimpan seribu kenangan. Yang sangat disayangi dan akan dijaga selagi dia termampu.

Telinganya menangkap bunyi tapak kaki. Lantas dia menoleh ke belakang. Abang Jay? Berkerut dia memandang Jay yang menghampirinya dengan muka bonyok basi. Hairan. Kereta sorong dibiarkan ke tepi.

“Ni semua kau punya pasal!” tuding Jay ke muka Hani dengan nada marah. Bengang.

Tersentap Hani yang tak tahu apa-apa.

“Aku dah cakap tak nak ikut, tak nak ikutlah! Yang nak paksa-paksa aku kenapa? Nak pergi dusun pun nak kena teman, ingat aku ni kuli batak?”

“Abang Jay!” Terkejut Hani mendengar kata-kata Jay. Agak kasar bunyinya. “Saya tak paksa pun Abang Jay ikut saya.”

“Memanglah. Tapi disebabkan kaulah mama paksa aku. Sebab kau!”

Terhempas nafas berat Hani. Dia beristighfar perlahan berkali-kali, cuba menenangkan perasaan.

“Kenapalah aku bodoh kahwin dengan kau ni?”

Serta-merta hati Hani berubah sayu. Dengar dengan telinga sendiri kata-kata Jay itu bagaikan meluluhkan seluruh perasaannya. Membuatkan hati bagaikan lumpuh.

Dan riak Jay langsung tak ada rasa serba salah. Mukanya masih monyok mencuka. Berpeluk tubuh memandang ke arah lain.

Mata Hani mula berkaca-kaca. Sebak. Siapa yang tak kecewa bila suami sendiri cakap begitu? Ditarik nafas dalam-dalam sambil menunduk memandang tanah. Mencari sebanyak kekuatan yang ada. Dia tak nak bersedih. Tak nak emosi mengawal fikiran.

Dibayangkan wajah Jamrah. Bukan ke dia dah janji nak jadikan wanita cekal hati itu sebagai contoh? Kalau boleh dia nak menjadi semulia hati Siti Khadijah a.s. Tapi tak termampu nak jadi seperti itu. Sedangkan nak tiru sikap Jamrah pun, belum tentu dia mampu bertahan sampai bila. Mengenangkan keikhlasan Jamrah menjaga Iska, hatinya tenang semula.

Dia mendongak memandang Jay. Nafas dilepaskan perlahan-lahan. “Hmm... tak apa. Abang Jay tunggu aje kat sini. Tak pun Abang Jay duduk kat bangsal tu. Tunggu saya kat situ. Teduh sikit. Boleh duduk-duduk. Saya nak buat kerja.” Sambil membawa parang dan karung, dia meninggalkan Jay.

Jay buat muka bodoh. Pandang Hani pun dia tak ingin. Hatinya betul-betul sakit. Asyik-asyik kena paksa! Asyik-asyik kena buat benda yang dia tak suka! Makin kena paksa, makin benci pula dia dengan Hani. Memang Hani punca semua ni. Bodoh!

Dia beredar ke bangsal yang Hani maksudkan. Di situ dia duduk bersila sambil bersandar ke dinding. Baru duduk dah ada nyamuk yang menggigit. Bertepuk tampar dia menghalau nyamuk yang kecil-kecil itu.

Dari jauh matanya menangkap gerak-geri Hani. Hani nampak sangat pakar memegang parang. Selamba saja mencantas daun-daun pokok pisang bahagian bawah. Barulah pokok-pokok itu kelihatan kemas. Daun-daun yang dicantas diketepikan. Hanya dua tandan pisang saja yang sedang elok diambil. Buah yang masih kecil lagi Hani ambil jantungnya saja. Banyak juga.

Jay jadi ralit memerhatikan Hani yang lincah membuat kerja. Selesai dengan pokok pisang, Hani beralih ke pokok nangka pula. Diambil lima biji nangka muda. Ada beberapa buah betik yang sudah menguning kulitnya Hani ambil. Diambil juga beberapa biji betik muda. Buahnya melayut-layut sampai ke batang pokok.

Jay meliarkan pandangan ke sekeliling. Lama betul dia tak ke mari. Dulu masa sekolah rendah, dusun inilah tempat dia suka melepak sambil makan semua buah yang ada di situ. Sebaik saja melangkah ke dunia alam persekolahan menengah, jarang dia ikut Salleh dan Rozilah pulang ke kampung.

Pandangannya menangkap pokok buah jambu batu tak jauh dari situ. Pokok jambu batu jenis biji warna merah. Satu-satunya pokok jambu jenis itu yang ada. Bercekak pinggang dia memerhati pokok yang tinggi itu sambil berfikir bagaimana hendak petik. Terjingkit-jingkit dia cuba mencapai. Dahan dan ranting dah ditarik pun masih tak boleh nak capai buahnya.

Sedang dia menjingkit-jingkit menarik ranting yang boleh dicapai, tiba-tiba sebatang galah lalu di hadapan pandangan matanya. Dia ternganga. Seketika barulah dia menoleh dari mana arah galah itu datang. Hani sedang menjolok sebiji buah jambu dengan galah itu. Galah itu agak canggih. Hanya batang kayu. Tetapi di hujungnya ada gunting agak besar. Bila Hani tarik tali yang diikat bersama galah itu, gunting itu lantas memotong ranting.

Bap!

Dua biji buah jambu jatuh bersama ranting dan daun-daunnya sekali. Pergh... boleh tahan cekap juga Hani ni. Sekali rentap aje terus putus ranting dibuatnya.

Cepat-cepat Hani mengutipnya. Lalu, disandarkan galah ke pokok. Sebiji buah jambu direntap dari tangkai sebelum menyerahkan kepada Jay. “Nah...”

Jay menyambutnya. Dia masih tergamam melihat Hani. Hani ni nampak aje jenis yang feminin, jaga kulit, jaga penampilan. Rupa-rupanya...

“Makanlah,” suruh Hani.

Teragak-agak Jay nak makan.

“Tak apa, bersih. Masa jambu ni jatuh tadi kuman tengah terkejut. Tak sempat nak hinggap kat jambu tu.” Hani berjenaka.

Jay mendengus nak ketawa tapi ditahan dengan ego. Digigit sedikit. Nampak isinya yang merah. Dia mengangguk-angguk.

“Rasa apa?” Hani menggigit jambu di tangannya pula.

Berlapis dahi Jay. “Rasa apa?” Dia tak faham soalan Hani.

“Rasa jambulah.” Hani ketawa.

Tersungging senyuman mengejek Jay. “Eii... punchline tak sampai.”

Hani bantai ketawa lagi. Rasa diri dah bingung buat lawak entah apa-apa entah. Kerana sebenarnya dia sedang cuba merawat hati yang terluka dengan kata-kata Jay tadi. Hatinya sedang menangis sebenarnya.


-*-*-*-*-*-


MEMANG Hani sengaja masak banyak tengah hari ini. Walaupun mereka sekeluarga sudah makan tadi, dia masih mahu membekalkan lauk-pauk itu untuk Rozilah dan Salleh. Dimasukkan satu demi satu lauk ke dalam bekas. Nanti bolehlah mama dan papa mertuanya itu makan apabila sudah sampai di rumah.

Sedang dia mencedok lauk dari dalam periuk, seseorang menghampirinya. Dia berpaling. Senyumannya menguntum apabila melihat wajah Rozilah.

“Hani bungkuskan lauk untuk mama bawa balik. Sampai rumah, mama panaskan. Takut basi pulak. Tak payah mama masak untuk malam nanti dah.” Tanpa ditanya, Hani memberitahu Rozilah.

“Hmm...” balas Rozilah acuh tak acuh. Dia tak kisah sangat pun pasal lauk itu semua. Kalaupun Hani tak bekalkan, makan sajalah di kedai. Apa susah? Aku tak hairanlah lauk tu semua. Aku ada hal lagi penting daripada lauk masakan kampung Hani tu.

Hani perasan riak wajah Rozilah yang seolah-olah ada yang tak beres. “Kenapa, mama?”

Rozilah buat muka sedih. Nampaknya, mangsa dah nak masuk dalam perangkap.

“Mama ada masalah ke?” Terhenti pergerakan tangan Hani. Kehairanan dia melihat mama mertuanya itu.

“Mama susah hati ni, Hani.” Suara Rozilah kedengaran agak perlahan.

Cepat-cepat Hani memenuhkan bekas itu dengan lauk dan menutupnya. Dia berdiri menghadap Rozilah. “Susah hati kenapa?”

Rozilah buat muka mahu menangis pula. Supaya lakonannya lebih menjadi.

Berkerut dahi Hani. Apa dah jadi ni? Dipegang lengan Rozilah. “Cakaplah, mama. Mama susah hati kenapa?”

Nafas berat lemah Rozilah lepaskan lagi. Pura-pura banyak sangat masalah yang terpaksa ditanggung. “Tak tahu nak cakap macam mana, Hani.”

Hani merenung Rozilah. Menunggu mama mertuanya itu meneruskan ayat.

“Adik Jay tiga-tiga orang semuanya masih belajar. Dahlah mama suri rumah aje. Jay pulak tak ada kerja lagi. Harapkan papa sorang yang tanggung semua. Tu sebab mama selalu marah Jay. Ingatkan lepas kahwin berubah jadi lebih bertanggungjawab.” Terhempas keluhan Rozilah.

Hani diam dalam kesalan.

“Mama bukan apa, Hani. Kesian papa kau tu. Kesian kat mama jugak.” Rozilah mengeluh lagi. Berharap yang Hani kesiankannya.

Simpati Hani mendengar. Jay memang tak kerja. Dia pernah terfikir nak bincang dengan lelaki itu. Takkan nak melukis sepenuh masa. Kesian Rozilah. Tanggungjawab Jay sebagai anak terhadap emak dan ayah takkan habis sampai bila-bila. Walau dah beristeri, Jay kena tanggung juga. Lebih-lebih lagi Jay anak sulung.

“Nanti Hani nasihatkan Abang Jay. Hani akan carikan jawatan kosong yang sesuai untuk dia.”

“Dia tu susah, Hani. Jenuh mama dan papa nasihatkan dia. Berbuih-buih mulut mama marah dia. Susah payah papa tolong dia dapatkan kerja kat ofis papa. Tapi masa interview, dia buat hal pulak. Dia tunjuk besar kepala. Kalau tak, sekarang dah senang-lenang dapat jawatan tinggi. Sebab dia tetap nak melukis jugak. Habis tu, apa lagi yang mama nak buat?” esak Rozilah seolah-olah sebak dengan masalah Jay. Tetapi masih sempat lagi membebel.

Kalut Hani melihat Rozilah bagai nak meraung di situ. “Mama jangan nangis. Doakan aje yang baik-baik untuk Abang Jay.”

Rozilah menyeka matanya. Acah-acah tak nak menangis. Padahal, setitik air mata pun tak mengalir.

“Mama jangan susah hati lagi. Hani akan cuba cakap baik-baik dengan Abang Jay.”

“Tapi Hani boleh tak bagi mama duit? Mama nak bagi duit buat belanja kat adik-adik Jay. Ni nak balik Masjid Tanah pun kena ada duit jugak. Minyak, tol lagi... boleh tak, Hani? Seribu pun jadilah.” Tu dia. Inilah ayat yang Rozilah tak sabar-sabar nak cakap dari tadi.

Seribu? Terdiam Hani. Banyak tu! Setahu aku, Salleh tu berpangkat tinggi. Gaji paling kurang mesti lebih RM5000. Takkan tak cukup? Memanglah tiga lagi adik Jay masih belajar. Tapi serius tak logik kalau kata tak cukup sampai kena meminta orang lain.

“Mama tahu Hani menantu yang baik. Sebab tu mama cuma minta kat Hani. Hani akan tolong mama, kan? Mama harapkan Hani aje.” Hilang terus panggilan ‘kau - aku’. Cara Rozilah cakap pun bukan main bersopan lagi. Tak macam biasa. Nak minta duit orang, kenalah cakap baik-baik.

Walau teragak-agak, Hani mengangguk.

“Terima kasih, Hani.” Rozilah menggenggam tangan Hani. “Ya ALLAH... mama syukur sangat ada menantu sebaik Hani. Okeylah, mama nak bersiap. Beg pun tak kemas lagi. Bising nanti papa tu.”

Sekali lagi Hani hanya mengangguk. Terkedu. Tak tahu nak cakap apa. Dan tadi dia bagaikan sedang berdepan dengan orang lain. Bukan Rozilah.

Rozilah meninggalkan Hani. Sebaik saja membelakangkan Hani, dia tersenyum sinis. Gembira kerana berjaya memperbodohkan Hani.

Namun tanpa Hani atau Rozilah sedar, Jay yang menyorok di sebalik dinding luar dapur mendengar semua perbualan itu. Nampaknya, Rozilah sudah melaksanakan misi. Tapi tak sangka pula mamanya meminta RM1000 daripada Hani. Pergh!


-*-*-*-*-*-


Beberapa hari berlalu...

PULANG dari pejabat, Hani singgah di kedai runcit. Terfikir hendak beli barang dapur sikit. Alang-alang sudah lalu, singgahlah sekejap. Sementara dia masih ingat apa yang perlu dibeli. Takut kalau dah sampai rumah, dia malas nak keluar semula.

“Dari mana, Hani?”

Hani menoleh ke arah datangnya suara itu. Senyuman dilemparkan. “Baru balik kerja, Abang Yob.”

“Sorang aje ke?”

Soalan klise. Bukan tak nampak tapi saja nak tanya juga. Hani sekadar mengangguk.

“Kenapa tak bawa suami sekali? Kenal-kenalkanlah dengan orang kampung. Ada sekali dia datang kedai ni. Lepas tu, sampai sekarang tak pernah nampak. Dia bertapa kat rumah ke?”

Soalan itu biasa-biasa saja. Tetapi apabila lalu di telinga Hani, terasa pedih.

“Dia tak kerja ke, Hani?”

Hani menggeleng. “Dia pelukis.”

“Kalau nak kerja dengan Abang Yob, bagi tahulah. Abang Yob memang nak cari pembantu.” Yob kembali ke kaunter apabila ada yang mahu membuat pembayaran.

Hani diam tak membalas. Dah duduk kampung kalau tak bergaul, tentulah satu kampung pelik. Kalau perempuan lainlah cerita. Ni lelaki! Mestilah orang tertanya-tanya. Nak salahkan orang kampung pun tak boleh juga. Bukan dia orang saja-saja nak jaga tepi kain. Sekadar nak mengambil berat.

Ketika Hani berpaling untuk mencari barang yang mahu dibeli, pandangannya tertancap ke arah sesusuk tubuh yang sedang merenungnya. Renungan yang serius dan tajam.

“Umar.” Walau terkejut, Hani tetap menyapa. Rasa-rasanya, Umar dengar perbualannya dengan Yob tadi. Apa agaknya yang Umar fikirkan tentang dia dan Jay?

Umar tak berganjak. Masih diam merenung Hani. Betul kata Yob tadi. Jay asyik memerap saja di rumah. Bertapa agaknya. Tengoklah... Hani beli barang dapur pun sorang-sorang. Nak tengok Hani berdua dengan Jay, langsung tak pernah. Dia dapat rasakan yang hubungan Hani dengan Jay ada yang tak kena.

Renungan Umar semakin semacam. Hani rasa tak selesa. Tak mahu Umar syak sesuatu, dia menghamburkan ketawa. “Lama kita tak jumpa. Hmm... nak beli apa? Mak Cah tak ikut sekali?”

“Tak payah sibuk tanya pasal aku. Sibukkan hal kau tu dulu. Instinct aku sekarang...” Umar membiarkan ayatnya tergantung.

Hani tertelan liur. Tapi dia cuba berlagak seperti biasa. “Alhamdulillah... kau masih nak tegur aku berbual-bual macam dulu. Kau dah tak marah lagi, kan?” Dia melencongkan topik perbualan.

Umar tak menjawab soalan Hani. Dia beredar ke arah lain sambil sempat melemparkan senyuman sinis.

Terlepas nafas lemah Hani.


-*-*-*-*-*-


“ASSALAMUALAIKUM...” Hani memberi salam sambil menjinjit beg plastik yang berisi barang-barang yang dibeli di kedai runcit tadi.

Tiada sesiapa yang menjawab. Malah, di ruang tamu tiada kelibat Jay. Memandangkan sudah hampir pukul 7.00 malam, dia mahu menutup semua tingkap terlebih dahulu. Beg-beg plastik yang dijinjit diletakkan di atas meja sebelum menutup tingkap. Suis lampu ditekan. Barulah terang sikit.

Tiba-tiba pandangan matanya terpaku ke satu arah. Tempat melukis Jay. Dan rasanya lukisan Jay dibiarkan terdedah. Biasanya, kanvas lukisan Jay ditutup rapi bagaikan takut dicuri. Tergerak hatinya nak melihat bagaimana rupa lukisan Jay. Dilihat sekeliling. Jay tak kelihatan di mana-mana. Mungkin dalam bilik.

Sambil terjingkit-jingkit dia menghampiri lukisan di atas easel itu dengan berhati-hati. Sebaik saja berdiri di hadapan lukisan itu, dia merenung penuh minat. Lukisan pokok-pokok dan sebuah bangsal. Rasa-rasanya Jay mahu melukis dusun di belakang rumah. Ni mesti inspirasi selepas ke dusun kelmarin.

“Woi!”

Hani terdongak. Terkejut.

Jay yang terbeliak memandang Hani, melangkah laju menghampiri. “Siapa bagi izin kau tengok lukisan aku?”

Hani memandang Jay. Rasa nak menyampah. Macamlah orang nak curi lukisan dia.

“Lain kali jangan nak memandai-mandai tengok!” Marah sungguh Jay. Pantang betul dia kalau ada orang nak menyibuk dengan barang dia. “Tepilah!”

Hani berganjak ke tepi sedikit. Diperhatikan Jay yang bertuala melilit di leher dengan rambut basah mengemas peralatan melukis dan menutup lukisannya. Baru siap mandilah tu.

“Tengok pun tak boleh ke?” Hani bertanya berani.

“Tak payah sibuklah. Bukan ada kena-mengena dengan kau pun yang kau nak menyibuk sangat ni. Kau tak layak nak tengok.”

“Kalau lukisan tu lawa sangat tak apalah nak sorok-sorok tak bagi orang tengok.” Hani menekan perkataan ‘lawa’ agak keras sikit. “Ni macam lukisan budak tadika. Ada ke orang nak beli?” Selamba dia mempersendakan hasil kerja Jay. Biar Jay sedar sikit. Jangan perasan bagus sampai cakap aku tak layak tengok lukisan dia.

“Kau tu buta seni! Berapa kali aku nak cakap?” Berdesing telinga Jay mendengar kutukan Hani. Kurang ajar betul!

“Kalau tak cantik, tak menarik, tak ada sesuatu yang istimewa... baik lukisan tu buat bungkus nasi lemak.”

Bertambah berdesing telinga Jay. Diketap gigi menahan sakit hati. Hani kutuk aku kaw kaw! “Hei... kalau kau bagus sangat, kau lukislah. Aku nak tengok.”

“Saya ni tak reti melukis. Walaupun tak reti, saya masih boleh menilai. Masih boleh kenal lukisan tu cantik atau tak. Kalau Abang Jay rasa lukisan Abang Jay semua cantik, juallah. Kenapa sorok-sorok tak bagi orang tengok? Patutnya rasa bangga sebab pandai melukis. Kalau cantik, saya tak rasa segan nak bagi tahu orang lain pasal lukisan Abang Jay.”

Terdiam Jay. Terkedu dia. Kata-kata Hani terlalu bernas. Hani tak macam mamanya. Hani mengkritik tapi dalam masa yang sama memotivasikan. Pelik, kan? Tapi itulah yang dia rasa ketika ini.

“Lukisan bukan sekadar lukisan, Abang Jay. Zaman sekarang dah ramai yang boleh melukis. Abang Jay kena fikir dan kaji. Kena belajar lagi... apa yang membezakan lukisan Abang Jay dengan orang lain. Apa ‘signature’ Abang Jay? Bila orang tengok aje lukisan Abang Jay, dah tahu yang lukisan tu lukisan Jay Zamir.”

Kenapa kata-kata Hani macam semuanya masuk dek akal? Jay nak membangkang, tapi tak ada hujah yang nak keluar dari mulutnya. Benci betullah!

Senyuman Hani menguntum. Dia tahu Jay sudah kalah mati ketika ini. “Anyway, sorry tadi tengok lukisan Abang Jay. Saja nak tengok. Tak ada rasa nak curi pun.” Sempat lagi dia menyindir.

“Pergilah sana! Menyibuk aje.” Jay tolak bahu Hani menghalau. Mukanya cemberut. Geram sebab kena ‘sound’ dengan Hani.

Hani mengangkat bahu. Dia kata aku menyibuk kat sini? Haih... entahlah. Diambil beg-beg plastik di atas meja tadi mahu membawanya ke dapur. Baru beberapa langkah dia tercegat. Teringatkan sesuatu. Dia berpaling ke arah Jay semula.

“Oh ya! Abang Yob tauke kedai runcit kampung kita ni kata dia nak pakai pembantu. Abang Jay nak?”

Terus Jay mencemik. Tunjuk muka geli.

“Kalau Abang Jay kerja dengan Abang Yob, boleh kenal dengan ramai orang kampung.” Bersemangat Hani memberitahu.

“Apa barang kerja kedai runcit? Tolonglah. Setakat kerja nak kenal dengan orang kampung, baik tak payah! Aku tak hadap nak kenal orang sini,” cemik Jay meluat.

Mati senyuman Hani. Angkuhnya Jay ni! “Rezeki susah nak lekat kat orang sombong, Abang Jay. Walaupun orang kampung, tapi kalau dia orang kenal Abang Jay, Abang Jay pulak baik peramah... tak mustahil dia oranglah yang borong lukisan-lukisan Abang Jay.”

Jay bagaikan tertelan lidah sendiri. Macam kena tampar pula perasaannya ketika ini.

“Sebab tu Nabi s.a.w kata, kalau nak murah rezeki, kena eratkan silaturahim. Sekarang, baru saya faham kenapa tak laku-laku lukisan yang Abang Jay lukis. So...” Hani mengangkat sebelah kening. “Hidup ni jangan menongkat langit.”

Jay memandang Hani yang berlalu ke dapur dengan perasaan berbaur. Pedih, pedas, pahit... semua ada.

Previous: BAB 17
Next: BAB 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.