Register   |      Log in   |   Terlupa password
Home Novel Komedi/Romantik Komedi TUNANG TAK GUNA
TUNANG TAK GUNA
muRni aQiLa
10/5/2016 20:48:31
15,906
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 7

DI TANGGA rumah, Ezzat duduk termenung dengan wajah suram. Kegelapan malam direnung sepertimana gelap fikirannya ketika ini. Gelap dan kosong. Terlepas keluhannya. Entah dah berapa kali dia asyik mengeluh. Mata dipejamkan. Kalaulah dia pejamkan mata dan bila buka semula semua masalah hilang, senang cerita!

“Abang Ezzat...”

Ezzat membuka mata.

“Ni macam mana ni? Betul tak ni?” Redza membawa buku latihannya, lalu duduk di sebelah Ezzat.

Buku latihan itu Ezzat tengok dengan kerlingan. Bahasa Inggeris. Dia melepaskan nafas perlahan. Dia sendiri pun kantoi belajar mata pelajaran tu dulu. Namun, dicapai jua buku tersebut dari tangan Redza.

“Kenapa tak tanya Ammar ke, Zamri ke...?”

“Abang Ammar dengan Abang Zamri sibuk buat kerja sekolah dia orang.”

Ezzat tak boleh nak mengelak lagi dah.

“Betul ke orang buat ni, bang?”

Ezzat pura-pura tekun membaca karangan Redza itu. Acah-acah faham. Padahal, berpinar matanya.

“Ejaan, grammar... ada yang salah tak? Ada yang nak kena ubah tak? Nak kena tambah ke?” soal Redza bertalu-talu.

“Hmm... okeylah ni.” Pada pandangan Ezzat, tak ada yang salah pun. Sejujurnya, bahasa Inggeris Redza lebih bagus daripadanya. Huhuhuu...

Redza menyengih. “Okey! Dah siap semua kerja sekolah. Orang nak tengok TV pulak.” Buku dari tangan Ezzat diambil semula.

“Redza...” panggil Ezzat sayu.

Redza memandang abangnya itu.

“Belajar rajin-rajin eh? Belajar sampai pandai. Jangan jadi macam abang. Abang belajar sampai SPM je. Kerja kilang pulak tu!”

“Mestilah! Orang dah besar nanti nak jadi pensyarah.”

Senyuman Ezzat meleret. Dia menggosok-gosok kepala Redza penuh sayang. Selama ini, dialah yang setiap hari memastikan adik-adiknya buat kerja sekolah, yang memantau setiap kali keputusan peperiksaan keluar.

Senyumannya mati apabila sebuah motosikal memasuki kawasan pekarangan rumah mereka. Husin dah balik.

“Pergilah tengok TV,” arahnya pada Redza.

Bukan main seronok lagi Redza. Berlari-lari dia ke ruang tamu. Dapat menonton televisyen bagaikan hadiah yang sangat bermakna baginya setiap kali selepas dia sudah menyiapkan semua kerja sekolah.

Ezzat memerhatikan Husin yang mematikan enjin motosikal. Husin langsung tak memandangnya. Riaknya bagaikan tiada perasaan.

Husin bersahaja mendaki anak tangga.

“Lambat balik, bah?” sapa Ezzat ketika Husin lalu di sebelahnya.

Husin langsung tak menyahut. Dia berlalu ke ruang tamu dan duduk di kusyen.

Perasaan Ezzat terasa sebal. Dia menahan gelora yang mula membadai hati. Kedua-dua tangannya digenggam. Sejak arwah emak dan adik perempuannya meninggal, mereka makin tak mesra. Dan sejak kebelakangan ini, hubungan mereka makin teruk. Ada saja yang nak dibertekakkan.

Mengenangkan majlisnya tinggal lagi dua hari, dia cuba bertenang. Tak naklah dia bermasam muka dengan Husin ketika hari yang bermakna tu nanti. Tapi kalau dah macam ni, tawar hatinya. Jiwanya macam dah tak ada sekarang ni.

Dia termenung lagi. Termenung sambil berfikir dengan keras. Fikirannya buntu. Tak nampak jalan mana yang harus dituju. Kusut! Dia menggosok-gosok rambut dengan perasaan rimas. Lebih baik aku masuk tidur. Sekurang-kurangnya, tak payah fikir pasal masalah lagi.

Lalu, dia bingkas bangun. Dia melangkah ke arah bilik tidurnya.

“Esok abah pergi beli.”

Ezzat kaku berdiri apabila mendengar suara Husin. Dia berpaling. Dilihat Husin sedang menonton televisyen bersama Redza. Langsung tak memandang wajahnya.

“Tapi bagi abah duit,” sambung Husin lagi.

Dahi Ezzat berkerut. Dadanya mula bergelodak amarah. “Abah jangan buat orang hilang sabar, bah.” Dia masih cuba mengawal perasaan.

“Dah kau yang nak kahwin!” Husin mengerling anak sulungnya itu. Wajahnya serius.

Ezzat menggenggam tangan erat-erat. Seboleh mungkin dia cuba bersabar. Dipandang Redza sekilas sebelum berpaling menghadap Husin. “Tak payah belilah!” ujarnya dengan nada berbaur geram.

“Suka hati kaulah, Ezzat. Nanti masa majlis, pandai-pandai kaulah!” dengus Husin.

Makin panas hati Ezzat. Laju saja mulutnya menjawab. “Memang, bah! Memang! Anak abah yang nak kahwin ni yang kena uruskan sendiri semuanya!” Dilepaskan marahnya tanpa berlapik lagi. “Ada abah pun macam tak ada!”

“Kalau dulu kau bagi abah kahwin lagi, senang cerita. Boleh mak baru kau tu uruskan apa yang patut.” Husin mengungkit. Ada nada rungutan pada suaranya.

Redza yang tadi berbaring di atas lantai kelihatan khusyuk menonton televisyen, sudah duduk bersila memandang Husin dan Ezzat bertekak.

“Abah nak kahwin lagi?” Senyuman sinis Ezzat tersungging.

Husin merenung tajam muka Ezzat. “Anak tak guna!”

Semerta panas menggelegak darah Ezzat. “Kalau orang ni anak tak guna, abah tu abah apa?” Langsing suaranya. Sekali lagi dia memandang Redza. Tak jadi dia nak menyambung kata.

Redza menyaksikan dengan riak wajah kosong.

“Pergi masuk tidur, Redza! Pergi!” arah Ezzat tegas.

“Kau patutnya hormat aku, Ezzat. Aku ni abah kau! Kau sedar tak?”

Redza yang nak berdiri, terduduk semula mendengar tengkingan Husin.

“Orang tahu! Bukan orang yang tak bagi abah kahwin. Tapi anak-anak abah yang lain yang tak nak emak tiri.”

“Sikit-sikit emak tiri! Sikit-sikit emak tiri! Dalam dunia ni, tak ada emak tiri yang baik ke? Hah?! Kau yang hasut adik-adik kau tak bagi aku kahwin.”

“Orang tak pernah hasut, bah!” Makin tinggi suara Ezzat. Kecewa dia dengan tuduhan Husin itu.

“Ah, kau... ada je kau nak menjawab.” Husin tak percaya. Dia yakin Ezzat yang meracuni fikiran Zamri, Ammar dan Redza. “Aku nak kahwin sebab nak bagi senang adik-adik kau. Biar ada orang yang uruskan rumah ni. Cubalah faham. Fikirlah pakai otak!”

“Sebab tulah... orang yang nak kahwin! Nanti isteri orang yang uruskan rumah ni. Jaga adik-adik, jaga abah...”

“Kalau aku yang kahwin apa masalahnya? Mak baru kau tu nanti tahulah nak uruskan semuanya.” Husin masih mahu mengungkit.

“Dah adik-adik tak nak mak tiri. Abah faham tak? Kalau adik-adik tak setuju, orang pun tak setuju!” Ezzat tetap dengan pendiriannya.

“Apasal? Kau nak kata emak tiri tu jahat. Habis, perempuan yang kau nak kahwin tu bagus sangat? Perempuan macam tu yang kau nak kahwin, Ezzat? Yang macam tu kau harap nak uruskan rumah ni? Perempuan yang...”

“Diamlah!” Sekuat-kuat suara Ezzat menengking. Seakan-akan bergegar rumah itu. Dadanya berombak diamuk perasaan marah. Hilang habis kesabarannya.

Zamri dan Ammar yang tadi sedang belajar di dalam bilik, keluar ke ruang tamu. Masing-masing terkaku.

Ezzat mencapai kunci motosikal dan terus berlari keluar. Deruman motosikal kedengaran kuat membelah kepekatan malam.

Husin melepaskan nafas panjang. Mukanya keras dengan riak bengis.

Redza bingkas bangun menuju ke bilik. Berdasarkan air mukanya, kelihatan dia sedang kecewa menahan rasa.

Ammar dan Zamri saling berpandangan. Masing-masing turut terbias reaksi kesal. Semua perbualan Ezzat dengan Husin mereka dengar dari dalam bilik.


Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.