SEPANJANG perjalanan pulang Shila bermenung.
Terfikir-fikir apa yang Ezzat cakapkan tadi. Ezzat tak pernah begini. Memang
Ezzat baik tapi... Lepas Ezzat suruh dia ubah perangai, Ezzat terus serius
semacam! Bawa motosikal pun laju bukan main!
Mungkin Abang Ezzat memang nak aku
berubah. Tak nak tengok aku kalut menggelabah dengan melatah-latah yang
bukan-bukan. Tak apa... demi Abang Ezzat, aku akan berubah! Aku akan cuba buang
sikap buruk aku tu. Demi Abang Ezzat, aku akan buat apa saja!
“Shila, dah sampai.”
Shila tersentak. “Hah?!” Barulah dia sedar
Ezzat sudah berhenti di hadapan rumahnya. Kelam-kabut dia turun dari motosikal
tanpa berfikir apa-apa.
Pak!
“Ototototo... kemunyit kau bongok kunyit
kotototo.” Shila tergelincir ketika dia memijak pemijak kaki. Nyaris-nyaris dia
nak jatuh. Mujur sempat dia memaut lengan Ezzat.
“Apa ni?” Ezzat berdecit.
“Licin...” Shila beralasan.
“Cuba jangan kalut. Kan abang dah cakap.
Abang tak nak tengok Shila menggelabah lagi. Tak nak melatah lagi. Macam nenek!
Abang nak Shila buang perangai tu semua.” Nada suara Ezzat tegas.
Shila diam kala melihat wajah serius
Ezzat. Topi keledar dibuka, lalu menyerahkannya pada lelaki itu.
“Asyik menggelabah je. Macam manalah...”
Ezzat masih merungut.
“Sorry...” Shila menggigit bibir.
“Dah, pergi masuk.” Ezzat sudah bersedia
mahu pulang ke rumahnya.
“Abang cuti bila?”
“Tak cuti.”
Shila mengangguk faham. Maknanya, Ezzat
bekerja sebelum majlis. Sesudah majlis pun akan bekerja seperti biasa. Dia je
yang beria-ia ambil cuti awal. Nak buat persiapan kononnya. Minggu depan pun
dia ambil cuti tiga hari. Yalah... pengantin baru takkan nak kerja jugak.
“Hati-hati balik, Abang Ezzat.”
Ezzat menunggang motosikalnya tanpa
membalas kata-kata Shila.
Shila menghantar Ezzat pulang dengan
pandangan sehingga bayang tunangnya itu hilang. Seketika barulah dia mengatur
langkah menuju ke rumah. Sebaik saja melangkah masuk, terkejut dia melihat
siapa yang duduk di ruang tamu. Betul-betul di sofa tepi pintu. Dia terkejut
sampai tercampak Bechkam yang sedang didukungnya.
“Oii, rumah aku beruang! Mak cik ke laut
kau beruang!” Dia terlatah-latah.
EZZAT memberhentikan motosikalnya tanpa mematikan
enjin. Motosikal Husin tiada di rumah. Keluhannya panjang. “Entah ke manalah
abah pergi.”
Akalnya ligat berfikir. Tak ada mood
nak masuk ke dalam rumah. Ketika dia mahu berlalu pergi, namanya dilaung.
“Abang Ezzat!”
Ezzat berpaling. Redza dilihat sedang
berdiri di muka pintu.
“Abang Ezzat nak pergi mana?”
“Cari abah.”
“Nak ikut!” Redza sudah turun dari tangga
dengan wajah teruja.
“Tak payahlah!”
“Alah... nak ikut.” Muka Redza beriak
memujuk.
Ezzat tak sampai hati pula melihat adik
bongsunya itu. Dia memberi isyarat supaya Redza naik ke motosikalnya.
Kesukaan Redza menerima pelawaan Ezzat.
Budak baru umur 11 tahun mudah terhibur. Terus dia menyarung selipar dan
membonceng di belakang abangnya. Topi keledar yang dihulur dipakai.
Ezzat menunggang sehinggalah tiba di
Simpang Renggam. Tak jauh, kira-kira 20 minit je. Dia berpusing, berpusing dan
berpusing di sekitar bandar itu tanpa arah tujuan. Husin langsung tak dijumpai.
“KAK ANA kata balik sini hari Jumaat.” Shila
membantu Rozana menyiapkan gubahan hantaran.
“Aku dapat cuti. Aku baliklah. Kau pun
suka aku balik awal kan? Eleh...” Bersungguh-sungguh Rozana berusaha melipat
sejadah itu supaya menjadi bentuk kipas untuk diletakkan di atas dulang
hantaran.
Shila ketawa. “Memanglah suka. Tapi
terkejut kita tengok Kak Ana tiba-tiba tercongok kat kerusi tu tadi. Abang Bad
tak dapat cuti pulak?”
“Tak. Sebab tulah aku balik sini dulu
dengan anak aku tu. Hari Jumaat pagi nanti Abang Bad datang sini.”
Shila menjengah kepala ke arah dapur.
Kedengaran emaknya sedang bergurau dengan anak Rozana yang baru berusia dua
tahun itu. Ayahnya pun ada juga. Seronok mereka berdua melayan cucu nan seorang
itu.
“Kau balik kerja tadi dengan Ezzat ke?”
Shila memandang Rozana. Dia mengangguk.
Rozana menunjal kepala adiknya itu. “Orang
dah cakap jangan jumpa, dia jumpa jugak!” Dia kegeraman.
“Apa salahnya? Bukan buat apa pun.” Shila
tak faham. Berkerut-kerut dahinya.
“Orang yang nak kahwin ni darah manis.
Tahu? Bahaya!”
“Apa yang bahaya?”
“Kalau orang tua-tua kata tak elok, tak
eloklah! Banyak bunyilah kau ni.” Rozana menyambung melipat sejadah.
Rozana tua empat tahun daripada Shila,
tapi sifatnya sangat matang. Semasa Rozana seusia Shila pun, dia sudah matang.
Perangai pun jauh berbeza. Mungkin kerana Rozana anak sulung, Shila pula anak
bongsu. Rozana langsung tak kalut menggelabah macam Shila. Melatah apatah lagi.
Masalahnya, emak mereka pun tak melatah. Si Shila yang melebih-lebih macam dah
tua ganyut!
“Kau keluar dengan Ezzat lagi, siap kau!”
Rozana memberi amaran pula. “Cubalah bersabar sikit.”
“Sabar apanya, kak oii?” Geram Shila
dibuatnya. Dari tadi Rozana cakap tak jelas-jelas. “Kak Ana ni cakap asyik
tergantung je! Jangan jumpalah, darah manislah, bahayalah, bersabarlah. Eii...
cakaplah betul-betul! Kita tak faham tahu tak?”
Sejadah yang bagaikan hampir luncai
dikerjakan Rozana, diletak ke tepi. Dah dekat sejam buat tak siap-siap. “Kau
dengar sini, Shila. Cakap dengan kau ni payah sikit. Kena cakap terang-terang.”
Shila merenung Rozana penuh konsentrasi.
“Orang tua-tua kata, tak elok jumpa bila
dah nak kahwin ni. Makin dekat dengan majlis, makin tak boleh jumpa. Bahaya.
Tahu bahaya?”
“Kita jumpa dia hari-hari kat kilang,
kak.”
“Hisyhh... kau ni.” Rozana menggaru
kepala. “Kat kilang tu biar lantaklah. Dah kau kerja sama-sama dengan dia siapa
suruh? Yang aku cakap ni pasal dating. Faham? Dating! Tak boleh dating
kalau dah nak kahwin.”
“Kenapa tak boleh?” Shila ragu-ragu.
“Aku tak naklah sebut. Kang kalau mulut
aku masin, lain jadinya nanti. Kalau aku kata tak elok, tak eloklah. Cubalah
kau ikut je cakap aku ni.” Penat dah Rozana nak menerangkan. Shila ni jenis tak
faham bahasa kiasan.
“Nanti hilang seri eh?” teka Shila
berlagak pandai. Dia ketawa konon-konon tekaannya tepat 100 peratus. “Nanti dah
mekap, mestilah berseri-seri.”
“Suka hati kaulah!” Rozana malas nak
melayan. “Kau ambil jarum dengan benang, Shila. Minta kat mak. Susah betul nak
bentukkan sejadah ni.”
“Alah... lipat empat segi je, Kak Ana. Apa
susah sangat?”
“Dah nama pun barang hantaran. Aku kenalah
buat beria sikit. Kenalah buat bentuk angsa ke, kapal selam ke, rumah mak kau
ni ke... Kalau lipat empat segi, tak payahlah letak atas dulang. Letak dalam
robok je.”
Terkekeh-kekeh Shila ketawa.