Fetri
rasa maruahnya diinjak-injak apabila menerima sistem pesanan ringkas di dalam
telefon bimbitnya yang dihantar Iedil, baru sekejap tadi. Meludah lelaki itu
dek tidak tahan menanggung perasaan marah yang meluap-luap. Otaknya terus
terfikir akan Tengku Alauddin dan berprasangka buruk-buruk terhadap bapa
tirinya itu. Siapa lagi yang akan bercerita tentang insiden di Genting itu
kalau bukan orang tua itu sendiri? Fetri meludah untuk kesekian kali. Ah,
hatinya panas!
“Hoi,
kau fikir rumah aku ni tempat pembuangan sampah? Meludah sana sini!” jerkah
Mael naik meradang. Suka-suka hati saja kawannya itu membuang kahak merata-rata
di dalam rumahnya. Menjijikkan betul.
“Kau
jangan banyak bisinglah, Mael! Mood
aku tengah tak baik ni!” tempelak Fetri semula. Mael terpaksa menahan sabar, ke
dapur dia sekejap untuk mengambil kain buruk. Permukaan lantai yang dikotori
dengan ludahan Fetri, dilapnya sampai bersih. Kalau diturutkan anginnya yang
juga baran itu, silap-silap bertumbuk pula mereka berdua di ruang tamu
tersebut.
“Siapa
yang buat kau panas hati sangat ni, bro?” Mael bertanya selepas kerja
mengelapnya selesai. Sudah semalaman Fetri menumpang rumahnya, mengacau
aktiviti hariannya pun iya juga. Mael antara ikhlas dengan tidak saja menerima
Fetri sebagai tetamu tidak diundangnya itu.
“Si mangkuk
Iedil tulah, siapa lagi? Boleh pulak dia sms aku, nasihat aku supaya berubah
dan jangan susahkan daddy dengan mummy aku. Kurang ajar! Dia tu siapa?”
bentak Fetri melepaskan amarah.
“Dah
tentu-tentu mangkuk tu abang kau. Mahu tanya lagi?” Mael tersengih sinis.
Sengaja hendak membakar perasaan Fetri yang semakin menjadi-jadi bengangnya.
“Kau
jangan bikin aku panas, bro! Tunggang terbalik rumah ni aku buat!” ugut Fetri
tetapi disambut kekehan menyakitkan hati di pihak Mael. Mael mengangkat
kedua-dua belah tangan ke atas, konon-konon mengalah apabila Fetri sudah
menggenggam penumbuk.
“Relaxlah bro, tak gentlelah macam ni. Kalau kau bengkak hati sangat dengan abang kau
tu...”
“Dia
bukan abang aku! Dia abang tiri aku ajelah!” potong Fetri sebelum Mael habis
cakap. Menggelegak gegendang telinganya mendengar yang Iedil itu abangnya.
“Okey-okey!
Kalau kau bengkak hati sangat dengan abang tiri kau tu, kenapa tak kau ajar dia
sekali? Barulah dia tahu langit tinggi rendah. Dari kau macam orang tak ada
telur duduk aje kat sini, buat apa?” cabar Mael menyemarakkan lagi dendam dalam
jiwa. Fetri menhembuskan nafas, kasar.
“Kau ada
idea?” Fetri sudah termakan umpan. Mael berfikir barang sejenak. Lelaki itu
memetik jari kemudiannya.
“Abang tiri
kau tu kan ada awek cun, apalagi bro? Kau potonglah jalan dia! Kasi dia merana
habis-habisan! Silap-silap terjun gaung, gua cakap lu!” cadang Mael spontan
membuatkan riak keruh di tampang Fetri beransur-ansur bertukar menjadi
berseri-seri. Ya, mereka tahu Iedil mempunyai kekasih yang cantik persis
bidadari. Manakan mereka berdua tidak kenal apabila melihat pasangan merpati
sejoli itu kerap bersama di mana-mana kelab-kelab malam elit yang turut mereka
hadiri.
“Pandang
ke Marsha Gordon tu kat aku?” sedikit kurang berkeyakinan Fetri apabila cuba
membandingkan dirinya dengan Iedil. Ah, walau dia terpaksa menelan pahit
hakikat yang Iedil jauh lebih tampan darinya!
“Itu kau
pandai-pandailah cari jalannya! Takkan itu pun aku kena tolong fikirkan kut?”
Mael lepas tangan. Lagipun dia tidak mahu terlibat dalam permusuhan dua
adik-beradik itu yang ada saja sengketanya sejak dulu lagi. Fetri mencapai
kunci kereta di atas meja. Dia mahu lekas bertindak. Sebusuk-busuk idea Mael,
tetapi difikir-fikirkan kembali, ada bagusnya.
“Eh, kau
nak ke mana tu?” tanya Mael yang melihat Fetri tiba-tiba saja menonong keluar.
“Aku nak
buat Marsha jatuh cinta dengan aku dan tinggalkan mangkuk tu!”
“Good luck then!”
Fetri
menyahut cabaran itu! Ya, dia akan memastikan Marsha Gordon meninggalkan Iedil
dan memilih dirinya. Meski di dalam kepalanya sekarang ini, dia tidak punya
sebarang rancangan terbaik hendak memikat si gadis itu. Barangkali, dia boleh
meminta nasihat dari seseorang yang pakar dalam bab-bab mencairkan keping-keping
hati perempuan cantik di luar sana. Terpacul sepotong nama di benak fikirannya,
serta-merta otot-otot di muka Fetri meregangkan senyuman.
Kelab
malam itu cukup
eksklusif. Tidak sebingit kelab-kelab malam biasa yang lain kerana di dalamnya,
hanya golongan-golongan tertentu saja yang dibenarkan masuk. Mereka-mereka yang
mewarisi kekayaan dunia baik dengan usaha sendiri mahupun turun-temurun dari
keluarga. Dan antara pengunjung tetap yang setia menampakkan muka saban malam
minggu di kelab yang dipanggil Tuxedo
itu, adalah Rafael dan kawan-kawannya.
Rafael
dihormati di situ, bukan saja kerana kedudukannya sebagai anak kepada salah
seorang jutawan negara tetapi kerana kehebatannya menawan hati perawan-perawan
kenamaan yang mencari hiburan dan teman sosial di situ. Rafael, meski tidak
mempunyai paras rupa yang menarik tetapi hanya berbekalkan air liur, mampu
menjerat perasaan mangsa-mangsanya. Dan itulah yang mahu dipelajari oleh Fetri.
Kelibat Rafael dicari-cari.
“Mamat
romeo tu tak datang kelab ke malam ni?” tanya Fetri kepada salah seorang kawannya
yang ada saja muka mereka di kelab malam itu. Sudah menjadi kelaziman bagi
kumpulan anak muda yang berpegang pada cara hidup hedonisme itu untuk mengisi
malam hari mereka dengan keseronokan dunia. Barangkali pada mereka, tunggu saja
waktu tua untuk kembali pada fitrah beragama. Tetapi seperkara yang
masing-masing tidak tahu, ajal dan maut tidak menunggu sesiapa.
“Baru
pukul dua belas lebih, manalah nak nampak batang hidung dia lagi. Pukul satu
nanti, datanglah tu.” Fetri menghembus nafas kasar. Datangnya ke kelab malam
ini semata-mata mahu berjumpa dengan Rafael. Dia tidak punya semangat hendak
menari atau berdampingan dengan gadis-gadis cantik di kelab itu pada malam ini.
Fetri punya tujuan yang satu.
Muzik
yang tadinya tidak sebingit mana, semakin rancak dan kuat dipasang menjelang
jam satu pagi. Rafael dan kawan-kawan baru sampai. Fetri yang hanya meneguk segelas
dua minuman keras sejak tadi, datang mendekati lelaki itu. Mereka saling
berjabat tangan dan berdakapan. Melihat pada tampang Fetri yang mendung, Rafael
menepuk-nepuk bahu lelaki itu.
“Kau ni
dah kenapa, bro? Apasal tak menari? Awek-awek cun ramai tu, weh!” rangsang
Rafael sambil tersenyum penuh makna. Rafael mengangkat tangan kanannya dan
serentak itu juga, tergedik-gedik beberapa orang gadis berpakaian seksi yang
sedang terkinja-kinja di atas lantai dansa, berlari-lari anak menghampiri
Rafael. Empat orang gadis itu sudah menjalar tangan mereka melingkari pinggang
Rafael. Kucupan-kucupan mesra sudah hinggap di pipi lelaki itu. Berbekas wajah
tidak seberapa Rafael itu dengan palitan gincu merah gadis-gadis manis
berkenaan.
“Aku ada
perkara nak bercakap dengan kau ni, Rafael...” luah Fetri tidak menunggu lama.
Dalam masa yang sama, hatinya bengkak dengan rasa cemburu terhadap lelaki itu
yang seperti gula dihurung semut sebaik saja berada di kelab malam tersebut.
Lelaki itu bukanlah setampan mana, tetapi ramai perempuan tergila-gilakannya.
Terkadang, Fetri juga naik hairan. Apakah rahsia lelaki itu?
Rafael
menyuruh kawan-kawannya yang lain untuk menari terlebih dulu sementara dia
mengajak Fetri ke satu sudut istirahat, lalu kedua-duanya duduk di situ. Sebaik
punggung dilabuhkan di atas sofa, Rafael mengunjukkan segelas minuman keras
kepada Fetri. Fetri menyambut lalu meneguknya sekali lalu. Rafael tersenyum
saja melihat riak serabut yang terpampang di wajah kawannya itu.
“Ha, apa
yang aku boleh tolong kau?” Rafael bertanya seraya menjongketkan keningnya.
“Aku
perlukan pertolongan kau, Fael...” Fetri memberi jawapan tetapi tidak
sepenuhnya. Lambat-lambat Fetri menyusun percakapan supaya tidak kedengaran,
memalukan diri sendiri. Yalah, hendak mengurat anak dara orang tetapi boleh
pula bertanya pada orang lain.
“Apa
dia?” soal Rafael pantas. Semakin pelik pula dia melihat kawannya itu seperti
teragak-agak hendak menyudahkan ucapnya. Tidak mungkin Fetri mahu meminjam
wang. Lelaki itu bukannya tidak berduit. Bahkan setaraf kaya-raya dengan
keluarganya.
“Hmm...
kau kenal dengan Marsha, bukan?” tanya Fetri disambut anggukan Rafael. Mana
mungkin dia tidak kenal sama Marsha. Anak kepada Sir Gordon Brown, hartawan Inggeris
yang sudah mendapat kerakyatan tetap di sini dan berkahwin pula dengan Datuk Maria
Abdullah, yang mempunyai firma guaman sendiri yang establish dan cukup disegani di mata pengamal undang-undang.
“Marsha
Gordon, bakal peguam tu?” Rafael bertanya, mahu memastikan yang dia tidak salah
orang. Kali ini, Fetri pula menganggukkan kepala. “Kenapa dengan dia? Kau mahu
pikat Marsha?” tebak Rafael meski dia sendiri masih tertanya-tanya. Bukankah
semua orang sudah sedia maklum yang Marsha sekarang ini sudah mempunyai
kekasih? Dan lelaki bertuah itu pula adalah abang Fetri, Iedil.
“Aku
mahu rampas Marsha dari tangan Iedil!” Fetri tiba-tiba saja berkobar-kobar
semangatnya. Pun begitu, Rafael pula terbahak-bahak ketawa.
“Ha...ha...ha...
Kau ingat Marsha tu senang dijinakkan ke, bro? Kalau dia mudah masuk perangkap,
dari dulu lagi aku yang cuba pikat dia. Marsha tu nampak saja lembut orangnya
tapi dia tegas. Abang kau kira bertuah!”
Fetri
membaling gelas di tangannya yang masih berbaki separuh minuman keras ke dinding.
Berderai gelas kaca itu dek amukan lelaki itu yang semakin sakit hatinya
apabila kawan-kawannya asyik mengatakan Iedil adalah abangnya. Ah, dia cukup
benci akan hakikat itu!
“Wow!
Bawa bertenang, bro. Silap-silap kau kena halau keluar dari kelab ni kalau buat
perangai macam ni. Ini bukan kelab malam sengkek okey!” peringat Rafael, dalam
masa yang sama memberi amaran lisan. Fetri merengus kasar lalu mencapai gelas
baru berisi vodka lalu diteguknya selamba. Dia cuba bersabar meski hatinya mendidih-didih.
“Peduli
apa aku? Sekali lagi kau sebut nama mangkuk tu, tunggang terbalik kelab ini aku
buatkan!” ugut Fetri pula. Rafael menggeleng-gelengkan kepala. Dia sudah maklum
yang kawannya itu memang pantang mendengar nama Iedil disebut-sebut apatah lagi
dipuji-puji. Terkadang Rafael sendiri berasa hairan dengan kebencian yang
dipamerkan lelaki itu. Seolah-olah Iedil dan Fetri punya perhitungan darah yang
perlu diselesaikan pula.
“Okey...okey...
cool down, my friend... kalau betul
kau mahukan Marsha, aku ada caranya tapi...” Rafael memberhentikan ucapnya,
seakan memberi ruang saspens dalam sembang mereka.
“Tapi
apa?” Fetri sudah terpancing minatnya.
“Kau
kena tanggunglah risikonya kelak. Risikonya bukan main-main, antara hidup dan
mati.”
Fetri tiba-tiba
meletus tawa, terkekeh-kekeh hingga merah padam wajahnya. Dia merasakan apa
yang cuba Rafael sampaikan itu tidak lebih dari sebuah lawak jenaka yang
sengaja dibuat-buat. Rafael menayang muka menyampah. Aku serius, boleh pula dia
bergelak sakan. Gumam Rafael dalam hati apabila melihat Fetri terus-terusan
memburaikan tawa dan memperlekeh apa yang diucapkannya tadi.
“Kau tak
payah nak buat muka serius sangatlah, Fael. Boleh pecah perut aku ketawa.
Ha...ha...ha...”
Rafael
tidak teragak-agak untuk bangun hendak meninggalkan Fetri di situ. Lagipun
bukan dia yang mencari lelaki itu. Sebaliknya, Fetri yang beria-ia mahu bertemu
dengannya.
“Eh, kau
nak ke mana pulak tu?”
“Dari
aku melayan kau yang macam orang kena sawan ni, lebih baik aku pergi menari!”
Fetri
pantas memegang pergelangan tangan Rafael dan menahan lelaki itu dari pergi.
Dia bukannya mahu membuat Rafael bengang tetapi sungguh dia tidak dapat menahan
gelihati apabila mendengar kawannya itu bercakap seperti dialog dalam drama
pula. Apalah sangat risiko yang bakal dia berdepan sehingga melibatkan nyawa
dan kematian pula. Dia hanya mahu Marsha menjadi miliknya. Bukannya sampai mahu
membunuh siapa-siapa semata-mata hendak mendapatkan perempuan itu.
“Okeylah,
aku janji tak ketawa lagi. Beritahulah aku sekarang, risiko yang bagaimana
terpaksa aku hadapi untuk dapatkan Marsha? Aku sanggup!” Fetri memasang tekad
dalam dada. Rafael menyeluk kocek dalam jaket kulit yang disarung pada batang
tubuhnya lalu mengeluarkan satu botol kecil berbentuk silinder.
“Harganya
lima ratus ringgit sebotol. Kalau kau nak, aku boleh bagi kau sekarang ni
jugak,”
Fetri
berkerut-kerut dahi dengan tawaran Rafael yang baginya tidak punya kaitan
langsung dengan apa yang dia mahu. Dia mahu Rafael membantunya untuk
mendapatkan Marsha, bukannya mahu berurus niaga di situ.
“Weh, aku
tak mainlah MLM ni semua! Keluarga aku dah kaya raya! Tak perlu ni semua.”
Kali
ini, giliran Rafael pula membalun ketawa. Fetri terpinga-pinga kehairanan. Dan
lama-kelamaan, dia pula yang sakit hati.
“Aku
bukan nak ajak kau masuk MLMlah, bodoh! Kau fikir kau sorang aje hidup mewah?
Ha...ha...ha...”
“Habis,
benda apa yang kau nak jual kat aku tu?” Fetri masih ralit memerhati akan botol
kecil yang mengundang pertanyaan di benaknya.
“Inilah
minyak cenuai...” jawab Rafael bersahaja.
“Minyak
cenuai?” Inilah kali pertama Fetri mendengar istilah itu di dalam hidupnya.
Ralit dia memerhati botol kecil yang di dalamnya seperti ada akar kayu dan mengandungi
cecair pekat berwarna kekuning-kuningan.
“Kalau
kau nak tahu, dengan benda alah inilah aku gunakan untuk tundukkan
perempuan-perempuan di luar sana. Hanya dengan satu calitan, dengan mudahnya sampai
ke bilik tidur aku boleh tawan hati mereka. Ada apa pada rupa paras kacak
semata-mata kalau diri masih teruna, kawan! Ha...ha...ha...” bongkak Rafael
ketawa dan dalam masa yang sama, sempat memerli Fetri yang cepat melenting
apabila dicabar-cabar begitu.
“Kau
jangan nak cakap berapi sangatlah, Fael! Kalau betul kau hebat, kenapa Marsha
pandang kau pun tidak?” persoal Fetri, sarkastik sekali. Rafael naik angin.
“Kau
merayu dengan aku untuk tolong kau, kemudian kau mahu tempelak aku balik! Apa
cerita ni? Kau fikir aku banyak masa sangat nak melayan perangai
kebudak-budakan kau ni? Hendak memikat perempuan pun tak guna otak!”
ZASS!
Fetri
tertelan air liur. Marah betul nampaknya Rafael.
“Sorrylah, bro... tapi boleh percaya ke
minyak err... cenuai kau tu?”
“Sendiri
cuba baru tahulah, bro!”
Lima
keping not seratus ringgit bertukar tangan. Pun begitu, Fetri sebenarnya masih
ragu-ragu, susah hendak percaya. Berbaloikah perlaburannya sebanyak lima ratus
ringgit hanya untuk sebotol kecil yang entah apa isi kandungannya? Dia tidak
sangka pula, semoden-moden Rafael, boleh percaya lagi dengan segala macam
perkara tahyul sedemikian rupa.
<img src="https://fbcdn-sphotos-e-a.akamaihd.net/hphotos-ak-prn2/t1/1609648_352815454861375_137335248_n.jpg">