Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 21


"Macam mana dengan Suraya?"

Hanis mengurut dada. Terkejut tiba-tiba disapa begitu. Dikerling sebentar ke arah lelaki tinggi lampai yang sedang tercegat menunggu sebelum pintu bilik wad ditarik rapat. Fikirnya bos Suraya itu telah pulang. Lagipun, jam sudah melewati angka 12.00 tengah malam.

"Dia okay," 

Satu anggukkan lemah dari lelaki itu diterima.

"Dr. Adrian, kenapa tak balik lagi?" soal Hanis pula.

"I want to stay. Waktu macam ni Suraya perlukan kita semua."

Ucapan dari lelaki itu membuatkan Hanis menyandarkan tubuh ke dinding. Penat. Tetapi dia harus kuat. Andai Suraya melihatnya dalam keadaan lemah, fikiran yang sedang tertekan ketika ini tentu bertambah menekan. Mujurlah ada bos Suraya itu. Dan syukurlah kerana Suraya tergerak untuk menghubungi bosnya itu berbanding dirinya sendiri. Bukanlah Hanis mahu melepas tangan. Tetapi, mengambil masa juga ketika dia harus bersoal jawab dengan ketua pegawai yang mengetuai kursus yang dihadiri itu. Dan, ucapan syukur tidak henti dizahirkan kerana dia mendapat jua keizinan untuk menamatkan kursus itu lebih awal.

Wajah kacak Dr. Adrian, dikerling sebentar. Suraya belum pernah menceritakan perihal bosnya itu sebelum ini. Apa yang dia tahu bos Suraya dipanggil Mr. Lee.

"Erm, Dr. Adrian... You bos yang mana satu ye? Sebab I rasa I tak pernah dengar Yaya sebut nama you."

Dr. Adrian menoleh. Sama-sama menjadikan dinding batu itu tempat bersandar meskipun terdapat barisan sofa berdekatan dengan mereka ketika ini.

"Bos untuk projek baru Suraya." jelas Dr. Adrian mengagumi sikap privasi Suraya itu. Fikirnya kawan karib Suraya tentu tahu siapa dirinya. Rupanya tidak. Boleh jadi apa sahaja perkara yang berlaku di antara mereka berdua disimpan rapi oleh gadis itu.

Hanis, menganggukkan kepala.

"Terima kasih Dr. Adrian sebab tolong Yaya." ucapnya berasa terhutang budi dengan bantuan itu. Malah, senang hatinya mengetahui rakannya itu mempunyai seorang bos yang prihatin dan mengambil berat.

"Panggil saja Adrian." kata Dr. Adrian pula.

Hanis angguk kemudian senyum. Melihat kemunculan Irfan di situ, Hanis menarik lega.

"Macam mana Yaya?" tanya Irfan.

Sebagaimana reaksinya ketika tiba tadi begitulah juga dengan tunangannya itu. Bimbang dan risau dengan keadaan Suraya ketika ini.

"Dia okay. Abah dia masih tidur. Yaya pulak duduk aje tepi abah dia. Rasanya dah terlelap, kot. I tak nak ganggu jadi I keluarlah,"

Baik Irfan mahupun Dr. Adrian, kedua-dua lelaki itu khusyuk mendengar.

"Irfan kenalkan, bos Yaya, Dr. Adrian. Adrian, Irfan, tunang I."

Tiada bicara hanya tangan yang berjabat selepas diperkenalkan.

"Arwah macam mana?" soal Irfan tidak sabar.

"Itulah yang I nak ke Jabatan Forensik ni. Nak uruskan hal ehwal arwah."

"Takpe, Hanis. Biar I aje yang pergi." tegah Dr. Adrian menawarkan diri untuk membantu.

Hanis tersenyum hambar lalu menggeleng.

"Actually, biarlah I saja yang pergi. Bukan apa, I boleh dikira sebagai ahli keluarga terdekat. Lagipun keluarga di kampung tengah tunggu apa saja berita dari I. Apa-apa maklumat yang pihak polis dan hospital mahukan, Inshaallah I boleh berikan." jelas Hanis akan keengganan menerima bantuan yang ikhlas itu.

Dr. Adrian mengangguk tanda mengerti.

"Hanis, I ikut you." celah Irfan pula.

Hanis angguk.

"Erm, Adrian, tolong tengok-tengokkan Yaya, eh. Kalau boleh you tunggu dekat dalam. Bimbang kalau Yaya terjaga nanti I tiada." pesan Hanis sebelum berlalu.

Dr. Adrian angguk lagi. Berbesar hati.

Selepas merpati dua sejoli itu beredar, Dr. Adrian masih menunggu di luar wad. Bukan tidak mahu menjenguk ke dalam, tetapi bimbang andai tidak kena dengan masa. Mungkin Suraya sedang berjaga dan memerlukan privasi ketika ini.

Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk turun ke tingkat bawah menuju ke sebuah kedai serbaneka. Dua kotak sandwich dan dua botol air mineral dibelikan. Mesin kopi layan diri dihampiri dan setelah beberapa ketika, dua hazelnut latte dan dua black coffee tersedia. Usai membayar, dia kembali ke tingkat atas dengan tangan yang penuh.

Ruang legar di hadapan wad kelihatan lengang. Tiada tanda Hanis dan tunangan kembali ke situ. Dr. Adrian, memberanikan diri menjenguk ke dalam. Bilik wad kelas satu yang agak selesa itu diperhati. Bunyi mesin ventilator memecah kesunyian. Encik Ahmad Fauzi sedang terbaring di atas katil. Suraya pula duduk di sisi bapanya. Barangkali memang sedang tidur melihatkan posisi kepalanya yang terkulai di atas katil namun dipangku dengan kedua belah tangan. Perasaan simpati melimpah terhadap gadis itu.

Dr. Adrian terus melangkah masuk. Mendekati sebuah laci berdekatan katil Encik Ahmad Fauzi lantas barangan yang dibeli sebentar tadi diletakkan. Dia menghampiri tubuh yang terbujur di atas katil. Berhenti sejenak untuk melihat keadaan orang tua itu dengan lebih dekat. Ajaib kerana tiada sebarang luka yang kelihatan sama ada di muka ataupun di tangan. Wayar IV ditatap. Perlahan sahaja gerakan titisan air jernih itu jatuh.

Usai memerhati Dr. Adrian menuju pula ke arah satu sudut di mana sebuah sofa dan meja kopi disediakan. Dia duduk bersandar di kerusi itu. Lega. Telefon pintar yang tersimpan dalam poket jeans dikeluarkan. Makluman tentang situasi Suraya dihebahkan kepada Mr. Lee dan, dia sendiri bercadang untuk mengambil cuti kecemasan buat beberapa hari. Email kepada setiausaha jabatan turut dihantar. Alasannya, biarlah dia seorang sahaja yang tahu.

Setelah agak lama dia berjaga di situ, muncul Hanis dan Irfan. Satu beg kertas bersaiz sederhana diletakkan oleh Hanis di atas meja lalu gadis itu berbisik memintanya keluar sebentar untuk berbicara. Sebelum bangun, sempat Dr. Adrian mencapai dua cawan kopi untuk diberikan kepada pasangan itu.

"Terima kasih," ucap Hanis setelah meneguk latte yang sudah suam-suam kuku itu.

"Okay. Untuk urusan arwah mummy, pegawai bertugas memaklumkan mereka tak dapat melakukan dengan kadar segera" tuturnya lagi memulakan bicara.

"Rupa-rupanya ada dua kes kemalangan maut yang perlu diuruskan oleh Jabatan Forensik. Paling awal jam 6.00 pagi esok barulah giliran arwah." sampuk Irfan pula.

Dr. Adrian diam. Sesekali kepalanya dianggukkan.

"Apa kata you balik ajelah Adrian." cadang Hanis. Meskipun dia sendiri penat dan lelah namun keadaan lelaki itu tidak jauh berbeza dari dirinya sendiri. Hanis sedar masing-masing sedang bertahan demi Suraya dan bapanya itu.

"Takpe. I tidur dalam kereta aje."

Sekilas Hanis merenung Dr. Adrian kemudian, berbalas pandang dengan tunangannya.

"I nak bawak Hanis balik rumah parents I. Dekat-dekat sini aje. Kesian I tengok dia. Penat sangat dari awal pagi tadi dengan aktiviti kursus sampai sekarang belum berehat. Bimbang kalau-kalau dia pulak yang jatuh sakit." luah Irfan yang berasal dari Klang itu.

Dr. Adrian mengangguk faham. Menyenangi dalam diam sikap bertanggungjawab dan prihatin pemuda itu terhadap tunangan.

"So, I akan bermalam di rumah parents Irfan tapi, awal pagi nanti I akan datang balik. Kita jumpa lagi, Inshaallah." tutur Hanis diiringi segaris senyuman.

Dr. Adrian angguk lagi sebelum kembali masuk ke dalam wad setelah pasangan itu beredar. Seperti dirinya, Suraya turut sama terkejut tatkala melihat kehadirannya itu di situ. Dr. Adrian terus menghampiri Suraya yang terkebil-kebil memandangnya.

"Lapar ke?"

Sejenak gadis itu diam kemudian, menganggukkan kepala. Baru saja Dr. Adrian berhajat untuk mengambilkan makanan, pergerakannya ditahan.

"Takpe. Saya ambil sendiri." ucap Suraya perlahan.

Namun, Dr. Adrian tidak mengendahkan bantahan itu. Bungkusan yang mengandungi sandwich dan minuman dibawa ke meja kopi. Suraya pula bangun menuju ke bilik air. Tidak lama kemudian gadis itu kembali dan duduk di sofa. Dr. Adrian turut duduk di situ. Sekeping sandwich yang sudah dibuka kotaknya dicapai oleh Suraya. Perlahan dan tanpa sebarang bicara gadis itu mengunyah makanannya.

Dr. Adrian terus merenung dengan selautan simpati sebelum sebotol air mineral dihulurkan. Tidak bersambut. Sebaliknya kopi yang menarik perhatian gadis itu. Di sudut paling hujung sofa itu, dia memerhati sahaja gelagat Suraya yang sedang mengunyah makanan. Jelas gadis itu seakan memaksa dirinya untuk menjamah makanan tersebut.

"Kalau tak selera tak payah makan." saran Dr. Adrian.

Suraya menggeleng.

"Saya kena makan. Kena ada tenaga."

Jam 1.30 pagi dan gadis itu terjaga dari tidur untuk makan demi mendapatkan tenaga? Senak dada Dr. Adrian sebaik mendengarkan pengakuan gadis itu yang jelas tidak tahu apa-apa.

"Suraya, dengar sini. Urusan arwah ibu awak akan dibuat pagi nanti. Sekarang ni kita tak ada apa-apa yang boleh dibuat pun selain dari menunggu. Jadi, rehatlah. Hanis tidur di rumah bakal in-laws. Tapi, dia janji akan datang balik pagi nanti." jelas Dr. Adrian panjang lebar.

Suraya diam mendengar penerangan itu sambil meneruskan kunyahan. Usai makan, gadis itu menyandarkan tubuh ke sofa. Lirikannya tidak lari dari memandang bapa di atas katil.

"Kalau mengantuk lagi, tidurlah. Awak tidur dekat sofa ni." cadang Dr. Adrian.

Tiada tindak balas. Sepi. Dan lama mereka menyepi.

"Kenapa tak balik lagi?" Sambil mengerling sekilas ke arah Dr. Adrian, Suraya bertanya.

"Saya nak teman awak."

Diam.

"Takpe, saya boleh jaga diri sendiri."

"If so, I still want to be here."

"Awak tak tidur?" soal Suraya mengalih topik perbualan.

Giliran Dr. Adrian pula diam.

"Sini. Awak tidurlah." ujar Dr. Adrian lantas bangun menginginkan memberi ruang kepada Suraya untuk berbaring.

"Tak nak. Saya nak tidur dekat abah saya. Kalau awak nak berbaring dekat sini awak baringlah," balas Suraya.

Dr. Adrian bungkam. Mereka sama-sama keras kepala.

"Kalau awak tak mau rehat dekat sini awak boleh keluar. Tak perlu temankan saya," kata Suraya lagi tanpa sebarang perasaan.

Sedikit terasa hatinya namun, Dr. Adrian faham keadaan emosi Suraya ketika ini. Dia kalah. Terpaksa mengalah kerana kehendak gadis itu. Dr. Adrian kembali duduk. Suraya pula bangun.

"Tidurlah. Selagi awak tak tidur selagi tu saya pun tak tidur." tambah Suraya lantas berlalu untuk kembali ke sisi bapanya.

Bertentangan dengan kedudukan Suraya, Dr. Adrian melihat gadis itu memerhati wajah bapa yang dikasihi dengan renungan yang dalam. Dan dia pasti air mata gadis itu sedang berjuraian jatuh ke pipi. Tiada sebarang esakan. Gadis itu meratapi dalam diam. Dr. Adrian enggan mengganggu. Biarlah gadis itu tenggelam dalam momen peribadinya sendirian. Leka dia memerhati hinggakan tak tersedar Suraya pula sedang merenung ke arahnya. Padangan tajam itu difahami dan Dr. Adrian lantas membukakan kasut. Hanya stokin hitam sahaja yang dibiarkan.

Dia berbaring. Oleh kerana tubuh yang lampai itu, kedua belah kaki terjuntai di hujung sofa. Tidak selesa dan bertambah tidak selesa kerana cahaya lampu yang terang-benderang. Namun, demi Suraya dia rela.

Sebelah tangannya diletakkan di atas kepala bagi melindungi dari silau cahaya. Terdengar bunyi pergerakan dan bunyi air dari dalam bilik air sebelum senyap. Tidak lama kemudian, sayup-sayup kedengaran alunan bacaan Al Quran. Dia menoleh. Hati dijentik suatu perasaan asing melihat gadis itu sedang mengalunkan kalimah suci dari langit itu.

Seperti sedar dirinya diperhati, Suraya mengangkat wajah. Satu renungan yang tajam dihantar sebelum gadis itu kembali menatap telefon di tangan. Dr. Adrian kembali meletakkan tangan di kepala. Baris demi baris ayat itu menjadi peneman sehinggalah dirasakan kebas tangan dan hujung jemari dan tiada lagi lantunan bacaan didengari. Dia menjatuhkan tangan lalu mengiringkan tubuh. Segaris senyuman terukir melihatkan gadis itu kembali lena di sisi bapanya.

'Semoga mimpi yang baik-baik saja, Suraya.'

Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.