Home Novel Keluarga RIKA
RIKA
Asmah Hashim
26/11/2017 20:38:17
12,088
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 2
Zaheer mungkin hodoh. Namun dia tidak bodoh, kalau itu yang Nazatul fikirkan. Melepaskan Nazatul seumpama menempah set tali gantung. Nazatul, isterinya. Hakikat, isteri memang mengetahui rahsia suami.

 “Lepaskan kau? Supaya mudah kau lapor pada polis?  Kau ingat aku bodoh ke, Naz?  Mimpilah kau!” Zaheer menolak tubuh Nazatul yang tadinya duduk dengan kuat. Hampir Nazatul tersembam semula di dada katil.
Pastilah jika Nazatul lepas bebas, perempuan itu akan membuat laporan polis. Dia boleh sahaja menamatkan riwayat isterinya, bila-bila masa sahaja. Namun dia punya agenda yang lebih besar daripada itu.

    “Jangan harap!!!” Zaheer menambah lagi. Kedua-dua belah telinga Nazatul diramasnya. Panas nafas Nazatul beradu menentang kulit muka Zaheer. Kemudian ditolaknya Nazatul kasar hingga Nazatul perempuan cengkung itu jatuh terlentang. Sejak akhir-akhir ini dia seakan-akan menikmati kemenangan abadi saat dapat menyakitkan Nazatul. Emosi dan fizikal. Tangannya mula meraba tubuh isterinya. Dia ketawa.

“Kurus… tak selera aku tengok. Nak jual pun tak laku,” ejek Zaheer.

    “Aku tidak pernah reda tubuhku kau sentuh! Aku tak pernah reda. Aku akan tuntut di Padang Mahsyar!!” jerit Nazatul.

    “Kau ingat aku teringin ke? Dah berapa ratus jantan kau layan? Kalau aku nak pegang atau sentuh pun, kau boleh buat apa?” marah Zaheer.

Dia menyepak pinggan tadi hingga bertaburan nasi dan ikan goreng di lantai. Rambut panjang berkerakah isterinya disentak tanpa belas. Nazatul terjerit. Dia tersenyum sumbing. Kepala Nazatul ditunjal-tunjal.

    “Kau tahu tak? Aku tahu kat mana rumah kau tu. Aku tahu Zara ada kat siiiituuuuu.” Zaheer mencebik. Pipinya yang licin digaru. ‘Muka cari makan’ miliknya itu memang dipupuk dan dibelai. Amat berguna sebagai jaring memerangkap anak ikan sunti. 

“Kau jangan usik anak aku!” Nazatul menggila. Rasa mahu diludahnya dengan kahak wajah lelaki gila itu.

“Kalau aku jual dia mahu laku beribu ringgit tu. Kalau tidak kerana kau, dah lama aku jual dia!”

“Kau boleh buat apa aje pada aku, Zaheer. Tapi kau jangan sentuh Zara. Zara anak aku!” Nazatul menjerit dan menendang-nendang. Zaheer mengundur.

“Kerana kau usaha aku gagal! Kau tahu tak, Naz. Aku akan jadi jutawan. Kau dengan rumah kau tu takkan dapat halang aku,” kata Zaheer angkuh.

    “Jutawan? Apa ertinya duit yang kau dapat? Kau buat kerja haram, kau jual anak dara orang, anak kau sendiri pun kau sanggup gadaikan. Isteri sendiri kau lacurkan! Kau memang bajingan! ALLAH laknat perbuatan kau!” Air matanya mengalir laju.

Tanpa Rabeta yang beria-ia hendak menyelamatkan Zara dulu, sudah tentu masa hadapan anaknya telah lama musnah. Lelaki itu langsung tidak ada perasaan belas ehsan terhadap darah dagingnya sendiri. Terkadang dia terfikir, orang tuanya sudah dipukau sewaktu menerima pinangan Zaheer dahulu.

    “Sayang abang… janganlah marah. Isteri yang baik, kena bantu suami dia… baru boleh masuk syurga.” Zaheer menggelegakkan tawa.

    “Kau syaitan Zaheer!!”

Zaheer, tanpa perasaan terus ketawa berdekah-dekah. “Nasib baik kau kurus kering. Dah tak cantik, kalau tidak sampai sekarang kau kena kerja untuk aku.”

“Zara tu anak kau. Darah daging kau…”Nazatul bersuara kesal.

“Dalam bisnes, keluarga, kasih, sayang semuanya tolak tepi. Hanya ada duit. Duit dan duit. Faham! Kau faham tak?” Zaheer kerasukan. Ketawa dan melompat-lompat.

    “Kenapa kau buat aku macam ni? Lepaskanlah aku, Zaheer. Kalau kau ada sedikit perasaan belas kasihan!” rayu Nazatul. Dia tidak akan berputus asa.

    “Kau ni pekak badak, agaknya. Kau akan mati di sini, perlahan-lahan. Dalam makanan kau tu aku letak dadah. Lama-lama kau akan ketagih dan pop! Otak kau akan meletup….”

“Bangsat kau, Zaheer!”

“Tak mahu. Tak mahu cakap begitu pada suami…berdosa tau.” Zaheer berdecit-decit. Kepala digelengnya. Telunjuk digoyang. Pandangan dipicing pada Nazatul tanpa belas kasihan.

“Lepaskan aku!!!”

“Itulah degil sangat, tak nak dengar cakap.  Kau biarkan anak kau lari, lepas itu kau bawa lari perempuan-perempuan aku. Kau jahanamkan bisnes aku. Kau ingat semudah itu aku nak lepaskan kau?” Zaheer mencubit kedua belah pipi Nazatul. Sekuat-kuat hati hingga Nazatul menjerit kesakitan.

“Aku doakan kau mati celik, Zaheer!” sumpah Nazatul.

“Aku doakan kau tak mati-mati supaya kau boleh saksikan macam mana aku hancurkan orang-orang yang kau sayang, satu persatu!” Zaheer mengenggam jemarinya satu persatu sebelum tapak kasut kulitnya menerajang tubuh kurus keding itu. Nazatul jatuh tergolek di atas lantai yang sama kotor dengan hati Zaheer.

***
    Rabeta yang baru keluar dari pejabat, berhenti menapak. Matanya menghala ke arah sebuah kereta yang baru sahaja dipandu masuk ke perkarangan Rumah Ikatan Kasih. Banglo yang terletak di dalam kawasan seluas satu ekar itu telah diubahsuai oleh Nazatul. Maka tertubuhlah RIKA atau Rumah Ikatan Kasih.
Sebuah bangunan dua tingkat juga telah dibina bagi menempatkan asrama dan dewan kuliah. Bangunan pejabat pula berhadapan dengan bangunan dua tingkat itu.  Mudah untuk memantau penghuni yang ada. Lebih-lebih lagi, jumlah penghuni sentiasa bertambah.

Dia berjalan mendekati Proton Iswara hitam yang telahpun diparkir di tempat letak kereta pelawat. Tersenyum, dia menunggu pemilik kereta itu keluar dari perut kereta.
 
    “Apa mimpi datang hari ini, inspektor?” sapa Rabeta usai menjawab salam pemilik kenderaan itu. Wajah lelaki yang tua beberapa tahun daripadanya itu dipandang sekali imbas. Bertubuh sasa, selayaknya sebagai seorang anggota polis.

    “Mimpikan awaklah,” usik Fakhrul, senyuman dilakar buat Rabeta.  Dia mendekati perempuan yang sudah dua tahun dikenalinya. Mereka berjalan seiringan menuju ke pondok wakaf yang terletak tidak berapa jauh dari bangunan pejabat.

    “Amboi! Mimpi saya jadi hantu ke?” Rabeta ketawa senang. Lelaki itu sering menceriakan suasana. Walaupun wajahnya tampak serius tetapi pandai berjenaka.

     “Buruk sangat agaknya orang di sebelah saya ni, sampai dalam mimpi pun jadi hantu?” Fakhrul ketawa.
    Rabeta hanya tersenyum. Mereka duduk di kerusi batu yang tersusun kemas di wakaf yang sering menjadi tempat Rabeta dan penghuni pusat itu berehat dan berbual santai sesama mereka.

    “Inspektor dah jumpa Kak Naz? Ada apa-apa berita tentang dia?” tanya Rabeta. Cerianya mati. Dia mengeluh. Mengenangkan sahabatnya itu membuatkan hatinya risau. Dia memandang wajah Inspektor Fakhrul tidak berkelip. Mengharapkan sangat kehadiran lelaki itu membawa berita gembira.

    “Masih belum apa-apa berita lagi, Eta. Orang-orang saya sedang berusaha mendapatkan maklumat tentang Kak Naz. Kita sama-samalah berdoa, semoga kita dapat bertemu dengannya  semula.”

    “Dah setahun, inspektor. Saya bimbang jika Kak Naz tidak sempat diselamatkan.” Rasa hiba menghentak hatinya. Bagaimanalah keadaan Nazatul sekarang ini?  Entahkah hidup, entahkan tidak.  

    “Eta jangan bimbang. Dapat saja berita tentang Kak Naz, saya akan terus beritahu Eta,” janji  Fakhrul. Wajah kerisauan  Rabeta mengusik hatinya.  Sayang benar Rabeta kepada Nazatul.

    “Harapan saya begitulah, inspektor.”

 Rabeta tidak mahu berputus asa. Dia amat pasti, Nazatul masih berada di Kuala Lumpur.  Kehilangan sahabatnya itu sudah lama dilaporkan kepada pihak polis. Tidak mungkin Zaheer membawa Nazatul keluar dari negara ini. Sahabatnya itu masih berada di dalam negara. Cuma tidak tahu berada di mana.

  Rumah lama mereka sudah tidak berpenghuni, malah sudah dijual kepada orang lain.  Oleh sebab itu pencarian mereka semakin sukar. Tidak mungkin Nazatul disorokkan di rumah pelacuran yang dikendalikan Zaheer dan konco-konconya. 

    “Keadaan di sini bagaimana?  Syarikat Ikatan Kasih pula bagaimana? Ada masalah tak?” tanya Fakhrul ramah.
 Setelah mengambilalih pengurusan pusat itu, Rabeta memberanikan diri menubuhkan syarikat pembekal pekerja tempatan. Bagaimanapun dia hanya menumpu kepada sektor tertentu yang memerlukan pekerja seperti buruh kasar, pembantu rumah, pembantu restoran, tukang masak dan pengawal keselamatan. Jika ada kilang yang memerlukan pekerja pun dia akan berusaha dapatkan.
 
“Alhamdulillah, berkat kerjasama dengan pihak penjara. Syarikat tidak pernah kekurangan tenaga kerja. Mana yang dirasakan sesuai untuk bekerja di sektor yang telah kita pilih, mereka akan diserapkan ke situ.”

“Bakeri pulak, macam mana? Tak menang tangan nampaknya, Eta.” Inspektor Fakhrul memandang wajah Rabeta yang tenang.

“Bakeri kita pun dah mendapat sambutan. Saya bercadang nak buka nurseri pulak…” cerita Rabeta dan cadangannya untuk masa hadapan.

Kelihatan sukar tetapi enteng. Dia hanya perlu bekerja keras. Sering turun padang, membantu apa yang perlu. Menerjah rumah-rumah pelacuran dan kelab-kelab malam, lorong-lorong sempit, mendekati  mereka yang ingin mengubah kehidupan mereka ke arah yang lebih baik.

“Eta asyik selesaikan masalah orang, masalah sendiri bagaimana? Dah cari anak-anak Eta?” tanya Fakhrul.  
Rabeta seperti tersentak. Siang malam dia  hanya memikirkan hal orang lain. Hal sendiri tidak pernah dapat diselesaikan. Bohonglah kalau Rabeta katakan dia tidak merindui mereka.

Previous: BAB 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.