Sensitifnya
Sarah keluar dari bilik. Tidak mahu memanjangkan pertengkaran. Dia mahu bertenang. Sarah meninggalkan Al Hadi bersendirian. Biarlah masa yang menentukan. Sarah membantu membasuh periuk belanga di ruangan membasuh pinggan.
Mak Ngah dan Mak Long pun ada. Azi sepupunya pun ada. Abang Man, anak Mak Long pun ada. Mereka rancak bercerita. Sarah diam seribu bahasa.
"Mana laki kau"? tanya Abang Man.
"Tidur", jawab Sarah ringkas. Sarah meneruskan kerja sambil membayangkan masa depannya. Apa berlaku kepada dirinya? Kenapa moodnya kadang-kadang baik, kadang-kadang buruk. Dia juga cepat melenting.
"Hah, Hadi! Sarah kata kau tidur", kata Abang Man serentak Al Hadi duduk di sebelah Sarah. Rapat hingga bahu bersetuhan. Sengaja Al Hadi begitu. Bila lagi dia dapat peluang, masa ada orang begini, Sarah mesti terpaksa layan dia dengan baik.
"Sayang, tak ajak abang. Abang suka basuh-basuh pingganni", kata Al Hadi kepada Sarah. Sarah senyum saja. Dia masih meneruskan kerja-kerja membasuh pinggan.