Home Novel Cinta Cinta Dari Tuhan
Cinta Dari Tuhan
Sang Jerry
4/11/2017 17:34:09
2,577
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
1
2
1
ISTIKHARAH CINTA I


"Assalamualaikum wahai bakal tulang rusukku. Ikhlas aku mencintaimu, ikhlas juga aku kehilanganmu. Sejauh mana dan sekuat mana ikatan janji yang cuba kita patri, andai Tuhan telah tetapkan tulang rusuk itu milik orang lain, aku akur akan qada' dan qadar.

Semua sudah tertulis, semua telah dirancang. Bukan aku yang menjadi penentu dalam percaturan hidup ini, tetapi aku yakin Tuhan sudah aturkan yang terbaik untuk setiap hamba-Nya di dunia ini. Amin."

Aku melipat kembali nota ringkas itu. Jauh di hujung padang permainan kolej, aku duduk bersendirian. Mungkin ini caranya untuk aku mendapatkan ketenangan setelah seharian berkuliah. Setiap susunan kata-kata dalam nota itu aku cuba fahami, mendalam sungguh maknanya.

Suratan yang harus aku terima kerana Tuhan adalah sebaik-baik perancang. Aku akur. Mungkin juga dia tidak mahu terlalu memperhambakan pada sebuah cinta manusia yang pantas sahaja tidak layak untuk diagung-agungkan.

Aku mula mencoretkan sesuatu untuknya. Pena yang ku pegang mulai menari meninggalkan tinta di selembar kertas putih, seputih dan sesuci cinta aku padanya. Tanpa aku sedari, mataku mulai berkaca dan menitiskan titik demi titik lalu mengenai lembaran kertas itu. Alunan bait kata-kata yang kulemparkan adalah luahan yang jujur dari suara hati kecilku. Sungguh tidak tertahan rasanya.


"Waalaikumussalam wahai bakal imamku. Jika Tuhan mengutuskan aku berada di sisimu sehingga ke akhir hayat dan menjadi bidadari syurga buatmu nanti, pimpinlah aku ke dalam hatimu. Bimbinglah aku supaya tetap mentaati perintah-Nya. Doakanlah kebahagiaan kita disetiap rukuk dan sujudmu.

Wahai bakal imamku, semoga Tuhan memanggil namaku dan memilih aku untuk hadir menjadi pendampingmu. Sesungguhnya Tuhan itu sebaik-baik perancang."

Aku meletakkan pena kembali ke dalam beg. Surat untuknya itu, aku lipat perlahan-lahan lalu dimasukkan ke dalam sampul yang sudah aku sediakan.

-------------X-------------

"Sofea... jauh termenung?" tegur Mawaddah, sahabat karib yang paling aku sayang.

"Eh, Mawaddah... duduklah di sini dulu," pelawaku.

"Saja ambil angin petang macam ni. Lepas kuliah tadi, rasa bosan pula." Tambahku lagi.

Mawaddah tersenyum manis, semanis orangnya. Redup wajahnya, lembut tuturkatanya. Dia selalu ada di mana sahaja aku berada, cuma petang itu aku tidak mengajaknya ke situ kerana kelas kami berlainan. Tetapi naluri seorang sahabat sangat kuat, dia datang mencari aku sampai ke hujung padang.

"Sofea, awak okay tak ni?" tegur Mawaddah sambil menepuk-nepuk belakangku.

Aku membuka sedikit niqabku sambil menyapu airmata yang tersisa di pipi. Aku hanya mampu menguntumkan senyuman kepadanya. Seakan lidah menjadi kelu untuk menyahut pertanyaannya itu tadi.

"Awak menangis, Sofea? Kongsilah masalah awak tu dengan saya," sambung Mawaddah lagi.

Aku menghulurkan sepucuk surat pemberian Ayub kepadanya. Aku ceritakan isi surat itu. Mawaddah mengangguk tanda faham. Dipeluknya aku dengan cukup erat. Sesekali dia berusaha menenangkan aku.

"Mawaddah, boleh tak awak temankan saya hantarkan surat ini pada Ayub nanti?"

Sememangnya, selama ini aku tidak pernah keluar berdua bersama Ayub. Sebaliknya, aku acapkali meminta Mawaddah menemaniku. Itupun aku berjumpa sekejap sahaja. Selebihnya, kami hanya berutusan surat. Biar pun dianggap ketinggalan zaman, tetapi dengan cara itulah terasa lebih manis sesuatu hubungan itu. Sungguh, lembaran demi lembaran surat yang pernah aku kirimkan serta balasan dari Ayub menjadi saksi cinta kami berdua. Andai setiap bait patah kata yang tertulis itu mampu berkata-kata, pastinya sebegitulah jawapannya. 

Mawaddah menemaniku bertemu Ayub pada petang itu di tepi padang kolej. Sungguh setia Mawaddah menurutiku atas ukhwah yang terjalin selama ini. Dari kejauhan, aku lihat Ayub sudah siap sedia menanti di situ. Tanpa banyak bicara, aku menghulurkan sepucuk surat itu kepadanya. 

Ayub menyambut surat itu dengan perlahan sambil tersenyum padaku. Lalu disimpan ke dalam saku seluarnya. Namun, seperti selalu aku tidak mampu bertentang mata dengan Ayub. Begitu juga dirinya. Hanya beberapa saat memandang dan masing-masing mengalihkan pandangan ke arah lain.

"Awak fahamkan, apa yang saya maksudkan dalam surat itu tadi?" Ayub bersuara.

Aku hanya mengiyakan. Kerana soalan yang Ayub persoalkan itu telah sedia aku menjawabnya dalam surat tersebut. Aku mahu Ayub membacanya sendiri nanti. 

"Ayub... andainya awak bukan Adam dan saya bukanlah Hawa dambaan awak itu, anggaplah ini semuanya kenangan manis antara kita berdua ya... ," aku bersuara juga akhirnya. 

"Adam dan Hawa disatukan sejak dari Syurga sehingga turun ke bumi, begitu juga kita... . Jika diizinkan Tuhan, saya akan melamar awak nanti. Andainya awaklah tulang rusuk saya selama ini, tiada apa yang perlu dibimbangkan, Mawaddah." Balas Ayub pula.

"Ayub, maaf kita tak boleh lama-lama di sini. Tak manis dipandang pelajar lain. Saya mengerti maksud awak itu. Saya faham... . Ayub, izinkan kami pergi ya?" Aku dan Mawaddah berlalu dari situ meninggalkannya yang masih berdiri memerhatikan kami berdua. 

Aku reda. Aku pasrah. Aku tahu di antara kami berdua beristikharah demi sebuah cinta yang mahabbah. Semua atas keizinan dari-Nya. Aku hanya mampu berserah.

Mawaddah memegang kedua tanganku sebaik sahaja tiba di depan pintu kolej. Dialah seorang sahabat yang benar-benar memahami perasaanku yang sedang bergolak kini. Di antara dua rasa, dihimpit oleh perasaan hati takut terkecewa lalu pasrah oleh sebuah ketentuan yang telah tersirat.

"Sofea... sebagai sahabat dunia akhirat awak, saya doakan awak dan Ayub bakal disatukan suatu masa nanti. Saya ingin melihat sahabat saya ni, bahagia hingga ke akhir hayat," 

"Terima kasih Mawaddah. Saya reda, andainya... andainya ... ," balasku. Bicaraku terhenti di situ. Aku benar putus akal untuk menyambung kata kerana aku merasakan tidak mampu menghabiskan sepotong ayat yang kelak akan mengecewakan diri aku sendiri.

"Andainya apa Sofea? Janganlah bicara sesuatu yang belum pasti... ," Mawaddah memujuk.

Mungkin keterlanjuran lidahku itu tadi tidak sepatutnya kuluahkan. Semoleknya, istikharah di sejadah cinta memohon mahabbah rindu itu dari Tuhan yang Maha Esa adalah sebaik-baik cara. 

Aku dan Mawaddah berpisah untuk kembali ke bilik masing-masing. Dia menetap di Kolej Az-Zahra manakala aku pula di Kolej Ibu Maryam. Sebelum dia meninggalkan aku, sempat aku meminta pertolongannya untuk menemani aku ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia keesokan hari. 

-------------X--------------

"Nur Lailatul Sofea... ," jururawat itu memanggil namaku berulangkali. Aku tersentak dari lamunan yang panjang saat dikejutkan oleh Mawaddah. Entah apa yang ligat bermain fikiran tidak dapat aku pastikan. 

"Err... ya saya," aku menyahut lalu bingkas bangun meninggalkan Mawaddah di situ sementara. Kakiku melangkah laju ke dalam bilik 2A itu. Tidak semena-mena jantung berdegup kencang. Dada menjadi berdebar. Keputusan ujian bersama pakar akan aku ketahui tidak lama lagi. Pintu bilik itu kuketuk perlahan. Lalu tombolnya kupulas. 

"Assalamualaikum, doktor."

"Waalaikumussalam... sila duduk Nur Lailatul Sofea," sahut doktor itu.

"Panggil saya Sofea sahaja," aku tersenyum.

"Baiklah, Sofea. Berdasarkan rekod yang diterima, awak telah disahkan mengidap Squamous Cell Carcinoma ataupun bahasa ringkasnya barah rahim,"

Bagaikan gelap dunia ini seketika apabila keputusan itu telah berada di tanganku sendiri. Lebih mengejutkan aku lagi, barah itu kini berada di tahap empat. Aku reda dengan qada' dan qadar, segala ketentuan-Nya itu telah terjawab kini. Istikharah cintaku bukan untuk Ayub lagi. Kerana aku tahu, bila-bila masa sahaja aku bakal dijemput pulang oleh sang pencipta. Bukan bermakna aku mengalah, tidak juga aku pasrah tetapi menurut doktor barahku kini sedang kritikal tanpa sedar. 

"Adakah aku perlu memberitahu Ayub dan Mawaddah?"

Lemah longlai langkahku ketika meninggalkan bilik 2A itu. Ingin rasanya kumenjerit. Melepaskan apa yang kupendam ini. Terasa beban yang kupikul ini sangatlah berat untuk kuterima dengan seadanya. Tetapi inilah namanya sebuah kehidupan. Tuhan mendatangkan sesuatu musibah itu ada sebabnya. Aku hanyalah hamba-Nya. Aku akur dengan ketentuan ini. Pasrah.

Ketika di luar, Mawaddah tidak berhenti-henti bertanyakan kepada aku soalan yang sama. Namun, setiap kali itulah aku hanya memilih untuk membisu. Aku sengaja merahsiakan keputusan itu. Aku masih di dalam dilema. Memilih untuk berkongsi masalah atau sebaliknya. Maafkan aku, tidak sanggup untuk diri ini melihat sahabat dunia akhiratku bersedih.

Sebaik tiba di kolej, aku meminta Mawaddah menemaniku untuk berjumpa Ayub sekali lagi. Kali ini, aku sudah bersedia untuk berkongsi apa yang aku alami dengan mereka. Tidak perlu aku menyembunyikannya lagi. Satu pesanan ringkas lewat aplikasi whatsapp kukirim kepadanya. Penting ujarku.

Setelah hampir lima minit menunggu, Ayub memunculkan diri. Riak wajahnya jelas tergambar cemas. Dia tahu aku ke hospital bersama Mawaddah. Dan aku yakin dia juga dapat mengagak tujuan aku ingin bertemunya. 

"Hai, Sofea... berita penting apa yang awak nak bagitahu saya tu?" tanya Ayub dalam keadaan termengah-mengah.

"Ayub, saya rasa... saya dah ketemu jawapan istikharah cinta kita itu. Saya yakin, inilah jawapan dari Allah SWT untuk kita bersama," balasku.

"Apa maksud awak, Sofea? Saya benar-benar tak faham,"

"Saya bukan tulang rusuk yang awak cari itu. Dan... saya juga bukan bidadari syurga untuk awak, Ayub!" 

"Maksud awak... ,"

"Saya dah tak lama berada di atas dunia ni... nah, bacalah... ," aku menghulurkan keputusan doktor pakar itu kepadanya. Ayub membacanya satu-persatu. Tanpa aku sangka, airmata lelakinya yang tidak pernah kulihat sebelum ini gugur.

Mawaddah menghampiri kami berdua kerana kehairanan. 
"Maafkan saya Ayub... Sofea... . Boleh saya tahu kenapa?" Mawaddah teragak-agak untuk bertanyakan soalan itu. Mungkin sahaja dia gusar melihat sesuatu yang janggal dimatanya.

Aku terpaksa juga menceritakan apa sebenarnya yang berlaku. Di hadapan Ayub, aku membuka rahsiaku dari mula hingga akhir tanpa sebarang rahsia lagi. Ternyata hati Mawaddah sungguh lembut bagaikan tisu, linangan airmatanya berjuraian membasahi pipi.

Sungguh, dia begitu terkejut dengan setiap penjelasan aku itu. Ayub pula hanya tertunduk seperti memikirkan sesuatu. Aku tahu dalam hati Ayub, dia masih belum dapat menerima kenyataan ini. Namun, aku yakinkan mereka berdua bahawa qada' dan qadar itu telah tertulis dalam setiap diri seorang bernama manusia yang hidup di alam ini. Mawaddah menghampiriku, ditenungnya aku jauh ke dalam mata hatinya. Aku tahu dia seperti ada sesuatu ingin disampaikan tapi lidahnya berat untuk meneruskan kalamnya itu. Begitu juga Ayub, banyak mendiamkan diri.

"Ayub... Mawaddah... Dah hampir waktu Asar ni. Saya nak balik ke kolej dulu ya." Aku berlalu dari situ meninggalkan mereka berdua. Tak sanggup sebenarnya untuk aku terus lama melihat mereka bersedih. Aku sebetulnya tidak mahu berkongsi kisah duka ini tapi apakan daya, aku terpaksa.

"Ayub, kita hanya merancang dan Tuhan yang menentukan. Andainya ini takdir yang telah tertulis, aku reda. Ada hikmah untuk semua ini, mungkin selepas ini Tuhan akan datangkan seorang wanita yang dapat menjaga kau dunia akhirat. Seorang yang lebih baik dan sempurna dari aku. Seorang yang terpuji akhlak dan pekertinya. Dia ialah Mawaddah."

Ayub membaca surat itu berulangkali. Dia kelihatan terharu dengan kata-kata Sofea itu. Sesekali dia melemparkan pandangannya jauh ke luar jendela.

Telefon Ayub berdering.

"Sofea...?"

Dia kehairanan kerana Sofea tidak pernah menghubunginya sebelum ini. Tombol ditekan lalu terdengar suara Mawaddah dihujung talian itu.

"Waalaikumsalam... Ya ada apa Mawaddah?" Ayub menjawab panggilan tersebut.

"Baiklah, saya ke sana sekarang," tambah Ayub lagi.

Bergegas Ayub meninggalkan biliknya menuju ke hospital. Dia menerima khabar yang aku telah dimasukkan ke wad kecemasan. Aku rebah semasa mendirikan solat sebentar tadi. Sebaik aku tersedar, Mawaddah telah berada di sisi menemani aku di hospital ini.

"Ayub mana?" soalku.

"Sekejap lagi Ayub sampai, Sofea" balas Mawaddah.

Belum sempat aku membuka mulut, kelihatan Ayub terpacak di hadapan pintu wad. Termengah-mengah Ayub mengejar masa. Aku hanya mampu menghadiahkan sekuntum senyuman padanya.

"Ayub, duduklah di sini." Pelawaku.

"Ayub... Mawaddah... sebelum Sofea pergi jauh, sebelum Sofea menutup mata melihat keindahan duniawi ini, boleh tak kalian tunaikan hasrat hati Sofea?"

Mawaddah menggenggam erat tanganku. Sesekali matanya mencuri pandang Ayub yang duduk di hadapannya itu. Aku tahu Mawaddah juga meminati Ayub sejak dari dulu tetapi Ayub tidak mengetahuinya. 
Sebaliknya Ayub memilih aku terlebih dahulu.

"Sofea, katakanlah. Jika mampu saya laksanakan, saya akan cuba tunaikan... ." Ayub bersuara. Agak sedih nadanya.

"Ya, Sofea... saya sanggup buat apa sahaja demi ukhwah kita... ." Tambah Mawaddah.

Aku tersenyum. Disaat terlantar begini, aku gembira Tuhan telah mengirimkan aku penawar. Bagaikan Adam dan Hawa disatukan, begitu jugalah aku ingin melihat Ayub dan Mawaddah hidup bersama. Kekal dan bahagia selamanya.

Seperti sebuah istikharah cinta, mahabbah rindu telah menjadi nyata. Dalam setiap tasbih rindu, dalam setiap rukuk sujud menyembah pada yang satu, Tuhan telah memberi isyarat cinta ini bukan untuk dimiliki tapi untuk dirasai. Tuhan telah hadirkan Mawaddah untuk menjadi sahabat setiaku untuk berdamping bersama Ayub, kekasih pinjamanku. 
Aku reda Ya Rabbul Alamin. Inilah sebuah ketentuan-Nya.

Hatiku kini berbisik rindu untuk bertemu mahabbah sejatiku nun jauh di alam sana.

-TAMAT-


Next: 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.