Home Novel Cinta Aku Berjanji Akan Kembali Untukmu
Bab 47

Dicabar

Ke mana sahaja Zarul pergi, ke mana jua dia berada, pasti dia mendengarkan bualan hangat daripada para pelajar. Mereka tidak bercerita tentang dirinya. Sebaliknya bercerita mengenai Rafie, tidak kira sama ada di dalam kelas, kantin, bilik guru, malah di tandas juga tidak terkecuali.

Rafie. Rafie. Rafie.

Perkara itu membuatkan Zarul berasa curiga. Dirinya menongkat dagu pada armrest sofa. Sofa yang sememangnya tersedia di dalam bilik pengawas. Dia sedang berfikir. Mahu melepaskan firasat curiga yang terbuku dalam hati.

Hairan. Dalam banyak-banyak pertandingan, mengapa Rafie memunculkan bakatnya pada tahun ini, yakni tahun terakhir mereka sebagai pelajar sekolah.

Apakah niat sebenar disebalik tujuan Rafie? Adakah dia mahu menonjolkan bakatnya? Ataupun dia sekadar mahu menunjuk hebat? Kalau dia mahu menunjuk hebat, siapakah gerangan yang dia mahu tujukan? Itulah persoalan yang bermain dalam fikiran Zarul.

Haruslah dia risau memandangkan Rafie mampu menggagalkan rancangannya pada hari sukan nanti. Rancangan untuk luahkan perasaannya kepada Inas jika dia memenangi acara 100 meter.

Tawaan seorang perempuan memecah lamunannya. Dia menoleh, hendak tahu siapakah gerangan yang tertawa itu.

"Zarul, Zarul. Aku ingat kau yang akan famous pada hari ini. Sebaliknya orang lain rupanya," kata perempuan itu kepadanya.

Zarul mendecit mulut. Kepalanya pula dipalingkan ke sekeliling. Sekali lagi, seseorang bercerita mengenai Rafie.

"Kau ni suka betul nak sakat aku, kan..." ayatnya terjeda. Kemudian, dia menoleh kembali.

"Julia," sambungnya. Maka terjawablah akan siapa yang mentertawakannya.

Julia menyeka rambut perang panjang miliknya. Bibir merahnya mula menyungging sinis.

"Takkanlah kau terasa hati. Lemah betullah kau ni."

"Bukan terasa hati, cuma aku rasa annoyying dengan kau." Sebaik ayat itu diucapkan, Zarul melepaskan nafas berat.

Julia perasan akan perubahan wajahnya. Dia yakin ada sesuatu yang mengganggu fikiran jejaka berkaca mata itu.

"Kau ni kenapa? Dari tadi macam fikir sesuatu je." Persoalan itu membuatkan Zarul mengoleng kepala.

"Aku fikir fasal Rafie. Pelik, kenapa dia tiba-tiba je masuk acara sukan tahun ni? Acara larian pula tu. Aku macam tak faham." Zarul menjawab persoalan Julia. Namun, jawapan itu hanya menggelikan hati gadis tinggi lampai ini. Dia tertawa terbahak-bahak.

"Apalah kau ni. Benda tu yang kau fikir dari tadi? Lawaklah kau ni, Zarul." Senak perutnya menahan ketawa. Dalam banyak-banyak perkara yang dia boleh fikir, fasal Rafie juga yang mengganggu fikirannya. Tidak hairanlah Julia ketawa.

"Ish, kau ni! Bila aku dah cerita, kau ketawa. Tak guna betul." 

Julia cuba menahan ketawa. "Okeylah, okeylah. Aku stop ketawa." Dia berdehem seketika. Cuba mengembalikan wajah tenangnya semula. Tangannya kemudian berpeluk tubuh.

"Jarang aku tengok kau macam ni. Kau... tercabar ke?"

"Bukan tercabar, cuma aku... aku..." Zarul tidak dapat menemukan alasannya. Julia menggelengkan kepala, tak faham dengan perangai jejaka ini.

"Wah, wah! Korang tengah bincang tentang apa ni?" Muncul Shasha lalu berdiri di sebelah Julia.

"Ni ha, kawan kau ni. Dia rasa tergugat sebab Rafie lagi famous daripada dia," ujar Julia.

"Ehhhh! Seriuslah Zarul? Takkanlah kau tergugat. Wei, kau jangan down okey. Aku akan selalu sokong kau. Bagi aku, kau the best." Ceria benar Shasha yang cuba menyokong rakan masa kecilnya itu. Siap buat tanda good job lagi.

"Ish, kau ni! Percaya sangat cakap Si minah salleh ni. Aku bukan tergugat lah. Aku cuma hairan dengan Rafie je. Aku pelik kenapa dia tiba-tiba masuk dalam acara sukan tahun ni? Dia nak tunjuk hebat ke? Ke dia nak impress dekat seseorang?" Suara Zarul berubah tinggi. Macam hendak marah.

Shasha dan Julia memandang sesama mereka. Shasha menyengetkan kepala, Julia pula mengangkat bahu tanda tidak tahu.

Shasha berfikir sejenak. Tanpa memakan masa dia mula terfikir sesuatu. "Aha, jangan-jangan dia nak impress crush dia tak?" duga Si gadis ceria ini.

"Siapa?" Zarul menyoal.

"Aku tahu siapa dia," kata Julia sambil jarinya diletakkan pada bawah bibir. Shasha dan Zarul mula memandangnya. Menanti akan nama yang bakal disebutnya.

"Aku perasan yang Rafie ada rapat dengan seorang perempuan ni tau. Dan dia rakan sekelas." Jari yang berada pada bibirnya dilepaskan lalu tangannya kembali memeluk tubuh.

"Inas kot. Tahun lepas kan ramai gosip fasal diorang," sambung gadis ini lagi. Jantung Zarul bagai terhenti satu saat. Terkejut dengan jawapan gadis berwajah pan-asian itu.

"Tak... tak mungkin lah. Itu cuma gosip lama kan?" Zarul cuba menafi, mahu menyedapkan hatinya. 

"Well, aku cakap berdasarkan apa yang aku dengar je. Tak tahu kalau ia betul atau tak."

Jari-jemari Zarul ditemukan lalu diletakkan malas pada pahanya. Dia menggigit bibir, bagai tidak senang duduk.

"Zarul," panggil Shasha meleret. Akan tetapi, panggilan itu tidak berjawab. Dia diam seribu bahasa.

"Sekarang baru kau rasa tergugat, kan? Nampaknya kau dah ada rival baru. Dua kumbang berebut sekuntum bunga." 

Kata-kata Julia itu mendapat perhatian Zarul. Lantas dia menjeling tajam. "Kau tahu rahsia aku?" soalnya.

Julia melemparkan senyuman sinis. Tangan kanannya diangkat separuh lalu pergelangan tangannya dilemparkan malas.

"Well, you too obvious, Zarul." Situasi mereka berdua berubah tegang. Kedua-dua mereka cuba melawan mata. Shasha pula terpinga-pinga. Dia tidak faham apa yang sudah berlaku.

Setelah agak lama mereka merenung, Julia akhirnya mengalah lalu menggetus tawaan kecil. "Kau ni terlalu seriuslah. Aku main-main je."

Sebaik dia berkata begitu, Julia pun memusingkan badannya untuk beredar. Akan tetapi, sebelum dia mara dengan lebih jauh, ada satu pesanan yang ingin dia sampaikan. Langkahnya diberhentikan

"Oh ya, Zarul! Good luck untuk hari sukan nanti. Cumanya aku nak kau tahu, untuk acara larian 100 meter nanti, aku lebih memilih Rafie untuk menang final nanti."

Mata Zarul disepetkan. Curiga dengan pernyataan gadis berambut perang ini. 

"Ya ke. Kenapa kau pilih dia? Sebab kau nak provoke aku?"

Sekali lagi tawaan kecil digetus Julia. Dia pun menleh ke belakang lalu memberi riak sinis.

"Bukan nak provoke. Cuma... aku lebih kenal dia daripada kau," balasnya selamba.

Seketika itu, dia kembali menoleh hadapan sebelum meneruskan perjalanannya. Pandangan Zarul masih tidak lekang daripada memandang Julia. Bukan terasa, hanya curiga.

Sepanjang dia berkenalan dengan Julia, hubungan mereka boleh dikatakan agak complicated. Kadang mereka menyokong sesama mereka. Kadang pula tidak sependapat. Namun begitu, ia tidak membangkitkan perbalahan kerana masing-masing bijak untuk bertindak matang.

"Kau... okey ke, Zarul? Nampak macam tegang je tadi," soal Shasha prihatin.

"It's okay. Aku dengan dia memang selalu macam ni pun."Zarul bangkit dari duduk. Dia kemudian melihat jam tangan. Waktu rehat masih berjalan. Masih sempat untuk dia bertemu dengan seseorang. 

************************

Di astaka sekolah, Rafie berehat seorang diri tanpa teman. Yusri dan Hairi tidak menurut serta  kerana sibuk dengan hal-hal rumah sukan. Maklumlah kedua-dua mereka ini merupakan ketua bagi rumah sukan masing-masing. Lain pula dengan Irwan, dia sibuk dengan kelab fotografinya.

Ikutkan dia tidak kisah menyendiri sebegini. Cumanya kali ini dia berasa sedikit berbeza. Dia rindu.

Rindu pada siapa?

Pastilah rindu akan mata airnya yang bernama Inas. Jauh di sudut hatinya ingin bertemu dengan buah hatinya itu serta meluangkan masa rehat bersama dengannya. Namun, apakan daya, segalanya terbatas demi merahsiakan hubungan mereka. Harga yang perlu dibayar olehnya.

"Haaah... sunyinya aku! Cepatlah habis sekolah, aku nak jumpa dengan dia," rungutnya lalu tertunduk sedih.

Bunyi tapak kaki datang menghampiri. Apabila ia berhenti, muncul satu bayang berdiri di hadapannya.

Rafie mendongakkan kepala. Ternyata orang itu ialah Zarul.

"Akhirnya kita berjumpa juga, Rafie."

Rafie mengerutkan dahi. Dah kenapa pula Zarul mahu berjumpa dengannya? Bukannya dia mempunyai apa-apa hingga mendapat perhatian daripada ketua pengawas ini.

"Kau seorang je ke?" soal Zarul mesra.

"Aha, seorang je," balasnya malas. Bungkusan roti yang berada pada tangannya dibuka. Lantas dia memakannya.

Zarul memerhatikan Rafie. Dari riak wajah remaja ini tampak tidak berminat dengan kehadirannya. "Kau ingat lagi ke aku? Atau... kau dah lupa?"

"Ingatlah sikit, waktu form 3, kita sekelas. Lagi satu, kau kan ketua pengawas. Semua orang kenal kau. Apa kau ingat aku ni katak bawah tempurung ke." Balasan sinisnya itu membuat Zarul tertawa kecil.

"Betul juga."

Seketika kemudian, lelaki berkaca mata ini melabuhkan punggungnya di sebelah Rafie. Ada perkara yang dia hendak bincang bersama.

"Maaf kalau kehadiran aku buat kau tak selesa. Aku datang ni sebenarnya nak ucap tahniah dekat kau. Cumanya... aku nak tanya sikit." Ayatnya sengaja dihentikan. Kepalanya mula ditoleh ke arah Rafie.

"Kenapa kau sembunyikan bakat kau selama ni?" Zarul menyoal.

"Sebab aku malas... agaknya." Selamba Rafie menjawab sambil menggigit baki rotinya.

"Malas? Seriuslah? Wei, kau tahu tak, kalau kau join olahraga dari awal, mungkin kau dah jadi atlet terhebat sekolah tau."

"Itu sebab aku cakap, aku malas," jawab Rafie secara acuh tak acuh. Manusia mana yang tidak berasa jengkel dengan jawapan tersebut. Zarul cuba bersabar. Demi mengekalkan ketenangannya, dia tidak mengendahkan balasan Rafie itu.

"Kenapa baru sekarang? Kalau kau malas, kenapa buat semua ni? Apa sekarang kau tak malas?"

"Aku ada alasan tersendiri. Bila aku nak buat, jadi aku buat. Kau tak payahlah nak fikir sangat fasal benda ni." Rafie bertegas. Pun begitu, Zarul masih ragu. Dia tidak puas hati dengan jawapan yang diberi. Dia yakin sebenarnya Rafie kembali berlari kerana mahu memikat Inas.

"Alasan tersendiri?" Zarul mengetus ketawa. 

"Ke sebab kau nak pikat seseorang? Aku dengar kau ada rapat dengan seseorang ni. Inas kan?" Sengaja Zarul mahu membangkitkan kemarahan Rafie. Tetapi usahanya gagal setelah Rafie masih mengekalkan ketenangannya. 

"Perasaan kau je kot Zar-"

"Kau suka Inas, kan? Aku dengar ramai nampak yang kau bermesra dengan dia." Kunyahan mulut Rafie terhenti. Seketika itu, dia menelan kunyahannya sebelum menggetus tawa perlahan.

"Tak sangka, orang bijak macam kau percaya khabar angin tu. Nampaknya kau taklah sebijak yang aku sangkakan." Meluap-luap hati Zarul ketika ini. Provokasi itu benar-benar menusuk hatinya. 

"Haih... masih berdalih kau ni! Berterus terang je lah, Rafie?" bentak Zarul. 

Rafie mendecit mulutnya. Geram dengan tindakan Zarul itu. "Dia tak ada kena mengena lah. Aku berlari semula sebab aku sendiri yang nak. Takkan kau tak faham?"

"Ya aku masih tak faham." Pantas Zarul memotong. 

Rafie memberi riak geram. Buang masa sahaja dia melayan kerenah ketua pengawas ini.

"Dahlah, aku nak blah. Dari gaya kau pun aku tahu yang kau nak perlekehkan aku." Rafie pun bangkit dari duduknya. Niat di hati mahu sahaja dia beredar dari situ.

"Wei, relaxlah." Zarul cuba memujuk. Ada banyak perkara yang dia mahu bualkan.

"Aku bukan nak perlekehkan kau, Rafie. Cuma aku terkilan sikit. Kau ada bakat tapi kau sia-siakannya dan sekarang kau kembali berlari hanya disebabkan seorang perempuan. Tak ke kau rasa itu tindakan bodoh?"

Kali ini Rafie tidak menahan ketawanya. Dia menggetus lebih kuat.

"Zarul, Zarul, lagi bodoh kalau kau percaya yang aku berlari sebab perempuan." Setepek Zarul kena dengan pernyataan pedas Rafie. 

Apa lagi, makin meluaplah Zarul. Ikutkan mahu sahaja dia menggertak. Walakin begitu, dia cuba belagak tenang.

"Tak apa kita tengok waktu hari sukan nanti. Aku cabar kau, Rafie. Kalau kau menang acara 100 meter sabtu ni, aku takkan ganggu kau lagi. Tapi!" Perkataan 'tapi' ditekankan.

"Kalau kau kalah, aku nak kau jujur dengan kata-kata kau," cabar Zarul.

Rafie merenungnya lama. Tak lama selepas itu, dia mengangguk faham.

"Okey. Kalau itu yang kau mahu. Aku tarik diri dari pertandingan ni. Senang kita tak payah bersaing dan tak ada siapa yang menang. Dan kita pun tak bergaduh. Adil, bukan?"

Terbuntang mata Zarul tatkala mendengarnya. Dia mula hilang sabar, langsung menarik kolar baju Rafie.

"Apahal dengan kau ni, hah?" Dengan terjadinya situasi ini, muncullah sisis berbeza Zarul. 

Riak muka Rafie masih tenang. Malah dia juga membuat muka sinis. Melihat wajahnya sebegitu, lelaki berkaca mata ini mula sedar bahawa personalitinya yang sentiasa tenang sudah pun tercalar. 

Dia melihat sekeliling. Takut jika ada pelajar lain melihat dirinya menggertak Rafie. Yakin tiada yang memandang, tangannya mula melepaskan kolar baju Rafie.

"Okey, aku silap sebab gertak kau. Mungkin aku terlalu beremosi tadi," ujarnya sambil membetulkan kolar Rafie.

"Kau nak apa dekat aku?" soal Rafie yang pening dengan kehadirannya.

Zarul mengalihkan pandangannya. "Aku sendiri tak tahu. Tapi... apa yang pasti, aku rasa tercabar dengan kau. Selain Yusri, kau antara pencabar utama dalam acara larian."

"Kalau itu yang kau mahukan, cakaplah awal-awal. Janganlah libatkan Inas kalau kau nak sangat bersaing dengan aku."

"Okey, okey. Salah aku tadi. Aku tak ada niat nak libatkan hal korang berdua. Mungkin sebab aku cemburu dengan korang berdua. Maafkan aku," pintanya dengan kedua-dua tapak tangan Zarul dihalakan pada Rafie. 

Akan tetapi, Rafie terdiam. Cemburu? Apa maksudnya itu? Adakah Zarul mempunyai hati terhadap Inas?

Bahu lelaki bertubuh kurus ini ditepuk perlahan.

"Kita ni sama, Rafie. Dua-dua ada tujuan yang sama iaitu untuk menang dalam acara larian nanti. Aku harap kau akan beri yang terbaik nanti."

Rafie tidak membalas pernyataan itu. Merasakan tiada apa lagi yang hendak dibincangkan, Zarul mengambil keputusan untuk beredar.

"Okeylah, aku pergi dulu. Maaf sebab ganggu waktu rehat kau." Akhirnya, Zarul pun beredar.

Rafie kembali duduk. Tangannya kini dibukukan. Sudah tentu dia geram dengan Zarul. Geram setelah mengetahui bahawa Zarul berkemungkinan mempunyai hati terhadap kekasihnya. 

Dia mengambil nafas sedalam mungkin sebelum dilepaskan perlahan. Dia tidak mahu cemburu menguasai amarahnya.

Bersambung...

Previous: Bab 46

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nino Si Pungguk