Home Novel Cinta Crush Aku Mr Chicano
Crush Aku Mr Chicano
Batiah Hadi
31/1/2019 17:39:40
34,638
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 3

MEREKA sengaja berbual-bual dengan Khidir dan Ben. Cuba melupakan lelaki tadi. Tiba-tiba Mira terasa hendak ke tandas. Dia mengajak Eva sekali kerana mereka sering diingatkan jika hendak ke mana-mana mesti berteman. Takut kalau ada sesuatu yang tidak diingini berlaku. 

Sewaktu menunggu Mira di luar tandas, Eva berdiri di tepi dinding memerhati telefon bimbitnya. Melihat semula gambar-gambar orang tersayang di airport KLIA tadi. Bila dia mengangkat muka, kelihatan lelaki Chicano tadi sedang menuju ke arahnya. Terus Eva berasa panik. Bulat matanya memandang lelaki itu. Mulutnya sedikit ternganga. 

Entah kuasa apa yang menghalang dia daripada berkelip dan mengalih pandangan. Dia seperti dipaku di situ. Jantung Eva berdebar-debar bila lelaki itu semakin menghampirinya. 

Lelaki itu berjalan ke arah Eva dengan wajah yang serius. Matanya tajam menikam. Gayanya bersahaja, namun bila sampai di sebelah Eva, dia mengubah sedikit haluan. Eva hanya dapat rasa lengan jaket lelaki itu terkena sedikit pada lengan sweater merah jambunya. 

Eva terkejut dan hampir meloncat. Kalau Eva ke kanan sedikit pasti dia telah dirempuh oleh lelaki itu. Sekilas Eva nampak lelaki itu tersenyum nakal. Adakah lelaki itu sengaja?  Eva menahan getar di dalam dada dan bila dia menoleh, lelaki itu telah pun masuk ke tandas lelaki. 

Eva mengurut dada, tapi pandangan tajam lelaki itu dan kelakuannya tadi masih bersisa di ruang mindanya. Rasa getar itu masih ada. Telefon bimbit yang dipegang rasa seperti mahu terjatuh saat itu. Ambil masa juga untuk Eva menenangkan dirinya. Kenapa dengan lelaki itu? Sekadar mengusik atau mahu membalas apa yang mereka lakukan tadi? 

Tapi, senyuman itu? Sahih! Memang lelaki itu sengaja. Ah, tak guna. Tapi, apa pun niatnya Eva rasa sangat terkesan. Beberapa minit juga masa diambil untuk tenangkan diri. Namun, dia berasa lega bila Mira akhirnya keluar dari tandas.

Tidak sempat Eva menceritakan kepada Mira apa yang berlaku tadi. Wakil Jabatan Penuntut telah membuat pengumuman meminta mereka bersedia di tempat parkir untuk menaiki van ke hotel yang telah ditempah. 

Eva dan Mira berlari-lari anak mencapai beg kabin dan beg-beg mereka yang lain untuk dikumpulkan di satu tempat sebelum dimasukkan ke dalam van.


EVA dan Mira ditempatkan di bilik yang sama di sebuah hotel. Hotel itu terletak di kawasan yang agak sesak. Kedengaran bunyi hiruk-pikuk kenderaan lalu-lalang di sebelah lebuh raya. Namun, mereka berasa lega dapat baring dan berehat setelah berada sangat lama dalam penerbangan. 

Dalam suasana yang sejuk dingin, pemanas di dalam bilik memberikan rasa selesa dan hangat. Malah, mereka tertidur selepas mandi dan membersihkan diri. Hanya terjaga apabila menyedari hari sudah lewat petang. 

Alhamdulillah mereka telah solat jamak qasar sebaik sahaja sampai atas nasihat pegawai Jabatan Penuntut tadi. Kalau tidak pasti ralat tertinggal solat. Waktu maghrib di Los Angeles pada musim sejuk lebih awal berbanding di Malaysia. Terkejut juga Eva sewaktu meneliti apps untuk waktu solat. 

Pukul 5.00 petang sudah masuk maghrib. Jika di Malaysia waktu itu kebanyakan warganya masih bekerja atau baru selesai kerja. Namun suasana maghrib di tempat yang jauh dari kampung halaman itu membawa rasa sayu ke hati Eva. Teringat segala kenangan bersama keluarga pak ciknya. Waktu maghrib adalah waktu mereka solat berjemaah dan membaca al-Quran bersama-sama. 

Mira mendapat mesej daripada Khidir memberitahu mereka akan menunggu di lobi hotel pada pukul 6.00 petang. Setelah bersiap, Eva dan Mira turun berdua. Eva macam biasa hanya menepek sedikit krim dan bedak ke muka. Dalam cuaca dingin, krim muka dan losyen badan memang wajib. Kalau tidak rasa rengsa dan tak selesa. 

Selain itu, lip gloss juga mesti dipakai untuk mengelakkan bibir kering dan merekah. Semua itu telah dimaklumkan oleh pelajar-pelajar senior sebelum datang. Tak lama kemudian, Ben datang meminta mereka mengikutnya ke kawasan parkir. Ada sebuah kereta menunggu mereka katanya. 

“Khidir sewa kereta ke?” soal Mira hairan. 

Eva menarik jaket rapat-rapat ke tubuh. Cuaca sangat sejuk ditambah dengan angin yang sesekali bertiup. Pipinya terasa seperti mahu beku. Mujur tudungnya sedikit sebanyak dapat mengurangkan kedinginan yang dirasa.

“Bukanlah. Ada kawan yang sewa kereta,” terang Ben.

Nama Ben, Benjamin dan dia berasal dari Sarawak. Berketurunan Bidayuh, tetapi keluarganya telah memeluk Islam lima tahun yang lalu.

“Oh ya ke? Kawan yang mana satu?” tanya Mira. 

Ben senyum senget.

“Kau orang tengoklah nanti.” 

Mira dan Eva hanya mengangguk. Malas hendak fikir asalkan mereka ada tempat untuk makan malam.


Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.