Home Novel Cinta JUJUR SAJA SAYANG
KEJAR

Wak Karjo masih menunggu di kereta. Dia menghabiskan sisa rokoknya yang terakhir. Gulungan daun berisikan tembakau basah cina menjadi kegemarannya. Sekali dihembus, berkepul-kepul asapnya. Dari jauh, asap rokoknya sahaja sudah membuatkan aku merasa lemas.

"Wak! wak kenal tak Doktor Hanna? tahu tak di mana rumahnya?" aku menegur.

"Err.. gawat ni tuan."

"Apa yang gawat-gawatnya, wak!"

Aku meninggikan suara padanya. Aku perlu bertegas. Kelak dikemudian hari, semua manusia di sekeliling aku mula belajar untuk pijak kepala aku pula.

"Saya nak ke rumah Doktor Hanna. Tolong hantarkan sekarang juga. Kalau wak engkar, malam ni juga wak boleh berhenti kerja, balik seberang!" aku bertegas.

Wak Karjo terdiam.

"Tiada kompromi dan tiada kata tidak. Ingat tu! Ini last warning dari saya," aku menambah.

Wak Karjo akur dengan kehendak aku. Sekarang aku sudah mulai memahami permainan yang tersembunyi di sebalik rahsia kebodohan mereka. Bagi aku, mereka belum cukup jahat lagi untuk menjadi jahat tetapi si bodoh yang belajar untuk menjadi jahat.

Sepanjang perjalanan itu, aku tidak henti-henti memikirkan tentang Hanna. Sumpah, aku rasa bodoh dengan apa yang telah berlaku pada malam itu. Dan, aku tidak sepatutnya membiarkan Dhya menguasai pertelingkahan itu tadi. Entah kenapa, aku menjadi sang pendayus membiarkan seseorang yang disayangi diperlakukan seenaknya oleh orang lain tanpa aku tampil melindunginya. Alangkah bodohnya aku.

Kereta yang dipandu Wak Karjo membelok ke satu simpang dan mendaki bukit ke satu kawasan perumahan. Kelihatan banglo mewah tersergam indah satu persatu dilewati. Bukan seperti perumahan biasa tetapi satu kawasan elit ala Inggeris layaknya. 

Aku tertanya, bagaimana seorang doktor mampu tinggal dan membeli aset di sini. Mustahil jika difikir-fikirkan dengan menggunakan akal yang waras. Banglo elit yang berharga jutaan ringgit itu hanya layak untuk ahli korporat ataupun mereka yang berwang sahaja. Aku tidak bermaksud memperkecilkan gaji seorang doktor tetapi aku masih dalam kebingungan.

"Betul ke Doktor Hanna tinggal di sini, wak?" aku mahukan kepastian.

"Betul tuan. Rumahnya terletak paling hujung selepas simpang tiga ini." 

Aku hanya membatu. Masih buntu memikirkan siapakah Hanna sebenarnya. Dan rahsia apa yang Hanna cuba simpan selama ini di luar pengetahuan aku. Serta apa hubungannya dengan keluarga aku. Dan lagi, aku teruja untuk mengetahui jawapan yang akan meluncur dari mulutnya kelak, seperti dakwaan Dhya yang Hanna adalah penyebab aku terlibat dalam kemalangan.

...

Loceng di pintu pagar ditekan berulangkali. Salam juga turut diberi. Naik kebas mulut aku memberi salam tetapi kelibat Hanna tidak juga kelihatan.

Kereta Hanna masih di parkir. Sudah tentu dia berada di dalam. Tetapi rumah banglo itu bergelap. Seakan tiada sesiapa di rumah. Aku tidak berputus asa. Aku yakin, Hanna marahkan aku. Dia bertindak sebegitu kerana kecewa dengan sikap aku tadi. Kerana aku tidak melindunginya dan memaksanya menjadi mangsa keadaan gara-gara menuruti perangai Dhya.

"Err wak, cuba panjat pagar ni sekejap."

"Astaga tuan... Nanti dipikir orang, wak ini maling," balas Wak Karjo.

"Jangan risau, saya yang bertanggungjawab semuanya," aku meyakinkannya.

Wak Karjo memerhati sekelilingnya dalam keadaan yang masih takut-takut. Dipandangnya ke kanan dan ke kiri. Depan dan belakang juga tidak terlepas oleh pandangan matanya.

Ketika baru meletakkan sebelah kaki di pagar rumah banglo itu, hujan rintik-rintik mulai turun membasahi Cameron Highland pada malam itu. Tanpa disangka, hujan menjadi semakin lebat dan ditambah pula kilat sabung menyabung.

Wak Karjo memandang ke arah aku. Dia masih menunggu arahan aku sebenarnya.

"Dah la wak, turun... turun! cepat buka pintu kereta, kita tunggu dalam kereta dahulu sampai hujan teduh."

Hampir sejam, berlalu begitu sahaja. Namun cuaca tidak mengizinkan aku untuk terus menunggu.

"Dah la wak, hantarkan saya balik."

"Tuan tak nak tunggu dulu?"

"Tak apa, kita datang esok saja."

Wak Karjo menghidupkan enjin kereta lalu meninggalkan perkarangan banglo mewah itu. Aku seakan mengalah dengan keadaan pada malam itu. Entah kenapa aku membuat keputusan untuk pulang. Aku sendiri buntu. Mungkin juga kerana aku ingin memberi ruang kepada Hanna untuk menenangkan fikirannya.

Firasat aku cukup kuat mengatakan yang Hanna memang berada di dalam banglo itu sambil memerhatikan aku dan Wak Karjo dalam kegelapan. Aku yakin Hanna sengaja mematikan diri. Naluri aku berkata pasti Hanna sedang dirudung kekecewaan yang mendalam terhadap aku. Aku pasti.

Aku tersedar dari lamunan yang cukup panjang tatkala Wak Karjo membukakan pintu kereta.

"Tuan, mari saya papahkan," tegur Wak Karjo.

Hatiku luluh mengenangkan Hanna yang kutinggalkan sendirian di sana walaupun hakikatnya Hanna yang telah pergi meninggalkan aku. Aku bagai hilang semangat untuk pulih seperti dahulu. Hatiku hancur. Biarkanlah aku begini sahaja, hidup tanpa kaki yang mampu melangkah.

"Wak, terima kasih untuk malam ini. Oh ya, tolong rahsiakan hal ini dari Datin Khalsom."

"Baik, tuan."

"Saya serius ya, wak! Kalau Datin Khalsom tahu, saya tahulah apa nak buat dengan wak," aku memberi amaran.



----------

HAI! BERMINAT DENGAN PENULISAN SAYA? BERILAH SOKONGAN ANDA DENGAN MENINGGALKAN KOMEN DI BAWAH. TERIMA KASIH!

----------

Previous: LUAHAN
Next: CULIK

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.