Di satu kaki lima
seorang lelaki muda
berkali-kali meneguk masam liur
puas menahan lapar dahaga
Bebola matanya tepat tertancap
di atas ketulan ayam rangup
yang sangat ingin dicuba
di dalam pintu kaca
sebuah restoran makanan segera
Tubuh kering nan lesu
dibungkus t-shirt kusam
celana lusuh longgar
menjerut pinggang yang leper
Berjalan-jalan di tengah kota
tiada niat mengganggu sesiapa
hanya mengharap ehsan warganya
bersama sepatu pecah
hadiah gemulah ayah
Semalam
perutnya di sumbat sekeping roti
setelah puas menelan maki
dan sebungkus teh o yang tidak ikhlas
dari restoran yang tak mahu rugi
Tidak siapa pun tahu
dia seorang OKU
tubuh kelihatan sempurna
namun akalnya tidaklah sama
Dia tak kan mampu menghidu
wanginya taman-taman kejayaan
tidak jua sering memesrai
erti indah nikmat kehidupan
Hari-hari berlalu
dia tetap seperti itu
tidak tangkas memburu rezeki
setelah kedua ibubapanya pergi
13/05/17
Silibin,Ipoh