1,167
Kategori:
Genre:
Senarai Bab
Bab 1

Dua jam lagi majlis pernikahannya akan berlangsung. Suasana banglo mewah Dato’ Shazan bergema riuh dan ceria. Abah dan Umi orang yang paling sibuk pada hari itu. Semua persiapan perlu diatur rapi. Para keluarga tak menang tangan membantu.  Rencana sempena perkahwinan itu sudah setahun lama dirancang. Tetapi, seperti biasa semua orang pasti melaluinya, di mana sejurus hari itu tiba, tentu ada saja kekurangan di mana-mana. Dia cuma mendengar bila setiap jam pembantu rumah mereka masuk melaporkan segala persiapan.

Di dalam bilik pengantin, Natiya sudah siap dimekapkan dan lengkap memakai pakaian nikah, kebaya rona putih yang anggun amat menepati ukuran tubuhnya. Sulamannya tidak begitu menonjol namun mengekalkan seni kehalusan manik-manik mutiara kecil yang indah. Sama seperti yang diimpikannya. 

       Baju sempena majlis pernikahan yang telah menyaluti lembut ke tubuhnya itu, baru siap diambil semalam. Dia hampir-hampir mengamuk pada Shuib si tukang jahit yang lambat sungguh kerjanya. Tetapi sejurus siap dia meminta maaf semula dan berterima kasih yang tidak terhingga pada Shuib kerana, tukang jahitnya itu telah membuatkannya sepasang baju nikah yang sangat sempurna, cantik dan halus jahitannya.

Berulang-ulang kali dia membelek dirinya di hadapan cermin. Melihat ke depan dan ke belakang, kagum dengan kecantikannya sendiri. Puan Anis juga tidak jemu memujinya, begitu juga sepupu-sepupu perempuan yang beberapa minit tadi berkumpul di dalam biliknya.

Selepas nikah pada pagi ini, majlis resepsi akan dilangsungkan pada sebelah malam di sebuah hotel terkemuka. Tiada yang Natiya harapkan selain semuanya akan berjalan dengan lancar dan dipermudahkan hendaklah segala urusan mereka sekeluarga.

Abang tunggalnya Shahrin menjengulkan kepala dari muka pintu. “Dah siap ke? Abah kata baik kita berangkat sekarang, tinggal setengah jam lebih lagi. Takut jalan sesak,” 

“Sikit lagi ya, kejap pengantin kita turun..” sahut mak andamnya Puan Anis yang memang terkenal di kalangan orang ternama.

Sebaik Puan Anis selesai mengenakan sentuhan terakhir di bahagian rambutnya, dia mula berdebar-debar ketika dibawa turun menuruni anak tangga yang dirasakannya sangat panjang bila semua orang yang berada di bawah memerhatikannya sambil memuji-muji.

Natiya turut terharu ketika Tuan Shazan dan Puan Naemah menyambutnya di bawah.

“Anak Umi dah nak jadi milik orang hari ni. Tak boleh manja-manja dengan Umi lagi tau...” gurau Umi lantas mereka berpelukan. Sempat lagi Umi menangis ketika mencium pipinya.

Natiya menahan airmata yang mula bergenang. Sayangnya dia dengan Umi yang selama ini membesarkannya menjadi anak yang berjaya. Abahnya pula kelihatan lebih tenang. Sejak semalam dia tidak banyak bercakap. Barangkali seperti uminya, Abah juga berat hati untuk melepaskannya menjadi isteri orang. Bila Natiya melihat Abah, Abah hanya tersenyum sambil menghela nafas panjang.

Kemudian, di luar perkarangan rumah sebuah kereta BMW yang berhias mewah dengan bunga-bunga bersedia untuk membawanya ke masjid An-Nur untuk melangsungkan hari pernikahan yang telah dirancangkan sebulan lalu. Beberapa wartawan sibuk mengambil gambar-gambar yang akan disiar di muka akhbar. 

‘Hari Perkahwinan Natiya, anak perempuan tunggal calon Gabenor Tuan Shazan’ barangkali begitulah judul-judul yang akan mengulas tentang perkahwinan antara dia dan kekasih hatinya Khayl Gibran.

Dengan langkah berhati-hati Natiya masuk ke dalam kereta yang dipandu oleh pemandu ayahnya, Roslan. Sementara Abah dan Umi berada di hadapan dengan menaiki kereta lain. Abangnya pula bersama-sama dengan isteri dan anak-anaknya lebih awal bertolak untuk menyusun atur majlis itu. Keluarga mereka yang lain, menaiki kenderaan masing-masing dan bergerak dalam kumpulan kenderaan yang keluar berderet-deret di atas jalan raya.

Natiya berkira-kira mungkin dalam lima belas atau dua belas minit rombongan itu akan tiba di tempat yang dituju. Rombongan Khayl juga sudah berangkat dari rumah mereka baru sekejap tadi seperti yang Roslan maklumkan padanya.

Ketika kereta itu telah jauh meninggalkan kawasan perumahan, tiba di jalan lurus yang menegak Kubah Masjid An-Nur jelas tersergam di depan sana. Kereta-kereta para pengiring rombongan telah tiba lebih dulu. Natiya semakin berdebar-debar. Tapak tangannya berpeluh, semakin dekat saat itu semakin jantungnya berdegup kencang. Matanya hanya ke arah gambaran kubah masjid yang semakin membesar sewaktu kereta itu mula membelok ke sebelah kanan jalan.

Bagaimanapun, ketika Roslan memusing stereng ke sebelah kanan tiba-tiba sesuatu berlaku. Pantas dan tidak tergambarkan…. bunyi tayar meletup kuat kedengaran menyebabkan kereta itu berpusing-pusing di atas jalan raya.

“Allahuakbar! Kenapa ni?” Suara Roslan menjerit kuat sambil cuba mengawal stereng.

Dalam keadaan panik kereta yang dinaiki Natiya dihalang oleh sebuah Jip entah dari mana munculnya sejurus ia berhenti berpusing.

“Abang Roslan!” jerit Natiya yang ketakutan sambil memaut kedua tangannya pada pemegang.

“Tayar kereta ditembak!” kelam-kabut dia mengeluarkan handphone dari poket baju sebelum dikejutkan dengan satu lagi tembakan peluru berkuasa tinggi yang mengenai kaca hadapan kereta kalis peluru itu hingga mula meretak dan satu lagi tembakan kacanya berkecai masuk ke dalam kereta. “Allahuakbar!” Sebut Roslan sebelum senyap.

Natiya menjerit kuat. Kepala Roslan rebah di sisi kerusi dan terus tidak sedarkan diri lagi.


Natiya memanggil-manggil nama Roslan. Dia bergerak ke depan dan menggoncang tubuh Roslan. Pemandu abahnya itu telah ditembak di leher, tetapi bukan dengan peluru nampaknya seperti jarum kecil yang mengandungi sedatif. Bunyi hon kereta kedengaran di belakang sana! Detik mencemaskan terus muncul… lebih dahsyat dan tidak diketahui puncanya. Sesuatu dilontarkan ke luar dan ke dalam kereta dan menyebabkan asap tebal memenuhi ruangan. “Allah, abah!” pekik Natiya meminta tolong…. nafasnya mula sesak, Natiya menutup hidung dengan tangan yang berpeluh.

Ketika ketakutan terus menyerang saraf-saraf otak…. seorang lelaki berpakaian celoreng seperti tentera dengan mukanya bertopengkan topeng gas dan seperti lembaga mengerikan… dia muncul di tengah-tengah asap kelabu yang berkepul-kepul menyelubungi kereta. Natiya cuba lari membuka pintu sebelah kiri tetapi dia gagal melihat sekelilingnya kecuali asap kelabu yang menyesakkan nafas. Dan sepantas detik mengerikan lelaki itu menariknya keluar! Dia meronta-ronta tetapi cengkaman lelaki itu terlalu kuat baginya. Dengan satu das tembakan sedatif ke arah leher dia langsung rebah dan tidak sedarkan diri! 


Sejurus asap menghilang, Tuan Shazan dan yang lain menyerbu ke arah kereta yang membawa Natiya tadi.

“Dia tak ada. Natiya hilang Tuan,” beritahu pengawal peribadinya.

“Natiya hilang! Abah Natiya diculik…” anak lelakinya menjerit kerisauan di tengah jalan.

Calon gabenor Tuan Shazan hanya mampu memandang lesu dengan degup jantung yang perlahan dan meresahkan.

***

Tuan Shazan dan isterinya merayu pihak berwajib agar berusaha sekeras mungkin bagi menangkap dalang yang menculik Natiya diculik dalam satu insiden tragik jalan raya ketika dalam perjalanan menuju ke majlis pernikahannya. Siasatan sedang dijalankan dan pihak polis masih menjejak penculik dan kumpulan yang bertanggungjawab.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.