BAB 6

Amir berjalan seorang diri menuju ke kawasan Kawah Maut. Berjalan di kawasan bangunan terbengkalai di kawasan hutan Pahang adalah seperti melawat tapak penggambaran filem bencana alam. Ada bangunan yang masih teguh berdiri. Ada juga yang sudah runtuh dek serpihan letupan bom nuklear ataupun akibat hakisan cuaca. Kelihatan pokok-pokok liar telah tumbuh memanjat bangunan yang lusuh dimakan usia.

Entah mengapa Amir tidak berasa gerun atau cuak berjalan di kawasan itu seorang diri. Adakala dia merasakan semua ini seperti sebuah mimpi. Dia berjalan di tengah-tengah lokasi di mana pertempuran pejuang negara dan Amerika pernah berlangsung. Tapak sejarah yang akan termaktub dalam hikayat dunia sampai bila-bila.

Tiba-tiba Amir teringat akan bebola kristal di dalam kocek. Bebola itu dikeluarkan dan dibelek.

'Apa bendanya ni? Entah kenapa aku tertarik sampai membawanya keluar dari makmal Gen-X. Ah! Asalkan tiada siapa yang tahu, cukup.' Amir dihantui rasa bersalah kerana mengambil benda itu tenapa izin.

'Boleh menambahkan koleksi batu-batu pelik yang aku miliki.' Amir mengingat kembali tentang hobi peliknya. Bebola kristal akuamarin in adalah yang paling istimewa sekali bagi Amir.

Setelah menyimpan kembali bebola itu, Amir menapak semula di jalan raya yang sudah hampir sama dengan tanah di kawasan itu. Hanya saki-baki bitumen dan tar yang masih kelihatan.

Ada ketika Amir rasa dirinya diperhatikan dari bangunan-bangunan tinggal yang tidak berpenghuni itu. Seolah-olah ada sepasang mata yang meneliti setiap gerak-gerinya.

Mentari sudah mula meninggi dengan cahaya yang menyilaukan. Amir merasakan seperti ada sesuatu melintas di depannya, namun dia tidak dapat melihat sesiapa atau sesuatu yang ada di situ. Hanya perasaan yang dapat memastikan perkara itu.

Amir cuba menepis rasa seram dengan memikirkan tentang perang yang pernah tercetus satu masa dahulu di kawasan itu.

'Aku tak sangka Malaysia boleh jadi mangsa dalam perang anti-Islam ni. Selama ni Malaysia adalah negara yang aman makmur. Tak ada bencana alam yang dahsyat seperti gempa bumi, gunung berapi atau banjir besar-besaran. Tapi disebabkan oleh kesilapan yang menyebabkan kuasa besar menyangka negara ni terlibat dengan aktivis Islam, ia jadi mangsa akhirnya. Ini boleh dijadikan pengajaran supaya kita tak boleh ambil sambil lewa tentang keamanan negara. Akibatnya terpaksa ditanggung oleh penduduk di kawasan macam ini.'

Amir sudah menghampiri lubang cengkung dengan lebarnya beberapa kilometer. Tumbuh-tumbuhan sudah mula menghijau di kawasan yang menjadi takungan hujan itu.

'Keganasan selalunya akan memberikan akibat yang buruk. Lebih teruk lagi apabila bukan mereka yang terlibat secara langsung yang menderita. Kaum yang lemah dan kanak-kanak yang tak berdosa biasanya adalah yang paling teruk menjadi mangsa peperangan akibat keganasan.' Refleksi Amir dalam diam.

Pandangan Amir menangkap sesuatu di dalam bangunan yang gelap. Kelihatan sesorang atau sesuatu sedang melintas tingkap dengan cahaya yang terang. Anehnya lembaga itu memiliki susuk tubuh manusia yang sedang terapung. Dengan sekelip mata lembaga bercahaya terang itu hilang.

'Takkan siang-siang macam ni ada makhluk halus.' Amir cuba menguatkan semangatnya.

'Mana Halim ni? Dari tadi aku tak nampak kelibat dia. Betul ke apa yang Kamelia cakapkan tadi?' Amir melihat sekeliling dengan rasa curiga.

Amir sudah nekad. Dia tidak mahu dibelenggu rasa takut ini lagi.

'Apa yang aku nak takut? Aku dah lihat manusia kelawar. Aku dah nampak mayat hidup yang diberi nafas baru dengan kuasa bionik. Apa lagi yang boleh menambah rasa takut ini?' Amir menukar haluan tapak kakinya. Dia menuju ke bangunan di mana dia melihat lembaga bercahaya itu tadi.

"Siapa kau? Apa yang kau nak?" Suara lantang Amir bergema di ruang lompang dan suram itu.

"Tunjukkanlah rupa kau!" Amir memberanikan diri, walaupun jauh di sudut hatinya masih ada rasa kecut.

Tidak lama kemudian Amir terdengar derap tapak kaki di kawasan itu. Amir meneguk liur sebagai tindakan spontan dalam keadaan begitu.

Lutut Amir terasa lemah. Tetapi dia tidak mahu dikuasai ketakutan lagi.

Sekonyong-konyong itu satu bayangan manusia muncul. Sesusuk tubuh dalam keadaan samar dan suram itu. Amir cuba mengamati kelibat itu. Seorang manusia. Pemuda yang pernah dia lihat.

"Halim? Kau buat apa di sini?" Amir terasa lega, walaupun rasa takut tadi masih bersisa.

"Sepatutnya aku yang tanya kau. Apa yang kau buat di tempat lengang macam ni?" Halim bertanya kembali.

"Aku cari kau. Kata Kamelia kau ada di sini." Amir rasa tidak selesa dengan cara Halim merenung tajam wajahnya.

Halim mengalihkan pandangan. Dia berjalan ke tepi tingkap dan menongkat lengannya di situ. Amir mengekor Halim.

"Aku sebenarnya rasa cuak masa kau mula-mula sampai kat sini. Aku ingat kau pengintip yang dihantar oleh Byron."

"Pengintip? Kenapa kau sangka macam tu?" Amir terkejut mendengar kata-kata Halim.

"Lepas kami lari, sampai sekarang dia belum berjaya berkas kami semula. Walaupun beberapa kali dia cuba bongkar tempat persembunyian kami. Aquilar dan Seri Dewi dah dapat kesan dari awal."

"Apa latar hidup kau?" Soalan Amir telus tanpa berkias.

"Siapa lagi yang kau dah tanya?" Halim tersenyum sinis sambil memerhatikan kawasan Kawah Maut yang nampak begitu gah dari situ.

"Kamelia, Aquilar dan Zombion. Kenapa? Kau tak suka aku tanya?" Amir rasa tidak selesa.

"Aku sebenarnya malas nak fikir tentang masa silam. Kebanyakannya cuma menyempitkan dada aku. Tapi sebab kau tanya, aku akan ceritakan." Halim kini bersandar ke tepi tingkap.

"Aku pelajar U. Bapa aku orang ternama. Usahawan terkenal, Dato' Khairil. Tapi aku tak dapat kasih-sayang seorang ayah semenjak kematian ibu aku. Aku tak pasti sama ada dia sengaja menyibukkan diri dengan kerja, sebab nak lupakan kepedihan selepas kehilangan ibu aku. Aku rasa terabai. Dia seolah-olah mementingkan kerja lebih daripada aku." Ada nada sayu dalam kata-kata Halim.

"Sampai masa aku nak masuk kolej, dia suruh aku pilih kursus yang sesuai dengan kehendak dia. Untuk sambung legasi perniagaan. Tapi aku minat bidang Biologi. Bila dia tahu aku ambil kursus yang bukan dia suruh, dia naik berang. Dia ugut aku. Dia kata kalau aku teruskan kursus ini, aku tak akan dapat satu sen pun harta peninggalan dia. Aku nekad. Akhirnya hubungan kami makin renggang. Bila aku ada di rumah, aku rasa macam halimunan. Aku rasa aku tak wujud di sisi dia."

Amir hanya mendengar luahan hati Halim yang penuh emosi.

"Satu hari aku kemalangan. Muka aku rosak akibat terseret atas jalan. Sejak tu aku selalu ke kelas dengan hud untuk tutup muka aku yang dah cacat. Aku nampak sinar harapan masa lawatan ke Makmal Gen-X. Byron beritahu aku dia ada prosedur untuk ubah wajah aku supaya jadi seperti asal. Tapi dia beri syarat. Aku kena jadi bahan ujikaji dia."

"Kau setuju?" Amir tidak sabar menunggu cerita seterusnya.

"Kalau kau jadi aku, aku rasa kau pun akan setuju. Kau boleh bayangkan tak perasaan bila orang tenung muka kau dengan pandangan yang pelik? Kadang-kadang aku rasa macam dia orang tu tengah nampak hantu."

Halim terdiam seketika sebelum menyambung.

"Akhirnya muka aku jadi seperti asal. Seperti sekarang ni. Kerana terikat dengan janji, aku jalani eksperimen yang diatur oleh Byron. Dia beritahu DNA aku akan diubah suai dengan elemen kromatik. Cahaya."

Dengan serta-merta Amir teringat kelibat lembaga bercahaya yang dia lihat tadi.

"Teknologi Byron memang luar biasa. Dengan kawalan minda, seseorang boleh mengubah struktur DNA tubuhnya. Macam sesumpah yang boleh bersembunyi mengikut keadaan sekeliling. Tapi itu adalah kebolehan Kamelia, seperti yang kau dah tahu. Nasib baik aku dan Kamelia ada suit senyawa yang boleh berubah mengikut struktur DNA kami. Kalau tak...," Halim tersenyum dalam berseloroh.

"Jadi apa kelebihan kau?" Amir terlalu ingin tahu.

"Daripada aku beritahu, lebih baik aku tunjuk." Halim menanggalkan jeket berhud dengan seluar yang dipakai.

Amir dapat melihat pakaian yang dimaksudkan. Kelihatan seperti suit skuba.

"Kau tak rasa panas pakai dalam keadaan macam ni?" Amir kehairanan.

"Suit ni boleh mengawal keadaan suhu badan aku. Ia dibuat daripada gentian berteknologi tinggi. Kau dah bersedia?"

Amir hanya mengangguk.

Dengan sekelip mata Halim bertukar menjadi lembaga cahaya yang dilihat tadi. Halim hilang dan kemudian muncul semula. Halim berubah menjadi bentuk asalnya.

"Apa yang kau buat tadi?"

"Struktur DNA aku berubah menjadi bentuk cahaya. Kemudian aku bergerak dengan kelajuan cahaya. Lebih laju daripada Flash Gordon."

"Menakjubkan!" Amir teruja.

"Bagi kau mungkin. Bagi aku ini umpama satu sumpahan. Aku risau kalau-kalau keadaan minda aku tak stabil hingga aku berubah di depan khalayak ramai. Sebab tu aku memilih untuk tinggal di makmal. Aku anggap diri aku sebagai anak yatim. Aku rasa aku dah tak ada ayah lagi. Aku adalah manusia yang baru."

"Tapi kau tak ada nama gelaran macam Kamelia atau Zombion." Komen Amir. Naif.

"Nasib aku berlainan sedikit. Halim adalah nama sebenar dan samaran aku."

"Macam mana?"

Halim ketawa kecil dengan telatah Amir.

"Bila aku berubah, aku tak kelihatan di mata manusia. Aku halimunan. Kau masih belum dapat tangkap. Halim... munan."

"Oooh, baru aku faham." Amir menggaru kepala yang tidak gatal.

Akhirnya Amir tahu kelebihan Halim. Manusia yang boleh berubah menjadi cahaya itu sebenarnya adalah halimunan. Cuma dalam keadaan gelap dia akan kelihatan seperti lembaga yang bersinar terang.

"Dalam keadaan seperti ini aku boleh tembus menerusi apa jua yang lutsinar atau lutcahaya. Aku tak boleh tembus menerusi benda legap atau yang membalikkan cahaya secara mutlak. Biasalah, seperti Superman dengan batu Kryptonite."

"Kau tak kena kurung seperti yang lain. Tapi kenapa kau sertai kumpulan ini?" Amir sedar apa yang diceritakan oleh Halim.

"Aku dapat tahu rancangan Byron untuk menggunakan kami sebagai tentera berkuasa X miliknya. Aku tak sanggup menjadi alat dia mencapai cita-cita gila dia tu. Lagipun aku dah tunaikan janji aku. Aku tak pernah berjanji untuk terus bersama dengan dia."

Amir mengelamun memikirkan keadaan Byron dan rancangan masa depannya. 'Bagaimana kalau hasratnya menjadi kenyataan?'

"Eh, jomlah kita balik. Mungkin Zombion ada perkara yang nak disampaikan tentang rancangan kita malam ni. Lagipun kita perlu berehat, supaya dapat fokus malam ni."

Amir akur. Dia mengiringi Halim meninggalkan kawasan Kawah Maut.



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.