Home Novelet Seram/Misteri SAYEMBARA MISTIK
SAYEMBARA MISTIK
Pero D. Zoref
7/11/2016 13:18:33
23,333
Kategori: Novelet
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
BAB 14

2 tahun lalu, di pinggir hutan belakang Perumahan Inderaloka Jaya..

Ipin mendongak ke tabir langit sebaik sahaja dia keluar dari perut kereta kancilnya. Cuaca cerah tanpa kelibat awan kelam berarak. Mentari tidak sampai satu pertiga dari perjalanannya di dada langit. Ipin melebar senyum, semoga apa yang dirancang olehnya bersama dua temannya, Safri dan Irwan sejak semalam berjalan lancar.

“Bang, tak pe ke ni parking dekat rumah orang?” Safri tiba-tiba meluah kegusaran sebaik kakinya menjejak ke bumi. Pintu kereta ditutupnya dengan kemas. Sedang Irwan masih terkial-kial di dalam kereta, mengemas barangan keperluan di dalam beg galasnya.

“Eh! Apa salahnya, bukan aku parking tepi pagar rumah dia, kalau aku parking tepi pagar rumah dia pun tak salah, sebabnya luar dari pagar bukannya kawasan rumah dia” panjang lebar pula balasan yang diterima Safri dari persoalan yang dilontarnya kepada Ipin tadi.

“Okey, okey, eh! Abang Wan bila nak keluar dari kereta?, saya tak sabar dah nak mandi sungai ni” Safri berkalih pandang pula kepada temannya, Irwan yang masih terbilang-bilang barangan di dalam beg galasnya.

“Sabarlah, dah siap dah ni wei..” Irwan segera menarik zip beg galasnya dan melangkah keluar dari kereta. Tali beg galas itu dia saukkan ke bahu sebelah kanan sahaja. “Dah siap, jomlah! ape lagi?”

Tanpa berlengah lagi, Safri membuka langkah meninggalkan jalan bertar, menapak di atas rumput pinggir hutan.

“Hoi! Hoi! Teruja betul kau ye? Kau tau ke mane jalan ke sungai yang aku nak bawa ni?” Ipin melaung sesudah memerhatikan keterujaan si Safri menonong sahaja langkahnya menghala ke hutan di pinggir perumahan .

Safri memutar tubuh kembali memadang Ipin dan Irwan yang masih tidak berganjak dari sisi kereta. Dia tersengeh seperti kerang busuk. Pada sangkaannya, Ipin dan Irwan akan melangkah deras sepertinya juga menghala ke arah hutan itu.

“Sorry-sorry, tak sabar sangat saya nak melepak mandi sungai” Safri kembali menongkah arah jalannya semula kepada Ipin dan Irwan.

“Ye, aku dengan Irwan pun tak sabar macam kau, tapi ni kita masuk hutan, macam-macam bende ada dalam sana, sebelum masuk tu baca doa dulu, minta Allah lindungi kita dari perkara yang tidak diingini” Beritahu Ipin, dia sangat mengenali perangai Safri. Pelajar Junior di sekolah, muda tiga dari umurnya. Safri penuh dengan semangat, periang orangnya. Kalau melakukan sesuatu sentiasa bersungguh-sungguh. Ipin tersenyum terkenangkan perangai adik seperguruan dengannya itu.

Irwan hanya memerhati sahaja gelagat dua temannya, tiada keperluan lagi untuk dia mencelah.

Safri berhenti menapak sebaik sahaja dia tiba di sebelah Irwan. Irwan mengangkat sebelah kening menghantar kata hati yang Safri sendiri memahami, bahawa Irwan sedang menyalahkannya kerana terlalu gopoh.

Tangan ditadah, mulut Ipin terkumat-kamit membaca surah Al fatihah sebanyak tiga kali. Kemudian disusuli dengan bacaan ayat penggerak dan akhirnya ditutupi dengan doa pendinding dari gangguan syaitan. Segala doa dan petua sudah sekian lama disemat di dalam ingatannya, hobinya meneroka hutan dan memanjat gunung menuntut dia lebih berhati-hati dan sentiasa memohon diberi perlindungan oleh Allah daripada musibah.

Usai berdoa, Ipin menyulung langkah menghala ke arah hutan di pinggir perumahan itu. Di saat telapak kasutnya jatuh mengena ke rumput di pinggir hutan itu, tiba-tiba detak jantungnya menjadi kencang. Jiwanya, entah kenapa menjadi tidak keruan. Batang tengkuknya terasa dihembus hawa dingin. Dia merasakan bagai ada geruh menantinya jika dia meneruskan langkah. Ipin mematikan langkahnya, mematungkan diri buat sejenak. Hutan kelam itu ditenungnya seketika. Seolah ada mata-mata yang tidak kelihatan memerhati mereka dari dalam hutan itu.

Irwan dan Safri dibelakang turut menghentikan hayunan langkah. Masing-masing berpandangan sesama sendiri.

“Aku rasa ada yang tak kena?” Ipin menyuarakan rasa tidak senang di hatinya. Dia mendongak ke dada langit. Tiada tanda bahawa hujan mahu turun bahkan tiada lansung kelihatan awan sarat berarak di dada langit. Tetapi kenapa hawa yang bertiup terasa begitu dingin.

“Kalau macam tu kita balik sajalah, lain kali pun boleh” Irwan memaut bahu Ipin.

“Alaaah, ape ni!, bukan senang nak sampai sini, abang Ipin pun bukan senang nak pinjam kereta mak dia tu” Safri tidak puas hati dengan saranan Irwan. Raut mukanya masam, sejak semalam dia begitu teruja mendengar cerita Ipin mengenai kecantikan panorama sungai di dalam hutan pinggir perumahan itu. Kalau tak jadi ke sana, dialah yang paling terkesan.

Ipin berasa serba salah pula, dia sudah berjanji hendak membawa si Safri mandi di sungai itu. Sambil-sambil itu boleh mereka berpencak di sana, menajamkan kemahiran ilmu persilatan mereka setelah sekian lama mereka tidak berlatih. Dia terdiam sejenak, mencari keputusan yang tepat.

“Kita masuk juga, tapi ingat jangan celupar, jaga adab dalam hutan ni Shafri” Ipin turutkan juga kemahuan Safri. Saranan Ipin itu dibalas anggukan oleh Safri.

Sepanjang langkah perjalanannya, Ipin membaca ayat kursi sehingga dia tiba di tebing sungai, dia menghentikan langkah dan berpaling ke arah dua temannya.

“Kita susur sungai ni sampai kat port yang aku nak bawak kau orang ni” beritahu Ipin dengan mimik muka yang serius. “Tapi keadaan jalannya agak mencabar jugak ni, dengan selutnya, batu berlumut, licin lepas tu pacat jangan katalah, memang ada yang menumpang nanti”

“Jangan risau abang Ipin, saya memang dah bersedia sejak azali lagi, kan abang wan?” Safri menyigung sikunya ke lengan Irwan.

“Hemm..yelah tu..dengar betul-betul abang Ipin kau cakap, jangan nak semberono je dalam hutan tu nanti” Irwan malas nak melayan keletah Safri, fikirannya tidak di situ. Dia lebih risaukan keselamatan serunai yang dibawa di dalam beg galasnya. Begitulah lazimnya Irwan, ke mana dia pergi, dia pasti membawa alat muzik. Paling tidak pun, dia akan membawa harmonikanya. Namun, kali ini dia memilih untuk membawa serunai. Tujuannya, dia ingin berlatih beberapa lagu yang perlu dia mahirkan untuk dialunkan ketika pertandingan pencak silat yang diadakan pada minggu hadapan.

“Okeh! Bagus! Kalau macam tu, jom gerak” dengan lafaz bismillah Ipin menghayun langkahnya, mengepalai perjalanan menuju ke destinasi yang sudah mereka rencanakan sejak kelmarin.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.