2 tahun lalu, di
pinggir hutan belakang Perumahan Inderaloka Jaya..
Ipin mendongak ke tabir langit sebaik sahaja dia keluar dari
perut kereta kancilnya. Cuaca cerah tanpa kelibat awan kelam berarak. Mentari
tidak sampai satu pertiga dari perjalanannya di dada langit. Ipin melebar
senyum, semoga apa yang dirancang olehnya bersama dua temannya, Safri dan Irwan
sejak semalam berjalan lancar.
“Bang, tak pe ke ni parking dekat rumah orang?” Safri
tiba-tiba meluah kegusaran sebaik kakinya menjejak ke bumi. Pintu kereta
ditutupnya dengan kemas. Sedang Irwan masih terkial-kial di dalam kereta,
mengemas barangan keperluan di dalam beg galasnya.
“Eh! Apa salahnya, bukan aku parking tepi pagar rumah dia,
kalau aku parking tepi pagar rumah dia pun tak salah, sebabnya luar dari pagar
bukannya kawasan rumah dia” panjang lebar pula balasan yang diterima Safri dari
persoalan yang dilontarnya kepada Ipin tadi.
“Okey, okey, eh! Abang Wan bila nak keluar dari kereta?,
saya tak sabar dah nak mandi sungai ni” Safri berkalih pandang pula kepada
temannya, Irwan yang masih terbilang-bilang barangan di dalam beg galasnya.
“Sabarlah, dah siap dah ni wei..” Irwan segera menarik zip
beg galasnya dan melangkah keluar dari kereta. Tali beg galas itu dia saukkan
ke bahu sebelah kanan sahaja. “Dah siap, jomlah! ape lagi?”
Tanpa berlengah lagi, Safri membuka langkah meninggalkan
jalan bertar, menapak di atas rumput pinggir hutan.
“Hoi! Hoi! Teruja betul kau ye? Kau tau ke mane jalan ke
sungai yang aku nak bawa ni?” Ipin melaung sesudah memerhatikan keterujaan si
Safri menonong sahaja langkahnya menghala ke hutan di pinggir perumahan .
Safri memutar tubuh kembali memadang Ipin dan Irwan yang
masih tidak berganjak dari sisi kereta. Dia tersengeh seperti kerang busuk.
Pada sangkaannya, Ipin dan Irwan akan melangkah deras sepertinya juga menghala
ke arah hutan itu.
“Sorry-sorry, tak sabar sangat saya nak melepak mandi
sungai” Safri kembali menongkah arah jalannya semula kepada Ipin dan Irwan.
“Ye, aku dengan Irwan pun tak sabar macam kau, tapi ni kita
masuk hutan, macam-macam bende ada dalam sana, sebelum masuk tu baca doa dulu,
minta Allah lindungi kita dari perkara yang tidak diingini” Beritahu Ipin, dia
sangat mengenali perangai Safri. Pelajar Junior di sekolah, muda tiga dari umurnya.
Safri penuh dengan semangat, periang orangnya. Kalau melakukan sesuatu sentiasa
bersungguh-sungguh. Ipin tersenyum
terkenangkan perangai adik seperguruan dengannya itu.
Irwan hanya memerhati sahaja gelagat dua temannya, tiada
keperluan lagi untuk dia mencelah.
Safri berhenti menapak sebaik sahaja dia tiba di sebelah
Irwan. Irwan mengangkat sebelah kening menghantar kata hati yang Safri sendiri
memahami, bahawa Irwan sedang menyalahkannya kerana terlalu gopoh.
Tangan ditadah, mulut Ipin terkumat-kamit membaca surah Al
fatihah sebanyak tiga kali. Kemudian disusuli dengan bacaan ayat penggerak dan
akhirnya ditutupi dengan doa pendinding dari gangguan syaitan. Segala doa dan
petua sudah sekian lama disemat di dalam ingatannya, hobinya meneroka hutan dan
memanjat gunung menuntut dia lebih berhati-hati dan sentiasa memohon diberi
perlindungan oleh Allah daripada musibah.
Usai berdoa, Ipin menyulung langkah menghala ke arah hutan di
pinggir perumahan itu. Di saat telapak kasutnya jatuh mengena ke rumput di
pinggir hutan itu, tiba-tiba detak jantungnya menjadi kencang. Jiwanya, entah
kenapa menjadi tidak keruan. Batang tengkuknya terasa dihembus hawa dingin. Dia
merasakan bagai ada geruh menantinya jika dia meneruskan langkah. Ipin mematikan
langkahnya, mematungkan diri buat sejenak. Hutan kelam itu ditenungnya
seketika. Seolah ada mata-mata yang tidak kelihatan memerhati mereka dari dalam
hutan itu.
Irwan dan Safri dibelakang turut menghentikan hayunan
langkah. Masing-masing berpandangan sesama sendiri.
“Aku rasa ada yang tak kena?” Ipin menyuarakan rasa tidak
senang di hatinya. Dia mendongak ke dada langit. Tiada tanda bahawa hujan mahu
turun bahkan tiada lansung kelihatan awan sarat berarak di dada langit. Tetapi
kenapa hawa yang bertiup terasa begitu dingin.
“Kalau macam tu kita balik sajalah, lain kali pun boleh” Irwan
memaut bahu Ipin.
“Alaaah, ape ni!, bukan senang nak sampai sini, abang Ipin
pun bukan senang nak pinjam kereta mak dia tu” Safri tidak puas hati dengan
saranan Irwan. Raut mukanya masam, sejak semalam dia begitu teruja mendengar
cerita Ipin mengenai kecantikan panorama sungai di dalam hutan pinggir
perumahan itu. Kalau tak jadi ke sana, dialah yang paling terkesan.
Ipin berasa serba salah pula, dia sudah berjanji hendak
membawa si Safri mandi di sungai itu. Sambil-sambil itu boleh mereka berpencak
di sana, menajamkan kemahiran ilmu persilatan mereka setelah sekian lama mereka
tidak berlatih. Dia terdiam sejenak, mencari keputusan yang tepat.
“Kita masuk juga, tapi ingat jangan celupar, jaga adab dalam
hutan ni Shafri” Ipin turutkan juga kemahuan Safri. Saranan Ipin itu dibalas
anggukan oleh Safri.
Sepanjang langkah perjalanannya, Ipin membaca ayat kursi
sehingga dia tiba di tebing sungai, dia menghentikan langkah dan berpaling ke
arah dua temannya.
“Kita susur sungai ni sampai kat port yang aku nak bawak kau
orang ni” beritahu Ipin dengan mimik muka yang serius. “Tapi keadaan jalannya
agak mencabar jugak ni, dengan selutnya, batu berlumut, licin lepas tu pacat
jangan katalah, memang ada yang menumpang nanti”
“Jangan risau abang Ipin, saya memang dah bersedia sejak
azali lagi, kan abang wan?” Safri menyigung sikunya ke lengan Irwan.
“Hemm..yelah tu..dengar betul-betul abang Ipin kau cakap,
jangan nak semberono je dalam hutan tu nanti” Irwan malas nak melayan keletah
Safri, fikirannya tidak di situ. Dia lebih risaukan keselamatan serunai yang dibawa
di dalam beg galasnya. Begitulah lazimnya Irwan, ke mana dia pergi, dia pasti
membawa alat muzik. Paling tidak pun, dia akan membawa harmonikanya. Namun, kali
ini dia memilih untuk membawa serunai. Tujuannya, dia ingin berlatih beberapa
lagu yang perlu dia mahirkan untuk dialunkan ketika pertandingan pencak silat yang
diadakan pada minggu hadapan.
“Okeh! Bagus! Kalau macam tu, jom gerak” dengan lafaz
bismillah Ipin menghayun langkahnya, mengepalai perjalanan menuju ke destinasi
yang sudah mereka rencanakan sejak kelmarin.