Bab 8

#8:You, me & The Memory

"Hoi..bangunlah"

Pappp...Papp

Pipi gebu Merlis ditepuk berkali-kali oleh tapak tangan kasar milik Maliq. Nampaknya gadis tersebut masih belum sedarkan diri.  Puas dipanggil namanya berulang kali.  Pelbagai cara telah dilakukan untuk menyedarkan gadis tersebut sehinggalah Maliq berputus asa.

"Huihhh..berat nak mampus kau ni.   Badan je kecik" Omelan Maliq hanya didengari oleh sang burung yang berkicauan di ranting pokok berhampiran.

Maliq tiada pilihan lain.  Dia terpaksa mendukung Merlis diatas bahunya dan pergi ke suatu tempat yang dirasakan selamat.  Risau juga jika kawasan tersebut dihuni oleh pak belang atau pun sang beruang.  Sudah tentunya mereka akan dijadikan santapan makan malam makhluk mamalia tersebut.

Mereka berdua masih berada dikawasan hutan yang agak tebal. Hamparan rumput yang menghijau menjadi tempat pendaratan tidak rasmi mereka tadi telah jauh ditinggalkan dibelakang.  

Deria pendengaran Merlis menangkap sayup-sayup bebelan suara si lelaki.  Namun butirannya tidaklah difahami.  Dia masih lagi belum sedarkan diri sepenuhnya.

Tubuhnya terhinjut-hinjut mengikuti pergerakan Maliq yang sedang berjalan.  Sekali-sekala kelopak matanya terbuka sedikit menampakkan hanya lalang-lalang yang disusuri oleh pemuda tersebut. Kelopak matanya terkatup semula tanpa dia sendiri sedari.

"Panas badan kau ni.   Menyusahkan betul la.  Boleh pulak kau demam dalam situasi genting macam ni"

Jasad Merlis diletakkan diatas lantai yang beralaskan timbunan rumput-rumput kering.  Maliq secara tidak sengaja menjumpai sebuah bangsal atau lebih tepat lagi sebuah kandang haiwan yang telah terbiar agak lama. Mungkin sebuah kandang kuda.

Yang peliknya, tiada sebuah rumah pun dijumpai disepanjang perjalanan mereka.  Tiba-tiba sahaja dia menemui kandang terbiar itu ditengah-tengah hutan.   Justeru, Maliq telah mengambil keputusan untuk berehat buat sementara waktu di kandang usang tersebut.

Merlis dapat merasakan titisan air dicurahkan di atas rambutnya. Terasa satu tangan kasar meraup-raup wajahnya dengan air dingin dan menyegarkan.  Maliq meletakkan belakang tapak tangannya ke dahi Merlis.

"Dah berkurang pun.  Kau rehat la.  Aku pergi cari makanan dulu.  Jangan nak lari pulak"

Sebenarnya Merlis telahpun sedar sejak lima belas minit yang lalu. Sengaja dia membatukan diri kerana kesakitan yang dialaminya. Tubuhnya terasa panas dan semakin berkurangan setelah Maliq menjaganya.

"Lupa pulak.  Kau pengsan.  Mana boleh lari.  Aku pun dah pening. Hahahaha" Maliq ketawa sendirian.  

Kreekkkk...dumm..

Pintu kandang yang telah usang ditutup rapat.  Berkeriut bunyinya umpama rumah hantu yang sering dimomokkan seperti didalam cerita-cerita seram dan juga filem seram. Engselnya sudah berkarat barangkali.

Merlis membuka kelopak matanya perlahan-lahan.  Perkara pertama yang dilihatnya adalah juntaian ranting-ranting pokok yang menerobos melalui bumbung  yang telah rosak.  Ranting-ranting yang bergantungan dengan dedaun hijau meliuk-liuk ditiup angin menghasilkan irama alam.  Merlis cuba untuk duduk.  Sebaik saja tubuhnya ditegakkan, kepalanya terasa berpusing-pusing.

"Arghhh..sakitnya!"

Tangannya memicit-micit kepala dan dahi berulang kali.  Dia demam mungkin akibat terlalu penat. Ataupun mungkin juga akibat terjatuh tadi.  Bahagian sikunya terasa pedih.  Dia melihat lengan yang terdapat kesan calar yang akak panjang.  Kulit dihujung sikunya terkoyak sedikit.  Menampakkan isinya yang berwarna merah dengan calitan darah.

Baju dan seluarnya dikotori oleh pasir.   Seluar jeans dibahagian lututnya juga terkoyak.  Terdapat kecederaan kecil disitu.  Merlis menguis-nguis sisa pasir yang melekat di permukaan lukanya. Mendesis dia menahan pedih. Matanya dililaukan ke sekeliling kandang.  Dinding-dinding sudah berlubang dimamah usia.  

Kreekkkk..

Pintu dikuak dari luar.  Maliq memasuki ruang kandang tersebut dengan tidak memakai baju. Kemeja-T yang dipakainya tadi dijadikan sebagai bunjut yang diletakkan sesuatu didalamnya.

Gedebukkk...

Kemeja tersebut dicampakkan ke lantai.  Bertaburan buah-buahan yang tidak pernah dilihat olehnya sebelum ini tergolek-golek dilantai.

"Ni je yang ada.  Makan la buat alas perut.  Biar bertenaga sikit nanti. Perjalanan kita pun masih jauh lagi" ujar Maliq.  

Dia mengutip buah-buahan berbentuk bujur kecil dan kulitnya berwarna merah gelap.  Salah satu daripada buah tersebut digenggam kuat dengan kedua-dua belah tapak tangan maka terbelah dua buah tersebut lalu dihulurkan kepada Merlis yang memerhatikan tingkah lakunya sejak tadi.

"Ambik.  Aku dah makan tadi.  Sedap juga.  Tak beracun kira okay la tu" jelas Maliq.

Merlis menyambutnya dengan teragak-agak.  Tekstur isi buah tersebut seperti buah tomato yang mempunyai biji-biji halus berwarna hitam.  Dia menceduk sedikit isinya dengan jari lalu memasukkannya kedalam mulut dengan perlahan-lahan.

'Rasanya seakan-akan buah tomato.  Lembik dan masam. Bolehlah diterima tekak' monolognya.

Maliq tersenyum.  Merlis seorang gadis yang tidak terlalu memberikan masalah kepadanya. Gadis itu juga mendengar kata.  Sedikit sebanyak menyenangkan kerjanya.  Namun ada sesuatu yang merunsingkannya. Sampai bila dia harus mengheret gadis itu ke sana dan ke mari?

"Kita kat mana sekarang ni?" soal Merlis memecahkan kebisuan petang.

"Entah.  Aku pun tak tahu.  Malam ni kita berehat je kat sini.  Esok pagi-pagi kita gerak"

"Ke mana?" 

"Ke tempat yang orang tak kenal aku dan kau.  Jadi kita akan selamat disitu"

Maliq melabuhkan punggungnya dihadapan Merlis.  Kemeja tadi dikibas-kibas diudara untuk membuang debu-debu dan pasir lalu disarungkan kembali ketubuh sasanya.

"Maliq.  Boleh saya tanya sikit?"

Maliq menoleh.  Suara lunak gadis itu membuatkan hatinya terasa tenang.

"Sejak bila kau banyak cakap pulak ni?"

Merlis tidak menghiraukan jawapan dingin dari Maliq.  Dia hanya ingin tahu kesudahan dirinya saja.

"Sampai bila awak nak buat saya macam ni?  Lepaskanlah saya.  Takde gunanya simpan saya lama-lama"

"Heh...siapa kata?  Kau cukup berguna untuk aku tau tak?" suara Maliq agak keras.

"Awak dah berjaya melarikan diri daripada pihak berkuasa.   Kawan awak pun dah selamat ke sempadan. Apa lagi yang awak nak dari saya?" 

'Apa lagi yang awak nak dari saya?' soalan Merlis bermain-main dimindanya.

"Errr...Macam mana kau tau kawan aku ke sempadan??  Kau curi dengar eh?"

Merlis dihadapannya dicerlung.  Gadis tersebut tertunduk merenung lantai.  Liur kesat ditelan dengan amat payah.  Dirinya sendiri yang terkhilaf.

'Cuai betul la kau ni Merlis' gumamnya.

"Y..Ya.  Maafkan saya"

Mengenangkan kata-kata Merlis tadi ada juga kebenarannya.  Segala apa yang telah dirancang olehnya dan Eman telahpun berjaya.  Tidak lama lagi hasratnya akan tercapai.  Memang Merlis sudah tiada kepentingan lagi kepadanya.  

Tetapi untuk melepaskan gadis itu pergi seumpama menjerut lehernya sendiri.   Hendak dihapuskan gadis itu pula dia tidak sampai hati.  Dirinya tidaklah sekejam itu.  Untuk sementara waktu, biarlah gadis tersebut mengikutinya kemana sahaja sehinggalah segalanya selesai.

"Sudah!  Cepat makan lepas tu rehat. Kau tu tak sihat mana.  Esok dah nak beredar awal pagi."

Wajah Merlis langsung tidak dipandang.  Merlis juga begitu.  Kulit buah-buahan itu tadi dicampakkan ke luar.  Setelah itu Merlis menyandarkan tubuhnya didinding. Dia cuba mencari posisi selesa untuk merehatkan tubuhnya sekarang ini.  

Siang hampir melabuhkan tirainya. Malam mereka ditemani dengan bunyian unggas sebagai halwa telinga.  Awal-awal lagi Maliq telah menyalakan unggun api.  Setidak-tidaknya dapatlah menerangi suasana malam dan menghindarkan diri mereka daripada haiwan-haiwan yang memudaratkan.

Malam itu Merlis bebas.  Dia tidak lagi diikat seperti sebelumnya.  Maliq sedar, jika gadis tersebut diikat sekalipun pastinya dia tidak akan melarikan diri kemana-mana.

Penampilan gadis tersebut agak moden.  Tentu tidak tahu-menahu langsung tentang selok-belok didalam hutan.   Dengkuran halus oleh Merlis membuatkan Maliq berpaling ke arahnya.  Setiap lekuk wajah diperhatikan.  Cantik!  Memang tidak dapat dinafikan lagi.

"Maafkan aku.  Aku janji akan lepaskan kau setelah segalanya selesai" ucap Maliq perlahan.

Merlis menggeliat.  Telinganya seperti dapat mendengar bicara seseorang tetapi kurang jelas. Maliq merebahkan badannya diatas timbunan rumput-rumput kering tidak jauh dari Merlis. Tubuhnya dipalingkan membelakangi gadis itu.

Dia perlu berehat.  Badannya juga terlalu penat sejak dua tiga hari yang lalu.  Tidurnya juga tidak menentu.  
Kelopak mata cuba dirapatkan.  
Beberapa minit kemudian, dia berdengkur sama.

*********
🍂Flashback🍂

Pranggg...

"Ita, kenapa cuai sangat ni?" bebel si ibu. 

Serpihan pinggan kaca yang pecah bertaburan di atas lantai.  Juwita mengutip sisa-sisa kaca dengan tangan.

"Eh, Ita.  Guna je penyapu dengan penyodok.  Nanti cedera tangan tu"

"Baik bu."

"Kenapa dengan Ita ni?  Akhir-akhir ni ibu tengok Ita selalu je cuai.  Ita kan dah besar, kena la hati-hati sikit"

"Maafkan Ita ibu.  Ita bukannya sengaja.  Ita tak nampak rak pinggan tu tadi tu yang boleh tergelincir sampai pecah pinggan kesayangan ibu tu" luah Ita.

"Tak nampak?  Ita sihat tak ni?"

Mana tak galau hati seorang ibu bila anaknya mengadu tentang kesihatannya yang kurang memuaskan.  Tubuh Ita diraih.  Dahi Ita disentuh dengan belakang tapak tangannya.

"Ita tak demam la ibu"

Ita menepis sopan tangan ibunya. Tangan tua dan berkedut tersebut dikucup sambil senyuman manis diukir menampakkan lesung pipit disebelah kiri pipinya.

"Ita study kuat sangat kut.  Satu lagi, cuba pasang lampu bila baca buku.  Ni tidak, suka sangat membaca dalam gelap.  Nanti mata cepat rosak" nasihat Puan Karmila.

"Nak buat macam mana exam dah dekat.  Ita kena la berkorban masa sikit.  Ita nak hadiahkan result yang cemerlang pada Ibu, pada abang Maliq"

"Aipp..siapa sebut nama abang ni?"

Entah dari mana Maliq muncul secara tiba-tiba merencatkan perbualan dua beranak tersebut.  Rambut tocang Juwita ditarik sehingga kepalanya terdongak ke atas.

"Ibu..tengok abang Maliq ni!  Sakit tau tak?" Kulit kepalanya terasa perit.  Kepalanya digosok-gosok.

Puan Karmila menggeleng melihat telatah dua beradik tersebut.  Mereka berdua sajalah racun dan penawar didalam hidupnya.  Suaminya telah lama meninggal dunia kerana kemalangan ditempat kerja.

Mujurlah syarikat milik arwah suaminya dahulu sudi memberikan sedikit pampasan dan elaun bulanan. Dapatlah mereka sekeluarga berteduh serta menyambung kehidupan walaupun dalam kesederhanaan.

"Kamu berdua ni tak habis-habis bertekak kan?  Cuba la hidup aman damai sikit.  Ni tak, hari-hari macam anjing dengan kucing"

"A-ha..padan muka!  Abang Maliq kena marah dengan ibu.  Werkkk!" Juwita mengejek kearah Maliq yang tersengih seperti kerang busuk.  

Jarak antara mereka berdua agak jauh.   Setelah Puan Karmila melahirkan Maliq, dia mengalami komplikasi untuk mengandung lagi. 
Justeru Puan Karmila hanya berserah kepada Tuhan.  Tidak disangka-sangka,  lapan tahun kemudian dia mengandung lagi.  Kali ini anak perempuan pula.  

Cukuplah sepasang itu sahaja yang memberi cahaya kebahagiaan kepadanya dan arwah suami.  Namun Maliq dan Juwita amat rapat antara satu sama lain.  Maliq selalu menjadi pelindung kepada adik perempuannya didalam apa jua situasi.

"Ooo..ejek abang ye.  Nanti Ita..nanti"

"Ibu..tolong Ita!"

Juwita dan Maliq berkejar-kejaran. Akhirnya Ita mendaki anak tangga yang menuju ke biliknya ditingkat atas.

Dumm..!

Bunyi pintu bilik dihempas dengan kuat.

"Ita..mana aci!  Tak best la menyorok macam tu!"

"Kihkihkih..padan muka abang.  Ita menang yeay..!"

Pada suatu pagi yang hening, Juwita ditemui tidak sedarkan diri dibiliknya sendiri.  Telah berkali-kali Puan Karmila mengetuk pintu.  Tiada sebarang sahutan dari Juwita.  Hati ibu mudah saja terdetik dengan rasa kurang enak, pintu bilik Juwita dibuka dari luar.

Juwita ditemui tidak sedarkan diri dan dibawa ke hospital berhampiran.  
"Siapa waris Juwita?" soal seorang lelaki muda yang memakai jubah putih dan stetostop bergantungan dileher.  Dia memegang sebuah fail juga berwarna putih ditangannya.

"Saya ibunya"

"Saya abang Juwita"

Wajah kedua beranak itu dipandang silih berganti.  Doktor lelaki tersebut cuba mengukirkan satu senyuman nipis.

"Sila ikut saya Puan, Encik" 

Mereka bertiga menapak kedalam sebuah bilik sederhana besar.  Kerusi dihadapan doktor muda tadi ditarik dan melabuhkan punggung mereka disitu.

"Macam ni.  Apa yang bakal saya maklumkan nanti mungkin agak sukar diterima oleh keluarga puan. Tetapi mujurlah ianya dikesan lebih awal" ujar doktor tersebut dengan tenang.  

Mungkin dia sudah biasa dengan situasi seperti ini.  Memang sukar untuk memberitahu sebuah kenyataan yang amat pahit untuk ditelan oleh semua manusia didunia ini.  Apakan daya dia hanya menjalankan tugasnya sahaja.

Maliq mengenggam jemari Puan Karmila dengan erat.  Mereka saling bertatapan dengan wajah cemas. Kurang mengerti dengan maksud doktor muda yang bertag nama 'Edris'.

"Saya kurang faham maksud doktor.  Boleh doktor jelaskan lagi" Kening Puan Karmila sudah mula bercantum. Jantungnya dipalu hebat.  Maliq yang berada disebelahnya juga dirundung rasa yang sama.

Doktor Edris merenung kedua-dua waris pesakitnya dengan rasa simpati.  Nafasnya dihela.  Ini bukanlah kali pertama dia melalui situasi sebegini.  Tetapi bila diselidik latar belakang Juwita, hatinya dipalit rasa simpati yang luar biasa.

"Anak puan menghidapi penyakit retinoblastoma unilateral.  Dalam erti kata lain kanser mata.  Ianya hanya berlaku kepada mata sebelah kiri anak puan"

"Apa?  Juwita anak ibu..ohh..!"

Bahu Puan Karmila terhinggut.  Air jernih mula menuruni kepipi tanpa dipinta.  Mendengar sahaja perkataan 'kanser' sudah membuatkan jantungnya luruh.  Maliq disisi cuba menenangkan Puan Karmila walaupun hatinya juga perih untuk menerima kenyataan itu.

"Penglihatan anak puan semakin merosot dan kabur.   Sel kanser dari retina ini boleh merebak ke organ badan yang lain seperti soket mata dan otak melalui saraf optik."

"Ada cara untuk selamatkan adik saya doktor?," tanya Maliq.

"Humm..Rawatan bergantung kepada tahap perkembangan kanser. Sekiranya ketumbuhan tersebut masih kecil pesakit boleh diberikan rawatan cryotherapy.  Tetapi jika saiz ketumbuhan telah membesar, biji mata telah dijangkiti terpaksa dibedah dan dikeluarkan untuk menyelamatkan nyawa pesakit" sambung doktor Edris itu lagi.  

"Allah.  Juwita!"  Tubuh Puan Karmila melorot dikerusi.  Degupan jantungnya seakan terhenti.

Bibir doktor Edris bergerak-gerak. Ada beberapa perkara lagi yang bakal diperkatakan olehnya.

"Untuk pengetahuan puan, dalam sesetengah kes kanser mata dapat dirawat dan disembuhkan. Bagaimanapun rawatan ini mungkin agresif dan doktor perlu mengeluarkan mata yang diserang. Namun pesakit masih boleh melihat dengan mata yang sihat dan untuk tujuan kosmetik, mereka boleh memakai mata palsu."

Pipi Puan Karmila sudah lencun dek air mata.  Dia sudah tidak mampu untuk berkata apa-apa lagi. Kepalanya bagaikan dihempap sebiji batu yang amat besar.  Dunianya juga telah menjadi gelap gelita.  Bagaikan halilintar, sekelip mata sahaja khabar itu merenggut kebahagiaan keluarga mereka bertiga.

"Masa sudah semakin suntuk.  Anak puan perlu jalani rawatan dengan segera."

"Doktor buatlah apa saja rawatan yang ada asalkan adik saya selamat" tutur Maliq dalam nada sebak.

Doktor Edris mengangguk tanda faham.  Dia menulis sesuatu diatas sekeping kertas.  Seketika kemudian kertas tersebut dihulurkan kepada Maliq.  Bebola mata Maliq hampir terkeluar dari soketnya tatkala melihat kos yang tertera pada kertas tersebut.

'$50, 000.00 dollar.  Mana aku nak cari wang sebanyak ini' 

Hatinya bagai ditoreh dengan pisau buat kali kedua.  Namun dia berjanji, demi satu-satunya adik perempuan yang ada didunia ini dia sanggup lakukan apa sahaja asalkan nyawanya selamat.

"It...Ita..Abang akan selamatkan Ita.  Abang janji.   Juwitaaaa..!!"

Merlis langsung terjaga dari lena akibat tempikan Maliq yang menggegarkan seluruh kandang usang tersebut.  Walaupun begitu, mata Maliq masih terpejam rapat.

'Mengigau rupanya.  Tapi..siapa Juwita?'


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh