Home Novel Thriller/Aksi THE WITNESS
THE WITNESS
Suhailah Selamat
3/11/2019 06:02:56
230
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
Bab 1

Affiyah melangkah dengan penuh riang melepasi pintu pagar sekolah. Sambil mulutnya menyanyi-nyanyi perlahan mengikut rentak lagu yang dimainkan di telefon bimbit. Headphone di telinga sempat dibetulkan sebelum mulutnya menyambung kembali menyanyi biarpun hanya sekadar menggerakkan bibir tanpa mengeluarkan sebarang suara. Dia memang begitu. Walau pun membawa headphone dan telefon bimbit melanggar peraturan sekolah. Dirinya kisah apa! Asalkan hatinya bahagia.

Hari ini, pesawat yang dinaiki ayahnya, Encik Akif telah dijadualkan akan mendarat di KLIA tepat jam 2.00 petang. Encik Akif akan menjemputnya terus di sekolah lalu mereka akan bersama-sama makan tengah hari di sebuah kafe sempena hari jadinya yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Telefon bimbit di poket bajunya bergetar-getar. Menandakan ada mesej baru masuk. Sambil tersenyum, skrin telefon bimbit ditatap tanpa sebarang syak wasangka. 

‘Maaf, sayang. Ayah terpaksa cancel plan untuk makan tengah hari bersama-sama. Flight ayah terpaksa ditunda ke waktu petang. Sebab cuaca kat sini tak berapa elok. Maaf sekali lagi.’


Serta-merta langkah Affiyah terus mati. Berserta dengan senyumannya. Ada satu keluhan panjang yang keluar dari mulutnya.


“Sekali lagi, tak jadi…,” ucapnya perlahan dengan nada kecewa. Telefon bimbit di tangan digenggam erat.  Kalau Encik Akif tidak boleh datang berjumpa dengannya. Dia sendiri yang akan datang berjumpa dengan lelaki itu.  


Affiyah sedar yang kerjaya Encik Akif sebagai seorang ahli perniagaan memerlukan lelaki itu ke sana dan ke mari. Tetapi, bukankah dia anak tunggal ayah. Tak bolehkah lelaki itu mengorbankan masanya sedikit untuk dirinya.


‘Pap!’ Affiyah menampar kedua-dua pipinya serentak.

“Affy, sedarlah! Ayah bukannya sengaja tak nak makan tengah hari dengan kau,” ngomelnya perlahan.

Affiyah memejamkan matanya rapat-rapat. Nafasnya ditarik dan dihembus semula, berulang-ulang kali. Sehingga perasaannya pulih kembali. 

Rafeek yang sedang duduk di pondok menunggu bas tajam merenung ke arah Affiyah. Gadis itu langsung tidak memandang ke hadapan tatkala melangkah. Malahan, masih tertunduk memandang telefon bimbit walaupun ketika itu dia ingin melintas jalan. 

Spontan, Rafeek terbangun dari duduknya lalu melangkah laju menghampiri gadis itu. Dari kejauhan, kelihatan sebuah lori sedang laju menghampiri Affiyah yang mahu melintas jalan.

Rafeek mengetap bibirnya kuat. 

“Affy, hati-hati!” Sepantas kilat tangan Affiyah ditarik ke dalam pelukannya.

‘Tin! Tin!’ Pemandu lori tersebut sempat membunyikan hon berulang kali sambil melemparkan pandangan yang tajam ke arah mereka. 

Rafeek sekadar mengangkat tangan sebagai tanda minta maaf.

Affiyah yang masih terkedu perlahan-lahan mengangkat wajahnya ke atas. Rona wajahnya mula berubah tatkala melihat wajah Rafeek di hadapan mata. Ya, itulah crushnya sejak dia berada di bangku sekolah menengah lagi. Kalau tak silap, sejak tingkatan 4 lagi dia mula meminati lelaki itu. Hari ini, umurnya genap 18 tahun. Bayangkanlah berapa lama dia meminati Rakeef yang juga merupakan ketua kelasnya. Sudahlah mereka masuk di kelas tingkatan 6 yang sama. Bertuahnya dia!

“Lain kali, jalan tu hati-hati sikit. Jangan pandang aje telefon bimbit tu 24 jam!” tegas Rakeef sambil memandang telefon bimbit di tangan Affiyah.

Affiyah tetap juga bergitu. Tersenyum simpul tanpa sekelumit perasaan kecil hati dengan sikap dingin Rakeef.


“Hei, kau dengar tak apa yang aku cakap ni?” ujar Rakeef lantas memetik jari di hadapan wajah Affiyah.

“Hari ni hari lahir saya. Boleh tak awak nyanyikan lagi hari jadi khas untuk saya?” pinta Affiyah penuh mengharap. Dirinya tidak pula berniat ingin berpelakuan ala-ala gadis gedik di hadapan Rafeek. Tetapi dia benar-benar berharap supaya crushnya itu menjadi orang kedua yang mengucapkan selamat hari lahir selain dari Encik Akif dan Puan Leia. Sudahlah dia tidak mempunyai sebarang kenalan rapat kerana sikapnya yang pendiam.

“Ha?” Rakeef sedikit terpinga-pinga. Dia tersalah dengarkah? Moga-moga begitulah. Mana mungkin gadis yang paling pendiam di dalam kelasnya membuat permintaan seperti itu terhadapnya. 

“Abang Rakeef!” panggil Daniza dari pintu pagar. Tangannya sibuk melambai-lambai ke arah Rakeef yang masih tercengang memandang Affiyah.

“Abang Rakeef!” panggil Daniza sekali lagi. Kali ini, lebih kuat berbanding tadi. Memaksa Rakeef untuk menoleh ke arah gadis itu dan mengabaikan kehadiran Affiyah buat seketika. 


Tercungap-cungap nafas Affiyah menahan lelah. Dia tersandar kepenatan di tiang buaian. Tak sedar pula ketika berlari tadi, kakinya melangkah sehingga ke taman permainan. Kebetulan, waktu tengah hari begini jarang sekali ada kanak-kanak yang bermain di sini. Lebih-lebih lagi dengan cuaca yang agak panas. Memang cari nahaslah! 

Suara lelaki dan perempuan menjerit di hujung sana berjaya menarik perhatian Affiyah. Ya, kecuali mereka bedua! Seorang lelaki dewasa dan seorang perempuan yang lebih kurang sebaya dengannya sedang asyik berkejaran sambil bermain papan gelongsor. Lubang gelongsornya muat-muat badan si lelaki yang ketinggiannya lebih kurang panjang batang galah rambutan!

Sempat lagi mereka bergurau senda dengan si lelaki menggeletek pinggang si perempuan. 

“Gelilah, bang!” jerit si perempuan sambil sibuk menepis tangan si lelaki.

“Abang?” Dahi Affiyah berkerut-kerut. Mungkin lelaki tu memang abang kandung dia ataupun… Boipren? tekanya dalam hati. 

Ada perasaan cemburu mula terbit di dalam hatinya. Kalaulah dia punya seorang abang, tidaklah dirinya sesunyi ini. Ada seorang ayah. Namun, lelaki itu terlalu sibuk dengan kerjanya. Ada seorang ibu. Wanita itu juga terlalu mementingkan kerjayanya sehingga jarang sekali pulang ke rumah. Sepanjang masa hidup Affiyah hanya bertemankan orang gaji dan seekor kucing parsi yang dibela sejak dia berumur 15 tahun lagi.

Terasa seperti sedang diperhatikan, Luzman segera menoleh ke belakang. Serentak itu, Affiyah terus berpaling ke tempat lain. Bersiap-sedia ingin beredar dari situ.

“Adik,” panggil Luzman. Lengan Fadwah ditarik ke belakang. Menahan gadis itu daripada terus berlari.

“Ya?” Fadwah menoleh ke belakang dengan wajah yang pelik.

“Tunggu sini sekejap, ya. Abang nak beli ais krim dekat kedai depan tu,” ujar Luzman. Jari telunjuk kanannya sibuk menunjuk-nunjuk ke satu arah dengan mulut termuncung-muncung.

Fadwah tertawa kuat.

“Mulut abang macam mulut itik!”

“Hish, mulut tu tak ada insurans langsung!” gurau Luzman. Kakinya sudah mula melanglah meninggalkan Fadwah yang masih ketawa mengekek-ngekek.

Affiyah tertunduk ke bawah sambil langkah kakinya dilajukan. Dalam diam, dia menangis. Hatinya merintih pilu. Batinnya menjerit kesepian. Affiyah menyeka air mata dengan hujung jari. Kenapa hari ini menjadi hari yang paling malang buat dirinya? Dia berasa benar-benar kesepian. Sepatutnya dia sedang meraikan hari yang paling bermakna ini bersama-sama dengan ibu dan ayah. Malang sekali, mereka sendiri yang membuatkan dirinya terasa seperti dipinggirkan.

Tanpa disedari, Affiyah sudah melangkah jauh sehingga ke tengah jalan raya. Fikirannya jauh menerawang sehingga tidak sedar akan keadaan di sekelilingnya. Tidak jauh daripadanya, sebuah lori sedang meluncur laju menuju ke arahnya. Si pemandu pula sedang sibuk memandang skrin telefon dan hanya sesekali memandang ke hadapan tanpa sebarang fokus.

“Hati-hati!” jerit Luzman. Sepantas kilat tangan Affiyah ditarik lalu tubuh itu ditolak ke tepi jalan. Mereka sama-sama terjatuh ke atas tanah yang penuh dengan rumput hijau.

Affiyah tergamam. Kepalanya yang beralaskan tudung sekolah mula tersandar di dada bidang lelaki itu. Cukup membuatkan dada gadis itu semakin sesak. Terkejut bercampur gementar! Kalaulah dia tidak sempat diselamatkan tadi… Pasti tarikh 5/9/1994 akan selama-lamanya terpahat sebagai tarikh paling malang buat Encik Akif dan Puan Leia!















Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Suhailah Selamat