Home Novel Thriller/Aksi MARIONETTE
MARIONETTE
Irse Mayra
27/5/2018 14:25:29
1,398
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 8

Jantung berdegup pantas. Peluh dingin menyelimuti tubuh. Resah, takut, gemuruh … itulah yang dirasakan Madina ketika ini. Sesekali dia mengangkat kepala, memandang ke arah kamera litar tertutup di penjuru bilik yang hanya menempatkan dirinya di atas sebuah kerusi.
   
Pelbagai soalan berlegar di minda. Pemeriksaan bagaimana yang bakal mereka jalankan ke atasnya? Adakah pemeriksaan tersebut menyakitkan? Dan sekiranya keputusan pemeriksaan tersebut tidak memihak kepada dirinya, adakah mereka akan mencerai-beraikan tubuhnya? Membunuhnya perlahan-lahan demi melunaskan dendam mereka pada orang-orang sepertinya?
   
Gerun memikirkan semua itu, Madina mencengkam erat kedua-dua lengan, cuba menenangkan diri. Ketiadaan Adam di sisi membuat hatinya kacau. Dia ingin melihat wajah Adam. Dia mahu Adam membawanya keluar dari bilik berdindingkan kaca ini.
   
“Adam … cepatlah datang ….”
   
Tubuh Madina menggeletar. Matanya terbeliak besar. Bola mata merayap ke kiri ke kanan tanpa henti. Setiap tarikan nafas terasa payah. Bagaikan ada batu yang menghempap di dada. Cuak mula meresap ke dalam jiwa, memutus segala kewarasan yang ada.   
   
Tanpa dia sedari, kuku yang mencengkam lengannya kuat mengoyak hingga ke dalam kulit. Darah segar mengalir tidak henti-henti daripada luka yang terhasil.
   
Madina tertunduk. Segala warna yang ada di wajahnya luntur disimbah ketakutan yang entah datang dari mana. Memori singkatnya berputar satu-persatu di minda.
   
‘Adam … Adam.’
   
Wajah pemuda berambut perang itu menerpa ke fikiran. Diikuti dengan wajah tenang Doktor Fuad. Sebelum akhirnya wajah Erasyl muncul bersama pandangan yang dipenuhi kebencian.
   
“Adam ….” Bergetar suara Madina.
   
Perlahan dia mengangkat wajah, memandang ke arah pintu bilik yang turut diperbuat daripada kaca. “Adam ….”
   
Sosok tubuh Adam tiba-tiba muncul di hadapan pintu. Tersenyum manis kepadanya.    Mata Madina berkaca-kaca. Dia tersenyum sama. Hadirnya Adam serta-merta melenyapkan segala rasa takut di jiwa.
   
“Adam ….”
   
Madina bangun dari kerusi. Longlai kakinya mengatur langkah ke arah Adam.
   
‘Adam! Adam! Adam!’ Hatinya memanggil. Tangan didepakan, ingin mendakap erat pemuda tersebut. Namun saat dia memeluk Adam, pemuda itu tiba-tiba menghilang. Madina tersungkur jatuh. Terasa sejuk pipi kiri yang melekap di lantai. Pandangannya turut bertukar kabur.
   
“Adam ….” Nama itu diseru sekali lagi, sebelum akhirnya kedua-dua mata dipejam rapat.
   
“Rasanya dah cukuplah tu. Tutup corong gas, Erasyl.” Doktor Fuad yang berada di luar bilik pemerhatian, memberi arahan. Erasyl merengus tanda protes. Namun kata-kata Doktor Fuad tetap diturutinya.
   
Suis gas X12 ditutup. Ia serta-merta menghentikan pengaliran gas dari bahagian siling bilik pemerhatian. Gas X12 menyebabkan gangguan pada sistem saraf hingga mewujudkan ketakutan luar biasa dalam diri manusia yang didedahkan kepada gas tersebut.
   
Disebabkan sifatnya yang berbahaya dan mendatangkan trauma mental, Doktor Fuad menentang keras penggunaan gas tersebut ke atas manusia. Hatta ke atas orang-orang Jeneral Lutfi sekali pun.
   
Namun atas desakan Erasyl yang ingin menilai sama ada marionette aneh itu boleh dipercayai atau tidak, Doktor Fuad terpaksa beralah dan bersetuju untuk memberi kebenaran menggunakan gas X12 ke atas Madina. Dengan syarat agar kepekatan gas tersebut berada di tahap yang paling minima.
   
“Reaksi terakhir marionette tu macam tak kena je, kan ayah?” Huzaifah yang berdiri di sebelah Doktor Fuad, menyoal.
   
“Ya,” balas Doktor Fuad. “Mungkin sebab dia bukan manusia normal.” Lelaki separuh abad itu memandang simpati pada Madina yang terbaring di atas lantai bilik.
   
Kata-kata Doktor Fuad menjengkelkan Erasyl. Baginya, marionette tidak layak dipanggil manusia. Membunuh orang yang tidak bersalah, memisahkan ahli keluarga, dan menjalankan arahan-arahan kejam Lutfi ke atas rakyatnya sendiri, marionette ialah makhluk penghancur keamanan.
   
Tiada belas kasihan daripadanya buat makhluk sekeji itu.

*****

Makmal Tentera Seksyen 19   
       
Asap masih berkepul di udara. Biarpun api telah berjaya dipadamkan dua jam yang lalu, namun ia tidak bisa menyelamatkan makmal tentera tersebut daripada musnah. Pintu-pintu automatik kalis api sepatutnya mampu menahan kebakaran daripada merebak. Akan tetapi kerana elektrik telah diputuskan sebelum itu, kesemua pintu automatik berada dalam keadaan terbuka, menyebabkan setiap ruang di dalam makmal dijilat api. Hingga tiada apa-apa yang dapat diselamatkan.
   
“Satu lagi makmal tentera terbakar.” Suara seorang anggota khas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Zariq Hanzalah, memecah kesunyian pagi. Berjaket biru dengan kemeja-t hitam, pemuda sasa itu melangkah ke arah sisa-sisa bangunan yang hangus. Di sebelahnya ialah Dayana Ishak, wanita jelita berambut pendek dengan pakaian serba putih yang merupakan rakan sejawatnya. Bibir merah bak delima menonjolkan lagi aura kewanitaan Dayana.
   
“Litar pintas ke?” Dayana menyoal sambil memerhati kawasan sekeliling yang rentung. Tiang-tiang yang teguh menyokong bangunan makmal tentera, ada yang sudah tumbang menyembah bumi.
   
Tanpa menjawab soalan Dayana, Zariq terus melangkah berhati-hati menuju ke kawasan tengah, ingin mencari apa-apa klu penting di sebalik kebakaran makmal. Dayana menurutinya.
   
“Jumpa apa-apa benda menarik tak?” Wanita cantik itu menyoal lagi.
   
“Belum.” Zariq menolak ke tepi meja besi yang hitam legam, menampakkan sebuah laptop yang separa lebur di bawahnya. Laptop tersebut diteliti buat beberapa minit sebelum diletakkan di bawah semula. Kemudian Zariq bangun lalu berjalan ke arah bahagian bangunan lain.
   
Pelan makmal yang diberikan kepada mereka berdua sejam lalu memudahkannya mengenal pasti kedudukan bilik dan koridor yang ada.
   
Satu-persatu bahagian bangunan dia masuki, mencari sesuatu yang penting. Dari bilik rehat tentera di bahagian belakang, bilik eksperimen di tingkat dua, hinggalah ke bilik kawalan di bahagian tengah tingkat satu, semuanya dia geledah. Namun sasaran yang dicari masih tidak terlihat di mana-mana.
   
‘Tak mungkin tiada sisa komputer langsung di dalam makmal tentera.’ Hatinya berbisik kehairanan. ‘Takkanlah sempat angkat keluar semua server sekali?’
   
Kecewa, Zariq beralih kepada tugas asalnya; mencari punca kebakaran. Matanya melilau di sekeliling, mencari kawasan yang mengalami impak kebakaran terendah, sebelum mengikutinya kembali ke bahagian yang mengalami impak kebakaran tertinggi. Bahagian di mana kebakaran mula-mula tercetus akan dianalisa lebih lanjut melalui pemerhatian pada corak kebakaran, dalam sesebuah kehangusan, dan kerosakan. Jika ada beberapa kawasan yang mengalami kerosakan melampau, kemungkinan ada perbuatan khianat daripada individu tertentu.
   
Sedang Zariq sibuk dengan kerjanya, Dayana pula ralit mengalihkan satu-persatu runtuhan bata di bahagian koridor. Dia menggaris senyum kemenangan saat terpandang kelongsong peluru yang bertaburan di bawah batu-bata. Lantas dia duduk melutut lalu mengutip kesemua kelongsong peluru yang ditemuinya.
   
‘Ada tembak-menembak berlaku di sini.’
   
“Dayana!”
   
Dayana menoleh tatkala mendengar namanya dipanggil.
   
“Ada bahagian dalam makmal ni yang dah runtuh terlebih dahulu sebelum kebakaran bermula.” Zariq memberitahu. Dayana bangun lalu menunjukkan kepada Zariq kelongsong-kelongsong peluru yang ditemuinya.
   
“Apapun yang terjadi, tak boleh dinafikan yang ada tembak-menembak berlaku di makmal sebelum kebakaran. Aku ada dua teori; sama ada penceroboh, atau pembelot,” ujar Dayana. “Kau masih ingat kan kebakaran tiga bulan lalu?”
   
“Ya.”
   
“Apa-apa maklumat berkenaan makmal tentera yang terbakar tu adalah sulit. Kita daripada pasukan khas pun tak dibenarkan jalankan siasatan di sana. Apatah lagi mendapat maklumat hasil siasatan. Jadi mengapa agaknya mereka benarkan kita siasat kejadian kebakaran di sini?” Dayana sengaja menduga.
   
“Sebab mereka perlu pertolongan untuk cari orang yang menyebabkan kebakaran,” jawab Zariq.
   
“Tepat. Aku tak tahu sejauh mana maklumat yang mereka ada berkenaan orang tersebut. Cuma aku pasti, mereka belum berjaya menangkapnya. Jadi mereka benarkan kita masuk sini.” Dayana kini memasukkan kelongsong-kelongsong peluru yang ditemuinya ke dalam plastik bahan bukti. “Hadiah pertama untuk unit kita hari ini.” Dayana memberikan plastik bahan bukti kepada Zariq.
   
“Hadiahlah sangat ….” Zariq tertawa. Plastik yang diberi Dayana dimasukkan ke dalam beg silangnya.
   
Hampir dua jam mereka berdua menganalisa makmal sebelum tugasan mereka terganggu dengan ketibaan dua orang pemuda berambut merah di kawasan tersebut.
   
Terus berubah riak wajah Zariq. Dadanya memanas. Benci dengan kehadiran manusia tidak berhati perut di hadapan mata. Apatah lagi bila dia sendiri menjadi saksi kepada kekejaman marionette ke atas rakan sejawatnya dua tahun lalu.
   
Dayana yang berdiri di sebelah Zariq kelihatan tenang. Biarpun begitu, dalam hati dia menyumpah seranah kedua-dua marionette yang kini berjalan ke arah mereka. Kedatangan mereka sudah tentu dengan niat untuk mengganggu penyiasatan. ‘Dasar boneka!’ Hatinya menjerit.
   
Tanpa memperkenalkan diri, salah seorang pemuda yang baru tiba terus sahaja kasar mencampak arahan. “Awak berdua perlu tinggalkan kawasan ni sekarang!”
   
“Kami terima arahan untuk lakukan siasatan di sini.” Zariq membalas tanpa teragak-agak.
   
“Dua jam yang lalu, ya. Bukan sekarang. Arahan baru dah dikeluarkan. Tiada sesiapa melainkan kami dibenarkan masuk lagi ke sini.” Pemuda yang sama membalas kata-kata Zariq.    
   
“Cakaplah apa yang awak berdua mahu. Selagi tiada arahan daripada ketua kami, kami takkan pergi!” tegas Zariq.
   
“Ketua?” Pemuda kedua ketawa sinis. “Atau orang tua yang hanya tahu menjilat tuannya?” Dia menyeringai. Wajah kini dirapatkan pada Zariq. “Lalat macam awak semua hanya pandai menghabiskan duit cukai rakyat.” Ejeknya.
   
“Cukup, Jati.” Marionette pertama menolak tubuh rakannya ke belakang, menjauhkan pemuda itu daripada Zariq.
   
Zariq mengepal penumbuk. Meluap-luap amarah di dadanya mendengar ejekan sedemikian rupa. Terasa maruah mereka sebagai polis elit dipijak-pijak. Apa gunanya kerajaan masih menyimpan mereka sekiranya undang-undang dan kuasa untuk menjalankan penyiasatan diberi bulat-bulat kepada Overrank A-Team?
   
“Awak berdua perlu pergi sekarang.” Marionette pertama mengulang.
   
Zariq mengetap gigi. Enggan berundur. Matanya mencerlung tajam pada kedua-dua marionette itu.
   
“Baiklah.” Dayana yang berada di sebelah menjawab bagi pihak mereka berdua. Seperti Zariq, dia juga begitu ingin membenamkan pelurunya ke dalam kepala kedua-dua marionette tersebut. Tapi dia masih waras. Mengundang kemarahan askar Overrank A-Team hanya akan menjerumuskan unit mereka ke kancah masalah.
   
“Tinggalkan beg bahan bukti di sini!” Jati senyum mengejek sambil matanya menghala ke arah beg yang dibawa Zariq.
   
“Kami yang jumpa bahan bukti ni!” protes Zariq, bengang.
   
“Apa-apa bahan bukti yang awak jumpa adalah milik kami. Serahkannya dan awak berdua boleh balik ke HQ dengan selamat. Atau awak nak terima nasib yang sama dengan rakan awak yang dulu tu?” ugut Jati.
   
Hampir-hampir Zariq melayang penumbuknya kepada Jati, mujurlah Dayana lekas menggenggam lengan kanan rakannya yang sudah naik separas dada.
   
“Kami faham,” celah Dayana.
   
Zariq merenung tajam rakannya. Dayana buat-buat tidak nampak. Diambilnya beg sandang dari bahu Zariq, lalu dia campakkan beg tersebut ke atas lantai sebelum berpura-pura mengangkat kedua-dua tangan ke atas, konon sebagai tanda menyerah.
   
“Ambillah. Kami tak sempat nak ambil apa-apa pun dari dalam beg,” sindir Dayana. Tangan diturunkan semula. “Teruskanlah penyiasatan awak berdua, ya,” ujarnya lalu memaut lengan Zariq. “Jom pergi. Biarkan pihak tentera ambil alih semuanya.” Sengaja Dayana menekan nada pada ayat kedua. Lengan Zariq ditariknya lalu mereka berdua melangkah melintasi kedua-dua marionette tersebut. Sedikit pun mereka tidak menoleh ke belakang.
   
“Dayana ….” Panggil Zariq.
   
Dayana mendiam. Setelah tiba di kereta barulah dia melepaskan tangan Zariq.
   
Zariq masuk ke ruangan pemandu sementara Dayana pula mengambil tempat duduk di sebelahnya.
   
Kedua-dua pintu ditutup.
   
Mereka berdua termenung memandang pokok-pokok di sepanjang jalan masuk ke makmal tentera tersebut, memikirkan maruah yang sekali lagi dipijak oleh askar Overrank A-Team.
   
Hampir sepuluh minit barulah Zariq mula bersuara. “Kalau kita bunuh mereka di situ, tak ada siapa yang tahu.”
   
Dayana menoleh sebelah. Raut wajah Zariq jelas menggambarkan kekecewaan.
   
“Kau rasa begitu senang ke kita nak bunuh mereka?” soal Dayana.
   
Sebal, Zariq menghantuk kepala pada stereng. “Sampai bila-bila pun aku takkan dapat balas kematian ‘dia’, kan?” Jelas terdengar kekesalan di suaranya. “Aku ingat … lepas dua tahun, aku akan berubah,” luah Zariq. “Rupanya tak … aku yang sekarang, tak ada bezanya dengan aku yang dulu.”
   
Dayana diam. Tidak tahu mahu berkata apa. Dia sendiri masih terkesan atas pemergian rakan sepasukan yang mereka sayangi di tangan askar kejam itu. Jauh di sudut hati, dia juga punya keinginan yang sama seperti Zariq.
   
Membalas dendam.
   
Namun dia masih mampu menyekat emosinya daripada menguasai diri.
   
Kerana dia tahu, bidak catur seperti mereka tidak mungkin bisa menjadi seorang satria.
   

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Irse Mayra