Bab 8

Hari:  Selasa
Masa:  1:00 tengah hari

"Jadi tak kau pindah nanti Suri?  Tak lama lagi dah nak cukup sebulan," tanya aku.

Suri menyedut minumannya sebelum pertanyaan dijawab.

"Jadi."

"Rumah sewa baru dah jumpa?  Kak Diba ada bagi respon tak?"

"Tu la masalahnya.  Rumah sewa baru aku tak jumpa lagi.  Kebanyakannnya jauh sangat dari tempat kerja kita ni.  Jem lagi.  Tak sanggup aku.  Kak Diba macam tu la.  Diam seribu bahasa.  Aku fed up dah."

"Ehh...hak kau tu.  Kau berhak untuk tahu apa masalah sebenarnya.  Sampai kau jadi tak terurus macam ni.  Macam zombie dah aku tengok.  Hahaha"

"Amboii..sedap betul mengata aku.  Tak kena kat kau boleh la cakap."

"Alaa..gurau je la.  Aku tak setabah kau Suri.  Nanti kalau pindah bagitau aku.  Insya Allah aku boleh tolong mana yang patut"

"Aku terpaksa tabah Ruby.  Kejam betul Kak Diba tu buat aku macam ni.  Nanti la.  Kalau dapat je rumah baru tu aku bagitau kau.  Barang-barang semua dah siap kemas.  Cuma tunggu angkat je la."

"Kak Murni ada ceritakan kepada aku kejadian yang berlaku semalam.  Aku tak sangka sampai macam tu sekali.  Tak pasal-pasal Kak Murni demam"

"Ye la.  Teruk jugak Kak Murni kena ganggu.  Sampai berpeluk-peluk la kami berdua tidur.  Hahahaha."

"Hehehe.  Wehh, nak habis dah waktu rehat ni.  Lekas habiskan makanan.  Nak menunggu lif lagi satu hal.  Solat pun belum lagi ni."

Kami berdua kembali ke pejabat masing-masing setelah selesai menikmati makan tengah hari.  Suri menapak kebiliknya menyambung tugas hakiki yang tidak pernah habis.

Jam didesktop telah pun menginjak ke angka 6:00 petang.  Kelibat Suri masih belum kelihatan melintasi pejabatku.  Tidak pernah lagi dia begitu.  Baru saja gagang telefon diangkat Suri datang bersama satu beg plastik kecil ditangan kanannya.

"Assalamualaikum"

"Waalaikumsalam.  Baru je nak call kau tadi.  Lewat balik hari ni?"

"Ohh...aku siapkan claim bos aku dulu.  Dua hari lagi nak tutup akaun.  Sibuk sangat sampai terlupa nak siapkan," jelas Suri.

"Patut la.  Kau nak balik dah?  Hati-hati tau.  Macam nak hujan je tu kat luar"

"Hmm..duk dalam bangunan ni satu apa pun aku tak tau.  Hujan ke.  Ribut ke.  Sama je keadaan dia."

"Hehehe.  Nak buat macam mana.  Kau ok la lagi.  Aku ni tiapkali matahari tenggelam baru dapat balik.  Esoknya pulak, matahari belum terbit lagi aku dah pergi kerja"

"Ye tak ye jugak.  Hehehe.  Eh, sebelum aku terlupa.  Ni carrot cake untuk kau."

"Ala, susah-susah je kau ni.  Memang aku lapar pun sebenarnya.  Terima kasih Suri," plastik tersebut bertukar tangan.

"Aku balik dulu.  Kau pun hati-hati.  Assalamualaikum"

"Waalaikumsalam."

*****************************************

Klakkk..

Suri melangkah masuk kedalam rumah setelah salam diberi.  Suis lampu dibuka dan suasana rumahnya bertukar terang.  
Tv dipasang bagi mengelakkan rasa sunyi yang pada malam tersebut.  Dia meletakkan beg tangan diatas meja lalu merebahkan badan diatas katil.

Memandangkan dia sedang 'bercuti' ketika itu, Suri terlelap akibat keletihan dan senggugut yang dialaminya.  Hampir satu jam dia terlena.  Bunyi hon kereta yang kuat dari bawah membuatkannya terjaga.  Terpisat-pisat Suri bangun dan masih dan masih lagi dalam keadaan mamai.  Kepalanya sakit kerana tidurnya yang tidak beralaskan bantal.  Tuala dicapai dari penyangkutnya lalu terus kebilik air.

"Eh, bila masa aku tutup tv?"

Suri menekan kembali butang 'on' diremotenya lalu siaran mula terpapar diskrin.  Langkahnya dilajukan kebilik air.  Setelah selesai membersihkan diri, Suri singggah didapur untuk minum segelas air kerana terasa haus.  Apabila membawa gelasnya untuk dicuci, terlihat banyak serpihan kaca bertaburan didalam sinki.  Peluh mula memercik didahinya memikirkan kemungkinan yang akan terjadi.

"Sabarlah.  Tak lama lagi kau akan pergi daripada sini Suri," dia memujuk hatinya sendiri.

Jam menunjukkan pukul 10:30 malam.  Suri masih lagi belum mengantuk.  Mungkin kerana dia telah tertidur lebih awal sebentar tadi.  Saluran tv ditukar apabila dirasakan tiada satupun yang menarik perhatiannya.  Sudahnya, dia mengambil keputusan untuk berehat saja dibilik.  Sebelum itu, Suri membuka kesemua lampu yang ada untuk termasuklah bilik Yaya dan rasa takutnya berkurangan sedikit.

Setelah itu, dia mengambil telefon bimbitnya yang tertinggal disofa.  Sebelum memasuki bilik, sekali lagi Suri terpandangkan sekujur tubuh yang terbaring diatas lantai diantara ruang dapurnya.  Sepantas kilat dia meloloskan diri kedalam bilik.  Jantungnya berdegup kencang bagaikan dipalu.

Dia menyumbat earfon kedalam telinga lalu ayat-ayat suci dipasang sambil bibirnya tidak henti-henti berzikir.  Malangnya, matanya masih segar dan sukar dilelapkan.  Tepat jam 12:00 malam, bau kemenyan kembali menusuk lubang hidung.  Walaupun lampu bilik masih lagi terpasang, Suri masih sukar membendung rasa takutnya.

Beberapa helai pakaian yang tergantung dirak jatuh ke atas lantai tanpa sebab.  Manakala cermin solek yang tergantung didinding retak dan pecah.  Serpihannya bertaburan dilantai marmar.  Tidak semena-mena skrin telefon bimbit milik Suri menjadi gelap.  Secara automatik bacaan ayat-ayat Al-Quran juga terhenti.

Suri tiada jalan lain lagi melainkan keluar dari situ.  Dengan hanya berbaju tidur, Suri mencapai beg tangannya dan nekad untuk bermalam saja diluar.  Dia berlari pantas menuju ke pintu.   Sedang dia cuba membuka pintu tersebut, Suri bertembung dengan jiran dihadapan rumahnya.  Sepasang warga emas yang sepertinya baru pulang dari jauh dengan menolak beg troli ke dalam rumah.

"Anak nak ke mana malam-malam begini?," tegur lelaki tua tersebut yang lebih kurang sebaya dengan arwah ayahnya.

"Errr...sa...saya.  Sa..saya nak bermalam dihotel pakcik," jawab Suri.

Ketakutan yang dialaminya masih belum surut.

Pasangan suami isteri tersebut saling berpandangan antara satu sama lain. 

"Anak siapa nama?," tanya wanita itu pula.

"Nama saya Suri makcik.  Baru pindah ke sini hampir sebulan lepas."

"Baru pindah?  Setahu makcik rumah yang kosong cuma rumah didepan ni saja.  Tapi.." kata-katanya terhenti disitu.

"Betul la tu makcik.  Saya baru je menyewa kat sini.  Dengan Kak Diba."

"Allahuakbar...Diba....Diba..Bahaya anak keluar seorang diri masa-masa begini.  Meh masuk rumah kami.  Kami berdua je yang ada.  Jangan segan-segan."

Makcik tersebut meraih tangan Suri yang kelihatan teragak-agak.  Mana taknya, mereka bertiga baru saja berjumpa.  Sudah diajak bermalam disitu.  Lambat-lambat Suri mengatur langkah.  Suasana rumah yang nyaman dan bersih mengurangkan rasa debaran didadanya.

"Duduk Suri.  Nama pakcik Borhan.  Ni isteri pakcik, Noraini."

Suri mengangguk-anggukkan kepalanya seraya melabuhkan punggungnya disofa.  Beg tangan dipeluk kemas didalam dakapan.  Sebentar kemudian, makcik Noraini muncul dari dapur menatang tiga biji cawan. 

"Minum Suri. Panaskan badan tu dulu."

Suri meneguk teh o panas yang dihulurkan.  Pasangan tersebut merenung Suri dengan penuh simpati.

"Malam ni Suri tidur je kat sini.  Tak payah nak tidur diluar.  Bahaya.  Lagipun takde sesiapa disini selain kami berdua" makcik Noraini memberi cadangan.

"Segan la saya makcik.  Kita baru je kenal dah susahkan makcik dan pakcik."

"Tak perlu segan.  Kita kan berjiran," jawab pakcik Borhan.

"Pakcik, makcik.  Apa sebenarnya yang terjadi dengan rumah Kak Diba?," soal Suri.

"Hmmm...eloklah besok saja kita bincangkan.  Suri pergilah rehat.  Kami pun baru saja sampai.  Nanti makcik tunjukkan bilik Suri."

Suri akur dengan kehendak makcik Noraini.  Buat pertama kalinya dia dapat lena dengan tenang tanpa diselubungi ketakutan lagi. 

Esoknya Suri terpaksa mengambil cuti kecemasan kerana kurang sihat.  Aroma nasi lemak yang kuat dari dapur membuatkan perut Suri berkeroncong.  Akhirnya dia keluar dari bilik dan menuju kedapur.

"Dah bangun Suri?  Lena tak tidur semalam?," tanya makcik Noraini sambil tangannya ligat mengacau sambal didalam kuali.

"Alhamdulillah.  Lena sangat makcik.  Pakcik Borhan mana?."  Pandangan mata Suri melilau kesetiap sudut rumah mencari kelibat pakcik Borhan.

"Pakcik Borhan kamu keluar sekejap ke kedai runcit bawah tu untuk beli suratkhabar.  Sekejap lagi balik la tu."

"Ooo.."

Suri membantu makcik Noraini menghidangkan sarapan dimeja makan.  Pakcik Borhan juga balik tepat pada masanya.

"Suri, mari sarapan.  Hari ni makcik kamu masak nasi lemak.  Takde siapa boleh tandingi rasanya tau"

"Mula la tu.  Puji saya lebih-lebih.  Malu saya depan Suri."

Suri ketawa melihat telatah comel mereka berdua.  Suapan pertama Suri membuatkan dia bersetuju dengan pendapat pakcik Borhan.  Lazat sungguh air tangan makcik Noraini!  Usai bersarapan mereka berdua duduk diruang tamu.  Suri menanti penuh debaran untuk mengetahui hal yang sebenarnya.

Pakcik Borhan berdehem beberapa kali sebelum memulakan cerita.

"Sebenarnya rumah tersebut memang ada satu rahsia yang tersembunyi.  Kebanyakkan penghuni lama disini dah tau akan hal ni.  Tapi, pakcik tak sangka yang si Diba tu tak maklumkan perkara yang sebenarnya."

"Maksud pakcik?," tanya Suri tidak sabar.

"Dua tahun lepas, Diba ada sewakan rumah tu kepada seorang warga asing.  Warga Pakistan kalau tak silap.  Walaupun dia tu warga asing, tapi peramah dan baik orangnya.  Tak lokek dengan senyuman.  Entah macam mana agak lama jugak kami tak nampak dia keluar masuk ke rumah tu.  Sehinggalah munculnya bau busuk datang dari rumah tersebut.   Penghuni disini sebulat suara bersetuju untuk memecahkan pintu rumah bagi menyiasat hal sebenar. 

Memang tepat sangkaan kami.  Warga Pakistan tersebut ditemui mati dibunuh dengan pisau terpacak diperut penuh dengan kesan-kesan darah yang telah kering.  Jasadnya ditemui terbaring diantara ruang dapur dan telah kembung dan berulat.  Kami semua memanggil polis untuk menyiasat."

Gulpp..!

Suri terlongo.  Tidak sangka hal tragis sebegitu berlaku dalam rumah sewa itu. Sampai hati Kak Diba menipunya. Kerana wang, sanggup dia membiarkan Suri hidup dalam ketakutan.

"Sejak bila rumah tu berhantu pakcik?"

"Sebelum kamu, ada dua penyewa tempatan yang menyewa disitu.  Kedua-duanya terpaksa berpindah kerana tidak tahan dengan gangguan tersebut.  Kamu saja yang lama sikit menyewa.  Hehehe."

"Nak buat macam mana pakcik.  Duit deposit saya takkan dipulangkan kalau saya keluar lebih awal.  Nak tak nak saya terpaksa bertahan" lirih suara Suri.

"Sekejap ye Suri.  Makcik nak tunjukkan sesuatu" makcik Noraini berlalu ke rak tv lalu menarik salah satu lacinya. 

Sebuah fail berkulit biru dikeluarkan lalu dibawa ke ruang tamu.  Sekeping keratan artikel akhbar yang dipotong dan ditampal dikertas A4 diunjukkan kepada Suri.

'SEORANG WARGA PAKISTAN DITEMUI MATI DIBUNUH'

Artikel tersebut dibaca dengan penuh teliti oleh Suri.  Difahamkan, warga Pakistan tersebut dibunuh oleh rakannya akibat iri hati kerana mangsa tersebut dinaikkan pangkat oleh majikannya.  Disebelah artikel tersebut tertera satu gambar warga Pakistan yang mati dibunuh.  Tangan Suri terketar-ketar apabila menatap wajah itu.

"Makcik...pakcik..lelaki ni.  Lelaki ni la yang saya nampak kat dalam rumah tu!," kata Suri.

Pasangan itu saling berpandangan antara satu sama lain.  Simpati mereka semakin menebal.  Makcik Noraini mengusap-ngusap ubun-ubun Suri yang berada disebelahnya.

"Sabar Suri.  Pakcik rasa eloklah kamu pindah segera.  Pakcik risau nanti sesuatu yang lebih buruk akan menimpa kamu."

Amarah Suri terhadap Kak Diba meluap-luap.  Pantas nombor telefon Kak Diba didail.  Namun hanya nada dering saja yang berbunyi dan panggilannya pula tidak berjawab.

"Pakcik...makcik.  Saya ada urusan untuk diselesaikan.  Terima kasih diatas budi pakcik dan makcik kepada saya.  Hanya Allah juga yang mampu membalasnya.  Saya mintak diri dulu ye"

"Baiklah Suri.  Apa juga tindakan Suri pakcik harap biarlah berlandaskan akal fikiran yang waras dan bukannya nafsu.  Hati-hati anak ye."

Setelah bersalaman Suri pulang kerumahnya.  Pintu yang tertera nombor 621 ditolak dengan kasar.  Dia membersihkan diri dengan segera lalu tergesa-gesa keluar.  Suri menghidupkan enjin keretanya lalu mendail nomborku. 

Caller ringtone 'It must've been love' berlagu dicorong telefon.  Beberapa saat kemudian, panggilan Suri ku jawab.  Belum sempat memberi salam kedengaran suara Suri yang cemas dihujung talian.  Aku mulai panik.

'Hello, Ruby.  Aku dah tau rahsia rumah puaka tu' - Suri

'Hello..ye.  Suri, cuba cakap perlahan sikit.  Aku kurang jelas' - Aku

'Dalam rumah tu dulu ada warga asing mati kena bunuh.  Patut la aku selalu kena kacau.  Kurang ajar punya Kak Diba.  Aku call pun tak berangkat.  Mesej pun tak berbalas' - Suri

'Masya Allah.  Jadi, apa rancangan kau Suri?' - Aku

'Aku nak pergi rumah Kak Diba.  Aku nak mintak balik deposit aku.  Aku nak pindah hari ni jugak.  Aku tak kira!' - Suri

'Aku temankan kau eh.  Tunggu kejap, aku bersiap' - Aku

'Terima kasih Ruby.  Aku on the way ke pejabat ni.  Kita jumpa kat sana' - Suri

Panggilan ditamatkan tanpa sempat aku memberi salam sekali lagi.  Suri mudah naik angin sebenarnya jika tidak kena pada situasi.  Setelah meminta kebenaran, aku diberikan cuti separuh hari.  Aku segera bersiap dan menunggu Suri dilobi.  Sebaik saja aku masuk kedalam perut kereta, Suri membebel dari 'A' sampai 'Z'.  Adakalanya aku sendiri tidak faham dengan butirannya kerana loghat sabahnya juga terkeluar sama.  Aku layankan saja untuk dia melepaskan perasaan yang telah sekian lama terbuku dihati.

Telefon bimbit Suri berdering beberapa kali lalu diangkat.  Sekali lagi aku terlopong apabila perbualannya dengan pemanggil tersebut didalam loghat Sabah.

"Maaf Ruby.  Sepupu aku call tadi," jelas Suri tanpa dipinta.

Stereng digenggam kemas oleh Suri.  Dia memandu ke rumah Kak Diba dan menunggunya pulang daripada kerja.  Hampir satu jam setengah menunggu, kenderaan Kak Diba laju meluncur memasuki ruang tempat letak kereta.  Tanpa membuang masa, Suri keluar dari keretanya dan bergegas ke arah Kak Diba.  

Laluan Kak Diba dihalang oleh Suri.  Aku mematikan enjin kereta dan mengambil kunci kerana Suri langsung terlupa akan aku yang berada disebelahnya.

"Sampai hati Kak Diba tipu saya!  Macam orang gila saya diganggu kat rumah puaka tu tau tak!" tengking Suri. 

Beberapa orang yang lalu lalang turut menoleh ke arah mereka berdua.  Kak Diba pula seperti kebingungan melihat dirinya diserang begitu.

"Sabar Suri.  Malu orang tengok" aku memujuk.

"Dah lama sangat aku sabar Ruby.  Hilang sudah kesabaran aku yang tersimpan selama ni" Suri berkata sambil menangis.

Kak Diba tertunduk.  Tidak beranj dia bertentang meta dengan Suri.  Apa yamg terjadi sememangnya berpunca daripadanya sendiri.

"Ma...maafkan akak Suri.  Akak ingat keadaan dah pulih.  Dah banyak cara akak cuba.  Semuanya tak berhasil," jelas Kak Diba.

"Akak tak patut buat kawan saya macam ni kak.  Kerja dia, hidup dia habis terjejas gara-gara akak.  Kalau akak kat tempat Suri macam mana?," kataku.

"Aku tau.  Akak mintak maaf."

"Sekarang ni saya nak duit saya balik.  Persetankan perjanjian bodoh tu.  Kalau akak taknak berita ni tersebar, baik akak pulangkan duit saya!!," herdik Suri membuatkan air muka Kak Diba bertukar gerun.

'Baru kau tau' bisik hatiku.

Kak Diba mengeluarkan satu sampul kecil berwarna coklat.  Lambat-lambat dia menghulurkan sampul tersebut kepada Suri.  Pantas Suri merampas sampul tersebut dan isi dalamnya dikira.

"Saya rasa, Suri layak diberi pampasan.  Macam kami cakap tadi, kalau tak mahu hal ni tersebar, akak perlu bayar ganti rugi kepada Suri" ugutku.

Bukan sengaja aku menggugutnya begitu, tetapi aku berasa amat geram kerana sewenangnya hal sebesar itu dianggap enteng oleh manusia seperti Kak Diba.  Kerana wang sanggup dia menindas gadis polos seperti Suri.

"Cakaplah ganti rugi apa yang awak nak?," balas Kak Diba.

"Akak perlu bayar kos sewa lori Suri untuk berpindah.  Setuju?!"

"Se....setuju."

"Saya nak pindah hari ni jugak kak.  Sekejap lagi saya akan hubungi kawan saya untuk angkat barang.  Akak sediakan wangnya siap-siap" tegas nada Suri.

"Baiklah Suri.  Kalau itu yang Suri mahu."

Suri berpindah pada hari itu juga ke rumah sepupunya setelah mendesak Kak Diba.  Hatinya puas apabila Kak Diba mengaku salah.  Sempat dia menasihati Kak Diba agar tidak menganiayai orang lain lagi selepas ini.  Suri mengucapkan selamat tinggal kepada pakcik Borhan dan makcik Noraini.  Dia berjanji akan berjumpa lagi dengan mereka berdua tetapi tidak akan sekali-kali menjejakkan kakinya disitu lagi.

Suri mengerling ke arah pintu rumahnya, 621 sebelum melangkah pergi.  Entah daripada mana datangnya, seekor kucing hitam berada betul-betul dihadapan pintu tersebut sambil merenung tajam ke arah Suri.

Segalanya telah berakhir.  Suri kini masih menetap bersama sepupunya.  Pernah kami berdua bercadang untuk menyewa bersama setelah aku menghadapi masalah dengan tempat tinggalku dulu.  Apakan daya, permohonan pertukaranku yang penuh dengan kontroversi diluluskan juga.  Kami berdua terpisah hampir setahun lebih tetapi masih lagi berhubung rapat antara satu sama lain.

Kesudahannya:-

🍃 Suri tidak bercadang menyewa sendirian lagi.  Dan dia meneruskan kehidupannya seperti biasa.  Aku cuma dapat berdoa dari jauh agar dirinya sentiasa dilindungi oleh Allah S.W.T dalam apa jua keadaan. 

🍃 Kak Murni pula, selalu diusik oleh momok yang mendiami pejabat kami.  Maklumlah, seawal jam 5:45 pagi dia telahpun sampai dipejabat.

🍃 Kak Diba?  Kali terakhir kami melihat iklan rumah sewanya selepas 3 bulan Suri berpindah.  Kami tidak tahu apakah nasib yang menimpa penyewa seterusnya 😅😆

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh