48,309
Kategori:
Genre:
Senarai Bab
Bab 16

“RINDUNYA atuk dengan cucu-cucu atuk ni.” Turun sahaja Icha dan Ary dari kereta, Haji Marzuki tidak tunggu lagi, terus digomolnya budak berdua itu. Bertalu-talu muka Ary diciumnya. “Hmm....cucu atuk bau susu. Masam,” komennya dengan bibir masih melekat di pipi montel cucu lelakinya.

“Cu..cu...,” jawab Ary sambil tersengih menayang giginya yang baru tumbuh beberapa batang. Dia memang pantang mendengar orang menyebut perkataan susu. Maklumlah perkataan itu mahir disebutnya walaupun pelat.

Selepas Haji Marzuki, Hajah Fauziah pula mengambil giliran memeluk Icha. Pipi Icha yang putih melepak, diciumnya bertalu-talu. Tidak terhitung rindunya terhadap cucunya ini. Baharu dua minggu tidak berjumpa, rindunya menggunung. Itu belum lagi dua bulan atau dua tahun. Apa akan jadi jika dua tahun mereka tidak bertemu? Pasti mati kering hatinya menanggung rindu.

“Dah...dahlah tu. Dah sampai turn Zarul pulak gomol anak-anak buah Zarul ni.” Zarul mencelah. Tidak sabar dia melihat abah dan umi melekat terlalu lama dengan anak-anak saudaranya. Dia pun sudah terlalu rindu mahu mendakap si comel Icha dan mencium pipi gebu Ary.

“Entahnya umi dan abah ni. Dah...dahlah tu. Bagilah kami chance pulak lepaskan rindu pada budak bucuk berdua ni.” Farhana pula menyambut. Mahu ditariknya Icha daripada pegangan umi tetapi cepat-cepat si kecil itu menggeleng kepala tidak mahu. Masih belum puas berkepit dengan tuk uminya barangkali.

Berkerut dahi Farhana melihat lagak anak buahnya. Geramnya dia. Boleh tahan menyombong anak saudaranya ini! “Amboi...Icha sombong dengan mak usu ya? Tak apa...kejap lagi kalau mak usu main PSP, mak usu tak nak ajak Icha. Mak usu nak ajak Ary aje,” ugutnya main-main dengan mata mencerlung.

“Alaa...Icha pun nak main PSP. Mak usu nanti jangan lupa ajak Icha eh?” rayu Icha. Terkelip-kelip matanya merenung muka ibu saudaranya. Memohon simpati. Risau dia jika tidak dapat turut serta bermain Play Station bersama mak usunya. Nanti bila adiknya bermain, dia cuma melopong mulut.

“Tak boleh! Siapa suruh Icha sombong dengan mak usu?” Farhana bercekak pinggang. Bukan marah betul-betul pun. Tujuannya mahu menggertak Icha sahaja.

“Alaa...bolehlah, mak usu. Icha pun nak main PSP jugak.”

“Tak boleh!”

“Dengan budak lima tahun pun nak bergaduh. Sedar tak awak tu tak lama lagi nak jadi mak orang?” Ziyad mencelah tiba-tiba. Geram punya pasal dengan perangai kebudak-budakan si adik, habis tocang rambut Farhana ditariknya.

“Abang long ni, apa tarik-tarik rambut orang ni?! Rosak rambut Hana tau!” Terjerit Farhana. Walaupun sudah bergelar bapa, perangai abang sulungnya ini masih tidak berubah. Masih suka menyakat. Sudahlah begitu, suka-suka hati abang long sahaja mengata dia bakal jadi emak orang. Eh...dia bertunang pun belumlah. Geram sungguh dia dengan perangai abangnya ini.

“Tulah...ni semua Hanalah punya pasal. Siapa suruh ajar anak-anak abang main PSP tu semua? Ni bila Icha nak main, Hana tak bagi pulak. Menangis budak tu karang, jangan suruh abang pujuk.” Ziyad mengomel tidak puas hati. Tangannya sudah bergerak mahu mengisar rambut Farhana namun cepat-cepat si adik mengelak.

“Biarlah dia orang tu semua main PSP tu, abang. Biarlah dia orang kenal teknologi canggih zaman moden ni. Nanti tak adalah dia orang ternganga bila kawan-kawan kat sekolah bercerita pasal game itu game ini. Tak pasal-pasal nanti anak arkitek ternama macam abang ni jadi katak bawah tempurung,” kata Farhana dengan bibir terjuih.

Sejak dahulu lagi dia geram dengan Ziyad. Abang sulungnya itu pantang menengok adik-adik bermain permainan komputer. Cepat sahaja mahu menegah. Permainan yang melekakan dan membuat kita malas belajar. Itu pendapat abang long. Tetapi abang long lupa ada sesetengah permainan komputer menjadikan otak kita cergas dan pantas untuk mencari penyelesaian. Cuma kita perlulah pandai menyesuaikan dengan keadaan agar tidak terlalu leka diulitnya.

Sekarang, pendapat itu mahu diterapkan pula ke dalam pemikiran anak-anaknya. Sudah lama Icha merengek mahu dibelikan Play Station tetapi abang long tidak pernah mahu melayan. Game dalam telefon bimbit pun abang long tidak benarkan Icha main.

Abang long mahu anak-anaknya belajar, membaca buku, mengulangkaji pelajaran dan apa-apa sahaja yang sewaktu dengannya. Pendek kata, abang long mahu Icha jadi ulat buku dan kalau boleh bergelar profesor dalam usia belasan tahun. Aduhai...pesimistiknya pemikiran abang long. Tidak padan dengan jawatannya sebagai arkitek terkenal.

“Abang dulu tak main game boleh jadi arkitek apa? Zaman abah dulu pun mana ada computer games ni semua? Sebab tu abah dapat jadi doktor pakar. Kan, abah?” Ziyad yang mahu menang mudah dalam perdebatan cuba memancing undi abah.

Haji Marzuki tidak menjawab. Dia tersengih melihat anak-anaknya yang sudah besar panjang bertekak menegakkan pendapat masing-masing. Biarlah. Mereka berdua bukannya calang-calang orang. Kedua-duanya bijak dan sudah punya kerjaya yang boleh dibanggakan. Mujur Zarul pun mengambil pendekatan macam dia yang lebih suka jadi penonton dan pendengar. Kalau tidak, keadaan tentu jadi haru biru bila ada pihak lain turut campur tangan.

“Abah dulu lain. Zaman abah dah berlalu. Zaman abang long pun dah ketinggalan. Orang kita sekarang dah ada yang jadi angkasawan dan sampai angkasa lepaslah abang. So, abang kena buka minda besar-besar...”

“Abang tengah buka mindalah ni. Tengok...muka abang berseri-seri. Senyum pun manis aje. Orang yang tak buka minda ialah orang macam Hana tu. Muka stres, suka panjangkan muncung sampai boleh sangkut hanger, suka.....”

“Abang long mengata Hana ya? Abang long tu...”

“Dah...dah...tak payah bergaduh. Hana dengan abang ni macam anjing dengan kucing. Pantang berjumpa mesti nak bercekau. Ubah-ubahlah sikit perangai tu. Lebih-lebih lagi Ziyad ni. Ziyad ni bukannya budak-budak lagi. Dah jadi bapa orang. Tak malu ke bergaduh depan isteri dan mak mentua? Ni...Faiz ni pun pelik tengok perangai abang ipar dia macam ni,” sela Hajah Fauziah dengan bibir memuncung ke arah Faiz yang melongo melihat abang iparnya yang selalu susah hendak senyum, bergaduh macam budak-budak.

Terdiam Ziyad. Spontan matanya melirik ke arah Faiz yang duduk di sebelah emak dan Ainin. Terlopong mulut Faiz. Dikalihkan lirikan matanya ke arah emak. Emak tersenyum-senyum memandangnya. Entah apa agaknya yang emak fikirkan tentang menantunya ini?

Ainin pula menenung muka dia macam hendak telan. Aduhai...tentu buah hatinya ini geram melihat perangai dia yang serupa budak sekolah tadika. Dengan adik sendiri pun boleh bergaduh. Tapi dia bukan bergaduh betul-betul pun dengan Farhana tadi. Gaduh-gaduh manja sahaja. Takkanlah sebab itu pun Ainin marah?

“Icha nak ikut mak usu main PSP?” tanya Farhana kepada Icha. Lebih baik dia cabut lari sekarang sebelum leteran umi jadi panjang berjela.

“Nak...nak!” sahut Icha. Laju dia bangun dari ribaan tuk uminya dan meluru ke arah mak usunya.

“Ayi nak....” sampuk Ary pula yang berada di pelukan tuk abahnya. Melihat kakaknya berlari, dia pun terkedek-kedek berlari mendapatkan Farhana biarpun tidak memahami apa yang dikejarkan si kakak.

“Dua-dua boleh ikut mak usu. Faiz nak ikut Kak Hana?” tanya Farhana. Terpandang muka Faiz yang muram di hujung sana, dia melebarkan pelawaannya. Lantaklah jika abang long membebel tidak setuju dengan tindakannya.

Faiz mengangguk. Barulah dia boleh tersenyum lebar sampai ke telinga mendengar pelawaan Kak Hananya. Dia pun hendak merasa bermain permainan yang menyeronokkan macam itu. Kesempatan begitu bukannya selalu dia dapat.

“Jom kita naik tingkat atas.” Farhana bangun dari sofa. Diikuti anak-anak saudaranya.

Faiz turut bangun membuntuti Farhana.

“Hana jangan lama sangat kat atas tu. Lepas ni turun bawah semula. Umi nak Hana tolong umi masak hari ni.” Belum sempat Farhana menaiki tangga untuk ke ruang tamu tingkat atas, Hajah Fauziah sudah mengingatkan anak perempuannya.

“Ya, umi. Hana tahu...” Panjang cebikan Farhana. Bengang bila diingatkan tentang bab masak memasak di hadapan para tetamu, memanglah muncungnya panjang sehingga boleh diikat dengan getah.

“Hari ni abah nak buat special requestpada Ainin. Abah nak Ainin masakkan asam pedas ikan parang. So, abah nak Hana belajar masak asam pedas daripada Ainin. Esok lusa kalau abah teringin makan asam pedas, abah nak Hana pulak yang masak. ” Haji Marzuki turut berpesan begitu kepada anak perempuannya.

Semakin panjang muncung Farhana jadinya. Lemah betul dia apabila disuruh belajar memasak, suatu perkara yang tidak digemarinya sejak dahulu lagi. Mengapa dia kena belajar memasak? Selama ini masakannya bukan teruk sangat pun. Walaupun tidak seenak masakan Ainin tetapi masih boleh dimakan. Alah...yang hendak makan masakannya nanti cuma Ashri. Ashri bukannya cerewet macam abang long. Semua jenis makanan boleh masuk ke perut bakal suaminya itu. Tolak batu dengan kayu sahaja.

“Kalau Hana dah pandai masak asam pedas nanti, bukan abah aje yang suka, Ashri pun suka juga.” Hajah Fauziah pula menyampuk. Mengiyakan kata-kata suaminya.

“Alah....tak ada maknanya. Abang Ash bukannya hantu asam pedas macam abah dan abang long,” jawab Farhana bersahaja.

“Hah...menjawab! Cuba apa yang abah cakap tu dengar. Tu untuk kebaikan Hana juga, bukannya untuk orang lain!” bidas Ziyad. Mengingatkan kata-kata Ashri yang menginginkan Farhana menjadi sehandal Ainin dalam bab memasak, dia rasa terpanggil untuk turut serta menasihati si adik.

“Yalah.... Kejap lagi bila dah onkan PSP tu Hana turun bawah semula.” Lemah suara Farhana. Bila semakin ramai orang menyokong abah, dia sudah tidak mampu berkata apa-apa. Ikutkan sahajalah kehendak majoriti. Kalau tidak, dia juga yang akan kena hentam nanti.

“Abah buat request pada Kak Ainin eh? Zarul boleh buat special request juga tak?” Lembut pandangan mata Zarul melekap di muka kakak iparnya.

“Err...boleh. Zarul nak Kak Ainin masak apa?” tanya Ainin.

Ada kalanya terasa janggal mahu membahasakan diri sebagai Kak Ainin kepada Zarul. Dia kan muda beberapa tahun daripada Zarul. Umurnya sebaya dengan Farhana, adik bungsu Ziyad. Namun, kalau tidak membahasakan diri begitu kepada Zarul, siaplah menunggu pandangan mengancam daripada Ziyad. Suaminya itu kalau pasal cemburu, sesiapa pun tidak boleh lawan.

“Zarul nak Kak Ainin masak nasi beriani. Dah lama tak rasa nasi beriani Kak Ainin yang meletup tu,” pohon Zarul malu-malu kucing.

“Boleh aje tapi ada ke bahan-bahan untuk masak nasi beriani?” tanya Ainin.

“Ada, Ainin. Umi dah beli semalam. Ni semua sebab ikutkan cakap Zarul yang teringin makan nasi beriani Ainin. Rindu katanya,” sampuk Hajah Fauziah sambil menepuk-nepuk lengan menantu kesayangannya.

“Ooh...ya ke?” Ainin ketawa geli hati.

Sambil tergelak, Ainin menjeling ke arah Ziyad. Mencerun mata Ziyad merenung wajahnya, macam menyimpan rasa tidak puas hati. Ziyad masih cemburukan dia dengan Zarul ke? Eh...takkanlah. Sudah lebih dua tahun peristiwa itu berlalu.

Memanglah dahulu Zarul ada menyimpan perasaan terhadapnya. Tetapi itu kisah lama. Ketika itu Zarul tidak tahu perempuan yang didambakan kasihnya ini telah menjadi kakak iparnya. Namun, sekarang Zarul tentu sudah bertemu pengganti Ainin. Jadi, Ziyad juga tidak sepatutnya masih menyimpan rasa cemburu membabi buta terhadap mereka berdua.

“Jom, Ainin kita ke dapur. Cepat kita masak, cepat juga kita dapat makan. Abah tu dah tak sabar nak makan asam pedas Ainin. Jealous sungguh dia dengan Ziyad. Setiap hari Ziyad dapat makan asam pedas yang Ainin masak.” Hajah Fauziah berseloroh.

Sekali lagi Ainin tergelak. Kelakar melihat perangai abah. Dengan anak sendiri pun abah cemburu. Bukan ada hal besar pun, hanya pasal asam pedas. “Ainin ada bawa nasi lemak dari rumah. Ainin masak pagi tadi. Nak tinggalkan kat rumah, balik petang nanti mesti dah basi. Jadi Ainin bawalah ke sini,” katanya menukar topik perbualan.

Ainin tidak sedap hati apabila orang lain terlalu menyanjungi kelebihannya yang sedikit itu. Baginya, dia bukanlah pandai sangat memasak. Ada orang lain yang lebih pakar daripadanya. Jadi bila ada yang memuji berlebih-lebihan macam itu, dia terasa malu sendiri.

“Nasib baik Ainin bawa, dapat abah rasa. Dah lama abah tak makan nasi lemak yang Ainin masak. Dulu abah selalu singgah di warung Pak Din semata-mata nak makan nasi lemak Ainin. Bila Ainin pindah ke Tanjung Karang, abah pun jadi tak ada moodnak singgah warung Pak Din lagi. Nasi lemak yang dijual kat kedai Pak Din sekarang, tak berapa sedap. Sambalnya pedas sangat,” cerita Haji Marzuki, tersenyum memandang menantunya.

“Amboi...abang haji, puji menantu sindir isteri nampak?” sambut Hajah Fauziah dengan muka kelat. Terasa juga dia dengan kata-kata suaminya walaupun tahu bukan maksud si suami mahu menyindirnya.

Berderai gelak Haji Marzuki anak beranak mendengar bicara Hajah Fauziah. Mak Ipah yang duduk di hujung sana pun tersengih geli hati mendengarnya.

“Janganlah marah, Hajah Fauziah ooi..... Nasi lemak yang awak masak pun sedap juga. Kalau tak sedap, takkanlah saya makan sampai tambah dua tiga pinggan. Awak ni boleh tahan juga cemburunya ya?” Sengaja Haji Marzuki mahu mengusik isterinya.

Hajah Fauziah tidak membalas. Semakin cemberut mukanya menelan jawapan suami. Seketika kemudian, senyuman manis terpancar di bibirnya. Rasanya, tidak eloklah dia bermasam muka hanya kerana sebaris bicara suaminya. Bukan sesiapa pun yang dipuji suaminya itu, menantu dia juga. Menantu yang sangat dia sayangi.

“Nasi lemak tu masih dalam kereta. Biar Ainin bawa keluar sekarang.” Ainin terus bangun dari sofa. Baru hendak beredar ke pintu, suara Ziyad sudah menyapa telinganya.

“Biar abang yang bawa keluar mangkuk nasi lemak tu, sayang. Sayang duduk aje. Abang nak bawa keluar beg Ary dan Icha sekali,” kata Ziyad. Pantas dibawa kakinya menuju ke pintu.

“Biar Ainin tolong abang.” Ainin menawarkan diri untuk menolong.

Bukan sedikit barang-barang yang perlu dibawa masuk ke rumah abah. Barang-barang kedua-dua permata hati mereka sahaja sudah memenuhi boot kereta. Memanglah mereka tidak tinggal lama di rumah abah tetapi banyak juga keperluan Ary yang perlu dibawa sama.

Kalau mahu melihat Ary mengamuk bila tidak dapat minum susu, cuba-cubalah tinggalkan tin berisi susu formulanya itu di rumah mereka. Memang sampai ke petang, Ary akan merajuk. Hendak bersembang dan berbincang pun tidak senang jika Ary asyik menangis.

“Tak apa, sayang, abang boleh angkat semuanya. Sayang boleh terus tolong umi kat dapur. Abah dah tak sabar nak makan asam pedas sayang tu. Nanti abang bawa mangkuk nasi lemak tu ke dapur,” arah Ziyad. Sempat lagi dia mengusik abahnya sebelum keluar.

“Baiklah, abang.” Ainin bersetuju.

Sambil melangkah ke dapur, Ainin lemparkan pandangan ke arah abah. Abah tersenyum sahaja mendengar gurauan Ziyad. Abah yang sememangnya gemar tersenyum sentiasa kelihatan tenang menghadapi pelbagai ragam dan kerenah anak-anak.

Umi juga begitu. Umi sangat penyayang, peramah dan menghormati orang lain. Buktinya, walaupun sedar Ainin ini bukanlah orang senang, tidak pernah pula umi mencercanya. Emak yang kekampungan dan Faiz yang kurang upaya itu juga umi anggap sebagai ahli keluarga. Begitu mulia hati umi dan abah. Betapa Ainin sangat mengagumi mereka berdua dan bersyukur punya ibu dan bapa mentua sebaik itu. Terima kasih Ya ALLAH atas kurniaanMU!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.