Home Novel Cinta Takdir Cinta Kita
Bab 37

Usai kursus Aril ke Pavilion. Dia sudah berjanji untuk menemui Arra bersama Ain di sana. Dalam perjalanan dia menyinggah di kedai bunga lalu membelikan tiga kuntum bunga ros. Senyuman mula terukir pada wajahnya. Sudah lama dia mahu membelikan bunga hidup buat isteri tersayang. Namun, di Terengganu agak sukar mencari kedai bunga yang menjual bunga hidup seperti di Kuala Lumpur. 

Dari jauh dia telah melihat Arra. Senyuman diwajahnya mula pudar apabila melihat agenda yang tidak sepatutnya. Langkah kakinya terhenti. Dia tidak menduga isteri yang dikasihi bermesraan dengan lelaki lain. Hatinya terasa pedih apabila harus menyaksikan agenda itu.

"Abang!"

"Hati-hati Arra," pesan Hairi.

"Thanks Hairi," balas Arra lalu melangkah ke arah Aril yang berada tidak jauh darinya. Lengan Aril dipaut. "Kenapa abang tengok sayang macam tu?"

"Hah, baru sampai," sapa Ain. Dia menghulurkan beg plastik ke arah Arra. "Ambillah."

"Apa ni?"soal Arra lalu membuka beg plastik itu. 

"Lebih baik kau pakai seluar ni. Kalau jatuh tadi macam mana?"

"Jatuh?"

"Arra hampir jatuh tadi sebab terpijak kain skirt dia. Labuh sangat tu sampai terpijak. Nasib ada Hairi dan Ain tadi. Kalau tak dibantu tadi. Ain pun tak tahulah apa dah jadi dekat Arra ni," jelas Ain.

Arra menyiku lengan Ain. Dia bimbang Aril salah faham apabila nama Hairi disebut-sebut oleh Ain. "Arra okey aje. Jom makan. Sayang rasa mesti abang lapar kan?" ujar Arra cuba mengalih topik perbualan. Dia tahu Aril tidak suka mendengar nama Hairi.

"Betul ke sayang okey ni?" soal Aril ingin memastikan.

Arra sekadar mengganggukkan kepalanya. Dia mengukirkan senyuman buat suaminya. 

Hati yang terasa panas mula sejuk. Bunga yang dibeli diberikan kepada Arra. "Untuk sayang?"

"Alah sweetnya," ujar Ain.

"Nanti aku minta Hanif belikan untuk kau jugak," ujar Arra setelah mengambil bunga dari tangan Aril. "Jomlah," Arra menarik tangan Aril.

"Ke mana?"

"Makan. Sayang lapar dah ni."

Aril tersenyum mendengarnya. Aril memimpin tangan Arra ke sebuah restoran yang pernah diingininya. Arra hanya mampu menurut langkah kaki Aril. Dia tidak menyangka Aril masih ingat keinginannya untuk makan di Restoran Calia. 

"Makanan kat sini memang urmmm...," kata Ain sambil menikmati bau makanan yang cukup menyelerakan.

"Sayang nak makan apa?"

Setelah melihat senarai menu. Miso crumble cheesecake, Rose Latte dan Ochazuke Salmon sebagai menu pilihannya. Arra tersenyum memandang wajah Aril. Hatinya terasa begitu bahagia apabila mempunyai seorang suami yang sentiasa memenuhi impian dan kehendaknya. Walaupun kekadang terasa diri ini amat manja sejak berbadan dua. Namun, Aril tetap sabar dalam melayani karenahnya.

"Terima kasih abang," ujar Arra perlahan setelah menghabiskan makanannya.

"For what?"

"For everything."

Aril mengusap kepala Arra. Dia terlalu menyayangi isterinya sehingga perasaan cemburu terlalu mudah menyapa hatinya apabila melihat isterinya bersama lelaki lain walaupun hanya sekadar kawan. Dia takut akan kehilangan insan yang dicintainya itu.

Ya Allah, terima kasih atas pemberianMu ini. Semaikanlah rasa kasih dan cinta ini di dalam hati kami buat selamanya. Lindungilah rumah tangga kami daripada insan yang berniat jahat, detik hati Aril.


"TAHNIAH Arra," ujar Rosnani apabila melihat hasil jahitan Arra kemas dan cantik.

Arra tersenyum mendengarnya. "Terima kasih pada Kak Nani jugak yang banyak membantu Arra."

Rosnani mengusap lembut bahu Arra. "Tapi tak semua student praktikal dapat buat jahitan secantik ni."

"Saya buat apa yang telah dipelajari semasa kat kampus aje. Tak perlulah puji saya lebih-lebih," ujar Arra bersikap merendah diri.

"Hari ni genap dua bulan Arra bekerja disini kan?"

"Ya kak."

"Lunch nanti jom makan sama-sama. Akak belanja."

"Eh tak apalah kak. Petang ni ada check up kat hospital. Arra ingat pukul 11.00 pagi nanti Arra nak keluar," jelas Arra sambil memandang wajah Rosnani. "Arra lupa nak beritahu semalam."

"Owh. Tak apalah begitu. Mungkin kita boleh makan lain kali. Check up berapa bulan dah ni?"

Arra mengusap perutnya yang makin membesar.  "Hari ini genap tujuh bulan. Oh ya, esok jemputlah datang ke rumah Arra. Ibu buat majlis kesyukuran."

"InsyaAllah. Nanti Arra send location."

"Okey."

"Tak sangka sekejap je masa berlalu. Pejam celik pejam cilik dah dua bulan Arra di sini."

"Aaa... Tapi lambat lagi nak habiskan praktikal ni. Sebab nanti Arra kena cuti bersalin."

"Tak apalah. Habis pantang nanti boleh sambung balik. InsyaAllah sempat sambung semester akhir dengan budak baru nanti."

"Harapnya begitulah."

Kring! Kring! Kring!

Telefon bimbit dicapai. Dia tersenyum melihat nama Aril tertera pad skrin telefonnya. Tanpa membuang masa butang jawab segera ditekan. "Assalamualaikum abang?"

"Waalaikumussalam, Abang dah ada dekat depan ni?"

"Huh?" Arra melihat jam pada pergelangan tangannya. "Awalnya."

"Abang ada hal nanti, sebab itu datang awal."

"Okey, sekejap ye abang," ujar Arra lalu memandang Rosnani. "Kak Nani boleh ke Arra keluar sekarang?"

"Boleh. Pergilah. Nanti Arra masuk balik ke?"

"Masuk balik selepas jumpa doctor."

"Okey. Pergilah hati-hati."

"Terima kasih Kak Nani."

Telefon bimbit dicapai. "Hello Abang. Tunggu sekejap ye. Sayang baru nak keluar."

"Okey," balas Aril lalu mematikan talian telefon.


"ABANG nak lunch dengan sayang ke nanti?" soal Arra sementara menunggu gilirannya dipanggil oleh jururawat.

Aril mengukir senyuman. Tangan Arra diraih perlahan. "Abang tak dapat lunch sama-sama dengan sayang hari ni."

"Kenapa?"

"Abang ajak sayang check up awal sebab ada hal kejap lagi. Abang kena gantikan papa jumpa client sekejap."

"Gantikan papa?"

Aril menganggukkan kepalanya. "Papa tak sihat. Jadi abang kena gantikan tempat papa lunch dengan client tengah hari ni."

"Owh. Ermm... tak apalah kalau begitu," balas Arra dengan nada yang agak sedih.

Aril mengusap pipi Arra perlahan. "Siap check uo nanti abang temankan sayang makan dulu okey."

"Huh?" Arra terkejut mendengarnya. "Tak susahkan abanh ke?"

"Tak pun," balas Aril lalu mengusap perut Arra yang semakin membesar. "Papa mestilah kena temankan mama makan. Tak adalah mama merajuk nanti. Betul tak baby?"

Arra menjeling marah. "Apa cakap macam tu. Sayang tak marah pun lah!"

"Ya ke?"

"Iya!"

"Habis tu kenapa tinggikan suara?" usik Aril lagi.

Arra terdiam.

Aril mengenggam erat tangan Arra lalu menciumnya. 

"Isyh abang ni. Nak bermanja pun janganlah di sini."

"Kenapa? Tak boleh?"

"Bukan tak boleh. Malulah orang tengok."

"Biarlah orang tengok. Tak berdosa pun bila abang nak bermanja dengan wife sendiri kan," ujar Aril lalu mengenyitkan matanya.

Arra menepuk bahu Aril perlahan. Wajahnya mula kemerahan apabila diusik begitu. Aril ketawa kecil melihat tingkah laku isterinya itu. Arra menjeling marah sambil menahan malu apabila mendengar beberapa orang bercakap mengenai dirinya.

Arra bangkit dari tempat duduknya. 

"Sayang nak pergi mana?"

"Toilet. Abang nak ikut ke?" perli Aira.

"Puan Arra!"

"Doktor dah panggil sayang."

"Saya," balas Arra lalu melangkah masuk ke dalam ruangan doktor.

Aril membontoti langkah Arra dari arah belakang.

"Puan sihat?" Soal Doktor Humaira

"Alhamdulillah sihat doc."

"Terlebih sihat doktor," ujar Aril mencelah.

Doktor Humaira tersenyum mendengarnya. "Biasalah encik. Perempuan mengandung ni memang kuat makan. Bukan untuk orang lain. Demi janin dalam kandungan isteri encik jugak."

"Betul tu doktor. Saya tak kisah pun nak makan banyak mana. Kekadang waktu tak sesuai yang saya kisahkan?" sambung Aril dengan diiringi ketawa kecil.

"Abang!" Arra menjeling marah.

Doktor Humaira turut ketawa. "Tak perlu hairan tentang masa. Saya pun merasainya. Orang tengah tidur, tapi kita lapar," ujarnya sambil tersenyum kepada Arra. 

"Doktor pregnant?"

Doktor Humaira menganggukkan kepalanya. "Puan sila baring atas katil. Kita buat imbasan 2D."

"Dah berapa bulan?" soal Arra lalu merebahkan badan di atas katil.

"Six months."

"Tak nampak perut pun?"

Doktor Humaira tersenyum mendengarnya. "Saya memang dari anak first lagi, time mengandung tak nampak perut pun."

"Owh."

"Saya cek sekejap ya. Encik Aril boleh tengok baby kat skrin."

"Besar dah baby?"

"Ya. Alhamdulillah baby sihat."

"Semua okey doktor?" soal Arra menginginkan kepastian.

"Kandungan air ketuban okey. Berat baby dah 2.1 kg. Gender baby? Sekejap ya," ujar Doktor Humaira menjelaskan keadaan baby dalam kandungan Arra.

"Baby boy atau girl?" soal Aril sambil mengenggam erat tangan Arra. Perasaan tidak sabar ingin mengetahui jantina anaknya tiba-tiba muncul. 

"Okey, Puan Arra dan Encik Aril cuba tengok dekat skrin ni?" 

"Apa tu?"

Doktor Humaira tersenyum ke arah mereka. "Inilah gender baby. Tahniah baby girl."

"Betul ke doktor?" soal Arra menginginkan kepastian.

"Daripada pemeriksaan saya memang kelihatan macam baby girl. Jika inginkan kepastian boleh buat pemeriksaan detail scan 3D, 4D atau 5D di klinik swasta."

"Terima kasih doktor."

"Sama-sama."

"Everything okey doktor?" soal Aril apabila setelah selesai pemeriksaan imbasan 2D.

"Semua okey. Tapi...," Doktor Humaira duduk di atas kerusi.

"Tapi apa doktor?"soal Arra agak cemas.

"Apa yang membimbangkan saya adalah kedudukan bayi agak dekat dengan pintu rahim. Saya sarankan agar Puan Arra jangan terlalu kerap berjalan."

"Kenapa?" soal Aril pula.

"Kemungkinan boleh berlaku tumpah darah."

"InsyaAllah saya akan berhati-hati."

"Itu sahaja untuk hari ini. Jumpa lagi dua minggu   akan datang."

"Dua minggu?"

"Hurm... Kandungan puan Arra sudah tiga puluh minggu. So pemeriksaan akan dibuat dua minggu sekali sehingga tiga puluh lima minggu. Seterusnya, puan perlu datang seminggu sekali sehinggalah puan selamat melahirkan," jelas Doktor Humaira.

"Okey doktor. Terima kasih."

"Sama-sama."

Arra dan Aril melangkah keluar dari dalam bilik doktor. Aril mengenggam erat tangan isterinya. Hatinya berasa begitu gembira mengetahui jantina bayinya yang bakal lahir tidak lama lagi. 

"Abang okey?"

"Okey? Kenapa sayang tanya?"

"Sayang tengok abang macam tengah fikirkan sesuatu?"

"Abang nak buat pemeriksaan 3D sayang setuju tak?"

"Kenapa?"

"Abang nak pastikan baby kita betul-betul baby girl."

Arra tersenyum mendengarnya. "Lelaki atau perempuan tetap anak kita."

"Betul. Tapi anak sulung perempuan lebih afdhal."

"Sayang ikut aje apa yang abang nak. Janji abang happy."

Kepala Arra diusap perlahan. "Petang ni balik kerja kita pergi klinik lagi, okey."

Arra menganggukkan kepalanya. "Okey abang," balasnya sambil mengusap perutnya yang semakin membesar. Sesekali terasa bayi bergerak dan menendang. Bahagianya rasa menanti saat kelahiran anak pertamanya. 

Ya Allah semoga dengan kelahiran anak ini akan mengeratkan lagi hubungan kami suami isteri. Semoga ikatan yang terjalin di antara kami akan kekal hingga ke syurga-Mu. Amin. Doa Arra di dalam Hati. 


"TERIMA KASIH Kak Nani sudi datang hari ni,"ucap Arra sambil mengiringi langkah Rosnani ke arah kereta.

"Sama-sama. Terima kasih bagi akak lauk ni."

"Sama-sama,"balas Arra sambil tersenyum. 

"Jimatlah hari ni. Balik nanti tak perlu masam dah," seloroh Rosnani sambil ketawa.

"Alhamdulillah rezeki akak lah tu. Lauk banyak lebih tadi."

"Alhamdulillah. Akak balik dulu ya."

"Okey akak. Jumpa lagi esk."

"Sampaikan salam akak dekat ibu," ujar Rosnani lalu melangkah masuk ke dalam perut kereta.

"InsyaAllah. Hati-hati memandu Kak Nani."

"Okey. Terima kasih Arra. Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam," jawab Arra perlahan. 

Setelah kereta yang dipandu oleh Rosnani hilang dari pandangan mata Arra. Dia mengatur langkah kembali ke rumah. Dari jauh dia melihat Hanif dan Ain sedang bergurau senda. Satu senyuman kecil terukir diwajahnya. Idea jahat mula muncul di dalam benaknya ingin mengenakan mereka berdua.

"Amboi seronoknya bergurau senda mengalahkan husband and wife."

Ain terkejut dengan sapaan Arra dari arah belakang. Dia menjebikkan bibirnya. "Alah tak lama lagi dah nak kahwin kan. Tak salah pun kan?" 

Arra berpeluk tubuh. "Memang tak salah. Tapi kau orang berdua ni belum halal lagi?"

"Hanif tahu Arra. Maaflah jika merosak suasana majlis Arra hari ni dengan perangai kita orang," ujar Hanif dengan perlahan sambil menahan malu.

Ain menjeling Hanif. Dia tahu Arra sengaja ingin mengusiknya. "Arra."

"It's okay Hanif. If kau orang dah tak sabar sangat nak tunggu tarikh wedding tu. Apa kata aku panggilkan tok kadi nikah kan kau orang terus malam ni," usik Arra.

"What?" ucap Ain terkejut mendengarnya. "Mana boleh?"

"Majlis kesyukuran aku ni jadi kenduri kahwin kau orang. Lauk pun banyak lagi. Sekadar nak jemput tok kadi dengan saksi boleh lagi."

"Tak boleh? Baju pengantin mana ada? Kau ni bagi idea tak berasas?"

Arra ketawa kecil. 'Nampak sangat kau tak sabar nak kahwin Cik Ain sayang oi,' desis hati kecil Arra.

"Baju aku banyak. Aku boleh pilihkan satu untuk Kau. So tak perlu risau?"

Ain memandang wajah Arra. "Baju kau memang muat dengan aku. Habis Hanif nak pakai baju mana?"

"Amboi menjawab aje kau kan?"

"Kau tanya aku jawablah," perli Ain.

Niat Arra ingin mengusik. Kini hatinya pula yang panas dengan sikap Ain. "Mak Ngah, Pak Ngah, tolong panggilakn tok iman!"

Semua ahli keluarga segera keluar apabila mendengar suara Arra menjerit.

"Kenapa Arra?"soal Datin Sri Aida

"Dah nak bersalin ke?" soak Puan Anisah cemas.

"Kenapa sayang? Perut sakit ke?" soal Aril pula sambil memegang perut Arra.

Arra menepis tangan Aril. "Arra tak sakit. Budak dua orang ni gatal nak kahwin."

Wajah Ain dan Hanif mula kemerahan apabila semua mata memandang ke arah mereka berdua. Ain dan Hanif saling berpandangan satu sama lain. Mereka hanya ingin melepaskan rindu setelah berbulan-bulan tidak bersua. Arra pula mencetus suasana yang tidak diingininya.

"Biarlah. Mereka pun nak kahwin tak lama lagi," ujar Aril perlahan.

Arra tidak peduli dengan kata-kata Aril. Dia memandang wajah Dato' Fahmi. "Pak Ngah percepatkan majlis nikah Ain boleh. Nampak macam tak sabar nak naik pelamin dah ni," ujar Ain sambil mengenyitkan matanya.

"Boleh. Pak Ngah pun tak sabar nak pegang tangan Hanif untuk satukannya dengan Ain," ujar Dato' Fahmi turut mengusik anak dara dan bakal menantunya.

Bluk. Tertelan air liur Hanif mendengar kata-kata bakal bapa mentuanya itu. Wajahnya sudah merah padam menahan malu. Kepala yang tidak gatal digaru perlahan. 

"Ermm... Hanif balik dululah. Maaf ada kerja," ujar Hanif sambil tersengih sumbing.

"Hari ni kan off day. You ada kerja apa?" soal Ain mencerlung tajam ke arah Hanif.

"Ada hal. Umi call tadi suruh balik. Hanif minta diri dulu ya. Assalamualaikum.

"Waalaikumussalam." 

Salam Hanif dijawab bersama ketawa. Masing-masing geli hati melihat telatah Hanif yang mencuit hati. 

"Arra!!!" marah Ain apabila buah hatinya sudah pulang sebelum puas melepaskan rindu.

Arra tersengih.

Ain menjeling marah.


"ARRA buat terkejut ajelah," ujar Datin Nafisah sambil mengurut dadanya perlahan.

"Aaalah. Mama ingatkan dah nak bersalin tadi," ujar Datin Sri Aida pula.

Arra tersengih. "Tak adalah. Saja nak mengusik Ain tadi."

"Abang pun satu. Ada cakap macam tu dekat Hanif?"

"Alah, abang ikut rentak Arra aje," balas Dato' Fahmi pula lalu melabuhkan punggung di atas kerusi.

"Sayang ni tak baiklah usik Ain macam tu?"

"Alah, bukan selalu pun. Arra tengok dia orang macam tak boleh berjauhan aje."

"Cuba sayang tengok wajah kawan kesayangan sayang tu," ujar Aril sambil menunding jari ke arah Ain yang termenung sendirian di atas gerai di hadapan rumahnya. 

Arra mengigit jari telunjuknya. "Arra nak pergi kat sanalah."

"Tak payah. Biar aje aunty Ain tu layan perasaan seorang diri," ujar Aril lalu memusing badan Arra agar masuk ke dalam rumah. "Mama to be mesti penat. Jom masuk bilik."

Pingang Aril dicuit oleh Arra. 

"Gelilah sayang. Nak abang picit-picit badan pun tunggu lah masuk dalam bilik dulu," bisik Aril perlahan.

Perut Aril dicubit perlahan. "Gatal lah abang ni,"ujar Arra lalu melangkah masuk ke dalam bilik. Dia merebahkan badannya di atas katil. Selesanya. 

Aril mengusap perutnya yang terasa pedih dicubit oleh Arra. Senyuman nakal mula terbit di bibirnya melihat Arra baring di atas katil. Dia turut merebahkan badannya di atas katil. Tubuh Arra dipeluk. Dia mengusap perlahan perut Arra.

"Sayang," panggil Aril dengan manja.

"Hurm..."

Telinga Arra digigit perlahan.

Arra menolak tubuh Aril menjauhinya. "Apa abang ni. Sayang nak rehat kacau pulak."

Aril ketawa. Dia kembali merapati tubuh Arra. "Abang rindu nak usik sayang."

Arra turut memeluk pinggang Aril. "Sayang tak pergi mana pun abang."

Aril mencuit hidung Arra. Dia tersenyum. "Sayang dah ada nama untuk anak kita?" soal Aril. Dahi Arra dicium perlahan.

Arra memandang wajah Aril. Satu senyuman terukir di wajahnya. Sudah lama dia ingin bertanya soal itu kepada Aril. "Ada. Sayang lupa nak beritahu abang."

Aril bangkit daripada pembaringan. "Nama apa?"

"Sayang dah pilih beberapa nama. Tapi nak tahu pendapat abang jugak. Okey atau tak nama yang sayang pilih tu."

"Sayang nak bagi nama apa?"

Arra bangkit daripada pembaringan. Dia menyandarkan tubuhnya pada kepala katil. Aril merapati tubuh Arra. Tangannya mengusap lembut perut Arra. Sesekali terasa bayi dalam kandungan bergerak dan menendang perlahan.

"Sebelum sayang tau jantina bayi kita. Sayang dah pilih dua nama. Sama ada lelaki atau perempuan."

Aril setia mendengarnya.

"Abang pulak macam mana?"

"Abang fikir banyak nama. Tapi tak tahu nak pilih yang mana satu. Semua nama cantik maksudnya."

"Contoh?"

"Zulaikha."

Arra menganggukkan kepalanya. Dia mengakui nama yang disebutkan oleh Aril memang cantik. "Bagi abang okey ke jika gabungkan nama kita untuk diberikan kepada baby."

"Nama kita?" soal Aril tidak mengerti maksud yang ingin disampaikan oleh Arra.

"Ya. Maksud sayang bagi nama bermula dengan Huruf A."

"Tapi nama abang pun bermula dengan huruf A?"

"Nama kedua abang kan bermula dengan huruf Z."

"So?"

"Jadi sayang dah pilih beberapa nama. Cuma tak tahu nak pilih yang mana satu," jelas Arra lalu membuka telefon bimbitnya.

"Nama apa? Beritahulah abang?"

"Sekejap. Sayang buka nota dalam telefon dulu."

"Buat apa?"

"Sayang nak abang tengok maksud nama-nama yang sayang pilih."

"Bijaknya isteri abang," ujar Aril sambil menggosok kepala isterinya.

Arra menghulurkan telefon bimbitnya kepada Aril. "Abang tengoklah. Huruf A dulu. Sayang bagi empat pilihan."

"Okey sayang," balas Aril lalu melihat nama-nama di dalam telefon Arra. "Cantiknya nama-nama yang sayang pilih ni. Abang suka?"

"Antara empat pilihan ni yang mana abang paling suka? Aisy, Alya, Ayleen atau Amylia?"

"Nanti kita pilih sama-sama. Huruf Z pula apa?"

Telefon bimbit ditangan Aril diambil. "Zulaikha pun termasuk dalam senarai pilihan nama sayang tau."

"Okey. Nama-nama lain?"

"Zara, Zarina, dan Zhafirah."

"Zhafirah tu abang suka."

"Betul?" soal Arra sambil tersenyum.

"Apa maksud Zhafirah tu sayang?"

"Yang beruntung, Yang menang."

"Okey. Macam sedap bunyinya. Zhafirah."

"Abang nak namakan bayi kita dengan nama Zhafirah?"

Aril menganggukkan kepalanya. "Abang rasa sesuai sangat nama tu."

"Huruf A yang mana satu sesuai untuk digabungkan dengan Zhafirah?"

"Abang suka dengan nama Zhafirah. Abang dengar macam lembut aje. Maksud pun lawo. Anak kita mesti selalu beruntung aje nanti," ujarnya sambil tersenyum.

"Huruf A pulak abang nak yang mana?"

"Sayanglah pilih. Abang dah pilih satu. Inikan anak kita bersama."

Arra senyum mendengarnya. "Arra lebih suka dengan nama Ayleen berbanding nama-nama lain?"

"Maksud nama Ayleen?"

"Cahaya terang."

"Ayleen Zhafirah," sebut Aril dengan lembut. Aril mengusap perut Arra. Dia mendekatkan wajahnya dengan perut Arra. "Baby papa buat apa tu?" soal Aril perlahan. Arra tersenyum dengan telatah Aril. "Baby. Baby suka tak nama Ayleen Zhafirah?"

Buk! Tetiba bayi menendang. Arra memegang perutnya yang terasa senak. "Baby setujulah tu," balas Arra lalu membetulkan kedudukannya.

Aril ketawa. Dia mencium perut Arra. "Semoga anak papa mama membesar dengan sihat kat dalam ya. Papa mama tak sabar nak tunggu kelahiran baby. Semoga anak papa mama menjadi anak yang solehah." 

"Amin," ujar Arra.

Aril membetulkan keduduknya. Dia memandang wajah Arra dengan penuh kasih dan cinta. Tangan Arra diraih perlahan lalu menciumnya. "Abang doakan sayang dimudahkan segala urusan ketika ingin melahirkan anak kita nanti."

"Amin. Terima kasih abang."

"Sama-sama kasih," balas Aril lalu memeluk erat tubuh Arra. Kehadiran Arra adalah satu anugerah teringah dalam hidupnya. 

Ya Allah, terima kasih atas pemberianmu ini. Akan ku jaga amanah yang Engkau berikan kepadaku dan berkatilah rumah tangga kami. Amin. Doa Aril di dalam hati.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Andayu