Daftar   |      Log Masuk   |   Lupa Kata Laluan
Home Novel Cinta Cinta ini, tak seindah biasa
Cinta ini, tak seindah biasa
Azlina Ismail
9/11/2018 18:35:57
3,365
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

Jom mancing!”

Kerana terkejut, pantas Safa Hawani berpaling. Elok saja sampaidi ampaian sambil mengelek sebuah bakul berisi baju basah, dia ditegur secara mengejut. Mujur baik bakul sedang dikelek itu tak terlepas ke tanah. Naya nanti kena basuh semula baju-baju itu. Mujur jugalah tak dibaling susuk menegur itu dengan bakul. Tajam matanya, merenung mamat patah yang sedang sengih.

“Dah tak reti bagi salam ke, wahai muslimin?”

Ops, aku terlupa. Assalammua’laikum Safa.” Sengih makin dilebarkan.

“Kau ni, dah tak ada kerja lain ke? Pagi-pagi buta tercongok kat pintu dapur rumah aku. Apa, pintu depan rumah aku, kau dah tak kenal?” Dalam keadaan begini, oktaf suaranya menjadi tinggi rendah.

Ahmad Iqbal menyengih kemudian berkata, “Alah Safa, janganlah marah. Dah nampak kau kat sini, tu yang aku ke sini. Nak tak, petang ni kita pergi mancing?” ajaknya. Kening, macam biasa, dijongket berkali-kali.

Safa Hawani mencebik. Meluat, selalu sangat buat muka perasan cute macam tu kalau mahu memujuk dan dia pula... ‘ada aku kisah?’

“Nak tak Safa?”

“Malaslah.”

“Alah, jomlah.”

“Aku malaslah.”

“Safa, jomlah. Bosan tau asyik memerap aje kat rumah. Nak menghadap buku, kita dah habis SPM. Jomlah Safa. Kalau kau ada sama mesti best.” Mendayu-dayu suara lelakinya itu. Elok saja tangan menyambar hujung lengan baju Safa Hawani lalu ditarik-tarik lembut. Tak pula dihiraukan mata gadis itu sedang membulat, memandangnya.

“Nak cakap, cakap ajelah. Tak payahlah tarik-tarik lengan baju aku ni. Aku lesing nanti!” Gaya mahu melesing sudah digaya oleh Safa Hawani.

Cepat-cepat Ahmad Iqbal melepaskan hujung lengan baju itu. Walaupun malu sedang menguasai diri, dia tetap berlagak tenang. Terlupa, walaupun mereka berkawan rapat, tetap berlainan jantina dan haram bersentuhan. Walaupun kasar, Safa Hawani sangat menjaga adab dan tatasusila. Pendek kata, calon sesuai untuk dijadikan isteri bagi sesiapa yang mengenali hati budi gadis itu.

Eleh, bukan aku pegang tangan kau pun.” Ahmad Iqbal menjuih mulut.

“Tak kiralah pegang ke tak? Satu lagi, kau tak ada kerjalain nak buat? Asyik-asyik, mancing, mancing, mancing? Tak bosan ke? Aku, yang menghadap muka kau hari-hari naik jemu, nikan pula ikan-ikan kat dalam sungai tu. Ikan-ikan tu, dengar aje suara kepit kau yang tak berapa nak menjadi tu, terus lari tau.”

“Amboi, menghina nampak? Bila pula ikan-ikan tu ada kaki, nak lari bagai...”

Kuk!

Adoi, sakitlah Safa!” Kepalanya sudah digosok. Bertuah punya kawan.

“Ambil kau. Loyar buruk dengan aku lagi. Kan dah kena hempuk dengan bakul ni,” kata Safa Hawani sambil menunjuk bakulnya yang sudah kosong. Sambil-sambil melayan Ahmad Iqbal bersembang sempat lagi tangannya menyidai baju di ampaian hingga habis.

“Sampai hati kau Safa. Aku nak report kat mama aku.”

“Geli aku dengan perangai budak-budak kau tu. Pergilah report. Ada aku kisah?” Safa Hawani sekejap-sekejap menoleh, melihat Ahmad Iqbal yang masih belum berhenti menggosok kepala.

‘Kuat ke aku ketuk kepala dia?’ gumamnya pula. Rasa bersalah menguasai diri.

“Sampai hati kau Safa, buat aku macam ni.” Sedih nada suara Ahmad Iqbal.

Safa Hawani menelan air liur.

“Sakit sangat ke?” Safa Hawani mula merapati Ahmad Iqbal yang sudah duduk di atas kerusi di tepi dinding dapur. Lebih membuatkan rasa bersalah menjerut hati apabila melihat muka Ahmad Iqbal kelihatan seperti mahu menangis. Dia mendecit, menghembus nafas dan kemudian bibir bawahnya digigit. Sesal, semakin kuat menghimpit pula. Riak muka Ahmad Iqbal semakin mencambahkan rasa itu ke segenap sanubari.

‘Masalah ni. Aduh, tangan aku nilah. Macam mana nak pujuk dia? Iqbal ni pun, masa nilah nak merajuk,’ katanya dalam hati dan kini dia sudah berdiri betul-betul di hadapan pemuda itu. Mahu memegang kepala pemuda itu... tak boleh pula. Macam mana ni? Safa Hawani menggigit bibir bawah lagi.

“Iqbal, aku minta maaf. Aku betul-betul tak sengaja. Tulah, siapa suruh kau buat lawak spastik tadi? Iqbal...” panggilnya dengan nada memujuk. Namun, Ahmad Iqbal semakin membisu.

Safa Hawani buntu apabila Ahmad Iqbal buat tak endah. Melihat muka Ahmad Iqbal begitu kelat, sekelat-kelatnya, hatinya sedikit terusik. Tak pernah lagi dia bertindak kasar terhadap Ahmad Iqbal. Kata-kata hempuk, lesing, sekeh, tak pernah dibuat betul-betul hanya mainan di mulut saja. Entah macam mana, dia boleh terbabas laku pula hari ini?

“Iqbal, aku minta maaf.” Mahu saja bahu teman itu disentuh tapi batas perlu dijaga juga. Dia selalu menyemat di dalam kepala, selembut-lembut Ahmad Iqbal, tetap seorang lelaki. Tetapi mana lelaki, mana perempuan ni?

“Iqbal,” kali ketiga dia memanggil, dan semakin dekat dia dengan sahabatnya itu.

Cak!”

Safa Hawani pantas membeliakkan mata.

“Kaukan Iqbal...” katanya sambil gigi diketap.

Hahaha! Tahu pun takut.” Ahmad Iqbal mengekek-ngekek ketawa. Puas hati kerana dapat mempermainkan Safa Hawani. Mantap sungguh lakonannya sehingga dengan begitu senang hati Safa Hawani yang tak berapa nak ‘perempuan’, cair.

“Nak kena ketuk lagi?” Bulat mata Safa Hawani, memandang geram ke arah pemuda patah itu. Tak pasal-pasal dia kena pujuk mamat patah itu tadi. Ces, sabar sajalah dia dengan Ahmad Iqbal.

“Ingat, aku nak duduk diam-diam, biar kau ketuk aku lagi?” Ahmad Iqbal buat mimik mengejek.

Mata Safa Hawani semakin mengecil. Berombak-ombak dadanya menahan marah. Bibir bawah digigit lagi dan kali ini lagi kuat. Geram! Ingatkan,betul-betullah merajuk. Hampeh betul. Setengah mati dia percayakan lakonan Ahmad Iqbal. Muka sudah bertukar monyok, jelingan sangat tajam telah diberi kepada mat patah itu. Entah mengapa, pelupuk matanya terasa panas tiba-tiba. Sedikit terasa dengan gurauan Ahmad Iqbal hari ini, mempermainkan perasaannya. 

“Safa, kau okey tak?” Pelik pula Ahmad Iqbal dengan ulah Safa Hawani.

Blahlah kau. Baik aku masuk rumah daripada layan kau.” Safa Hawani merengus.

“Safa, kau marah ke?”

“Suka hatilah nak marah ke, apa ke?”

“Kau ni, betul-betul merajuk ni.”

Safa Hawani menjeling.

“Betul ni, kau merajuk?” Ahmad Iqbal menyembunyikan senyuman nakal.

“Apa kau kisah pasal aku? Pergilah balik, buat semak aje kat sini.”

“Safa,” panggilnya namun gadis itu enggan menoleh hanya melajukan langkah menuju ke pintu dapur.

“Safa,” kali kedua dia memanggil.

Safa Hawani masih buat tak tahu. Takkan nak toleh? Dia sebenarnya mahu menangis.

“Sejak bila pandai merajuk ni?” Safa Hawani perlahan-lahan menoleh ke arahnya. Muka bujur sirih itu, sedang merah padam seperti mahu menangis pun ada. Seingatnya, Safa Hawani tak pernah menunjuk ragam merajuk melampau tetapi hari ini... adakah hormon perempuan Safa Hawani semakin meningkat?

“Aku... merajuk?” Malu, tiba-tiba menyapa. Muka Safa Hawani terasa berbahang, hinggakan rona-rona merah tanda malu, mula muncul di pipi. Namun dia masih cuba berlagak tenang. Eh sekejap, bukan ke masa Ahmad Iqbal terlupa bawa buku latihan sejarahnya dulu, dia ada merajuk juga?

“Kau sengaja perangkap aku, kan Iqbal? Bukan sekali ni aku merajuk tau.”

Hahaha, Safa Hawani dah pandai merajuk,” ejek Ahmad Iqbal lalu menyambung ketawa, terbahak-bahak hingga terduduk semula di atas kerusi.

“Suka hati akulah nak merajuk.” Terkandung nada marah dalam ayat Safa Hawani itu. Ahmad Iqbal dijeling setajam mungkin.

‘Dahlah kenakan aku, siap ejek pula. Haish, geram betul aku dengan dia ni,’ gerutunya.

“Kau kena sawan gelak ke Iqbal?” Safa Hawani merengus halus.

“Hairan aku dengan kau hari ni. Terlebih hormon perempuan pula. Tapikan, bagus juga kalau macam ni selalu Safa. Tak lama lagi, kau akan jadi perempuan sejati. Tak adalah keras macam selalu. Bukannya kau tak cantik,”

“Iqbal,” Safa Hawani menarik nafas dan menghembus kemudian dia menyambung, “Nampak tak pokok cili padi mak aku kat sana?” Tepat jari telunjuk dihalakan ke sana dan kedua anak mata Ahmad Iqbal juga dilihat turut terarah ke sana.

“Nampak. Ada apa kat pokok cili tu Safa?” Liar matanya memandang sekeliling pokok cili di depan sambil kening bertaut rapat. Ada apa-apa entiti yang Safa Hawani nampak di sana ke? Ish, seram pula dia.

“Bukan apa, aku takut, ada sebiji cili pedas tu terlompat masuk kat dalam mulut kau dengan sengaja nanti.” Safa Hawani senyum sinis.

Perlahan-lahan anak mata Ahmad Iqbal membesar kemudian kembali meredup. Perlahan-lahan, bibirnya mengukir senyum. Barulah dia faham.

“Ada aku kisah? Bukan kau tak tahu, aku ni memang makan pedas. Setakat cili padi kat pokok kau tu, aku kunyah macam kacang aje.” Selamba Ahmad Iqbal membalas. Dia gelak besar lagi, kali ini berdekah-dekah. Sekali lagi, Safa Hawani terkena.

Ei, malas aku nak cakap dengan kau. Dah, pergilah balik! Aku ada banyak kerja nak buat ni.”

“Tak nak, selagi kau tak kata nak ikut aku pergi mancing petang ni.” Ahmad Iqbal semakin laju menjongket kening.

“Tak kuasalah!”

“Ikut ya?” Ahamd Iqbal masih cuba memujuk.

“Tak nak!” Safa Hawani mencebik.

“Safa, kenapa terjerit, terlalak pagi-pagi buta ni? Tak elok anak dara buat perangai macam ni. Malulah sikit kat jiran.” Mata Puan Rohaya membulat sebaik muka anak daranya ditatap. Rimas dia kerana dari tadi mendengar anak daranya memekik.

“Iqbal tu mak, suka sangat kacau Safa. Suruh balik tak nak, menyibuk aje kat sini.”

“Dah, jangan nak salahkan orang lain pula. Iqbal, kenapa tak masuk?” Sekelip mata air muka Puan Rohaya berubah. Dari riak marah dan sekarang senyum simpul pula menghiasi bibirnya saat mengalih pandangan ke arah pemuda itu.

Safa Hawani mencebik mulut. ‘Mak memang, selalu menangkan Iqbal. Mentang-mentanglah dia tu ‘lemah-lembut’. Benci!’ bentaknya. Sambil berjalan masuk ke dalam rumah, kakinya dihentak-hentak.

“Jangan ambil hati ya Iqbal.” Kepalanya digeleng berkali-kali melihat telatah anak daranya yang seorang itu.

“Biasalah mak cik. Safa, siapa tak kenal?” Ahmad Iqbal gelak kecil.

“Iqbal dah minum? Masuklah, mak cik buatkan kopi.”

“Tak apalah mak cik. Saya dah makan sebelum keluar tadi. Minta diri dululah mak cik. Petang ni saya datang lagi, jemput Safa pergi mancing. Boleh ya makcik?”

Yelah.”

“Mak cik tolong sampaikan pesan kat Safa, pukul lima saya datang.”

Bawak motor tu,elok-elok Iqbal.”

Puan Rohaya melihat anak muda itu memacu motor keluar dari perkarangan rumahnya dengan satu seyuman terhias di bibirnya. Senyum, hanya yang dia saja tahu apa maksud yang terkandung.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.